Tuesday, December 13, 2011

Aktifkan Semua Akaun Bank Anda

Aktifkan semua akaun bank anda. Cuba anda semak semula, berapakah jumlah akaun bank anda? Mulai sekarang, aktifkan akaun anda dengan membuat caruman wang pendapatan anda setiap bulan. Cuba bayangkan anda membuat caruman RM50 sebulan selama 10 tahun:

RM50 x 12 bulan = RM600

RM600 x 10 tahun = RM6,000

Berapa jumlah wang anda sekiranya anda mempunyai 3 akaun dengan membuat simpanan secara disiplin di atas? Sudah tentu, wang anda akan mempunyai RM18,000. Begitulah kuasa menyimpan walaupun jumlah simpanan anda adalah kecil. Oleh itu, aktifkan semua akaun bank anda mulai hari ini.

Sekian, terima kasih.

Saturday, December 10, 2011

Rahsia Bisnes Melayu

Pada hari ini, banyak lambakan buku di pasaran yang membicarakan mengenai rahsia bisnes kaum masing-masing. Antara yang popular ialah 'Rahsia Bisnes Orang Cina' dan 'Rahsia Bisnes Mamak' dan sebagainya. Namun begitu, saya tidak pernah melihat buku 'Rahsia Bisnes Melayu'. Mungkin kerana orang melayu tidak sinonim dengan perniagaan dan lebih dikenali sebagai pekerja makan gaji. Namun begitu, ini tidak bermakna orang melayu tidak mempunyai bakat atau kemahiran dalam bidang perniagaan. Ilmu yang dimiliki oleh orang melayu untuk berniaga tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja kerana ia mempunyai nilainya tersendiri.

Semalam, saya baru sahaja pulang dari Taiping kerana urusan kerja dan berada selama 2 hari di sana. Saya sempat berjumpa dengan Pegawai atasan di sana untuk berbual-bual bersama-sama dengan teman yang lain. Perbualan utama kami ialah mengenai perniagaan ternakan ikan arowana yang semakin popular pada hari ini. Ikan ini diternak untuk tujuan komersial bagi perhiasan dan ia dijual sehingga RM20,000 seekor. Di Perak, penternakan ikan ini dijalankan di Bukit Merah, Perak.

Rakan saya menceritakan ada peniaga melayu yang berasal dari Kulim yang menjalankan penternakan ikan arowana di sini. Modal perniagaannya cukup besar iaitu sebanyak RM700,000 (Tujuh ratus ribu ringgit) untuk tujuan perniagaan ini hasil modal beliau dan ahli keluarganya. Dalam masa 1 tahun 4 bulan sahaja, beliau mendapat balik modal yang dilaburkan itu. Nasihat beliau apabila menjalankan perniagaan ialah:

i.  Pandai menjaga mulut agar tidak celupar.
ii. Menunaikan zakat hasil wang yang diperolehi dari hasil perniagaan

Tidak dinafikan bahawa apabila kita bercakap dengan orang, usahlah bercakap besar dan bongkak kerana ia akan 'balik' terhadap diri kita sendiri. Usahlah saya menceritakan dengan lebih lanjut kerana saya tahu anda mempunyai pengalaman sendiri. 

Zakat juga penting untuk ditunaikan kerana ia merupakan salah satu Rukun Islam. Zakat itu sebenarnya menyuburkan harta kita. Ramai sebenarnya lupa bahawa rezeki yang diperolehi oleh mereka adalah dari Allah dan menganggap rezeki yang diperolehi itu adalah hasil usahanya sahaja. Mereka menganggap harta mereka berkurangan apabila zakat ditunaikan. Cuba anda perhatikan sekeliling anda. Cuba beritahu kepada saya, Siapakah peniaga yang jatuh bankrap kerana menunaikan Zakat? Sudah tentu tiada kerana Zakat itu menyuburkan harta dan Allah akan memberikan rezeki melalui jalan-jalan yang tidak disangka oleh orang yang menunaikan zakat.

Sekian sahaja dulu penulisan saya pada kali ini untuk dikongsikan bersama. Semoga ia dapat memberi manfaat kepada kita semua. Insya-Allah.

 Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad.


Monday, December 5, 2011

Mengapa Berhutang?

Pada hari ini, adalah hampir mustahil untuk kita tidak mengambil hutang bagi memiliki sesuatu. Bermula mengambil pinjaman PTPTN sejak menjejaki kaki di menara gading sehinggalah ingin memiliki kereta dan rumah sendiri setelah memulakan kerjaya sendiri. Amat malang sekali sekiranya seseorang membuat pinjaman bagi perkara yang tidak memberi kebaikan kepadanya. 

Tidak dinafikan banyak produk-produk bank di luar sana yang ditawarkan kepada kakitangan kerajaan dan swasta. Pihak bank berlumba-lumba untuk memberi pinjaman kepada orang awam. Malang sekali, ramai di luar sana yang terperangkap dengan produk kewangan ini kerana tiada ilmu mengenai pengurusan kewangan. Anda perlu ingat bahawa kakitangan bank mempunyai kuota sendiri yang perlu dicapai iaitu jumlah pinjaman yang perlu diberikan kepada pelanggan. Bahkan ada bank yang menetapkan syarat sebanyak RM1 juta pinjaman yang perlu dikeluarkan kepada kakitangannya pada setiap bulan. Matlamat bank sebenarnya adalah adalah memaksimumkan keuntungan melalui pinjaman iaitu 'duit buat duit' atau bahasa mudahnya adalah riba'. Pinjaman ini yang akan membuatkan seseorang akan bermimpi di siang hari kerana merasakan diri ini 'kaya' pada tahun pertama mendapat pinjaman dan kemudian terpaksa pening kepala memikirkan hutang yang diambil pada tahun berikutnya. 

Kad Kredit merupakan barah kewangan utama dalam kehidupan kita.

Sekiranya anda seorang graduan atau baru memulakan kerjaya dengan kelulusan dari Sijil SPM sehinggalah peringkat PhD sekalipun, anda perlu berhati-hati dengan pihak bank yang membuat promosi produk kewangan mereka sama ada pinjaman peribadi atau pun kad kredit. Ini adalah kerana semasa anda memulakan kerjaya anda, slip gaji anda masih 'bersih' dari segala potongan pinjaman sama pinjaman peribadi, kereta rumah dan sebagainya. Pada  inilah anda menjadi 'sasaran' pihak bank untuk mengambil pinjaman mereka. Oleh itu, berhati-hatilah dengan perkara yang boleh merobek atau menodai kewangan anda. Kelak diri yang merana. 

Sekiranya ingin membuat pinjaman, tanyalah kepada diri sendiri sama ada pinjaman yang dibuat itu adalah baik ataupun tidak baik. Pinjaman yang baik adalah pinjaman yang memberi kemudahan kepada kita sekiranya kita berhutang contohnya untuk memenuhi keperluan pengangkutan dan tempat tinggal. Pinjaman yang tidak baik pula ialah pinjaman yang membankrapkan kita kerana meminjam untuk memenuhi nafsu kita yang berada di sekeliling kita. Oleh itu, berfikir-fikirlah sebelum berhutang dengan bank. Pihak bank akan memberi janji-janji manis sebelum anda mendapat pinjaman tetapi pihak bank tiada belas kasihan sekiranya anda tidak boleh membayar ansuran bulanan hutang anda. Sampai masa bayar atau boleh jumpa pihak bank di mahkamah sekiranya gagal membayar hutang. 

Pihak Bank sentiasa berlumba-lumba memberi pinjaman kepada orang awam.

Usahlah membuat pinjaman untuk membuat pelaburan. Ini adalah kerana cara begini adalah agak berisiko tinggi. Dengan cara begini, anda mempunyai tunai atau cash di tangan anda berpuluh-puluh ribu ringgit sama ada RM50,000, RM100,000 ataupun RM200,000 dalam masa sehari setelah pinjaman diluluskan. Saya bimbang sekiranya duit yang anda perolehi ini digunakan oleh anda untuk berfoya-foya dengan perkara lain. Mungkin hari ini anda mempunyai RM100,000 di dalam akaun ASB anda. Tetapi saya bimbang sekiranya akaun anda hanya tinggal RM100 sahaja pada tahun hadapan kerana membeli kereta idaman anda. Oleh itu, elakkan berhutang walaupun untuk membuat pelaburan. 

Oleh itu, kita perlu beringat-ingat sebelum membuat hutang. Kawal diri anda dalam membuat pengurusan kewangan anda.Tingkatkan ilmu kewangan dari semasa ke semasa kerana ia adalah penting untuk diri kita semua. Pengurusan kewangan juga memerlukan keseimbangan antara rohani dan jasmani. Ini adalah supaya wang yang kita perolehi itu sentiasa diberkati olehNya. Insya-Allah. 

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad.