Sunday, June 27, 2021

Hakikatnya Kita Adalah Lelaki


Sebagai seorang penulis, kita sudah tentu mengharapkan buku-buku yang kita dan terbitkan laku sampai meletup-letup kebommm...

Tidak lain dan tidak bukan buku genre novel merupakan genre yang paling laris di pasaran berbanding dengan buku-buku ilmiah, akademik atau buku-buku yang ‘berat kepala’ yang kurang mendapat sambutan di pasaran Malaysia.

Apabila sesuatu buku novel di pasaran difilemkan menjadi drama bersiri ianya akan bertambah laris di pasaran kerana para penonton drama bersiri ingin mengetahui pengakhiran teledrama tersebut kerana para penonton tidak perlu untuk menantikan siarannya pada setiap hari untuk mengetahui kesudahannya. Para pembaca novel ini kebiasaannya terdiri daripada golongan wanita yang suka berfantasi dengan cara masing-masing.

Sudah tentu novel-novel hasil air tangan Siti Rosmizah paling mendapat sambutan sekarang kerana banyak novelnya sekarang difilemkan. Saya pernah cuba untuk buat-buat minat untuk menulis novel. Tetapi, buat-buat minat tinggal hanya tinggal buat-buat minat sahaja dan tidak membawa saya ke mana-mana pun. Lebih parah lagi masa hanya dibazirkan begitu sahaja sekiranya saya cuba menulis novel.

Sebagai orang lelaki, saya tahu dan sedar bahawa orang lelaki ini tidak suka untuk berkhayal-khayal dan lebih sukakan penulisan yang lebih berpaksikan realiti dan objektif. Walaupun saya tahu orang lelaki sebenarnya adalah golongan yang kurang membaca berbanding golongan wanita.

Saya fikir tidaklah perlu sangat menulis semata-mata untuk mendapatkan wang walaupun saya tahu tiada orang yang mahu menulis sekiranya tidak mendatangkan hasil pulangan yang setimpal dengan usahanya.

Saya suka dengan cara seorang peniaga buku sejarah secara online yang saya kenali. Walaupun dia tahu buku genre sejarah merupakan genre kurang diminati ramai tetapi dia yakin bahawa rezeki itu adalah milik Allah s.w.t. dan kita perlu yakin dengan qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah s.w.t.

Wallhua’lam.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad (27/6/2021)

Wednesday, June 9, 2021

Bahasa Inggeris – Kuasai Semasa Berada di Peringkat Menengah Rendah

Tidak dinafikan pada hari ini bahawa penguasaan Bahasa Inggeris keperluan pasaran utama pada hari ini. Dan yang paling penting ialah keputusan Bahasa Inggeris mestilah cemerlang untuk keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai syarat untuk memasuki universiti-universiti yang terkemuka sama ada di dalam ataupun di luar negara.

Tiada maknanya jika mendapat keputusan yang cemerlang subjek-subjek sains seperti biologi, kimia, dan fizik tetapi keputusan Bahasa Inggeris adalah tercorot dalam keputusan SPM. Silap-silap haribulan tidak mendapat tawaran mana-mana universiti sekiranya Bahasa Inggeris tidak kredit.

Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah Bahasa Inggeris perlu diberikan penekanan oleh seseorang pelajar sewaktu berada di peringkat menengah rendah lagi iaitu sewaktu berada di Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3. Ini adalah kerana sewaktu kita berada di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 kita sibuk untuk menelaah pelajaran subjek-subjek elektif tidak kira sama ada kita berada di aliran sains ataupun akaun.

Ini pengalaman saya sendiri. Memang saya lemah dalam Bahasa Inggeris. Sewaktu berada di Tingkatan 5 saya sibuk untuk belajar Bahasa Inggeris dan perlu membuat esei Bahasa Inggeris pada setiap hari. Bahasa Inggeris perlu diamalkan dan bukannya perlu dipelajari sepertimana subjek sains atau pun matematik. Berbanding dengan rakan-rakan lain yang sudah mantap penguasaannya dalam Bahasa Inggeris, mereka hanya memfokuskan kepada subjek-subjek sains sahaja.

Pendek kata, saya ketinggalan dalam perkara ini untuk menghadapi perjuangan sebenar iaitu peperiksaan SPM pada tahun 2002.

Bagi anda yang masih berada di bangku sekolah khususnya sekolah menengah, cuba amalkan penggunaan Bahasa Inggeris pada setiap hari. Cara yang mudah ialah membaca buku bahasa Inggeris tidak kira sama ada buku novel, majalah , dan sebagainya. Pada masa inilah anda boleh memantapkan vocabulary anda khususnya dan grammar amnya. Dengan ini, anda boleh menghadapi ujian ataupun peperiksaan Bahasa Inggeris dengan penuh yakin.

Insya Allah.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad (9/6/2021)