Thursday, October 29, 2020

Covid-19: Yakinlah Bahawa Setiap Sesuatu Ada Awal dan Akhirnya

Situasi wabak Covid-19 sekarang tiada menunjukkan ianya akan berakhir dalam masa terdekat. Angka-angka menunjukkan bilangan pesakit akibat virus ini terus meningkat saban hari sama ada di dalam ataupun di luar negara.

Kita sebagai orang beriman bahawa wabak yang melanda di seluruh dunia ini merupakan ujian daripada Allah s.w.t. Kepada orang-orang bukan Islam ianya sudah tentu menjadi malapetaka kepada mereka.

Gelombang ketiga Covid-19 ini tercetus akibat pihak pemerintah yang tamak kuasa dan sering bermain politik pada setiap hari. Hasilnya ialah kesihatan dan nyawa rakyat yang menjadi taruhan. Gelombang ketiga ini tercetus akibat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan baru-baru ini. Jika PRN ini tidak diadakan, wabak gelombang ketiga ini sudah tentu tidak terjadi. Tetapi, nasi sudah menjadi bubur. Kalau dah jadi bubur, telan sahajalah bubur tersebut.

Kantung kerajaan sekarang mungkin sudah kering-kontang sekarang kerana banyak yang telah digunakan bagi membantu rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula-mula dilaksanakan dahulu. Sebanyak RM295 bilion telah disuntik oleh kerajaan bagi membantu golongan B40 dahulu. Ini belum ditambah lagi hasil kerajaan yang hilang sebanyak RM2 bilion sehari ketika PKP dahulu. Jika 3 bulan setengah para peniaga tidak boleh menjalankan perniagaan mereka, ini bermakna kerajaan telah kehilangan sebanyak RM150 bilion hasil perbendaharaan dahulu.

Namun, usaha ini hanya sia-sia sahaja kerana gelombang ketiga pula datang setelah PRN Sabah diadakan. Mahu tidak mahu, kawasan yang zon merah sahaja yang dikenakan PKP mengikut tema yang tersendiri sama ada bersasar ataupun diperketatkan. Mengikut kesesuaian tempat masing-masing.

Jika kita melihat dari satu sudut, wabak ini mempunyai hikmah yang tersendiri. Wabak ini muncul di tengah-tengah zaman dunia serba moden dan canggih. Jika murid-murid tidak dapat ke sekolah kerana dibimbangi akan wabak ini terus merebak di kalangan mereka, mereka boleh belajar sahaja di atas talian (online). Begitu juga mahasiswa ataupun mahasiswi di universiti, mereka boleh belajar secara online sahaja. Malah, menjawab peperiksaan pun boleh dibuat secara online.

Tidak terhad kepada pembelajaran online sahaja, rakyat juga boleh membeli makanan ataupun apa-apa keperluan mereka secara online. Barang-barang ini akan dihantar di hadapan pintu rumah mereka. Membayar secara tanpa duit fizikal pun barang boleh sampai di pintu rumah tatkala wabak Covid-19 sedang melanda.

Apapun sekarang pemantauan kerajaan sekarang sudah semakin kurang sekarang ketika gelombang ketiga Covid-19 sedang tercetus. Sudah tentu golongan bekerja sendiri akan tersepit jika kerajaan terlalu bertegas untuk menangani penularan Covid-19. Penularan Covid-19 sekarang terletak pada diri kita masing-masing. Pemantauan kerajaan tidaklah seketat PKP mula-mula dikenakan dahulu.

Sebagai orang yang beriman kita haruslah yakin bahawa wabak Covid-19 ini akan berakhir suatu hari nanti kerana salah satu tanda kewujudan Tuhan ialah setiap sesuatu ada awal dan akhirnya.

Wallhua’lam.

Sunday, October 25, 2020

Alhamdulillah, Penantian 12 Tahun Berakhir - Berjaya Menamatkan Master Sejarah Malaysia di Universiti Malaya!

Alhamdulillah, saya akhirnya berjaya menamatkan Ijazah Sarjana Sastera (Sejarah Malaysia) di Universiti Malaya setelah 3 tahun menelaah ilmu di menara gading ini iaitu dari tahun 2017 - 2020. Sebenarnya, ini percubaan kali kedua saya untuk mendapatkan Ijazah Sarjana saya setelah percubaan kali pertama saya gagal pada tahun 2012 - 2014 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). 12 tahun ini adalah mengambil kira selepas saya mendapat ijazah pertama saya pada tahun 2007. 

Jika anda mengikuti perkembangan blog saya ini, saya telah menceritakan sebelum ini bahawa saya mengambil mod campuran (mixed mode) bagi kursus ijazah sarjana ini. Secara rasminya saya berjaya menamatkan pembelajaran saya selama 5 semester iaitu 2 semester untuk kelas dan 3 semester adalah untuk menyiapkan tesis.

Secara umumnya, kandungan tesis yang perlu disiapkan perlu mempunyai sekurang-kurangnya 5 bab. Bab pertama dan terakhir ialah pendahuluan dan kesimpulan. Manakala 3 bab lagi adalah penemuan terbaru tesis atau kajian kita. Paling maksimum bilangan bab tesis adalah sebanyak 6 bab jika kajian anda mempunyai skop yang lebih luas untuk diperbincangkan. 

Tajuk tesis untuk Sejarah Malaysia ini adalah luas. Bergantung kepada kita semua selagi mana ianya berkisar mengenai Sejarah Malaysia. Contohnya kemerdekaan Tanah Melayu, tokoh-tokoh, komunis, darurat, dan sebagainya dengan syarat kajian kita itu masih belum dilakukan oleh mana-mana pengkaji. Sebab itu dalam tesis kita nanti kita perlu menulis sorotan literatur (literature review) iaitu kajian-kajian yang telah dibuat sebelum ini dan apakah kajian yang ingin kita buat. 


Tesis saya pula adalah bertajuk 'Isu Kerakyatan Dari Persekutuan Tanah Melayu Sehingga Penubuhan Malaysia, 1957 - 1963'. Temanya ialah isu kerakyatan. Pengalaman saya sendiri saya perlu ke Arkib Negara untuk mencari bahan-bahan tesis saya untuk penyelidikan ini. Selain itu, saya juga turut membuat temuduga bersama dengan pensyarah-pensyarah yang mempunyai pengkhususan dalam bidang kerakyatan. Banyak juga pengalaman yang saya timba sepanjang menyiapkan tesis ini. 

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapatkan sagunya. Kiranya sewaktu saya membuat tesis ini merupakan waktu 'struggle' saya untuk menamatkan kursus ijazah sarjana ini. Boleh dikatakan pada setiap hujung minggu iaitu pada hari Sabtu dan Ahad saya akan pergi ke perpustakaan di kampus ini untuk menyiapkan tesis ini. Ditambah pula saya bekerja pada hari Isnin sehingga Jumaat. Agak mencabar jugalah bagi orang macam saya untuk menamatkan Ijazah Sarjana secara part-time.

Dan yang paling utama sekali ialah saya orang yang mula-mula membentangkan tesis saya bagi kelas saya untuk kali ini. 

Saya bukan ingin menakutkan anda. Rata-ratanya para pelajar mod campuran ini tidak berjaya menamatkan kursus ini kerana mereka tidak berjaya untuk menyiapkan tesis dalam tempoh yang ditetapkan. Syarat untuk menamatkan kursus Ijazah Sarjana Sastera (Sejarah Malaysia) adalah selama 10 semester termasuk 2 semester untuk kelas (5 kursus untuk 2 semester). Para pelajar kursus ini kebiasaannya tidak boleh independent untuk membuat tesis secara keseorangan dan akhirnya mereka akan terbantut untuk menyiapkan tesis. Akhirnya terpaksa digugurkan oleh pihak universiti kerana tidak berjaya menamatkan kursus dalam tempoh yang ditetapkan. Berbanding dengan kelas, para pelajar boleh membuat assignment dengan kawan-kawan dan menjawab peperiksaan dengan baik setiap hujung semester.

Baiklah, setakat ini sahaja dahulu perkongsian saya pada kali ini. Mudah-mudahan sesiapa yang ingin melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Malaysia rajin-rajinkanlah untuk mendaftarkan diri anda di Universiti Malaya dan bertandan ke sini untuk menimba ilmu. Kita jumpa di puncak kejayaan! 

