Sunday, January 13, 2013

Akta Zakat dan Akta Wakaf Perlu Diperkenalkan

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.
 
Sebelum ini, saya telah menyebut bahawa sekiranya saya menjadi Menteri Pendidikan, saya akan mewajibkan semua sekolah mempelajari Bahasa Cina kerana bangsa Cina menguasai ekonomi Negara ini supaya kita sebagai orang Melayu tidak akan mudah ditipu sama ada dalam perniagaan ataupun jual beli. Pada kali ini saya ingin menyebut bahawa sekiranya saya menjadi Menteri Kewangan (Jawatan ketiga paling berkuasa dalam Malaysia), saya akan memperkenalkan Akta Zakat dan Akta Wakaf untuk memperkasakan ekonomi orang Islam khususnya orang-orang Melayu. Ini adalah kerana ekonomi orang Melayu masih ditahap lemah walaupun setelah 56 tahun Tanah Melayu sudah merdeka apatah lagi orang-orang Melayu kurang berminat untuk terlibat dalam bidang perniagaan.
 
Kita masih belum mendengar seseorang didakwa kerana tidak membayar zakat di Malaysia pada hari ini. Sedangkan sekiranya kita melihat kisah sahabat Khalifah Saidina Abu Bakar as-Siddiq, beliau mengisytiharkan perang yang dikenali sebagai peperangan Riddah iaitu peperangan ke atas 3 golongan iaitu golongan yang mengaku nabi palsu, golongan murtad dan golongan yang tidak mahu membayar zakat. Golongan yang tidak mahu membayar zakat ini adalah dipelopori oleh Malek bin Nuwairah dan golongan ini muncul di Yaman, Yamamah dan Oman. Peperangan ke atas golongan yang tidak membayar zakat ini merupakan perkara yang dipandang berat sejak zaman Sahabat lagi dahulu lagi bahkan ia merupakan salah satu rukun Islam.
 
Malangnya pada hari ini Akta Zakat tidak diperkenalkan lagi bagi mengambil tindakan terhadap orang Islam yang tidak membayar zakat. Di Malaysia, Akta Cukai Pendapatan 1967 diperkenalkan untuk mengutip cukai daripada orang ramai bagi menanggung perbelanjaan negara. Sekiranya seseorang itu tidak membayar zakat pendapatan, seseorang itu boleh didakwa dan dipenjarakan. Sekiranya Akta Zakat ini diperkenalkan, sudah tentu ia dapat mengutip lebih banyak hasil daripada orang ramai untuk digunakan khusus untuk membantu orang fakir dan miskin.
 
Saya masih mengingati lagi sewaktu belajar dahulu, pensyarah saya mengatakan bahawa, “Sekiranya zakat belum dibahagikan secara adil selagi itu akan adanya rancangan Bersamamu.” Apa yang hendak dimaksudkan di sini ialah zakat itu masih belum diagih secara adil kepada orang fakir dan miskin. Pernah saya mendengar ceramah di masjid mengatakan bahawa apa gunanya ingin memberi zakat kepada orang bukan Islam sedangkan orang Islam masih ramai yang belum menerima zakat seadilnya. Ini menunjukkan bahawa dana zakat masih belum diagihkan secara sempurna di kalangan fakir dan miskin di negara ini.
 
Begitu juga dengan wakaf di mana Akta Wakaf ini juga perlu diperkenalkan. Di Singapura, orang-orang Islam di sana diwajibkan untuk memberi sumbangan dalam bentuk wakaf tunai mengikut tangga gaji masing-masing. Oleh itu, tidak hairanlah kita melihat banyak bangunan-bangunan milik orang Islam di Singapura dibangunkan atas hasil daripada wakaf. Pusat Wakaf di Singapura merupakan contoh pengurusan wakaf yang terbaik di Asia Tenggara. Hasil kutipan cukai melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sepanjang tahun 2012 adalah berjumlah RM124.69 bilion yang melepasi sasaran iaitu sebanyak RM109.09 bilion. Bayangkan Akta Wakaf dan Akta Zakat diperkenalkan bagi meningkatkan ekonomi orang Islam, sudah tentu ia akan meningkat secara mendadak. Sebenarnya laungan ‘wakaf’ ini bermula sejak beberapa tahun kebelakangan ini semasa (Tun) Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri apabila menubuhkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) pada tahun 2004. Sebelum itu, pada tahun 2000 wakaf korporat yang dilancarkan oleh Johor Corporation Berhad (JCorp) melalui anak syarikatnya Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp) berjumlah RM200 juta.
 
Sebenarnya, Islam telah memperkenalkan instrument-instrumennya yang tersendiri bagi membangunakan umatnya. Kita sebagai umatnya tidak nampak kaedah yang sedia ada. Hidup ini ibarat roda iaitu sekejap berada di bawah dan sekejap berada di atas. Mungkin dengan berkembangnya wakaf dan zakat ini boleh memartabatkan ekonomi orang Melayu Islam di tanah airnya sendiri pada suatu masa nanti. Insya-Allah.
 
Sekian, terima kasih.

 
http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: