Keratan Akhbar Utusan Melayu |
Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.
Saya terdetik untuk menulis pada kali
ini berikutan isu gambar surat khabar Utusan Melayu dalam tulisan jawi yang
tajuk besarnya bertulis “Pelajaran
Percuma Menjelang 1982”. Saya sempat melayari laman-laman internet mengenai
isu ini dan dikatakan gambar ini dipetik daripada akaun laman sosial pihak
pembangkang.
Jika kita tengok sekali imbas pada kali
ini kita akan melihat gambar Dr. Mahathir dan terpampang tajuk besar di atasnya
“Pelajaran Percuma Menjelang 1982”.
Jika ditengok sekali imbas kita mungkin terfikir bahawa Kerajaan sudah berjanji
untuk memberikan pendidikan percuma sejak 1982 lagi. Ini bermakna Kerajaan
sudah 30 tahun tidak menunaikan janjinya sejak dahulu lagi kerana di universiti-universiti
sekarang mereka dikenakan yuran untuk belajar.
Mana-mana pemimpin politik yang ingin
memegang tampuk pemerintahan Kerajaan mestilah melalui menjadi Menteri Pendidikan iaitu
Kementerian yang paling memeningkan kepala di dalam kabinet selain Menteri Kewangan. Saya pernah terbaca bahawa jika
seseorang itu menjadi Menteri Pelajaran atau Pendidikan, beliau ibarat memakai
tengkolok berduri di atas kepalanya. Pendek kata, Kementerian ini merupakan
kementerian memeningkan kepala dalam Kabinet sehinggakan ada
Menteri di Kementerian ini dipindahkan ke Kementerian lain disebabkan banyak masalah
apabila menerajui Kementerian ini.
Apa yang memusykilkan saya adalah
Menteri Pelajaran ketika itu Dr. Mahathir Mohammad yang kini adalah bekas
Perdana Menteri Malaysia Keempat. Semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri,
beliau berjaya mengubah Malaysia daripada sebuah negara pertanian yang miskin
menjadi sebuah negara perindustrian dan perdagangan ke-17 terbesar dunia. Mana
mungkin seorang Perdana Menteri yang boleh mengubah wajah sebuah negara yang
miskin sebegitu rupa boleh menabur janji-janji palsu semasa Menteri Pelajaran?
Baiklah, sekali imbas kita dapat melihat
tajuk besarnya berbunyi “Pelajaran Percuma Menjelang 1982”. Sekiranya kita
perhalusi akhbar berikut kita dapat melihat bahawa:
i. Terdapat perkataan yang ditulis di atas
tajuk tersebut yang berbunyi “Bila Dasar
Pelajaran Kebangsaan Pelajaran Dilaksana Sepenuhnya”. Sudah tentu apabila
Dasar Pelajaran Kebangsaan, ia adalah merujuk kepada Sekolah Rendah dan Sekolah
Menengah dan tidak merujuk kepada Institut Pengajian Awam (IPTA) atau
Universiti-universiti awam.
ii. Pada perenggan pertama, ia berbunyi “Semua murid-murid sekolah dikecualikan dari
membayar yuran sekolah tahun 1982 berikutan dengan dilaksana sepenuhnya dasar
pelajaran kebangsaaan, kata Menteri Pelajaran...”
Dapat dilihat di sini bahawa keratan
akhbar ini adalah merujuk kepada pendidikan percuma untuk Sekolah-sekolah dan
bukannya Universiti-universiti awam. Anda mungkin mengatakan bahawa yuran-yuran
juga akan dikenakan di Sekolah Rendah ataupun Sekolah Menengah. Akan tetapi,
kita harus faham bahawa pendidikan percuma bukanlah bermaksud semua pelajaran
adalah percuma tetapi ia adalah merujuk kepada yuran peperiksaan percuma, buku
teks percuma untuk yang layak dan sebagainya di mana yuran lain masih dikenakan
seperti PIBG dan sebagainya. Ambil sahaja contoh perbandingan yang mudah, yuran
sekolah rendah swasta adalah sebanyak RM3,000 setahun manakala sekolah menengah
swasta adalah sebanyak RM6,700 setahun berbanding sekolah kerajaan dengan RM50
setahun.
Pendek kata, pihak pembangkang pandai
mengapi-apikan sesuatu isu bagi meraih sokongan murahan rakyat. Akan tetapi,
rakyat bijak berfikir untuk menilai sesuatu.
Sekian, terima kasih.
http://wankamarul701.blogspot.com