Sunday, May 31, 2020

Ulasan Buku: Anak Malaya di Republik Turki


Buku ‘Anak Malaya di Republik Turki’ adalah berkisar kisah mengenai pelajar yang bernama Thaqib Shaker yang menuntut di Izmir. Apabila dilihar dari cover buku ini saya fikir ianya sebuah buku travelog seperti buku ‘Jangan Berhenti Berlari’ tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman ataupun buku ‘Di Hamparan Shamrock Ku Seru NamaMu’ tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Malangnya, buku ini adalah menceritakan mengenai perlarian Syria di Izmir, Turki. Tajuk buku ini sepatutnya ‘Pelarian Syria di Izmir’. Penulisan buku ini agak mendatar dan tiada turun naik.

Penulis menceritakan bahawa orang-orang Turki sebenarnya menerima pelarian Syria di bumi Turki. Apabila saya bertanya kepada rakan saya yang menuntut satu kelas di Universiti Malaya, sebenarnya rakyat Turki tidak menerima kehadiran para pelarian Syria ini. Kadang-kadang pelarian ini membawa masalah di tempat mereka seperti masalah sosial dan sebagainya. Selain itu, Erdorgan pula sebenarnya mempunyai niat politik terhadap pelarian-pelarian ini dan membenarkan mereka tinggal di Turki. Apabila Eropah mencari masalah dengan Turki, Erdorgan akan mengugut untuk membuka sempadan negaranya supaya para pelarian Syria ini boleh memasuki mana-mana negara Eropah.

Buku ini berkisar mengenai bantuan penulis kepada para pelarian Syria sewaktu belajar di Izmir. Penulis suka memberi bantuan keperluan harian seperti minyak, garam, beras, dan patung kertas kepada para pelarian Syria ini. Penulis juga menceritakan mengenai sikap wanita Turki yang kurang menghormati suami mereka dan atas faktor ini lelaki Turki sudi memperisterikan gadis dari Malaysia kerana budaya wanita timur lebih menghormati suami mereka.

Pelarian-pelarian Syria yang melarikan diri dari negara mereka menggunakan khidmat penyeludup untuk memasuki Turki atau negara Eropah yang lain. Bayarannya ialah antara USD700-1,200 seorang. Pelarian-pelarian Syria yang berada di Turki amatlah ramai. Di Turki, terdapat 10 buah kota utama yang menjadi tumpuan para pelarian ini. Antaranya ialah Sanliurfa seramai 400,000 orang, Istanbul (395,000 orang), Hatay (387,000 orang), Gaziantep (326,000 orang), Adana (150,000 orang), Mersin (138,000 orang), Kilis (129,000 orang), Mardin (98,000 orang), Bursa (97,000 orang), dan Izmir (90,000 orang).

Banyak kisah suka-duka para pelarian di Syria di Izmir yang penulis ceritakan di dalam buku ini. Penulis juga menubuhkan pertubuhan sukarelawan bagi membantu para pelarian ini. Semoga konflik di Syria akan berakhir suatu hari nanti dan para pelarian ini boleh kembali semula ke tanah air mereka.

Wallhua’lam.

Wednesday, May 20, 2020

Di Celah-Celah Sifat Berjimat-Cermat Itu Mungkin Ada Barakahnya

Sabda Nabi Muhammad s.a.w., “Janganlah kamu membazir walaupun mengambil wuduk di sungai yang sedang mengalir.” Nah, dalam berwuduk sekalipun Nabi Muhammad s.a.w. melarang kita daripada membazir walaupun di sungai yang mengalir! Ini bermakna Islam juga menitikberatkan juga hal mengenai pembaziran.

Buku-buku kewangan yang ditulis oleh orang-orang Barat ataupun lebih tepat lagi ditulis oleh orang-orang kafir, ianya tidak akan menyebut soal keberkatan kerana ianya mengabaikan konsep ketuhanan. Apa maknanya jika bercakap mengenai kekayaan yang bertimbun tetapi tidak menyebut soal keberkatan? Inilah yang membezakan pengurusan kewangan antara orang-orang Islam dan orang-orang kafir. Apabila kita menyebut mengenai keberkatan, kita sebenarnya menyebut hal-hal yang berkaitan dengan ketuhanan ataupun dengan pemberi rezeki kepada kita. Dalam Islam, keberkatan itu adalah kebaikan yang bertambah.

Cuba kita kaitkan pula dengan wang gaji yang kita terima pada setiap bulan. Apakah dengan wang gaji yang kita terima itu pada setiap bulan mempunyai keberkatan? Apakah wang gaji kita itu dibelanjakan pada hal-hal yang membawa kebaikan kepada kita atau lebih penting lagi dibelanjakan untuk kehidupan kita di kampung abadi kelak? Jika wang gaji kita tiada keberkatan, kita membelanjakannya di tempat-tempat yang tidak halal. Sila tepuk dada tanya iman.

Apabila kita menyebut soal keberkatan, kita sebenarnya tidak boleh lari daripada konsep berjimat-cermat. Hatta dalam soal makanan pun kita tidak boleh membazir walaupun sisa-sisa makanan yang masih melekat di jari kita. Pada yang halus itu, mungkin ada barakahnya yang Allah s.w.t. berikan kepada kita. Sepertimana kisah tuan rumah saya dahulu yang menceritakan kepada saya, walaupun dia bekerja sebagai guru dengan gred DG48 dan isterinya tidak bekerja manakala rakannya bekerja sebagai guru dengan gred DG54 dan isterinya juga bekerja sebagai guru dengan gred DG48 tetapi tuan rumah saya itu menaiki kereta Mercedes Benz dengan tinggal di rumah landed sendiri. Manakala rakannya pula hanya menaiki Proton Wira dengan tinggal di rumah teres satu tingkat. Di mana silapnya? Silapnya ialah rakannya itu suka membazir dengan suka membeli pakaian-pakaian baharu walaupun pakaian-pakaian lama masih boleh dipakai dan digunakan.

Inilah kehebatan mencari keberkatan dalam pengurusan kewangan kita dalam kehidupan. Kebaikan yang bertambah walaupun dengan gaji yang tidak seberapa dan kadang-kadang boleh mengalahkan gaji-gaji pegawai kerajaan gred Jusa A!

Apabila menyebut mengenai pengurusan kewangan, ianya adalah konsep untuk menumpukan penambahan ekuiti ataupun harta. Harta ini terpulang kepada anda sama ada hartanah ataupun emas ataupun duit berkepuk dalam ASB ataupun Tabung Haji. Apabila kita cuba mengaitkannya dengan konsep berjimat-cermat, lebihan daripada wang pendapatan kita dapat digunakan untuk penambahan ekuiti ataupun aset kita.

Kesilapan kita dalam pengurusan kewangan kita ialah kita gagal memberi nilai yang tinggi terhadap wang 1 sen. Apabila kita cuba mengaitkannya dengan soal keberkatan, kadang-kadang Allah s.w.t. memberi keberkatan kepada nilai 1 sen ini kepada kita. Kadang-kadang kita tidak sedar dengan duit kita dan hanya sedar apabila ianya telah tiada dalam dompet kita kerana dibelanjakan pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya.

Pokoknya di sini ialah kita menitikberatkan aspek keberkatan dalam hidup ini dengan mengamalkan gaya hidup dengan sifat jimat-cermat. Inilah yang membezakan kita sebagai orang Islam dengan orang-orang kafir. Sesungguhnya pada celah-celah yang halus itu ada barakahnya.

Wallahua’lam.

Wednesday, May 13, 2020

Memiliki Perniagaan tetapi Tidak Menjadi Peniaga, Memiliki Pelaburan tetapi Tidak Menjadi Pelabur

Agak menarik juga jika kita berfikir bait-bait ini, “Memiliki perniagaan tetapi tidak menjadi peniaga, memiliki pelaburan tetapi tidak menjadi pelabur.” Saya mula terfikir mengenai perkara ini apabila terbaca sebuah buku kewangan. Jika difikirkan semula, ada benarnya perkara ini jika kita membuat secara ‘joint venture atau jv bersama dengan orang lain. Dengan kata lain, kita menjadi ‘sleeping partner’ ataupun ‘rakan kongsi tidur’ sahaja.

Akan tetapi, kita sebenarnya tidaklah mendapat 100 peratus hasil daripada perniagaan ataupun pelaburan apabila menjalankan usaha-usaha ini bersama dengan orang lain. Ini bermakna orang yang menjalankan pelaburan ataupun bisnes yang mendapat bahagian yang lebih hasil keuntungan yang diperolehi. Mereka ini sebenarnya bertindak sebagai pengusaha sebenar yang berani menghadapi risiko untuk menjana pendapatan ataupun keuntungan daripada wang kita.

Sebagai pekerja makan gaji, kita sudah tentu terikat dengan waktu kerja dengan majikan. Adalah amat mustahil jika ingin menjadi peniaga sepenuh masa ketika ini dengan membuat dua kerja dalam satu masa. Oleh itu, jalan mudah jika ingin menjalankan perniagaan ialah membuat secara ‘partnership’ dengan orang lain. Modal yang digunakan adalah milik kita dan kita boleh mengupah orang untuk menjalankan bisnes kita.

Saya ada seorang rakan yang menjalankan bisnes pokok getah. Walaupun dia bekerja di Kuala Lumpur tetapi dia mempunyai ladang getah di kampungnya, Kelantan. Apa yang dilakukan oleh beliau untuk menjalankan bisnes getahnya? Caranya ialah beliau mengupah orang bagi menjaga ladang getah beliau. Hasil getah yang dijual dibahagi sama rata antara beliau dengan orang yang menjaga ladang getah beliau tersebut.

Sebenarnya, banyak lagi peluang pelaburan di luar sana selain daripada Amanah Saham Bumiputera (ASB) ataupun Tabung Haji (TH). Sebagai orang Melayu ataupun Bumiputera, kita tidak lari daripada membuat pelaburan bagi kedua-dua tabung ini. Namun begitu, kita boleh membuat lagi pelbagai pelaburan lain yang masih banyak lagi di luar sana. Tidak kira sama ada hartanah, emas, dan sebagainya.

Memiliki perniagaan dan pelaburan adalah penting sebagai sumber pendapatan pasif kita. Kita tidak perlu bekerja tetapi wang datang kepada kita. Kita hanya perlu mempunyai modal untuk menjalankan bisnes. Apa yang lebih penting lagi kita sudah membuat persediaan di hari tua nanti apabila telah pencen kelak.

Wallhua’lam.

Monday, May 4, 2020

‘Great Game’ di Iran



Objektif utama perjanjian Anglo-Rusia pada tahun 1907 adalah untuk menyelesaikan persaingan antara Britain dan Rusia bagi kepentingan mereka di Asia Tengah. Persaingan kuasa politik ini dikenali sebagai ‘Great Game’ dan Iran menjadi wilayah sasaran bagi kedua-dua kuasa besar ini. Sejak kurun ke-19M. Ketika ini, Iran dipimpin oleh Dinasti Qajar (1794-1925M). Dinasti Qajar ini mewarisi wilayah Iran yang lemah akibat persaingan kuasa-kuasa besar dunia dan perang saudara yang meletus di wilayah sendiri. Britain meluaskan empayarnya di India sehingga ke bahagian sempadan timur di Iran manakala Rusia pula meluaskan pengaruhnya di Laut Kaspian di bahagian selatan Iran. Dengan kata lain, Iran tidak dapat mengelak daripada menjadi mangsa ‘Great Game’ yang dicetuskan oleh kuasa-kuasa besar ini.

Sumber: Eric Hooglund, “Iran and World War I” dlm. M. Hakan Yavuz dan Feroz Ahmad, War and Collapse: World War I and The Ottoman State, (Salt Lake City: The University of Utah Press).

Sunday, May 3, 2020

Bagaimana Orang-Orang Melayu Menunaikan Haji pada Tahun 1924?

Makkah Ketika Era Pemerintahan Uthmaniyah.


Haji Abdul Majid bin Zainuddin, Pegawai Haji Tanah Melayu yang pertama telah mencatatkan pengalamannya menunaikan haji pada tahun 1924. Antara catatan beliau yang menarik adalah seperti berikut:

• Kos menunaikan haji sekitar 500 hingga 600 Ringgit Malaya.

• Jemaah haji akan bertolak / mula belayar pada bulan Rejab iaitu lima bulan sebelum bulan Haji (Zulhijjah).

• Sebelum berangkat menunaikan haji, kenduri doa selamat akan diadakan oleh orang yang ingin menunaikan haji.

• Ada dua pelabuhan untuk berangkat ke Mekah iaitu Singapura dan Pulau Pinang.

• Pelayaran dari Tanah Melayu ke Mekah mengambil masa antara 13 hingga 17 hari.

• Sebelum kapal sampai ke pelabuhan Jeddah, kapal akan singgah di Pulau Camaran yang terletak sekitar 500 batu dari pelabuhan Jeddah terlebih dahulu untuk dikuarantinkan. Semua jemaah mesti mandi dengan air garam dan mereka mesti mencuci pakaian mereka dengan wap pembasmi kuman.

• Kapal laut hanya akan berlabuh sekitar 5 batu dari pelabuhan kerana pelabuhan Jeddah banyak batu karang.

• Dari kapal laut, jemaah haji akan menaiki perahu Arab yang dinamakan sebagai Dhow bersama semua barangan mereka menuju ke pelantar pelabuhan Jeddah.

• Jemaah haji akan dipimpin oleh seseorang yang dinamakan sebagai Syeikh Haji yang mana bertindak sebagai mutawif dan pembimbing.

