Mungkin sebagai pembaca kita sudah sinonim dengan Ustaz
Hasrizal Abdul Jamil yang banyak menulis buku-buku bersirinya khususnya
mengenai travelog beliau yang banyak berkelana di rantau orang.
Sebelum ini saya telah membeli buku-buku tulisan beliau
seperti Secangkir Teh Pengubat Letih, Rindu Bau Pohon Tin, Di
Hamparan Shamrock Ku Seru NamaMu, dan Menalar Makna Diri. Tidak
dinafikan tulisan Ustaz Hasrizal menyebabkan saya tenggelam dalam pembacaan
saya dari satu muka surat ke satu muka surat yang lain sehingga kulit belakang
buku beliau. Buku-bukunya tidak membuatkan saya berhenti di tengah-tengah jalan
pembacaan disebabkan rasa jemu. Buku-buku tulisan beliau sebenarnya tidak
menghampakan. Seolah-olah beliau sememangnya dilahirkan untuk menjadi penulis.
Buku terbaru yang saya baru selesai baca buku tulisan
Ustaz Hasrizal ialah Seni Berfikir Yang Hilang. Pada mulanya, saya hanya
membelek-belek buku ini dan membaca beberapa perenggan sahaja di kedai buku.
Dan ternyata buku ini memang best sehingga saya berjaya mengkhatamkannya.
Ditambah pula buku ini diulang-cetak sebanyak lapan kali dalam tempoh lapan
bulan pertama tahun 2021.
Buku ini sebenarnya adalah kupasan kepada buku tulisan
Sheikh Yusuf al-Qaradawi yang bertajuk Thaqafah al-Da’iyah. Dengan kata
lain, buku ini sebenarnya menjadi pemudah cara kepada sesiapa yang ingin
membaca buku asal Thaqafah al-Da’iyah iaitu keperluan yang wajib
diketahui oleh seseorang pendakwah.
Sebenarnya, terdapat enam cabang ilmu yang perlu dikuasai
oleh para pendakwah yang digariskan oleh Sheikh Yusuf al-Qaradawi iaitu ilmu
agama, sejarah, sastera dan bahasa, kemanusiaan, sains, dan hal ehwal semasa.
Dalam cabang ilmu agama, seseorang pendakwah perlu selalu
berdamping dengan al-Quran di samping perlu membaca al-Quran dengan tajwid yang
betul. Sebenarnya, al-Quran yang dibaca pada setiap akan mempengaruhi diri
kita. Akhlak dan pemikiran kita akan terikut dengan cara al-Quran. Al-Quran
akan mencorakkan segala-galanya dalam kehidupan. Sebenarnya, al-Quran mempunyai
cahaya dan roh yang akan memberi kesan besar kepada kita apabila kita sentiasa
berdamping dengannya. Selain itu, umur yang digalakkan untuk menghafal al-Quran
menurut Ustaz Hasrizal ialah kanak-kanak yang belum mencapai akil baligh iaitu
sekitar umur 11 hingga 13 tahun.
Untuk membuktikan mukjizat al-Quran daripada aspek sains
adalah sukar kerana sains memerlukan bukti empirikal dan berdasarkan
penelitian. Ditambah pula ilmu sains sentiasa berubah-ubah mengikut penemuan
terkini.
Sheikh Yusuf al-Qaradawi juga menyebutkan perbezaan antara
illah, sebab, dan hikmah. Tiga perkara ini sebenarnya membawa tiga
perkara yang berbeza. Contohnya ialah menutup aurat. Kita tidak boleh
mengatakan bahawa golongan wanita perlu menutup aurat untuk mengelak daripada
dirogol kerana ini adalah hikmah apabila seseorang wanita itu menutup aurat. Seseorang
wanita muslim wajib menutup aurat kerana perintah Allah s.w.t. dan bukannya
untuk mengelak daripada dirogol.
Bagi cabang ilmu sejarah juga, ianya perlu dikuasai oleh
para pendakwah kerana sejarah menjadi bukti paling nyata kepada intipati seruan
beragama. Ini adalah penting apabila kita berdebat dengan orang yang anti al-Quran
ataupun hadis. Sejarah juga membantu kita untuk memahami pemikiran, aliran,
mazhab, ideologi, dan falsafah.
Sebenarnya berlaku perbezaan cara berfikir antara pelajar
sains sosial dan sains tulen. Masalah yang akan timbul ialah apabila para
pelajar ini menyertai gerakan-gerakan Islam. Pelajar-pelajar sains sosial ialah
orang yang mengkritik ideologi, menganalisa, dan mengemaskini. Berbeza dengan
pelajar-pelajar sains tulen kerana pemikiran mereka tidak biasa mengkritik
teori tetapi lebih kepada aplikasi. Menurut Sheikh Yusuf al-Qaradawi, jalan
penyelesaian bagi permasalahan ini ialah dengan mempelajari sejarah.
Di dalam buku tulisan Olivier Roy yang bertajuk The
Failure of Political Islam, beliau menjelaskan salah satu faktor yang menyebabkan
kegagalan gerakan Islam seperti di Morocco, Algeria, Turki mahupun di Malaysia
adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar kejuruteraan. Mereka ini tidak mampu
untuk memberdayakan gerakan Islam. Idea-idea perjuangan negara dan politik
Islam oleh pelajar kejuruteraan ini tidak diterima oleh pelajar-pelajar jurusan
sains sosial yang mempelajari falsafah, sejarah, sains politik dan yang
seangkatan dengannya.
Di dalam kita memahami cabang ilmu bidang sejarah, kita
seharusnya memahami bagaimana waqaf itu dilaksanakan sepertimana di era Daulah
Uthmaniyah. Sebenarnya, satu pertiga ekonomi Daulah Uthmaniyah terdiri daripada
hasil waqaf. Apabila kerajaan ingin melaksanakan sesuatu projek, kerajaan akan
melobi rakyat termasuk sultan untuk mengeluarkan harta mereka. Contohnya,
Sultan Murad II mengeluarkan sendiri hartanya untuk membina jambatan Uzunkopru
di Sungai Ergene. Bahkan bandar baru dibuka selepas jambatan dibina untuk
menghapuskan rompakan yang berlaku.
Hakikatnya berbeza apabila wakaf dilaksanakan untuk
membina Sekolah Tahfiz contohnya di Malaysia. Walaupun dapat mengumpul sebanyak
RM800,000 untuk membina Sekolah Tahfiz, tetapi ianya hanya mengumpul untuk
membina Sekolah Tahfiz sahaja dan tidak memikirkan bagaimana untuk menampung
kos operasi selepas itu. Dan akhirnya wujud banyak masalah selepas itu.
Begitu juga dengan caravanserai paling terkenal yang masih
wujud sehingga hari ini iaitu Caravanserai Jalaluddin Karatay di Kayseri yang telah
dibina 1240 masihi yang disediakan untuk para pedagang yang melalui Laluan
Sutera dari Beijing ke Istanbul. Pembinaan Caravanserai ini adalah menunjukkan
penduduk pada zaman ini ingin menyahut seruan hadis Nabi Muhammad s.a.w. untuk
memuliakan tetamu mereka.
Penulis juga menyebut teori evolusi Charles Darwin yang
menyatakan bahawa manusia sebenarnya berasal daripada kera. Dr. Zakir Naik
pernah menyatakan bahawa sehingga hari ini orang mengatakan ini adalah ‘teori
Darwin’ dan bukannya ‘fakta Darwin’ kerana terdapat rantaian yang terputus
dalam kajian Charles Darwin ini. Sebenarnya teori evolusi ini telah dimulakan
oleh orang Islam sendiri iaitu Ibn Miskawayh yang hidup pada 930-1030M berbanding
Charles Darwin yang hidup pada 1809-1882M.
Para pendakwah juga perlu menguasai ilmu sastera dan
bahasa. Sebenarnya tulisan kita menggambarkan apa yang ada dalam akal fikiran
kita. Sekiranya seseorang itu sering mencarut, maka menjadi sukarlah tulisan
seseorang itu menjadi lunak dan indah. Yang terkeluar pada tulisan ialah
carutan kerana ia refleksi kepada apa yang berada dalam akal fikiran.
Selain itu, ilmu kemanusiaan juga perlu dikuasai oleh
seseorang pendakwah. Orang dakwah sebenarnya ialah orang iklan. Maka ia tidak
dapat lari daripada ilmu psikologi bagi memasarkan Islam itu sendiri.
Penulis juga mengkritik sistem pendidikan pada hari ini
yang tidak sesuai dengan aras pelajar. Contohnya anak penulis sendiri yang
berada di darjah 1 ditanya mengenai makna perkataan sirah sedangkan penulis
sendiri mempelajari makna perkataan sirah itu pada tahun 1 di universiti di
Jordan.
Di dalam ilmu sains, para pendakwah perlu memahami hakikat
sunnahtullah dan syariatullah. Contohnya mudah sahaja, orang bukan Islam akan
memetik hasil buah sekiranya pokok tersebut ditanam dengan betul berbanding
dengan orang Islam sendiri yang salah untuk bercucuk tanam kerana orang bukan Islam
tersebut mengikut syariatullah.
Baiklah, setakat ini sahaja dulu mengenai ulasan buku Seni
Berfikir Yang Hilang. Mungkin yang menarik sahaja yang saya fikir saya nukilkan
di sini. Selebihnya, saudara-saudari boleh membelinya sendiri di kedai untuk
membacanya.
Wallhua’lam.
https://wankamarul701.blogspot.com