Sunday, January 30, 2011

Hindarkan Penggunaan Kad Kredit

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

1. Semoga Tuan dan Puan sentiasa berada keadaan sihat walaifiat selalu dan sentiasa dikurniakan dengan keberkatan rezeki dengan melimpah ruah setiap masa. Saya ingin memetik laporan Utusan Malaysia pada 19 Januari 2011 bertajuk 'Maybank Sasar 500,000 Pemegang Kad Kredit'. Dalam kenyataan laporan ini, Maybank mensasarkan penambahan setengah juta pemegang kad kredit untuk tahun 2011 dengan pelancaran produk terbaru iaitu Maybankard 2 Cards. Maybank 2 Cards adalah tawaran bagi pemilikan dua kad kredit, American Express dan Mastercard dengan had kad emas ialah RM30,000 dan kad platinum pula ialah RM60,000.


2. Daripada kenyataan laporan akhbar Utusan Malaysia ini, kita boleh melihat pihak bank sekarang ini melancarkan kempen secara agresif kepada penduduk Malaysia ini supaya menggunakan produk keluaran kad kredit mereka dengan pelbagai faedah dan keistimewaan seperti rebat hotel, pelancongan, mata ganjaran dan sebagainya untuk mengaburi orang ramai supaya menggunakan kad kredit mereka. Oleh itu, janganlah kita mudah termakan pujuk rayu pihak bank ini. Biarkan pihak bank membuat promosi sahaja dan kita hanya melihat sahaja. Jika boleh jangan melihat promosi yang dibuat. Bimbang jika jiwa tergoda.

3. Pada hakikatnya, kita yang sudah terkongkong akan mendongkol jika terus mendaftar menjadi pelanggan setia mereka untuk menggunakan perkhidmatan kad kredit mereka dengan membayar ansuran pada setiap bulan. Sebenarnya, kad kredit membawa pulangan keuntungan yang paling besar kepada bank setiap tahun berbanding dengan pinjaman-pinjaman lain. Ini kerana caj yang dikenakan ke atas baki kini kad kredit setiap bulan dengan kadar 1.5% sebulan atau 18% setahun merupakan keuntungan yang diraih oleh bank. Berbanding dengan pinjaman lain seperti pinjaman peribadi, ia dikenakan kadar faedah yang tetap pada setiap tahun dengan tempoh pembiayaan tertentu. Wang pendapatan anda yang diterima setiap bulan akan dihadiahkan kepada pihak bank untuk membayar caj selagi mana hutang kad kredit masih belum habis. Itu baru 1 kad kredit. Bagaimana pula dengan 4 atau 5 kad kredit? Alangkah malangnya...


4. Bagaimana sekiranya anda sudah terperangkap dengan hutang kad kredit? Pertamanya, anda perlulah menganalisa hutang kad kredit anda terlebih dahulu. Kenalpasti hutang kad kredit yang manakah paling rendah. Ini supaya 'jiwa' anda lebih bersemangat untuk membebaskan dari kemelut hutang apabila hutang kad kredit pertama sudah habis dibayar. Cara yang lain ialah membuat 'balance transfer' iaitu pemindahan baki hutang ke bank lain dan jumlah keseluruhan kad kredit anda menjadi satu dan kad kredit lama anda ditutup. Ia menawarkan kadar faedah tertentu yang lebih rendah dengan tempoh tertentu. Cara yang lain melalui pinjaman peribadi kerana kadar faedahnya adalah rendah sekiranya anda ingin menutup semua lubang-lubang kad kredit anda. Jika anda anak emak, anda boleh meminjam wang daripada keluarga anda untuk melangsaikan semua hutang-hutang anda kerana anda langsung tidak dikenakan sebarang kadar faedah. Benar bukan?

5. Seterusnya, wajarkah kita menggunakan kad kredit jika masih tidak menggunakannya? Anda bertuah sekiranya anda masih belum menggunakan kad kredit termasuk diri saya sendiri. Saya melihat ramai di luar sana pada awalnya bercadang untuk menggunakan kad kredit untuk tujuan keperluan asas seperti mengisi minyak kereta sahaja. Kemudian, kad kredit digunakan untuk membeli-belah di pasar raya serta membeli itu dan ini. Niat asal untuk digunakan keperluan asas sahaja sudah tersasar sehinggakan menggunakan kad kredit sehingga melebihi had. Nasi sudah menjadi bubur. Kemudian menyesal mengenang nasib dan langkah seterusnya ialah mengambil pinjaman peribadi untuk menutup lubang-lubang hutang kad kredit. Itulah kebiasaan yang dapat dilihat.

6. Bila hutang kad kredit akan habis sekiranya anda asyik terus menggunakannya dari semasa ke semasa? Oleh itu, kita perlu bijak mengawal penggunaan kad kredit dan berusaha membebaskan diri kita dari belengu hutang-piutang. Apa salahnya sekiranya menyimpan duit terlebih dahulu sebelum membeli sesuatu barangan yang mahal. Jangan penuhi keperluan dan kemahuan anda dengan kad kredit. Kelak jiwa yang merana. Katakan tidak kepada kad kredit. Wallahua'lam.

Sekian, terima kasih.

