Pada hari ini, banyak lambakan buku di pasaran yang membicarakan mengenai rahsia bisnes kaum masing-masing. Antara yang popular ialah 'Rahsia Bisnes Orang Cina' dan 'Rahsia Bisnes Mamak' dan sebagainya. Namun begitu, saya tidak pernah melihat buku 'Rahsia Bisnes Melayu'. Mungkin kerana orang melayu tidak sinonim dengan perniagaan dan lebih dikenali sebagai pekerja makan gaji. Namun begitu, ini tidak bermakna orang melayu tidak mempunyai bakat atau kemahiran dalam bidang perniagaan. Ilmu yang dimiliki oleh orang melayu untuk berniaga tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja kerana ia mempunyai nilainya tersendiri.
Semalam, saya baru sahaja pulang dari Taiping kerana urusan kerja dan berada selama 2 hari di sana. Saya sempat berjumpa dengan Pegawai atasan di sana untuk berbual-bual bersama-sama dengan teman yang lain. Perbualan utama kami ialah mengenai perniagaan ternakan ikan arowana yang semakin popular pada hari ini. Ikan ini diternak untuk tujuan komersial bagi perhiasan dan ia dijual sehingga RM20,000 seekor. Di Perak, penternakan ikan ini dijalankan di Bukit Merah, Perak.
Rakan saya menceritakan ada peniaga melayu yang berasal dari Kulim yang menjalankan penternakan ikan arowana di sini. Modal perniagaannya cukup besar iaitu sebanyak RM700,000 (Tujuh ratus ribu ringgit) untuk tujuan perniagaan ini hasil modal beliau dan ahli keluarganya. Dalam masa 1 tahun 4 bulan sahaja, beliau mendapat balik modal yang dilaburkan itu. Nasihat beliau apabila menjalankan perniagaan ialah:
i. Pandai menjaga mulut agar tidak celupar.
ii. Menunaikan zakat hasil wang yang diperolehi dari hasil perniagaan.
Tidak dinafikan bahawa apabila kita bercakap dengan orang, usahlah bercakap besar dan bongkak kerana ia akan 'balik' terhadap diri kita sendiri. Usahlah saya menceritakan dengan lebih lanjut kerana saya tahu anda mempunyai pengalaman sendiri.
Zakat juga penting untuk ditunaikan kerana ia merupakan salah satu Rukun Islam. Zakat itu sebenarnya menyuburkan harta kita. Ramai sebenarnya lupa bahawa rezeki yang diperolehi oleh mereka adalah dari Allah dan menganggap rezeki yang diperolehi itu adalah hasil usahanya sahaja. Mereka menganggap harta mereka berkurangan apabila zakat ditunaikan. Cuba anda perhatikan sekeliling anda. Cuba beritahu kepada saya, Siapakah peniaga yang jatuh bankrap kerana menunaikan Zakat? Sudah tentu tiada kerana Zakat itu menyuburkan harta dan Allah akan memberikan rezeki melalui jalan-jalan yang tidak disangka oleh orang yang menunaikan zakat.
Sekian sahaja dulu penulisan saya pada kali ini untuk dikongsikan bersama. Semoga ia dapat memberi manfaat kepada kita semua. Insya-Allah.
Sekian, terima kasih.
Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad.
No comments:
Post a Comment