Allhuakbar!

Wallhua'lam.

Saturday, October 10, 2020

Buku Peperangan Terakhir Uthmaniyah: Runtuhnya Sebuah Institusi & Tinggalannya Di Alam Melayu

 


Bismillah. 

Buku Peperangan Terakhir Uthmaniyah: Runtuhnya Sebuah Institusi & Tinggalannya Di Alam Melayu masih berada di pasaran. Jika cik tuan/ puan masih belum memiliki buku ini, cik tuan/ puan boleh menghubungi En Hairul (Pustaka Empayar Melayu) di nombor 012-733 8955. Harga RM50 (Tidak termasuk pos).

Terima kasih.

Wednesday, October 7, 2020

Kerana Halalkan di Dunia dan di Akhirat



Apabila saya menonton cerita 3 Abdul yang merupakan salah siri filem lakonan Allahyarham P. Ramlee saya tertarik dengan perjanjian yang dibuat antara Abdul Wahub (P. Ramlee) dan Sadiq Segaraga (Ahmad Nisfu) serta Kassim Patalon (Salleh Kamil) sebagai saksi perjanjian sewaktu Abdul Wahub ingin membalas dendam terhadap ke atas Sadiq Segaraga dengan mengahwini anaknya Ghasidah.

Perjanjian yang dibuat ini ialah siapa yang marah akan dijual seluruhnya. Selepas perjanjian ditandatangani, kedua-dua pihak memohon supaya dihalalkan segala-galanya di dunia dan di akhirat sekiranya terjadi apa-apa selepas itu.

Jika dilihat konflik yang terjadi selepas itu Abdul Wahub seolah-olah dilihat sebagai pencuri dan perompak secara terang-terangan harta Sadiq Segaraga walhal dia sebenarnya ingin memancing Sadiq Segara supaya bapa mentuanya itu marah. Pertamanya ialah menyuruh orang ramai mengambil harta kedai Sadiq Segara dan kemudian menyedekahkan kedai milik Sadiq Segara kepada anak-anak yatim. Keduanya ialah Abdul Wahub menyuruh orang ramai mengambil harta-harta di dalam rumah Sadiq Segaraga dan akhirnya membuatkan Sadiq Segaraga marah dan dijual.

Apabila difikirkan semula tindakan Abdul Wahub adalah tidak salah kerana kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menghalalkan di dunia dan di akhirat sekiranya terjadi apa-apa selepas perjanjian itu ditandatangani. Malang bagi Sadiq Segaraga dia dipermainkan sendiri oleh perjanjian yang dipersetujuinya sendiri bersama Abdul Wahub.

Walaupun ini sebuah filem tidak lapuk ditelan zaman, ianya juga menjadi peringatan kepada kita semua apabila berurusan dengan semua orang. Yang lebih penting lagi ialah percakapan kita mengenai harta kita dengan orang lain.

Saya masih teringat pada tahun 2001 dahulu ketika saya di bangku sekolah di mana guru saya menceritakan bahawa ayahnya sendiri berhutang dengan kawannya hanya sebanyak RM150 sahaja. Sebagai cagarannya, ayahnya menawarkan sebidang tanah kepada kawannya sekiranya dia tidak dapat membayar sebanyak RM150 tersebut.

Walaupun kejadian ini berlaku 20 tahun sebelum itu, ayah guru saya itu bukannya tidak mempunyai duit untuk membayar RM150 tetapi sudah terlalu lama duit itu dipinjam dan berasa malu untuk membayarnya semula. Akhirnya, tanah itu yang berharga sebanyak RM40,000 mengikut nilai semasa diberikan kepada kawan ayahnya itu. Apalah sangat jika ingin dibandingkan antara RM40,000 dan RM150 ketika itu.

Begitulah realiti dalam kehidupan kita semua. Peringatan bagi saya dan saudara semua. Berhati-hatilah apabila berkata-kata apabila berurusan dengan semua orang. Kelak harta kita yang terlepas kepada orang lain. Jika tidak terlepas sekalipun, hati kita akan merasa tenang dan tenteram jika kita memungkiri kata-kata kita sendiri.

Wallhua’lam.