Datuk Abdul Rahim Abu Bakar.
Menteri Besar Pahang, Datuk Abdul Rahim
Bakar (19 Julai 1978 hingga 7 November 1981) adalah antara wira politik tanah
air yang “tercedera’ dalam perjuangan untuk membuat perubahan secara radikal.
Beliau terpaksa meletakkan jawatan lebih awal sebelum cukup tempoh kerana
melanggar tradisi dan berkrisis dengan istana.
Mungkin tindakannya untuk membetulkan
pentadbiran negeri Pahang terutama sekali mengenai sistem pembalakan terlalu
drastik dan tidak kena pada masanya kerana ketika itu Dr. Mahathir pun baru
sahaja menjadi Perdana Menteri yang memerlukan sokongan semua pihak termasuk
istana untuk kestabilan politik bagi pengukuhan kedudukannya.
Rahim telah berundur daripada jawatannya
enam bulan sebelum pilihan raya umum 1982 dan jawatannya itu dipangku oleh
Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman sehinggalah Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengambil
alih secara rasmi jawatan Menteri Besar Pahang menerusi pilihan raya umum 1982.
Dalam bukunya Krisis Sultan-MB: Apa
Sebenarnya Terjadi, Chamil Wariya mencatatkan, sekalipun sebagai Menteri Besar,
Rahim hadir pada upacara keputeraan Sultan Pahang pada 1980 tetapi beliau tidak
dibenarkan berucap dan pada hari keputeraan 1981, beliau langsung tidak
dijemput ke upacara itu.
Tindakannya yang paling ketara ialah
memperkenalkan sistem tender terbuka bagi syarikat-syarikat mendapatkan kawasan
pembalakan di Pahang dengan memberikannya kepada syarikat yang menawarkan harga
paling tinggi.
Ini mencetuskan kontroversi antaranya
dengan beberapa orang pemimpin politik negeri dan pihak lain yang
berkepentingan. Jalan keluar baginya untuk meredakan ketegangan politik di
Pahang ialah meninggalkan negeri itu dan pemergiannya mencatatkan sejarah
sebagai seorang pemimpin revolusiner yang “tercedera” dalam perjuangannya,
sebagai seorang Menteri Besar yang kontroversi tetapi berkredibiliti.
Bagaimanapun, dalam masa yang singkat
beliau telah meninggalkan jasa yang besar terutama sekali dari segi
membangunkan bandar-bandar kecil untuk penempatan peniaga-peniaga Melayu
sekalipun tidak terlaksana sepenuhnya tetapi menampakkan visinya yang jelas.
Beliau berpandangan orang Melayu tidak
mampu bersaing dengan peniaga bukan Melayu yang telah lama bertapak di sesuatu
kawasan kecuali dibangunkan bandar baharu berserta pembangunan kawasan
perumahan bagi mereka yang sanggup berpindah.
Dalam kebanyakan tindakannya yang radikal,
beliau lebih dahulu merujuk kepada Perdana merujuk kepada Perdana Menteri,
Hussein Onn yang merestui dan menjadikan beliau berani dan bertegas.
Pemikiran dan tindakannya untuk
transformasi sosial dan politik di Pahang amat jelas dalam suatu interviu
dengan Rosnah Majid hampir 30 tahun lalu yang tidak dapat disiarkan kerana
tidak sesuai dengan suasana politik pada masa itu.
Saya menemui skrip interviu itu di dalam
sebuah fail simpanan saya yang tercatat cadangan siarannya pada Utusan Melayu
dan Utusan Malaysia keluaran 27 dan 28 April 1981 tetapi keputusan dibuat oleh
pucuk pimpinan parti “tidak perlu disiarkan.” Nota mengenainya tertulis di atas
skrip berita itu bertarikh 13 Julai 1981.
Dalam pendahuluan rencana wawancara itu,
Rosnah menulis pegangan hidup Rahim ialah “Jika takut dipukul ombak, jangan
berumah di tepi pantai.”
“Bagi anak nelayan Beserah ini, ombak
adalah hidupnya. Lantaran itulah beliau menerima tanggungjawab sebagai Menteri
Besar Pahang kira-kira tiga tahun lalu, meskipun gelombang terpaksa diharunginya.”
Kata Rosnah yang kemudiannya juga menyertai
politik di Kedah dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Dawai,
“Pelantikan Haji Abdul Rahim Bakar mengetuai pentadbiran negeri yang kaya
dengan balak itu telah merancakkan lagi politik Pahang malah ributnya menjalar
hingga ke peringkat pusat.”
Salah satu gelombang besar yang timbul di
sepanjang hampir tiga tahun beliau memerintah ialah percubaan mengadakan undi
tidak percaya kepadanya hingga Hussein Onn terpaksa campur tangan secara
langsung dan mengambil tanggungjawab menjadi Ketua Perhubungan UMNO Pahang.
Ditanya oleh Rosnah mengapa beliau menjadi
seorang Menteri Besar yang paling banyak diperkatakan dan paling kontroversi,
Rahim menjawab: “Saya adalah menteri besar dan wakil rakyat yang termuda di
Pahang. Faktor umur ini telah mengakibatkan pelbagai persoalan lain termasuk
kurang keyakinan, pemimpin yang mempunyai corak pemikiran baru yang tidak
mengikuti cara pemikiran lama dan pelbagai lagi.”
Sebab kedua yang menimbulkan kontroversi
ialah barangkali kerana beliau datang bukan daripada keluarga bangsawan dan
kenamaan, sebaliknya daripada keluarga miskin, nelayan Berserah.
Hal ini berbeza berbanding tiga Menteri
Besar terdahulu. Jadi kehadirannya menduduki tempat terpenting di Pahang itu
telah menyalahi kebiasaan sebelum ini.
Satu lagi perbezaan beliau dengan
menteri-menteri besar Pahang sebelum ini ialah semua mereka mendapat gelaran “Datuk”
sebelum mereka menjadi menteri besar.
Menerusi pemberian gelaran itu, saty
hakikat yang nyata ialah segala kerja seseorang itu telah dicatatkan dan diakui
tetapi berlainan dengan beliau yang kini hanya mempunyak gelaran “Haji”.
Selain itu, Rahim merupakan Menteri Besar
Pahang yang pertama mempunyai kelulusan universiti – Sarjana Muda Ekonomi
(Kepujian) Universiti Malaya, berbanding dengan menteri-menteri besar sebelum nya.
Katanya, “Saya tidak berkata bahawa mereka
yang berkelulusan universiti lebih baik daripada mereka yang tidak berkelulusan
tetapi saya hanya menyatakan perbezaan antara saya dengan menteri besar
terdahulu.”
Oleh kerana Rahim sebelumnya memegang
jawatan kerajaan dan tidak dapat aktif secara terang-terangan dalam politik
maka beliau telah dianggap tidak menghayati aspirasi UMNO kerana tidak datang
dari akar umbi.
Kepada pemerhati politik di luar Pahang,
satu perubahan yang dilakukan oleh Rahim ialah mematikan “Politik Balak” di negeri
itu. “Apakah ini merupakan punca utama mencetuskan kontroversi?” tanya Rosnah.
Rahim menjawab, “Saya tidak menganggap soal
balak menjadi punca utama. Bagaimanapun, cara saya menguruskan perusahaan pembalakan
di Pahang sekarang ternyata menimbulkan sedikit tidak senang dalam kalangan
beberapa pihak.”
Menurutnya, sejak beliau menjadi menteri
besar yang juga ketua eksekutif, beliau telah mengadakan tender secara terbuka
dalam menjual kawasan pembalakan kepada syarikat-syarikat pembalakan.
Caranya ialah mana-mana syarikat yang menawarkan
harga paling tinggi, syarikat itulah yang memperoleh kawasan balak. Beliau
tidak lagi memberikan kawasan balak dengan harga yang murah kepada mana-mana
juga pihak.
