Sekiranya anda membeli-belah di pasaraya, sudah tentu anda memerhatikan harga sesuatu barang sebelum membelinya. Tahukah anda bahawa nombor juga memainkan peranan penting dalam penetapan harga oleh penjual bagi sesuatu barang? Ia juga mempunyai kuasa tersendiri untuk menarik pelanggan bagi membelinya. Ini dikenali sebagai 'Strategi Harga Psikologi' yang diutarakan oleh Nassrul Hakim Md Jani dalam bukunya '9 Naga Pemasaran'. Ia mempunyai jenis-jenis tertentu iaitu Harga Hampir, Petunjuk Kualiti, Harga Rujukan, Harga Cadangan dan Harga Sebenar dan Bentuk Nombor.
1. Harga Hampir
Ini sudah tentu strategi biasa yang digunakan di pasaraya-pasaraya utama di negara ini sama untuk kelas pertengahan ataupun menengah. Harga sesuatu barang tidak akan ditetapkan secara genap sama ada RM500.00, RM600.00 ataupun RM700.00. Tetapi ia ditetapkan pada harga RM499.00, RM599.00, ataupun RM699.00. Benar bukan? Ini adalah kerana dengan meletakkan harga RM499.00 ia membuatkan pelanggan merasakan harga barang tersebut dalam lingkungan RM400.00 walhal dengan menambah RM1.00 harganya menjadi RM500.00. Perkara ini dipanggil sebagai minda bawah sedar walhal seseorang itu tahu harga sebenarnya RM500.00 tetapi perasaan seseorang itu menganggap ia masih RM400.00. Contohnya, telefon bimbit terbaru skrin sesentuh Samsung iaitu Samsung Corby sekarang, ia dijual RM299 dan bukannya RM300 supaya kita merasakan ia berharga RM200. Benar bukan?
2. Petunjuk Kualiti.
Strategi penunjuk kualiti pula ialah sesetengah penjual ataupun kedai meletakkan harga nombor bulat seperti RM2,000 ataupun RM10,000. Strategi ini menyebabkan pengguna menganggap produk tersebut mahal dan berkualiti tinggi. Ia bertujuan mengekalkan imej sesebuah syarikat supaya ia kelihatan mempunyai imej kelas atasan dari kaca mata pelanggan. Taktik ini tidak digunakan di pasaraya-pasaraya tetapi di kedai-kedai tertentu seperi kedai jam tangan, kedai barangan elektrik dan sebagainya.
3. Harga Rujukan
Strategi ini biasa digunakan apabila jualan murah diadakan di mana penjual meletakkan harga sebelum dan selepas diskaun. Dengan cara ini, penjual memaklumkan pelanggan perbezaan antara harga lama dan harga baru. Pelanggan akan lebih teruja dengan cara ini. Selain itu, terdapat juga strategi harga bundle seperti 'RM50 for 3' atau 'RM124 for 2' yang biasa dibuat di kedai-kedai pakaian supaya ia kelihatan lebih murah.
Strategi Harga Rujukan |
4. Harga Cadangan dan Harga Sebenar
Sesetengah produk dipamerkan harga yang disyorkan oleh pengilang. Harga tersebut biasanya dicetak pada sesuatu produk seperti tin, kotak, buku atau sebagainya. Sesetengah peruncit meletakkan harga yang lebih murah daripada pengilang di mana harga ini dipamerkan bersebelahan dengan harga pengilang. Dengan cara ini, pengguna menyangka peruncit menjual lebih rendah dari harga yang sepatutnya. Kebiasaannya, Kedah Borong Mydin yang selalu menggunapakai strategi ini untuk memukau pengguna. Selain itu Kedai Buku Popular biasa menggunakan kaedah ini dengan meletakkan harga diskaun seperti ' Discount 10% for non-members and 25% for members' ataupun 'Usual RM16.00, Now: RM12.00'. Ini membuatkan kita berasa barang-barang tersebut lebih murah. Benar bukan?
5. Bentuk Nombor.
Nombor juga mempunyai kesan sentuhan tersendiri menurut ahli psikologi. Orang cina takut kepada nombor 4 kerana ia membawa nasib malang kepada mereka. Sebab itu, lif pejabat saya tiada tingkat 4 tetapi ditulis tingkat 3A. Bahkan kebanyakan lif-lif hotel di Kuala Lumpur yang dimiliki orang cina tiada tingkat 4 tetapi ditulis '3A'. Orang cina percaya kepada nombor 8 kerana ia adalah nombor kekayaan. Apa menarik lagi nombor 168 adalah bermaksud selalu kaya. Sekiranya anda ingin membida nombor plat kenderaan anda untuk nombor-nombor ini, nasihat saya ialah pastikan anda mempunyai duit yang banyak.
Berbalik kepada tadi, nombor 1, 4, atau 7 adalah nombor tajam dan bersifat kurang mesra. Nombor 8 adalah nombor mesra kerana ia melengkung dan tidak berbucu. Ia sebenarnya memberi kesan kepada pengguna secara tidak sedar. Harga RM888.00 kelihatan menarik daripada harga RM777.00. Sekiranya anda tidak percaya, cuba lihat harga limau cina sekotak di pasaraya sekarang. Ia akan tertulis 'RM36.88' sekotak.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment