Saturday, March 26, 2011

Pertanyaan ASN 2



Assalamualaikum w.b.t.,
.
Saya ingin bertanyakan mengenai Amanah Saham Nasional (ASN) . Bolehkah Tuan menerangkan pengiraan ASN dengan lebih lanjut?
.

Sulaiman (bukan nama sebenar).


Wsalam w.b.t.

Terima kasih di atas pertanyaan Tuan. Saya akan menjawab secara ringkas untuk memudahkan pemahaman Saudara. Keuntungan ASN adalah terbahagi kepada 2 iaitu keuntungan atas harga jualan dan dividen tahunan. Baiklah.

i. Keuntungan atas Jualan.
Contohnya, harga ASN pada hari ini ialah 0.8465 sen. Caj jualan ialah 5 sen, maka harga jualan seunit akan menjadi 0.8965 sen. (0.8465 sen+0.05 sen). Katakan saudara mempunyai RM10,000. Maka dengan RM10,000, saudara boleh membeli 11,154 unit saham (RM10,000 ÷ 0.8965 sen 1 unit). Sekiranya harga saham naik, contohnya dari 0.8465 sen kepada 0.90 sen, maka keuntungan seunit ialah 0.0535 sen (0.90 sen-0.8465 sen). Maka keuntungan yang saudara perolehi ketika menjual saham ketika itu ialah 11,154 unit x 0.0535 sen = RM596.77.

ii. Dividen Tahunan.
Dividen tahunan ialah pembahagian keuntungan saham seunit yang diumumkan oleh pihak kerajaan. Contohnya, kerajaan menetapkan agihan saham akhir tahun ialah 0.06 ( 6 sen ) seunit. Maka dividen tahunan saudara ialah 11,154 unit x 0.06 sen =RM669.24. Ini dikira berdasarkan jumlah wang simpanan saudara yang masih ada dalam akaun pelaburan saudara.

Daripada informasi di atas, dapat kita fahami bahawa keuntungan dividen ASN adalah terbahagi kepada 2 iaitu keuntungan atas jualan dan dividen tahunan. Semoga informasi di atas dapat menambahkan kefahaman saudara.

Sekian, terima kasih.

"Bersama mengangkat maruah ekonomi bangsa melalui ASNB"


Monday, March 21, 2011

Pertanyaan ASN


Assalamualaikum w.b.t.,
.
Saya ingin bertanyakan mengenai Amanah Saham Nasional (ASN) . Bagaimanakah pengiraan ASN dan apakah perbezaan dengan Amanah Saham Bumiputera (ASB)?
.
Fadil, Jerantut.
.
Wa'alaikumussalam w.b.t.,
.
Terima kasih di atas pertanyaan saudara. Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) merupakan amanah yang ditubuhkan untuk membantu kaum bumiputera di Malaysia. Namun begitu, ramai golongan bumiputera yang tidak mengambil peluang yang disediakan oleh kerajaan ini dan ini menyebabkan matlamat DEB untuk pemilikan ekuiti bumiputera dalam ekonomi sebanyak 30% tidak tercapai.
.
Perlu kita fahami ASB adalah pelaburan tiada risiko dengan dividen tetap tahunan adalah antara 7-9%. Contohnya, jika kita melabur berjumlah RM20,000, kita akan mendapat dividen tahunan sebanyak RM1,400 sekiranya dividen adalah 7%.

Berbanding pula dengan ASN di mana ia merupakan pelaburan berisiko sederhana dan ia dijual dalam unit saham. Biasanya, harga sahamnya adalah sekitar 0.866 sen dan anda boleh melayari http://www.asn.com.my/ untuk mengetahui harga semasa. Keuntungan dividen pelaburan ini diberi dalam unit saham. Sekiranya harga saham 0.866 sen, maka anda boleh mendapat saham sebanyak 23,094 unit saham dengan belian RM20,000 (20,000 / 0.866 ). Apabila keuntungan 1 unit saham adalah 6 sen, maka anda boleh mendapat RM1,385 (23,094 * 0.06 ).

