Friday, May 28, 2021

Masalah Feqah: Najis Tidak Nampak Tapi Mungkin Ada

 SOALAN:

Assalamulaikum sahibus samahah tuan mufti..saya nak bertanya..anak kecil saya bermain-main di dalam rumah, atas karpet, atas tilam dan sebagainya..kemudian ketika hendak memandikan anak , saya perasan yang pampers yang dipakainya sudah bocor dan seluarnya juga sudah basah..persoalannya, adakah saya perlu basuh karper, tilam dan lain-lain tempat yang anak bermain..sedangkan tempat tersebut tiada langsung kesan basah, mahupun bau kencing..mohon penjelasa ustaz mufti?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Di dalam hal ini kita cukup mengambil hukum zahir berdasarkan apa yang berlaku. Jika tiada bau, warna, dan rasa bagi najis seperti ain najasah dan basahan, maka tidak perlu dicuci atau pun dibersihkan. Kaedah mengatakan:

نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.Namun jika hendak disucikan juga, tidak ada masalah.

Wallahua’lam.

Sumber: Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Ulasan:

Ini yang menjadi permasalahan kita semua apabila mempunyai anak-anak yang masih kecil yang memakai pampers. Saya pun tidak terkecuali daripada masalah ini apabila anak yang memakai pampers yang telah basah tanpa disedari bermain-main di dalam rumah. Timbul juga perasaan was-was dalam diri saya. Adakah seluruh rumah sebenarnya telah terkena najis disebabkan oleh pampers yang basah ini? Melalui jawapan persoalan ini, kita hanya mengambil kira najis yang zahir sahaja yang mempunyai bau, warna dan rasa yang wajib untuk dicuci.

Wallhua’lam.

Wednesday, May 26, 2021

Kerana Nilai 10 Sen


Pada Ahad lepas saya singgah ke bank untuk mengambil duit.

Di kaki lima bank tersebut terdapat sekumpulan promoter minyak wangi. Sekitar 3-4 orang dalam kumpulan mereka.

Salah seorang promoter tersebut cuba untuk menjual minyak wangi jualan mereka kepada saya. Walaupun pada asalnya saya memang tidak mahu membeli minyak wangi tersebut dan sekadar untuk menolong promoter tersebut. Saya tahu bahawa kerja-kerja untuk membuat sale ini adalah sukar dan perlu mencapai targer-target tertentu sepertimana yang ditetapkan oleh syarikat.

Lebih-lebih lagi musim PKP ini dan orang ramai terkesan kesan pandemik ini. Dan sudah tentu tidak mahu barang-barang keperluan yang dilihat tidak penting seperti minyak wangi tidak akan dibeli.

Pada mulanya promoter tersebut menawarkan pakej satu percuma satu. Beli satu botol minyak wangi berharga RM99 percuma satu. Oleh kerana saya tidak mahu pakej ini, dia menawarkan pula pakej RM49.90 sebotol.

“Abang ambil sahaja pakej ini RM49.90 sebotol.” ujar promoter ini.

“Ok...” tanpa berfikir panjang saya menghulurkan duit not RM50 kepada promoter tersebut. Mungkin kerana kasihan atau ingin mengambil hati sahaja.

“Kalau saya genapkan sahaja RM50 ini sahaja boleh?” mohon promoter itu lagi.

Saya tahu kalau nak mudahkan sahaja pembelian ini halalkan sahaja baki 10 sen tersebut.

“Tadi awak kata harga minyak wangi ini M49.90. Jadi balance 10 sen kena pulangkan balik.” Saya menjawab.

Tanpa bercakap panjang promoter itu terus mengambil syiling 10 sen dan menghulurkannya kepada saya.

Inilah hakikat pengurusan kewangan. Kita harus bertegas dan menjaga nilai setiap sen kita perolehi dan miliki. Mungkin perkara ini nampak kedekut tetapi hakikatnya ialah tabiat orang-orang. Orang-orang kaya sebenarnya ialah orang yang kedekut. Mereka tahu bila mana masanya untuk bersedekah dan bila mana masanya untuk bersifat kedekut.

Wallahua’lam.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad (26/5/2021)

Saturday, May 22, 2021

Tak solat Jumaat ikut SOP dibenarkan syarak - Mufti Perlis

KANGAR: Kegagalan menunaikan solat Jumaat kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mencegah penularan pandemik COVID-19 tidak dikira berdosa kerana ia termasuk dalam keuzuran dibenarkan syarak.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata ia sama seperti tidak menunaikan solat Jumaat bagi mereka yang bermusafir dan seumpamanya.

Tegasnya, tiada asas untuk mewajibkan individu yang gagal menghadiri solat Jumaat tiga kali berturut-turut kerana mematuhi SOP untuk bertaubat dengan solat sunat taubat.