Saturday, January 29, 2011

Kedai Mamak dan Kedai Melayu

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

1. Pada kali ini, tulisan saya akan berkisar mengenai 'Kedai Mamak dan Kedai Melayu'. Saya mendapat idea ini sewaktu makan tengahari bersama kenalan-kenalan pejabat saya di kedai makan berhampiran pejabat. Beliau menyatakan bahawa jika mengikut disiplin kedai makan, pekerjanya tidak boleh memakai rantai dan juga baju t-shirt yang tidak berkolar sewaktu melayan pelanggan. Inilah masalah kedai makan melayu yang tidak menjaga etika ini.

2. Sesetengah orang yang sangat menjaga hatinya tidak akan makan di kedai makan sekiranya tukang masak tidak bertudung. Jika kita fikir, sekiranya hukum Allah tidak dijaga bagaimana pula mereka ingin menjaga kebersihan kedai mereka.

3. Berbalik kepada topik tadi, jika kita lihat terdapat perbezaan antara kedai mamak dan kedai melayu. Pertama sekali, pekerja atau pelayan kedai mamak pandai menghormati dan bersabar dengan pelanggan walaupun mereka dimarahi. Walaupun sesetengahnya diejek tidak fasih berbahasa melayu, mereka tetap bersabar melayan kerenah pelanggan mereka. Saya pernah mendengar cerita sewaktu berada di Kuantan suatu ketika dahulu, ada seorang bekas tentera yang menjirus air teo panas ke atas kepala pelayan kedai mamak kerana silap membawa pesanan yang dikehendaki!

4. Satu lagi sikap pelayan kedai makan ialah mereka tidak berat mulut dalam melayan pelanggan. Perhatikan dialog antara kedai mamak dan kedai melayu seperti berikut:



Kedai Mamak:

Pelayan: Makan apa encik?
Pelanggan: Saya mahu makan roti. Roti apa ada?
Pelayan: Roti canai, roti telur, roti tisu, roti nan, roti bom, roti bawang, roti planta....

Kedai Melayu

Pelayan: Encik mahu makan apa?
Pelanggan: Makanan apa ada?
Pelayan: Seperti biasa, goreng-goreng semua ada.

Ataupun

Pelayan: Encik mahu makan apa?
Pelanggan: Makanan apa ada?
Pelayan: Menu dekat di dinding tu. Boleh tengok.

Ini masalah kedai melayu di mana mereka berat mulut untuk melayan pelanggan. Sesetengahnya hanya bertanya pelanggan hendak minum apa dan tidak bertanya nak makan sekiranya pelanggan datang semasa datang waktu petang ataupun lewat malam kerana beranggapan pelanggan hendak minum sahaja. Buang masa bukan isunya di sini. Ini adalah masalah komunikasi dalam melayan pelanggan. Ini akan mengurangkan kualiti servis kepada pelanggan sekiranya kurang pandai berkomunikasi.



5. Pelayan-pelayan kedai mamak juga bekerja dengan pantas. Mereka akan terus ke meja pelanggan apabila pelanggan baru tiba. Mereka akan memastikan makanan yang dipesan akan sampai seberapa cepat yang boleh. Mereka akan dimarahi sekiranya mereka lambat atau silap membawa pesanan. Berbanding kedai melayu, pelayan-pelayannya akan duduk sekelompok di sudut kedai sambil berbual-bual sehinggakan mereka tidak sedar pelanggan sudah pun telah duduk di meja makan.

6. Di sini, kita dapati masih terdapat kelemahan dalam perniagaan orang melayu. Itu belum dikira perniagaan lain seperti kereta, car wash dan sebagainya. Kualiti orang melayu dalam perniagaan perlulah dipertingkatkan dari semasa ke semasa supaya perniagaan orang melayu dapat dimartabatkan. InsyaAllah.

Sekian, terima kasih.

Sumber:
9 Naga Pemasaran, Nassrul Hakim Md Jani.

Friday, January 28, 2011

Dilema Seorang Pekerja

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

1. Terdapat 2 sumber bagi kita sumber untuk mencari rezeki di muka bumi Allah s.w.t. sama ada bekerja sendiri ataupun bekerja makan gaji. Jika bekerja sendiri, makin kuat kita bekerja maka makin banyak hasil yang kita akan dapat melalui perniagaan. Sebaliknya, jika bekerja makan gaji atau dinamakan bekerja, sekuat mana pun kita bekerja gaji kita tetap sama yang diterima setiap bulan.


2. Itulah nama pekerja, masuk pejabat pukul 8.00 pagi dan pulang pukul 5.00 petang dari Isnin sampai Khamis. Hujung bulan terima gaji. Kais bulan makan bulan. Kalau tidak bekerja, tiadalah sumber rezeki untuk terus hidup. Alhamdullilah, sekiranya kita masih boleh membuat kerja lain secara part time sama ada berniaga ataupun belajar di luar waktu pejabat. Itu tandanya kita berusaha untuk tingkatkan taraf hidup kita dari semasa ke semasa di samping mencari rezeki yang halal dan diberkati.

3. Malangnya, kadang-kadang kita akan terbiasa mendengar ayat-ayat yang kurang sedap didengar sewaktu bekerja di pejabat. Ayat-ayat sumbang berikut akan kita biasa dengar di pejabat. Antaranya ialah:

i. "Dah pukul 5 petang, dah sampai masa untuk balik, sebab gaji kita dibayar sampai pukul 5 sahaja..."

" Kerja teruk giler sampai ke malam..macam gaji RM12,000 sebulan padahal gaji bulan ciput aje.."

" Tak payahlah kerja rajin-rajin sangat, gaji tetap sama juga dengan orang tak buat kerja.."

4. Wajarkah kira menilai gaji kita yang diterima setiap bulan dengan kerja kita? USAHLAH kita mengatakan wang gaji kita yang diterima setiap bulan adalah sedikit jika kita ini telah bekerja kuat. Ini kerana mungkin Allah s.w.t. menganugerahkan kita dengan rezeki yang tidak nampak dengan mata kasar kita bahkan lebih bernilai daripada wang gaji yang diterima setiap bulan. Antaranya ialah kesihatan yang baik, rumah tangga yang bahagia, anak yang baik, dan sebagainya. Itulah yang dinamakan keberkatan rezeki. Apa yang penting dalam kerja kita ialah keberkatan rezeki.

5. Saya pernah berjumpa dengan seorang hamba Allah yang berkerja sebagai guru dengan gred 48 dan isterinya tidak bekerja. Manakala rakannya pula pegawai kerajaan gred 54 dan isterinya pula gred 48. Tetapi dia lebih bahagia berbanding dengan rakannya kerana beliau sudah mempunyai rumah sendiri dan memakai kereta Mercedes. Berbanding rakannya yang hanya memakai kereta Wira dan masih menyewa di taman perumahan. Itulah keberkatan rezeki yang perlu kita cari dan bukannya wang berjuta yang hendak dicari. Wallahua'lam.

Sekian, terima kasih.


Tuesday, January 25, 2011

Masa Sesuai Membeli Belah di Pasar Raya


Assalamualaikum wb.t. dan Salam Sejahtera,


Suatu ketika dahulu, saya pernah pergi membeli-belah di pasar raya The Store di Sungai Buloh ketika sale sedang dibuat. Sewaktu saya berjalan-jalan di bahagian pakaian, sale yang dibuat ialah diskaun 50%. Saya sengaja menyapa promoter di situ," Ini mesti harga sebenar dia kan?" Lantas dia menjawab ," Ya, kalau nak lebih murah lagi abang datang minggu kedua bulan hadapan kerana diskaun masa tersebut adalah 70%. Ini kerana orang sekarang tengah dapat gaji pada hujung bulan. Jualan lebih murah akan dibuat semasa orang tidak terima gaji lagi. Saya baru mendapat tahu perkara ini pada masa tersebut. Oleh itu, anda boleh membuat perancangan untuk membeli belah di pasar raya pada masa hadapan dengan pengalaman saya ini. InsyaAllah.

Sekian, terima kasih.

Corat-coret: KWSP

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Penulis berasa duit gaji yang diterima pada 22 Jan ( gaji syarikat penulis adalah lebih awal dari kerajaan) adalah lebih sedikit berbanding sebelumnya. Apabila diselidiki rupa-rupanya caruman kwsp adalah naik dari 8% kepada 11% iaitu sebanyak 3% untuk tahun 2011. Semoga pertambahan caruman ini dapat meningkatkan jumlah simpanan untuk hari persaraan nanti. InsyaAllah.

Sekian, terima kasih.

Monday, January 24, 2011

Hutang oh Hutang...

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

1. Tan Sri Halim Saad, bekas Pengerusi Renong suatu ketika dahulu perlu meminta bantuan daripada Perdana Menteri untuk mengelak daripada gangguan bank-bank semasa krisis ekonomi melanda Asia pada tahun 1997/98. Hutang beliau ketika itu amat tinggi iaitu RM60 billion iaitu sama dengan rezab Bank Negara ketika itu. Beliau memerlukan belanja yang besar untuk pelbagai komitmen setiap bulan. ( S. Jayasankaran)

2. Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda sentiasa menghadapi gangguan daripada bank-bank yang sentiasa menuntut hutang atau ansuran anda setiap bulan kerana anda masih tidak membayarnya atau memang tidak akan membayarnya? Adakah bank menelefon anda di pejabat kerana anda tidak mengangkatnya semasa menghubungi telefon bimbit anda? Bolehkah anda meminta bantuan 'orang kuat' supaya menasihati pihak bank supaya jangan menganggu anda? Syabas jika anda boleh berbuat demikian.

3. Itulah hutang atau ansuran yang perlu kita bayar setiap bulan. Persoalannya, mengapa kita berhutang? Adakah hanya ingin memenuhi tuntutan nafsu kita? Ingin membeli aksesori kereta ataupun perhiasan untuk rumah? Amat merugikan sekiranya ada antara kita yang tergolong dalam golongan sedemikian.

4. Memang tidak dinafikan bahawa hutang adalah penting untuk memenuhi keperluan asas kita kereta, rumah dan pendidikan sama ada melalui pinjaman peribadi dan sebagainya. Namun begitu, apakah yang perlu kita pertimbangkan sebelum kita mengambil hutang? Sudah tentu jumlah bersih pendapatan kita setelah semua hutang ditolak daripada pendapatan kita setelah pinjaman diambil serta tempoh yang diambil bagi menghadapi 'musim gerhana' membayar hutang ini.

5. Saya tidak faham mengapa sesetengah orang sanggup membuat 'maksimum loan' dalam membuat pinjaman. Setelah pinjaman diambil dan potongan dibuat, mereka menggunakan kad kredit sebagai talian hayat mereka untuk membeli keperluan asas. Akibatnya, mereka terus menanggung hutang sampai bila-bila. Itulah punca mengapa hutang tidak pernah habis dibayar.