Untuk melabur dalam ASN ini, anda perlu peka dengan keadaan ekonomi semasa. Apabila ekonomi merosot, harga saham ASN adalah jatuh. Contohnya, kenalan saya memberitahu harga saham ASN ini pernah jatuh kepada 0.50 sen pada tahun 2009. Apabila harga saham ini naik 30 sen 1 unit kepada 0.80 sen pada tahun 2010, maka anda boleh mendapat keuntungan sebanyak RM6,900 (23,094 * 0.30) dengan belian saham sebanyak RM20,000 tadi berbanding RM1,385. Hebat bukan?
.
Satu lagi perbezaan antara ASN dan ASB ialah tempoh matang untuk menerima dividen. Di dalam ASB, anda perlu melabur di dalam unit amanah ini sekurang-kurangnya setahun untuk mendapat dividen. Manakala ASN pula, anda boleh membeli sahamnya bila-bila masa sahaja sebelum akaunnya ditutup pada akhir tahun. Cohtohnya, akaun ASNB adalah ditutup pada akhir bulan Disember setiap tahun. Di sini, anda boleh membeli saham tersebut pada November iaitu sebulan sebelum akaun ASNB ditutup.
.
Begitulah cara perbezaan antara ASB dan ASN. Perbezaannya adalah dari segi pemberian utama dividen tahunan serta tempoh pelaburan kepada pelaburnya. Namun begitu, anda harus ingat pelaburan ASN adalah terdedah kepada risiko kerugian kerana harga sahamnya mengalami turun naik. Namun begitu, peratus untuk anda rugi adalah sangat kecil kerana setiap tahun, kerajaan sentiasa mengumumkan pemberian dividen tahunan kepada pencarumnya. Diharap agar maklumat ini dapat menambah informasi kita mengenai pendapatan pasif. Anda boleh layari http://www.asnb.com.my/ untuk mengetahui maklumat lebih lanjut.

Sekian, terima kasih.

"Bersama mengangkat maruah ekonomi bangsa melalui ASNB"


Sumber.
1.www.asnb.com.my















Sunday, March 20, 2011

Orang Melayu Malas?

Orang Melayu bangkit bersatu menentang Malayan Union pada tahun 1946


Sewaktu saya berada Tingkatan 5 di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) pada tahun 2002. Cikgu saya (melayu) menceritakan sewaktu dia mengajar di sekolah campuran sebelum itu (sebelum KISAS), terdapat seorang pelajar cina yang mengipas-ngipas kerusi yang sebelum itu diduduk oleh orang melayu kerana dia ingin duduk. Lalu cikgu saya bertanya mengapa kamu mengipas-ngipas kerusi tersebut. Lalu pelajar cina menjawab, "Orang melayu ada penyakit.". Cikgu tersebut bertanya penyakit apa. Pelajar cina itu menjawab, "Penyakit Malas." Alangkah hinanya penyakit malas ini.

Telahan cikgu tersebut seakan benar. Saya masih teringat pada tahun 2009 sewaktu saya pergi pejabat pos di Ipoh, Perak. Ketika itu, saya memerhatikan ada seorang lelaki melayu yang duduk bersebelahan dengan wanita cina bangun pergi ke kaunter apabila angka gilirannya tiba. Lalu wanita cina tersebut mengipas-ngipas tempat duduk melayu tadi. Benar cerita guru saya 7 tahun dahulu.

Benarkah orang melayu ini malas? Dr. Mahathir (Tun) dalam bukunya, Dilemma Melayu menyatakan bahawa faktor alam semula jadi mempengaruhi genetik manusia. Di Tanah Besar China suatu ketika dahulu gunung berapi, banjir besar, gempa bumi, ribut taufan serta lain-lain lagi bencana alam mempengaruhi kehidupan penduduk China ketika itu. Sekiranya penduduk malas, maka mereka tidak dapat meneruskan hidup mereka. Oleh itu, mereka terpaksa bersusah-payah untuk berhijrah ke negara-negara lain termasuk Tanah Melayu ketika itu demi mencari sesuap rezeki untuk meneruskan kehidupan mereka.