Menurutnya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mendapat banyak pertanyaan berhubung ucapan seorang pendakwah bebas yang membuat kenyataan itu.

"Kenyataan berkenaan ditambah dengan kenyataan 'norma baharu yang merosakkan akidah' dan setelah meneliti, jawatankuasa menghargai kesungguhan beliau dalam mengingatkan umat Islam berkenaan kewajipan solat Jumaat.

"Namun terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui di mana tidak dapat menunaikan solat Jumaat kerana mematuhi SOP tidak dikira berdosa kerana ia termasuk dalam keuzuran yang dibenarkan syarak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Asri berkata perkataan wajib yang digunakan pendakwah berkenaan membawa maksud berdosa jika tidak melakukannya.

Katanya, ini membawa maksud pendakwah berkenaan menganggap berdosa kepada mereka yang terbabit tidak menunaikan solat sunat taubat.

"Sedangkan dalam konteks mentaati ulil amri dalam perkara makruf demi menjaga nyawa seperti SOP keselamatan atau kesihatan adalah wajib dan melanggarnya adalah berdosa.

"Perlu diketahui bahawa meninggalkan solat Jumaat disebabkan keuzuran bukan satu dosa dan dalam ungkapan beliau mengenai 'norma baharu yang merosakkan akidah' itu difahami norma baharu boleh membawa kepada kekufuran atau sekurang-kurangnya kesesatan dan hal ini sangat bahaya kerana norma baharu ini kebanyakannya membabitkan persoalan fekah atau hukum hakam amalan.

"Untuk mengaitkannya dengan akidah sehingga membawa kepada kerosakan, ia suatu hal yang perlu dibuktikan secara yakin bahawa kepercayaan agama yang termasuk dalam al-Quran dan as-Sunnah sudah rosak," katanya.

Beliau berkata, dakwaan berkenaan mengelirukan dan boleh memberi kesan tidak baik sedangkan Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri sentiasa menjadikan al-Quran, as-Sunnah dan dalil muktabar sebagai panduan sebelum apa jua garis panduan dikeluarkan kepada masyarakat.

Bagaimanapun Mohd Asri berkata, adalah wajar pendakwah berkenaan memberikan nasihat dan teguran berhubung orang yang bersungguh mencuba mendaftarkan diri untuk hadir solat Jumaat dengan syarat diizinkan oleh pemerintah.

"Selain itu, perasaan keinginan untuk dapat menunaikan solat Jumaat sepatutnya ada bagi setiap mukallaf yang tiada uzur syarie.

"Dengan menghormati semangat Islam pendakwah atau penceramah itu, pihak jawatankuasa ingin menasihati supaya berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan yang boleh memberi implikasi besar dalam kefahaman dan amalan agama," katanya.

Sebelum ini, tular klip video ceramah agama berdurasi tiga minit oleh seorang pendakwah dan penceramah bebas, yang menyatakan bahawa mereka yang tidak menghadiri solat Jumaat tiga kali berturut-turut disebabkan mematuhi SOP pemerintah bagi mengelak penularan wabak COVID-19 wajib bertaubat dengan menunaikan solat sunat taubat.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebelum ini mengarahkan supaya masjid di negeri itu ditutup kepada orang awam mulai Khamis lalu sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Sumber: BH Online.

Ulasan:

Saya rasa terpanggil untuk mengulas isu video bebas oleh pendakwah bebas ini. Apabila menonton klip video tersebut pada mulanya, saya melihat bahawa pendakwah ini seolah-olah mengatakan bahawa kaum lelaki yang mukallaf sekarang sengaja tidak menunaikan Solat Jumaat walhal kaum lelaki ini sebenarnya mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh pihak ulil amri (kerajaan). Tambah pendakwah ini lagi, kaum lelaki ini perlu menunaikan solat sunat taubat kerana meninggalkan solat Jumaat sebanyak 3 kali berturut-turut. Saya sendiri sentiasa untuk menghadirkan diri ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat dan kadang-kadang pintu pagar ditutup dan terpaksa pulang ke pejabat semula apabila kuota jemaah masjid telah penuh dan menunaikan sahaja solat Zohor di pejabat. Oleh itu untuk pendakwah di luar sana, kita perlu berhati-hati apabila mengeluarkan sesuatu kenyataan dan elakkan daripada mengeluarkan kenyataan yang menggusarkan orang ramai.

Wallahua’lam.

Thursday, May 20, 2021

Penyelesaian Konflik Palestin – Israel.

Palestin berada di bawah pemerintahan Khilafah Uthmaniyah sejak tahun 1517 dan terlepas ke tangan British pada tahun 1917 setelah gagal mempertahankan kota suci ini sewaktu Perang Dunia Pertama.