6. Begitu juga dengan kereta. Kereta belum habis dibayar lagi, tetapi terus membeli kereta baru dengan membuat 'refinance' dengan pihak bank. Alangkah malangnya... pihak bank tersenyum riang kerana anda membuat pinjaman dengan mereka. Anda pula terpaksa bekerja keras bagi membayar hutang mereka. Malang bagi anda kerana masih membayar hutang semata-mata untuk memiliki kereta baru. Itu juga punca mengapa hutang belum habis dibayar.



7. Oleh itu, mulai hari ini jangan membuat hutang lagi. Pendapatan akan naik dari tahun ke tahun sama ada 10-20% setahun tetapi kekalkan gaya hidup lama anda. Gunakan lebihan atau surplus pendapatan anda ini untuk membayar hutang-hutang anda sekiranya anda sudah sesak nafas sekarang. Nasi sudah menjadi bubur. Tetapi bubur masih boleh dimakan walaupun ia bubur lambuk. Janganlah kita berputus asa daripada rahmat Allah. Wallahua'lam.

Sekian, terima kasih.

Saturday, January 22, 2011

Corat-coret: Broadband

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,




Pada hari ini saya telah menukar pelan broadband Celcom saya dari RM48 (1G) kepada RM68 (3G). Pada mulanya saya tertarik dengan syarikat Celcom ini yang mengenakan pakej RM48 sebulan dengan pembayaran 3 bulan pertama adalah RM38 semasa menyambut Hari Raya pada tahun lepas (2010). Akan tetapi ia terlalu perlahan sehinggakan terpaksa menukar pelan lain setelah 4 bulan menggunakannya. Saya fikir ini taktik halus Celcom bagi menarik pelanggan menggunakan perkhidmatan mereka termasuk syarikat-syarikat lain seperti Maxis, Digi dan sebagainya. Mereka tahu pelanggan mereka akan menukar ke pelan lain suatu ketika nanti. Sungguh halus taktik syarikat komunikasi ini.

Sekian, terima kasih.

Kita Tidak Perlu Malu untuk Berniaga

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

1. Pada kali ini, saya akan membincangkan perihal mengenai masalah malu untuk berniaga. Sememangnya dalam menjalankan perniagaan seseorang perlu 'muka tebal' dan 'ayat manis' apabila menjual sesuatu barang. 2 perkara ini jarang ada pada orang melayu yang menyebabkan mereka gagal berjaya dalam perniagaan walaupun barangan mereka adalah berkualiti.

2. 'Muka tebal' pula ialah kita tidak perlu malu untuk menjual barangan kita. Tidak kira di mana kita menjual sama ada di kaki lima, pasar malam, kedai makan dan lain-lain lagi. Malu menjual menyebabkan banyak perniagaan itu gagal. 'Ayat manis' pula menuntut kita supaya pandai berkomunikasi dengan baik dengan pelanggan. Sememangnya dalam perhubungan awam, seseorang perlu mempunyai gaya komunikasi yang baik untuk menarik perhatian pelanggan dan bukannya menipu pelanggan!

3. FAMA telah ditubuhkan bagi memasarkan hasil pertanian yang diusahakan oleh orang-orang melayu kerana orang melayu tidak boleh memasarkan hasil pertanian mereka sendiri. Orang melayu hanya mengeluarkan hasil barangan pertanian dan tidak terlibat dalam penjualan barangan mereka sendiri secara langsung.

4. Sewaktu saya mengikuti kursus organisasi saya, penceramah menceritakan sebahagian pasar raya besar yang dimiliki kaum cina di Malaysia diberi tanggungjawab bagi memasarkan produk-produk yang diusahakan oleh orang melayu. Akan tetapi, mereka menggunakan 'taktik halus' dalam memasarkan barangan ini.

5. Bagaimana caranya? Ketinggian rak meletak barang jualan di pasar raya adalah 7 kaki. Kebiasaan psikologi manusia sewaktu membeli-belah adalah melihat barangan di rak dalam lingkungan atau range 3-5 kaki sahaja dan tidak melihat barang jualan yang diletak di bawah sekali dan di atas sekali. Ini menyebabkan produk atau barangan orang melayu gagal dijual di pasar raya. Anda mesti perasan situasi ini ketika anda membeli-belah di pasar raya bukan? Ini menyebabkan perniagaan orang melayu pun tidak dapat berkembang.



6. Oleh itu, sikap malu tidak bertempat ini perlu dikikis daripada orang melayu itu sendiri untuk maju ke hadapan. Usah mengharapkan orang lain untuk maju ke hadapan. Sikap malu itu merupakan perkara normal dalam diri seseorang apabila menjual. Kelak ia akan terhakis jua.

Sekian, terima kasih.

illah (sebab) Pengharaman Riba

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,
.
1. Pada kali ini, saya ingin membincangkan mengenai illah (sebab) dalam pengharaman riba. Illah ini adalah penting dalam menetapkan sesuatu hukum dalam ilmu usul fiqh. Contohnya, dalam pengharaman air tuak, ulama' menqiaskan (menyamakan) air tuak ini dengan arak dengan illah nya ialah mabuk. Dengan ini, hukum air minum air tuak ini adalah haram kerana ia adalah memabukkan.
.
2. Begitu, juga dengan riba. Ulama' menetapkan bahawa illah riba adalah 'lebih' iaitu lebihan ke atas pinjaman yang diberikan kepada seseorang. Contohnya, seseorang yang meminjam RM1,000 tetapi dikehendaki membayar RM1,200. Dengan ini, seseorang itu telah terlibat dalam urusan riba.
.
3. Ulama' tidak menetapkan bahawa illah riba itu zalim. Contohnya, kadar faedah 10% pinjaman ke atas pinjaman RM1,000 adalah berjumlah RM100. Maka, sesetengah orang menganggapnya tidak mengapa kerana ia tidak zalim kerana interestnya adalah rendah dan ia bukannya riba. Namun, pandangan ini silap kerana lebihan atau kadar pinjaman tetap dikenakan ke atas pinjaman tersebut walaupun sedikit. Maka, hukumnya tetap riba.
.
4. Kita perlu sentiasa ingat perkara ini. Elakkan diri kita daripada mengambil riba kerana ia merupakan dosa kedua terbesar selepas syirik. Amalkan cara kehidupan islam dalam pengurusan kewangan kita supaya rezeki kita sentiasa diberkati. InsyaAllah.
Sekian, terima kasih.
.
Sumber:
1. Isu dan Masalah Kewangan Semasa, Zaharudin Abd. Rahman.

Friday, January 21, 2011

Rumah: Sewa atau Beli?

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

1. Pada kali ini saya akan membincangkan mengenai Rumah. Terdapat 2 jenis orang di atas bumi ini iaitu memiliki harta yang sudah habis dibayar ataupun mempunyai harta yang belum habis dibayar iaitu harta yang dibeli secara hutang. Begitu juga dengan rumah, adakah anda sudah memiliki rumah? Adakah ia sudah habis dibayar ataupun belum habis dibayar? Tepuk dada tanya diri sendiri.

2. Sekiranya kita menyewa di sesuatu rumah, rumah itu tidak akan menjadi milik kita walaupun kita telah menyewa rumah tersebut selama 10 tahun. Ini kerana wang sewa yang dibayar setiap bulan akan dibayar kepada Tuan Rumah anda. Tuan rumah tersebut menggunakan duit sewa yang dibayar untuk membayar ansuran bank. Lebihan bayaran sewa itu akan menjadi keuntungan Tuan Rumah tersebut. Alangkah bahagianya Tuan Rumah tersebut!



3. Saya berkesempatan bersembang dengan jiran saya yang baru tinggal di Sungai Buloh. Beliau menyatakan beliau sudah mempunyai 3 buah rumah. 2 buah rumah lagi beliau sewakan kepada orang lain. Lebihan wang sewa yang diterima setiap bulan, beliau gunakan untuk membayar ansuran rumah sekarang. Ini bermakna beliau menggunakan duit atas angin untuk membayaran ansuran rumah tersebut. Alangkah bahagianya!

4. Itu baru 3 buah rumah. Saya pernah terbaca buku Tuan SK, di mana beliau menceritakan ada seorang kontraktor mempunyai 120 buah rumah. Andaikan purata bayaran sewa rumah adalah RM500 sebulan. Ini bermakna kontraktor tersebut memperolehi RM60,000 sebulan!


5. Bagaimanakah sekiranya kita ingin membeli rumah? Wajarkah kita membeli rumah dengan harga RM200,000 - RM300,000 dengan ansuran bank selama 20-30 tahun? Jawapannya adalah tidak wajar. Ini adalah kerana kita dikira menghadiahkan sebuah bank kepada pihak bank yang memberi pinjaman kepada kita jika kita mengira jumlah kadar faedah ataupun jumlah keuntungan yang dikenakan bagi pinjaman selama 20 - 30 tahun.

6. Sebaik-baik pinjaman rumah adalah sehingga 15 tahun sahaja. Rumah tersebut biarlah sepadan dengan kemampuan kita. Ada seorang kenalan saya yang membeli rumah hanya berharga RM80,000 sahaja dengan ansuran bank selama 15 tahun. Ada juga kenalan saya yang telah habis membayar ansuran bank dengan menggunakan simpanan KWSP mereka dan mereka tidak lagi berhutang.

7. Setakat ini sahaja dulu penulisan saya mengenai rumah. Hebahkan kepada rakan-taulan anda mengenai blog ini bagi berkongsi ilmu pengetahuan mengenai pengurusan kewangan.

Sekian, terima kasih.

Sumber:
1. Buat Duit Dengan rumah, Shamsuddin Abdul Kadir.
2. Kaya Dengan Rumah, Shamsuddin Abdul Kadir.

Thursday, January 20, 2011

Kereta 2

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

1. Penulis baru tiba di Dungun, Terengganu malam semalam (19 Januari) dari Kuala Lumpur untuk urusan keluarga. Nampaknya perjalanan minggu ini mungkin perjalanan yang menyeronokkan atau juga mungkin meletihkan kerana penulis perlu berulang-alik Kuala-Lumpur - Terengganu sebanyak 2 kali dalam masa 1 minggu. Hari Ahad ini (23 Januari) penulis perlu pulang ke Kuala Lumpur pula kerana telah habis bercuti!



2. Sepanjang perjalanan sepanjang di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), saya dapat melihat pelbagai jenis kereta sama ada kereta Malaysia atau kereta import menyelusuri lebuh raya. Persoalannya, duit apakah yang digunakan bagi membiayai pembelian kereta ini? Adakah duit wang pokok gaji yang diterima setiap bulan ataupun duit hasil dari pelaburan kita?

3. Saya lebih suka sekiranya duit pembayaran ansuran kereta ini setiap bulan menggunakan duit hasil daripada pelaburan. Ini adalah kerana kereta merupakan 'besi ' yang mana harganya akan menyusut daripada semasa ke semasa. Oleh itu, kita akan mengalami 'kerugian' sekiranya kita terpaksa menggunakan duit gaji kita setiap bulan untuk membayar ansuran kereta setiap bulan. Harga kereta pada hari ini tidak akan sama dengan harga kereta 5 tahun akan datang. Alangkah ruginya sekiranya kita masih membayar ansuran kepada bank dengan mengenakan kadar faedah tertentu sedangkan harganya jauh sudah jatuh menjunam.



4. Adakah kita mampu membeli dan mampu menggunakan kereta? Saya bimbang sekiranya kita hanya sekadar mampu membeli kereta dan tidak mampu menggunakan kereta. Ini adalah kerana kita perlu menanggung kos-kos yang lain selepas membeli kereta setiap bulan. Antaranya ialah cukai jalan, minyak, tol, parking berbayar, servis dan lain-lain lagi. Ada penulis tempatan yang menyatakan kita perlu menambah sekali ganda lagi perbelanjaan untuk kos-kos sampingan bagi kereta ini. Contohnya, ansuran bulanan kereta ialah RM650 sebulan. Maka, kita perlu menyediakan RM650 lagi untuk bayaran kos-kos lain. Ini bermakna kita perlu menyediakan RM1,300 untuk belanja kereta sahaja. Itu untuk kereta Malaysia sahaja.

5. Saya ada kenalan di mana warisnya merupakan seorang kontraktor menggunakan kereta BMW 7-series yang dibeli dari Langkawi ( kawasan bebas cukai). Beliau menyatakan warisnya perlu membayar RM4,500 ansuran bulanan kereta manakala cukai jalan pula adalah RM8,000 setahun. Ini adalah untuk perbelanjaan bagi kereta mewah. Sesuai untuk ahli perniagaan sahaja untuk menjaga imej mereka dalam menjalankan urusan perniagaan. Kalau sekadar bekerja kerajaan, memakai kereta Proton Saga sahaja sudah memadai.

6. Setakat ini dulu penulisan saya pada kali ini. Semoga kita dapat berkongsi bersama mengenai kereta pada kali ini. Kita jumpa kembali untuk tajuk-tajuk baru di blog ini pada masa akan datang. Teruskan pembacaan anda di blog ini. Jangan lupa untuk hebahkan blog ini kepada rakan-taulan anda bagi berkongsi ilmu pengetahuan.
Sekian,terima kasih.

Monday, January 17, 2011

Corat-coret

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Alhamdullilah, penulis telah mendaftar sebagai pelajar Ijazah Sarjana Sains Matematik (M.Sc.) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam pada 16 Januari 2011 dengan nombor pelajar GSK1168.Saya teringat rakan saya mengatakan bahawa nombor 168 ini bermakna selalu kaya bagi masyarakat cina. Sekadar kepercayaan sahaja...

Semoga pengajian ini amat bermakna untuk mengisi ruang-ruang kehidupan bagi tahun 2011/12 dengan ilmu pengetahuan walaupun dibuat secara separuh masa. Apa yang penting sekarang sekarang ialah keazaman dan ketekunan saya untuk mencapai cita-cita saya sekarang. Semoga pelaburan ini bermakna untuk saya untuk masa hadapan.

Sekian, terima kasih.

Thursday, January 13, 2011

Kaedah Sampul Surat

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

1. Pada kali ini, saya akan membincangkan mengenai kaedah sampul surat. Kaedah ini sebenarnya adalah bermaksud kita mengasingkan pendapatan mengikut perbelanjaan bulanan kita setiap bulan mengikut sampul surat. Contohnya, pendapatan untuk perbelanjaan sewa rumah, bil-bil elektrik, hutang-piutang, dapur, persekolahan anak dan sebagainya diasingkan mengikut sampul surat. Sememangnya, perkara ini kecil sekiranya kita lihat dan ianya amat bermakna sekiranya kita amalkan.

2. Caranya mudah sahaja. Anda sediakan sahaja beberapa keping sampul surat. Anda tandakan sampul itu dengan perkara tertentu seperti sewa rumah, perbelanjaan dapur, belanja persekolahan anak dan sebagainya. Anda ambil wang anda di bank, dan masukkan ia ke dalam sampul tersebut mengikut peruntukan anda. Kaedah ini sebenarnya dapat mengelak diri anda daripada 'terbabas' daripada berbelanja lebih setiap bulan.




3. Akan tetapi, untuk simpanan anda tidak digalakkan untuk menggunakan kaedah sampul ini. Azizi Ali dalam bukunya 'Jutawan daripada Planet Jupiter' menyarankan kita membuat potongan gaji dalam membuat simpanan. Contohnya membuat potongan terus ke akaun ASB ataupun Tabung Haji. Kaedah ini sebenarnya baik untuk kita bagi mengelak diri kita daripada menggunakan duit simpanan kita untuk berbelanja.

4. Chef Li di dalam bukunya Biar Kecil Asalkan Berhasil' menyatakan bahawa sesetengah penjaja melayu gagal mengembangkan perniagaan mereka kerana mereka tidak membuat simpanan kira-kira untuk mengawal aliran keluar masuk tunai. Kebanyakan mereka melonggok wang pendapatan mereka. Tiada pemecahan dan pengasingan pendapatan. Semuanya terlonggok menjadi satu. Akhirnya, mereka gagal memperuntukan modal untuk digunakan bagi mengembangkan perniagaan mereka. Hal ini sudah tentu merugikan walaupun mereka telah bertahun lamanya berniaga.

5. Semoga kita dapat mengamalkan tips yang disampaikan pada kali ini. Saya telah mengamalkan kaedah ini semenjak tahun lepas (2010) dan ia memberi kesan yang baik kepada pengurusan kewangan saya kerana ia membantu mengurangkan hutang-hutang saya dan saya tidak berhutang lagi selepas itu. Alhamdullilah...

Sekian, terima kasih.

"Ilmu itu lebih berharga daripada harta. Ilmu itu menjaga engkau dan engkau pula menjaga harta. Ilmu itu penghukum, harta itu terhukum. Ilmu bertambah apabila diamalkan dan harta itu berkurang apabila digunakan..." Saidina Ali.

Wednesday, January 12, 2011

Pertanyaan ASB 2

Assalamualaikum w.b.t.

Saya ingin bertanyakan mengenai Amanah Saham Bumiputera. Bagaimana pembahagian dividen sekiranya kita mempunyai simpanan ASB sebanyak RM10,000 dan membuat pinjaman ASB sebanyak RM30,000. Adakah dia dikira secara sekali gus atau secara berasingan?
.
Arif

__________________________________________________________
.
Wsalam w.b.t.

1. Terima kasih di atas pertanyaan saudara. Semoga saudara dilimpahi kebaikan oleh Allah s.w.t. selalu.
.
2. Mengenai pertanyaan saudara, dividen ASB akan dikira secara sekali gus. Jika simpanan saudara adalah RM10,000 dan pinjaman ASB adalah RM30,000 , ini bermakna simpanan saudara adalah berjumlah RM40,000. Sekiranya pulangan tahunan adalah 8.00%, ini bermakna pulangan yang diterima saudara ialah RM3,200 setahun.
.
3. Saudara boleh mengambil wang saudara yang berjumlah RM10,000 bila-bila masa sahaja dan wang RM30,000 boleh diambil setelah pinjaman habis dibayar.
.
4. Saudara tidak digalakkan untuk mengambil dividen yang diterima setiap tahun di dalam akaun saudara. Ini adalah kerana wang pelaburan kita akan bertambah secara eksponen setiap tahun apabila dividen tahunan dibiarkan terus di dalam akaun kita. Contohnya, tahun pertama wang pelaburan saudara adalah RM40,000. Maka tahun kedua, wang pelaburan saudara adalah RM43,200 (dividen 8.00%). Seterusnya, tahun ketiga jumlah pulangan tahunan ialah RM3,456 (dividen 8.00% di atas pelaburan RM43,200) dan begitulah seterusnya. Hebat bukan 'kuasa eksponen' di dalam pelaburan?
.
5. Itu sahaja jawapan saya untuk pertanyaan saya pada kali ini. Semoga ini dapat menambah pengetahuan saudara di dalam ilmu pelaburan.
.
Sekian, terima kasih.

Tuesday, January 11, 2011

Di manakah taraf kewangan anda?

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

1. Semoga Tuan dan Puan sentiasa berada dalam kebaikan selalu dan sentiasa dikurniakan keberkatan rezeki selalu. Pada kali ini, saya akan membincangkan mengenai taraf pendapatan kita.

2. Tahun 2011 menandakan bermulanya tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) iaitu dari tahun 2011-2015. Kerajaan telah menetapkan taraf pendapatan bagi penduduk Malaysia untuk tempoh RMK-10 adalah seperti berikut:
.
Luar Bandar
Termiskin: Kurang RM430
Miskin: RM720
Mudah Miskin: Kurang RM1000
Pendapatan rendah: Kurang RM2000
.
Bandar
Pendapatan rendah : Kurang RM2500
.
3. Jika kita lihat gaji eksekutif muda pada hari ini adalah berada di dalam kategori berdapatan rendah di bandar. Ini keadaan yang menyedihkan macamana seorang pemegang ijazah yang baru memulakan kerja dikategorikan sebagai golongan yang berpendapatan rendah di kawasan bandar. Ini belum mengambil kira penduduk yang bertaraf lebih rendah dari seorang eksekutif yang bekerja di bandar.
.
4. Oleh itu, kita perlu mencari alternatif dalam usaha menambah pendapatan kita. Usahlah kita mengharapkan keadaan berubah seperti kenaikan gaji tahunan yang tinggi dan sebagainya. Ubah diri anda dan anda anda mengubah persekitaran anda.
.
Sekian, terima kasih.

Saturday, January 8, 2011

Overdraf

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

1. Adakah anda pernah mendengar istilah 'overdraf'? Sekiranya, anda tidak pernah membuat transaksi menggunakan cek, sudah tentu anda mungkin jarang mendengar istilah ini.



2. Apabila anda melakukan transaksi menggunakan cek untuk kegunaan diri sendiri atau untuk mambayar kepada orang lain. Anda juga perlu mempunyai akaun semasa apabila ingin menjalankan urusan menggunakan cek ini. Apabila cek dikeluarkan melebihi baki akaun semasa, keadaan ini dipanggil overdraf. Oleh itu, anda perlu sentiasa peka aliran keluar masuk duit di dalam akaun semasa anda.