Sebaliknya, masyarakat melayu ketika itu hanya bersawah menanam padi sebagai sumber makanan mereka. Geografi Tanah Melayu adalah tidak terletak dalam Lingkaran Api Pasifik di mana Tanah Melayu adalah bebas daripada bencana alam seperti gunung berapi, gempa bumi, banjir besar dan sebagainya. Penduduk Melayu hanya menanam padi 2 kali setahun di mana 1 kali musim menuai, makanan adalah mencukupi untuk mereka hidup selama 6 bulan. Di sini, orang yang malas berusaha boleh hidup dan beranak-pinak. Keadaan ini terus berlaku sehingga orang Cina dari Tanah Besar China berhijrah ke Tanah Melayu.


Buku Dilema Melayu tulisan Dr. mahathir (Tun) tahun 1969


Orang-orang cina yang berhijrah ini adalah amat agresif sehinggakan memonopoli ekonomi Tanah Melayu yang sebelum ini dikuasai oleh orang melayu. Oleh itu, menurut Dr. Mahathir (Tun), undang-undang khas perlu dibuat untuk melindungi orang melayu yang dipanggil 'Hak Istimewa' dalam perlembagaan bagi melindungi orang melayu. Jika tidak, orang melayu pasti jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang jika 'Hak Istimewa' tidak diwujudkan. Adalah mustahil untuk tunggu 100 tahun lagi supaya orang melayu setaraf dengan orang cina untuk bersaing dalam pelbagai bidang.

Apakah orang melayu ini malas? Saya tidak ingin memberi komen melainkan cerita saya di atas dan pandangan Dr. Mahathir (Tun). Menurut Tun Dr. Ismail Abdul Rahman (Timb. Perdana Menteri kepada PM Tun Abd. Razak), menyatakan bahawa suatu penghinaan kepada orang melayu jika 'Hak Istimewa' untuk orang melayu ini digunakan sampai bila-bila dan tidak dimansuhkan. Sewaktu saya mengikuti kursus di Universiti Sains Malaysia (USM) tahun 2004, seorang fasilitator menyatakan bahawa orang melayu sekarang tidak mempunyai apa-apa melainkan 'Hak Istimewa Orang Melayu' untuk terus hidup di tanah air tercinta ini.

Oleh itu, orang melayu mempunyai disiplin untuk berusaha kuat bagi mengecapi kejayaan dalam pelbagai bidang yang diceburi. Usahlah mengharap 'Hak Istimewa' ini untuk kita terus tidur lena di siang hari pada hari ini. Orang cina juga sama seperti orang melayu iaitu mempunyai 2 tangan dan 2 kaki. Yang membezakan kita semua ialah daya usaha kita sendiri untuk mencapai kejayaan.

"Mengapa anda tidak boleh buat? Mengapa anda tidak boleh jadi? Cuma anda kerana seorang melayu?" Tun Daim Zainuddin

Sekian, terima kasih.

Sumber.
1. Dilema Melayu, Mahathir Bin Mohammad.

Monday, March 14, 2011

Snippets: Skim Rumah Pertamaku


Rumah Ku, Syurga Ku...

Kerajaan telah memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku untuk golongan muda yang berpendapatan kurang RM3000 sebulan yang ingin memiliki rumah yang berharga kurang RM220,000. Melalui skim ini, golongan muda yang ingin membeli rumah tersebut tidak perlu mengeluarkan wang pendahuluan sebanyak 10% bagi membeli rumah tersebut dan mereka akan mendapat pinjaman 100%. Ini adalah kerana harga rumah sekarang sudah mencecah berlipat kali ganda berbanding tahun 1990-an. Kajian Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (Rehda) melaporkan harga rumah teres di Kuala Lumpur sehingga suku ketiga akhir tahun lalu secara puratanya adalah bernilai RM430,000 dan ia dijangka meningkat secara puratanya sebanyak 13% untuk tahun ini. Manakala di pinggir Kuala Lumpur, harga rumah teres adalah bernilai RM300,000 dan pangsapuri pula adalah bernilai RM200,000. Hal ini sudah tentu membebankan golongan muda untuk mendpatkan bayaran wang pendahuluan sebanyak 10% iaitu antara RM20,000 - RM30,000. Semoga berita ini menyampaikan khabar gembira kepada golongan muda semua. Walaubagaimanapun, kita perlu mempertimbangkan sebelum mengambil skim ini sama ada tempoh bayarannya dan juga caj dikenakan setiap tahun.

Sekian, terima kasih.

Sumber: Mingguan Malaysia, Ahad, 13 Mac 2011.

Wednesday, March 9, 2011

Mengapa RM50 sekarang seperti RM20 dahulu?

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Semoga Tuan dan Puan sentiasa berada dalam keadaan sihat walaifiat dan sentiasa dikurniakan dengan keberkatan rezeki sentiasa bagi meneruskan kehidupan untuk masa akan datang. Terima kasih kepada Tuan dan Puan yang sentiasa mengunjungi blog ini. Tidak kurang juga ada yang memberi sokongan kepada saya supaya terus memasukkan artikel mengenai ilmu kewangan untuk manfaat kepada semua orang.

Baiklah, pada kali ini saya ingin mengulas 'Mengapa RM50 sekarang seperti RM20 dahulu?'. Saya pernah terbaca satu artikel yang mengulas mengenai pendapat bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang menyatakan RM50 sekarang sama seperti RM20 dahulu. Sekiranya dahulu, dengan sekeping not RM50 kita boleh membeli-belah di pasar raya. Namun demikian, kita tidak boleh membeli pelbagai barang sekiranya hanya mempunyai RM50 jika kita memasuki pasar raya pada hari ini. Memang tidak dinafikan inflasi telah menghakis nilai matawang yang kita gunakan pada hari ini. Harga barang akan terus naik dan naik pada masa akan datang. Persoalannya mengapa? Adakah anda tahu sebab musabab perkara ini terjadi?

Wang kertas atau dikenali sebagai fiat money dalam bahasa Inggeris. Perkataan fiat adalah berasal daripada perkataan latin yang bermakna 'let it be done' yang bermaksud duit pada hari ini boleh sesuka hati dicetak oleh kerajaan bagi sesebuah negara tanpa bersandar rizab komoditi sama ada emas ataupun perak.

Sebelum kita pergi lebih lanjut, adalah lebih baik sekiranya kita mengetahui fungsi wang ini. Fungsi wang adalah seperti berikut:

i. Medium of exchange iaitu sebagai perantara. Dalam konteks ini, wang digunakan sebagai perantara untuk membeli sesuatu barang. Ia menggantikan sistem barter yang sukar untuk dilaksanakan.

ii. Store of value iaitu sebagai pemegang nilai. Contohnya, wang kertas perlu memegang nilai sebuah buku dengan harga yang kekal iaitu RM30 untuk masa sekarang dan untuk masa akan datang. Namun begitu, fungsi wang pada hari ini adalah tidak layak untuk memegang nilai RM30 buku tersebut untuk masa akan datang dan mungkin harga buku tersebut berharga RM40 untuk 10 tahun akan datang (akan diulas kemudian).

iii. Unit of Account iaitu sebagai alat untuk menentukan dan mengetahui nilai sesuatu barangan. Contohnya, sekiranya seorang pembeli ingin membeli gula di sebuah kedai sudah tentu kita perlu menilai kuantiti gula yang ingin dibeli contohnnya RM1.50 untuk 1 kg gula.


Memorial Persidangan Bretton Woods

Sejarah penciptaan wang kertas adalah bermula pada 1944 di mana persidangan Bretton Woods telah diadakan bagi membincangkan bagi membangunkan semula ekonomi dunia yang meleset selepas Perang Dunia Kedua. Dalam persidangan ini, negara-negara yang menganggotai persidangan ini telah menetapkan agar nilai United States Dollar (USD) perlu bersandar kepada 1/35 troy ounce atau 888.671 miligram emas. Manakala negara-negara lain perlu diikat kepada nilai USD ini. Melalui persidangan ini,setiap wang USD yang dicetak perlu bersandar kepada nilai emas sebagai ganti kepada mata wang emas kerana ia lebih mudah untuk digunakan.

Dalam pada itu, negara-negara lain boleh menebus emas di Amerika Syarikat apabila mereka ingin memiliki emas tetapi tidak kepada rakyatnya. Malangnya, Kerajaan Amerika Syarikat telah mencetak lebih wang daripada jumlah fizikal emas sedia ada. Kerajaan Perancis mula menuntut emas dengan sejumlah besar wang USD dengan keadaan Kerajaan US mempunyai jumlah emas yang sedikit. Sekiranya negara-negara mengambil tindakan serupa, Amerika Syarikat akan dipenuhi dengan lambakan wang kertas tanpa ada nilai emas lagi. Akhirnya, perjanjian tersebut telah dibatalkan pada 1971. Bermula 1971, wang kertas yang dicetak tidak bersandar kepada nilai komiditi semasa lagi sama ada emas ataupun perak lagi. Ia terus dicetak dan cetak tanpa kawalan lagi. Benar yang dikatakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad bahawa nilai wang USD sekarang sudah tiada dan nilainya sama dengan tisu tandas. Sekiranya dunia tidak memperakukan nilai USD, maka jatuhlah ekonomi Amerika Syarikat pada bila-bila masa sahaja dan Ringgit Malaysia (RM) turut menerima penangannya kerana bersandar kepada nilai USD.

Daripada rentetan sejarah ini, kita boleh fahami apa yang berlaku di Amerika Syarikat suatu ketika dahulu sedang berlaku di negara kita sekarang. Kerajaan sekarang mencetak matawang tanpa bersandar kepada nilai emas dan ia berasaskan kepada keyakinan dan kepercayaan terhadap nilainya sahaja. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya harga barang terus naik kerana wang dicetak tanpa kawalan. Cuba anda perhatikan wang kertas di dalam dompet anda. Terdapat tertera ayat 'Wang kertas ini sah diperakukan dengan nilai' pada wang kertas anda. Benar bukan?


Tun Dr. Mahathir

Baiklah, saya bagi contoh analogi mudah. Contohnya, setiap RM100 perlu bersandar kepada 1 gram emas. Apa akan terjadi sekiranya RM100 sebanyak 3 keping dicetak dan jumlah emas semasa hanya 1 gram sahaja di bank. 3 keping wang RM100 dimiliki oleh oleh 3 orang iaitu A, B dan C. Sekiranya, Si A ingin menebus emas di bank, ia boleh mendapat untuk dirinya. Bagaimana sekiranya Si B dan Si C ingin menebusnya juga? Sudah tentu mereka berdua tidak dapat memiliki 1 gram emas tersebut. Tetapi dalam masa yang sama, Si B dan C boleh mendapat membeli barang di luar yang bernilai RM100. Kita boleh nampak di sini bahawa wang yang dimiliki oleh Si B dan C sebenarnya sudah tidak mempunyai nilai dan nilainya hanya diperakukan oleh Kerajaan.

Satu lagi rentetan analogi di atas ialah harga sesuatu barang contohnya handphone yang bernilai RM100. Sekiranya wang dicetak bersandar nilai emas, sudah tentu Si A sahaja yang mampu memilikinya dan harga handphone tersebut kekal bersamaan RM100 atau 1 gram emas. Sekarang, Si B dan C juga ingin memiliki handphone tersebut walhal duit mereka berdua sudah tidak bernilai kepada emas. Ini menyebabkan penawaran (barang) adalah rendah dan permintaan adalah tinggi. Ini menyebabkan harga handphone tersebut naik daripada RM100 kepada RM120 (contoh). Apa akan berlaku sekiranya, duit terus dicetak? Sudah tentu harga handphone tersebut akan terus naik mungkin kepada RM300 kerana permintaan makin bertambah dan penawaran adalah sedikit. Ini yang dinamakan inflasi dan keadaan ini terus berlaku sekiranya tiada langkah diambil bagi menambat semula nilai matawang yang perlu bersandar kepada emas.


Lambakan wang kertas di negara ini...

Selain daripada itu, kaedah yang digunakan oleh bank-bank di Malaysia iaitu 'duit buat duit' juga menyumbang kepada kadar inflasi di negara ini. Ia adalah bermula daripada Bank Negara yang memberi pinjaman kepada bank-bank tempatan dengan kadar faedah tertentu. Kemudian, bank-bank tempatan ini memberi pinjaman kepada orang ramai dengan kadar faedah tertentu untuk mengaut keuntungan. Contohnya, En. Ali berhajat ingin mendapatkan pinjaman sebanyak RM1000 daripada Bank ABC. Kemudian, Bank ABC terus mencetak wang sebanyak RM1000 untuk diberikan pinjaman kepada En. Ali dengan kadar faedah RM100. Bagaimana En. Ali ingin mendapatkan lagi RM100 lagi? Sudah tentu dia pergi pula Bank EFG untuk mendapatkan pinjaman RM100 dengan kadar faedah RM10 untuk membayar pinjaman Bank ABC tadi. Inilah senario yang berlaku di negara sekarang iaitu kesan 'duit buat duit' dengan lambakan matawang berada dalam negara ini yang atau dipanggil money multiplier. Itu sebab Islam mengharamkan riba kerana ia mematikan kegiatan ekonomi di dalam sesebuah negara. Cetakan wang kertas itu dibenarkan selagi mana ia mengikut disiplin emas dan perak. Apabila ia dicetak tanpa disiplin tersebut dan melebihi pertumbuhan sebenar ekonomi negara, maka inflasi akan berlaku.

Oleh itu, dapat kita fahami sebab-sebab yang menyebabkan nilai matawang kita semakin terhakis saban hari. Penyelesaian terbaik bagi permasalah ini adalah penggunaan dinar emas kerana nilai emas adalah tetap dan tidak berubah. Memang sekarang dunia sekarang hangat membincangkan mengenai isu penggunaan dinar emas bagi menyelesaikan masalah ekonomi semasa pada hari ini. Semoga artikel ini dapat memberi informasi yang berguna kepada anda.

Sekian, terima kasih.

Sumber:
1. Riba dan Isu Kewangan Semasa, Zaharuddin Abd. Rahman, 2010.

Monday, March 7, 2011

Snippets: RM888 billion Hilang



Global Financial Integrity (GFI) melaporkan bahawa Malaysia mengalami arus kewangan keluar sebanyak RM888 billion atau USD 291 billion kerana salah urus tadbir dan rasuah antara tahun 2000 dan 2008. Ini menyebabkan barang-barang keperluan di Malaysia sentiasa naik. Dalam pada itu, Timb. Menteri Perdagangan dan Antarabangsa menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia tidak akan melayan tuntutan pegawai GFI supaya menyiasat perkara tersebut.

Maklumat ini walaupun ringkas tetapi memberi pengertian yang bermakna kepada kita semua sebagai warga negara Malaysia mengapa harga barang di tanah air tercinta ini sentiasa naik dari semasa ke semasa. Adakah kita ingin keadaan berubah atau kita sendiri mengubah nasib hidup kita dari semasa ke semasa untuk menambah dan mengurus kewangan kita dengan lebih baik? Tepuk dada tanya selera.

Sekian, terima kasih.

Sumber:
1.http://www.malaysia-today.net/mtcolumns/from-around-the-blogs/37711-mukhriz-bizarre-dismissal-of-gfi-report-malaysia-lost-rm888-billion-in-9-years-in-illicit-capital-outflows