Palestin terus berada di bawah mandat pentadbiran British dari tahun 1917 sehingga negara haram Israel dilahirkan pada tahun 1948.

Konflik demi konflik dan peperangan demi peperangan tercetus antara orang Islam dan Yahudi bagi merebut kota suci Islam ini.

 Perkara ini berlarutan dari tahun 1948 sehingga sekarang (2021) atau telah berlarutan selama 73 tahun.

 Kita perlu mengambil ikhtibar daripada sirah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. Nabi Muhammad s.a.w. pun keluar dari kota Mekah dan kemudian berhijrah ke kota Madinah bagi menyebarkan dakwah baginda dan seterusnya berjaya membina negara Islam pertama di Madinah. Ketika ini, umat Islam sedikit sebanyak telah mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan akhirnya berjaya membuka kota Mekah.

 Begitulah jika kita melihat sirah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. mengenai pembukaan kota Mekah dengan konflik Palestin yang berlaku pada hari ini. Umat Islam di Palestin perlu keluar dahulu daripada bumi Palestin bagi membina kekuatan baharu untuk merampas semula tanah air mereka daripada cengkaman zionis.

 Jika tidak konflik ini akan terus berpanjangan dan tidak dapat diselesaikan.

 Wallhua’lam.

 Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad (20/5/2021)

Sunday, May 16, 2021

Mengapa Sumbangan untuk Persenjataan Palestin Tidak Dibuat?

 Palestin berdarah lagi.

Kali ini tentera Israel lebih biadap apabila melancarkan serangan ke atas umat Islam di Palestin ketika masih menunaikan solat terawih pada malam hari. 

Sebentar tadi, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menyatakan bahawa adalah hak Israel untuk membalas semula serangan yang dilancarkan oleh Hamas. Jelas, sesiapa sahaja yang menjadi Presiden Amerika Syarikat tidak dapat menyelesaikan konflik Palestin-Israel selagi mana namanya adalah kafir.

Teringat kata-kata kenalan saya yang menyatakan bahawa mengharapkan Amerika Syarikat menyelesaikan konflik Palestin-Isrel adalah ibarat mengharapkan Parti Dap melaksanakan hudud di Malaysia.

Kita di Malaysia menyambut suasana Aidilfitri ketika memerangi wabak Covid-19 yang entah bila akan berakhir. Tetapi saya amat berharap agar wabak ini berakhir secepat mungkin. Tetapi umat Islam di Palestin berada dalam ketakutan kerana bila-bila masa sahaja segala jenis roket dan peluru berpandu milik Israel boleh membedil rumah mereka.

Bayangkan konflik bedil-membedil ini terjadi antara negara kita dengan Singapura. Nauzubillah.

Ironinya, setiap kali konflik di Palestin meletus maka akan ada misi bantuan kemanusiaan yang meminta sumbangan daripada orang ramai khususnya untuk perubatan, makanan, tempat tinggal, dan sebagainya.

 Namun, jika kita perasan tiada bantuan sumbangan derma yang dibuat bagi membangunkan senjata bagi rakyat Palestin. Mengapa kita takut untuk membantu rakyat Palestin dengan ketenteraan? Adakah kita takut dilabel sebagai pengganas? Saya fikir inilah lebih utama dalam mempertahankan nyawa rakyat Palestin dengan persenjataan.


Roket Milik Briged al-Qasam yang Kecil


Saya lihat roket-roket yang dibuat oleh Briged al-Qasam perlu diupgrade lagi. Roketnya jika dilihat adalah amatlah kecil jika ingin menandingi ketenteraan yang dimiliki oleh Israel. Tidak ubah seperti mercun raya.

Oleh itu, sudah tibalah masanya kepada umat Islam untuk berganding bahu dan sekurang-kurangnya memberi bantuan kepada rakyat Palestin untuk mereka membangunkan persenjataan yang lebih canggih. Setidak-tidaknya dapat menakutkan Israel.

Wallhua’lam.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad (16/5/2021)

Wednesday, May 5, 2021

J&T Express Ingin Menguasai Pasaran Pos Ekspres di Asia Tenggara?



Semalam saya telah pergi pos barang menggunakan khidmat pos laju J&T Express yang baru di kawasan pejabat saya. Saya fikirkan J&T Express ini merupakan sebuah syarikat francais kerana syarikat kurier ini tumbuh bak cendawan di bandar-bandar besar. Apabila saya bertanyakan kepada kenalan saya yang pernah bekerja di sini dia memaklumkan bahawa syarikat J&T Express ini sebenarnya berpusat di Hong Kong dan ingin menguasai pasaran khidmat pos laju di Asia Tenggara.