3. Kemudahan ini diberikan kepada anda sekiranya anda membuat cagaran dengan pihak bank seperti dengan simpanan tetap atau dengan aset tetap seperti rumah dan sebagainya. Keadaan overdraf ini boleh terjadi sekiranya anda tidak mengetahui jumlah wang yang berada dalam akaun anda apabila anda terlebih menulis cek.

4. Berbanding dengan pinjaman tetap, overdraf ini mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
a. Mempunyai had pengeluaran tertentu.
b. Boleh dikeluarkan mengikut keperluan.
c. Tiada ansuran bulanan seperti pinjaman tetap.
d. Hanya dikenakan caj servis kadar faedah dan bayar sepenuhnya apabila tempoh habis.

5. Di dalam menggunakan kemudahan overdraf ini, anda perlu memastikan bayaran ansuran bulanan perlu melebihi kadar faedah. Anda juga perlu memastikan supaya bayaran balik anda lancar supaya cagaran anda tidak tergadai suatu masa nanti.

Sekian, terima kasih.

Wednesday, January 5, 2011

Pertanyaan ASB

Assalamualaikum w.b.t.

Saya ingin bertanyakan Tuan mengenai Amanah Nasional Berhad (ASB). Bagaimanakah ingin melabur dalam ASB dan bolehkan Tuan memberi sedikit pandangan.

Hatmi (bukan nama sebenar)

Jawapan:

Waalaikumusalam w.b.t. Terima kasih di atas pertanyaan saudara.



1. Amanah Saham Bumiputera (ASB) merupakan pelaburan yang disediakan oleh pihak kerajaan khas untuk golongan bumiputera . Peratus dividen dan bonus tahunan ASB ini ialah antara 7-10% setahun. Untuk tahun 2010 yang terbaru dividen dan bonus ialah 8.75%.

2. Untuk membuat pelaburan ini, anda boleh melabur sehingga RM200,000 (RM1 seunit). Terdapat sebahagian ramai orang yang membuat pinjaman peribadi atau pinjaman ASB yang disediakan oleh pihak bank bagi membuat pelaburan ini. Contohnya, apabila anda melabur dengan pinjaman RM100,000 , anda boleh mendapat pulangan RM8,750 setahun ( dividen + bonus tahunan 8.75%).

3. Anda boleh membuat pinjaman peribadi atau potongan gaji untuk membuat pelaburan ini. Sekiranya anda ingin membuat potongan gaji, sila berurusan dengan jabatan sumber manusia jabatan anda. Sekiranya anda ingin membuat pinjaman peribadi, anda boleh membuatnya sekarang. Sebaik-baik hutang adalah mempunyai tempoh 1 hari sahaja. Tetapi anda boleh membuat pinjaman dalam tempoh 4-5 tahun. Jangan terlalu lama sehingga 20 tahun kerana anda sudah tentu mempunyai komitmen lain pada masa akan datang.

4. Semoga info ini dapat menambah pengetahuan saudara dalam pelaburan untuk masa hadapan. InsyaAllah.

Sekian, terima kasih.


Tuesday, January 4, 2011

Hakikat Kedai Cina dan Pembeli Melayu

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

1. Saya terpanggil untuk menulis artikel bertajuk tajuk 'Hakikat Kedai Cina dan Pembeli Melayu'  kerana saya berasa sinis dengan kata-kata di dalam buku Rahsia Bisnes Orang Cina 'The Bamboo Network' yang ditulis oleh Ann Wan Seng. Kata-kata tersebut ialah 'Orang Cina boleh berniaga di kampung Melayu tetapi orang Melayu belum tentu boleh berniaga di kawasan orang Cina.'



2. Rakan saya pernah berjumpa dengan seorang peniaga cina kedai buku di Kepong. Peniaga cina tersebut menyatakan bahawa perniagaan beliau sekarang iaitu di kawasan orang cina kurang maju jika dibandingkan dengan perniagaan beliau di kawasan orang melayu ( beliau ada 2 kedai). Ini adalah kerana beliau menyatakan pembeli cina dan melayu mempunyai karakter yang berbeza.

3. Pembeli cina apabila memasuki kedai, dia hanya akan membeli 1 barang sahaja dan apabila ingin menawarkan harga barang, pembeli ingin harga barang tersebut ditawarkan dengan harga terlalu rendah mengikut kehendak mereka dan tidak akan membeli barang tersebut sekiranya harga tidak ditawarkan dengan apa yang diingini. Berbanding dengan pembeli melayu, mereka akan membeli beberapa apabila memasuki sesuatu kedai dan membeli sesuatu barang sekiranya hanya ditawarkan dengan sedikit sahaja. Faktor inilah yang menguntungkan perniagaan orang cina.

4. Penulis tersebut tersebut perlu sedar mengenai perkara ini. Usah mendabik dada kerana terlalu memuji kaum cina berjaya di dalam buku beliau kerana disebabkan oleh mereka sendiri. Masakan ada peniaga yang berjaya kalau tiada pembeli. Bahkan Tun Daim Zainuddin menyatakan orang melayu dan orang cina saling memerlukan antara satu sama lain untuk berjaya dalam perniagaan.

5. Ayat sebetulnya ialah 'Orang Cina boleh berniaga di kampung Melayu dan Orang Cina belum tentu boleh berniaga di kawasan Cina sendiri'.

Sekian, terima kasih.