Pada hari ini, maklumat sekarang sudah berada di hujung jari. Sekarang ini bukan lagi zaman 1990-an di mana masyarakat akan tunggu di depan kaca televisyen untuk menyaksi dan mengetahui berita-berita terkini pada jam 8.00 malam melalui warta berita.
Kini, masyarakat pula lebih cepat mengetahui peristiwa-peristiwa yang terjadi sebelum pemberita melaporkan sesuatu berita. Info yang tersebar di seluruh masyarakat sekarang lebih cepat tersebar malah mungkin sesuatu berita dapat disebarkan di seluruh negara dalam masa kurang daripada satu jam melalui aplikasi apa yang dinamakan sebagai WhatsApp.
Apabila WhatsApp sudah mengambil peranan warta berita, maka warta berita sekarang sekadar mengesahkan sahaja berita ataupun mungkin cerita yang disebarkan melalui WhatsApp. Peranan wartawan sekarang mungkin dipermudahkan kerana mereka hanya mencari individu yang mula-mula menyebarkan WhatsApp tersebut.
Saya masih teringat di dalam buku Allayarham Tan Sri Zainuddin Maidin di dalam bukunya “Di Depan Api Di Belakang Duri” di mana beliau menceritakan wartawan-wartawan setiap syarikat akhbar akan berlumba-lumba untuk mendapatkan berita panas pada hari ini untuk dijadikan berita utama untuk keluaran akhbar mereka untuk keesokan pada harinya supaya akhbar syarikat masing-masing laris dijual. Ada wartawan yang membaca akhbar-akhbar lain melalui surat pembaca untuk mencari isu-isu yang baru panas untuk dijadikan berita utama. Peranan ini mungkin dapat diketepikan dengan wujudnya aplikasi WhatsApp pada hari ini.
Kelebihan aplikasi WhatsApp ini menyebabkan sesuatu berita tidak dapat dimanipulasi lagi oleh media massa untuk menceritakan sesuatu yang tidak benar kepada masyarakat. Pun begitu, ada juga individu-individu yang tidak bertanggungjawab yang menyunting gambar-gambar buletin utama menjadi berita tidak benar ataupun menjadi berita palsu dan kemudian disebarkan melalui aplikasi WhatsApp. Ini tidak lebih daripada menjadi fitnah dalam masyarakat.
Jika Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin mengatakan, “Wartawan merupakan saksi sejarah.” Maka pada hari ini masyarakat awam sekarang sudah boleh menjadi wartawan tidak rasmi kerana mereka sendiri yang menyaksikan sesuatu peristiwa yang berlaku di hadapan mereka. Dengan merakam video hanya beberapa saat, ianya dapat disebarkan ke seluruh negara dalam masa yang sekejap sahaja. Mereka boleh mengesahkan berita apabila dihubungi oleh mana-mana pemberita.
Walau bagaimanapun, saya fikir buletin-buletin utama masih diperlukan untuk disediakan kepada masyarakat. Media-media massa ini masih diperlukan sebagai alat propaganda kerajaan untuk menyampaikan sesuatu isu kepada masyarakat dan bukannya sebagai dakyah untuk mencapai matlamat politik.
Wallhua’lam.
https://wankamarul701.blogspot.com