• Sampai di pelabuhan, barangan mereka akan diperiksa oleh kastam dan seterusnya mereka akan membawa barang mereka ke atas kereta keldai lalu di bawa ke rumah tumpangan yang telah disediakan.

• Kota Jeddah kotor, berdebu dan sempit serta banyak nyamuk dan lalat.

• Di situ ada telaga besar sebagai sumber air dan air di Jeddah tidak sebaik air di kampung-kampung Melayu.

• Jemaah haji tidak boleh tinggal di Jeddah lebih dari dua hari.

• Sebelum bertolak ke Mekah, jemah haji telah siap memakai ihram. Perjalanan dari Jeddah ke Mekah mengambil masa dua hari dengan menaiki unta. Seekor unta dinaiki oleh dua orang Jemaah.

• Jemaah haji Tanah Melayu akan singgah bermalam di sebuah tempat yang bernama Bahra. Di sini terdapat orang-orang Arab Badwi yang menjual kayu api. Setiap jemaah akan memasak sendiri nasi dan lauk yang mereka bawa dari tanah air.

• Masalah besar yang dihadapi oleh jemaah haji Tanah Melayu ialah bekalan air mereka sering dicuri oleh orang Arab ketika mereka bermalam. Ini menyebabkan mereka kehausan dalam perjalanan ke Mekah.

• Apabila sampai di Mekah, mereka akan menunaikan umrah terlebih dahulu yang dinamakan di kalangan orang Melayu sebagai ‘haji kecil’.

• Sumber air di Mekah jauh lebih bersih dari Jeddah kerana terdapat air yang dialirkan dari pergunungan Taif ke Mekah melalui terusan Zubaidah.

• Di sekeliling Kaabah, terdapat empat buah pondok iaitu tempat imam-imam bagi keempat-empat mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.

• Pada satu dan dua Ramadan, jemaah haji Tanah Melayu akan berangkat ke Madinah bagi menziarahi masjid dan makam Nabi sallallaahu alaihi wasallam .

• Selepas menunaikan tawaf wida’, jemaah haji Tanah Melayu akan menaiki unta untuk menuju ke Madinah. Perjalanan ke Madinah mengambil masa 13 malam.

• Jalan dari Mekah ke Madinah ada dua yang pertama dinamakan sebagai Jalan Sultan dan yang kedua dinamakan sebagai Jalan Ghir.

• Jika jemaah haji melalui Jalan Sultan, maka mereka akan singgah di 11 buah perhentian untuk berehat iaitu Wadi Fatimah, Asfan, Dof, Qadimah, Rabigh, Mastura, Bir Syaikh, Bir Hassan, Bir Khalas, Bir Abbas dan Bir Darwish.

• Jemaah haji hanya akan melakukan perjalanan pada waktu malam kerana mengelak cuaca yang panas. Perjalanan setiap hari bermula sekitar pukul 4 petang dan singgah berhenti pada pukul 4 pagi.

• Sepanjang dalam perjalanan, jemaah haji tidak dibenarkan mengambil air telaga kerana telaga-telaga adalah milik puak-puak Arab Badwi. Maka mereka terpaksa membeli air-air yang dijual oleh Arab Badwi yang mana air-air itu dibawa dengan bekas kulit kambing.

• Walau bagaimanapun, di Wadi Fatimah terdapat saluran air semulajadi. Maka di sinilah rombongan jemaah haji berpeluang untuk mandi dan membasuh baju dengan percuma.

• Disebabkan perjalanan dilakukan pada waktu malam, rombongan jemaah haji terdedah dengan bahaya rompakan dan peras ugut dari puak-puak Badwi. Ramai jemah haji yang dirompak dan diperas ugut. Ada yang ditahan selama beberapa hari yang menyebabkan mereka tiba di Madinah lebih dari 13 malam. Malah ada yang dibunuh.

• Jemaah haji penulis sendiri ditahan di Bir Abbas selama 9 hari.

• Semasa zaman pemerintahan Khalifah Uthmaniyah, perkara ini tidak berlaku kerana setiap rombongan jemaah haji akan diiringi oleh tentera-tentera Uthmaniyah.

# Ada banyak lagi catatan yang menarik yang dikongsikan oleh Haji Abdul Majid terutamanya tentang peristiwa haji. Setakat ini dulu perkongsian saya buat kali ini. Jika ada waktu, saya akan kongsikan lanjutan catatan kisah mengerjakan haji oleh Haji Abdul Majid ini. Betapa mujahadahnya nenek moyang kita dulu mengerjakan haji. Itu belum lagi diceritakan tentang kesusahan semasa dalam pelayaran sehingga menyebabkan ramai yang meninggal dunia.

Tulisan asal,
Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam