Thursday, February 2, 2012

Kritikan ke atas Daim Zainuddin



Walau sehebat mana seseorang manusia, tiada yang tidak dapat terlepas daripada sebarang kelemahan atau kesilapan. Insan yang saya ingin sebut di sini ialah bekas Menteri Kewangan Malaysia iaitu Tun Daim Zainuddin. Sebelum ini, saya banyak membaca mengenai ke atas bekas mantan Menteri Kewangan ini, tetapi ia tidak berasas sama sekali kerana kritikan yang dibuat tidak mempunyai asas dan sumber yang tertentu melainkan hanya fitnah semata-mata.

Apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah kritikan yang dibuat oleh Ng Boey Kui dalam kajian beliau yang bertajuk "Mudah Terdedahnya dan Kapitalisme Parti: Pertembungan Malaysia dengan Krisis Kewangan 1997". Secara ringkasnya, kesimpulan yang dapat dibuat adalah seperti berikut:

a. Sejak pelantikan Daim Zainuddin ke kabinet menjadi Menteri Kewangan pada Julai 1984, berlaku anjakan kuasa di kalangan elit melayu daripada "ahli politik dan pentadbir kepada gabungan ahli politik dan para peniaga".

b. Bank Negara Malaysia (BNM) tidak dapat menikmati kebebasan sejak pelantikan Daim Zainuddin menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1984. Sebelum itu, BNM di bawah Gabenor Tun Dr. Ismail sehingga 1980 mempunyai kebebasan dari segi perumusan dasar ekonomi dan hal-hal perbankan yang lain. 

c. Pengganti Gabenor Bank Negara (BNM) Tun Dr. Ismail iaitu Tan Sri Aziz Taha dipaksa meletak jawatan pada tahun 1985. Ini adalah usaha untuk meletakkan agensi penyeliaan keselamatan yang berkuasa di bawah Daim. Tindakan ini bertujuan untuk mempermudahkan pengambil alihan dan percantuman korporat serta penstrukturan semula korporat bagi memupuk kapitalisme parti bagi memenuhi matlamat DEB dan mewujudkan kapitalis melayu. 

d. Ini menyebabkan kawalan bank dan korporat menjadi longgar dan berlakulah peluasan pinjaman bank yang pesat sebelum krisis kewangan tahun 1997. Ini dapat dilihat pinjaman bank adalah meningkat daripada 14.4% tahun 1994 kepada 29% pada tahun 1995. Seterusnya, kadar pinjaman bank adalah 26.3% pada tahun 1996. Akan tetapi, pinjaman bank kepada sektor swasta adalah meningkat dengan kadar 33.5% sewaktu krisis kewangan bermula pada pertengahan tahun 1997.

e. Kesannya, syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan politik menjadi mangsa yang paling parah semasa krisis kewangan 1997 melanda. Ini adalah kerana mereka disokong bebanan hutang yang besar berpunca daripada susut nilai matawang semasa krisis berlaku. Nilai bersih syarikat-syarikat ini juga terjejas apabila harga saham menjunam secara tiba-tiba apabila krisis bertambah teruk. 

f. Syarikat Renong yang dimiliki oleh Halim Saad yang merupakan anak didik Daim di Paremba, merupakan syarikat yang menguasai 15% pembinaan negara masih tenat dengan hutang RM20 bilion. Syarikat Renong dipilih sebagai syarikat paling teruk di Malaysia bagi tahun 1998 dan 1999 dalam undian yang dijalankan oleh Asiamoney (The Strait Times, 2000).

Kini, 15 tahun telah berlalu. Tun Daim Zainuddin sudah mempunyai banknya sendiri iaitu International Commercial Bank (ICB) setelah meletak jawatan di dalam kabinet. Apapun yang dikatakan oleh orang terhadap Daim, Daim akan tetap diam dan tahu akan diamnya. Sehingga tertulis buku oleh Fatini Yaacob yang bertajuk "Daim Yang Diam".

2 comments:

nuryas85 said...

Apa dh jadi pada Renong skrg...

wankamarul701 said...

Telah diambil oleh Khazanah.