“Antara 50 hingga 60 peratus daripada hasil
Pahang datangnya dari balak. Jadi jika soal balak tidak diuruskan dengan baik
sedangkan ia adalah harta rakyat yang diamanahkan oleh Tuhan, maka negeri Pahang
akan kekurangan modal untuk pembangunan,” katanya.
Bagi tuduhan bahawa cara ini akan mematikan
usahawan bumiputera, Rahim menjawab, “Kalau saya memberi kawasan balak dengan
kadar yang rendah, ini tidak bermakna saya melahirkan usahawan bumiputera
kerana kawasan itu akan terserah juga kepada bukan bumiputera.”
Sekalipun Rahin dilantik oleh pucuk
pimpinan tertinggi UMNO untuk mengetuai Pahang dan bukannya dari bawah, tetapi
prinsipnya ialah pergi kepada rakyat bawahan kerana katanya, “Apabila saya
melihat pemimpin, saya melihat rakyat di belakang beliau. Jadi apabila saya
bekerja untuk kepentingan rakyat, saya percaya itulah juga yang dikehendaki
oleh semua pemimpin UMNO.”
Beliau mengakui bahawa beliau bukanlah ahli
politik seperti yang diharapkan oleh sesetengah pihak tetapi, “Saya percaya
bahawa cara saya adalah cara yang sepatutnya dilakukan oleh seorang ahli
politik.”
Bagi Rahim, politik adalah satu aktiviti
ntuk mendapatkan kuasa bagi membela nasib kaumnya.
Daripada pengalamannya, Rahim berpendapat
perubahan yang paling sukar dilakukan oleh manusia adalah untuk mengubah
fikiran manusia sendiri. Katanya, membangunkan rakyat di Pahang dari segi nilai
dan sistem adalah lebih rumit daripada membangunkan muka bumi.
Rahim telah mengambil langkah drastik bagi
mengubah cara hidup di kampung kepada cara hidup di bandar yang lebih dinamik,
kompetitif dan maju. Meletakkan masyarakat Melayu di bandar dan menjadikan
mereka orang bandar, inilah yang menimbulkan beberapa masalah yang mesti
diselesaikan oleh pihak pentadbir.
Menyedari hakikat ini, Rahim meletakkan
satu matlamat yang realistik iaitu hanya sebahagian tertentu sahaja daripada
seluruh masyarakat sanggup menerima perubahan dalam jangka masa tertentu.
Bagi Rahim kumpulan yang dinamik ialah
kumpulan yang sanggup berpindah dari kampung ke bandar. Sementara mereka yang
akan ketinggalan ialah mereka yang tidak sanggup menempuh hidup baru iaitu mereka
yang mahu menetap di kampung.
Untuk itu kerajaan perlu membina bandar baharu
yang memenuhi syarat perancangan baik dari segi letak bangunan dan jalan hinggalah
penduduknya mencerminkan kehendak Dasar Ekonomi Baru.
Beliau tidak yakin orang Melayu dapat bersaing
di bandar lama di mana bukan Melayu telah lama bertapak kerana kehadiran mereka
yang terkemudian akan membuat mereka terumbang-ambing.
Keadaan ini wujud kerana tempat yang
strategik dan mengandungi kuasa beli yang teramai telah diduduki oleh pihak lain
dan jika ada pun tempat berniaga diberikan kepada mereka, tempat itu lebih
merupakan lebihan dari tempat yang telah diduduki.
Di sinilah letaknya kepentingan
bandar-bandar baharu dalam melahirkan masyarakat peniaga yang boleh bergerak
lebih jauh dan luas lagi.
Rosnah membuat kesimpulan daripada
wawancara itu bahawa dengan menggunakan kekuatan mental dan fizikal, manusia
telah berjaya membuat pelbagai perubahan di dunia ini; hutan rimba ditukar
menjadi bandar, laut ditimbus menjadi darat dan darat dikorek menjadi terusan.
Tetapi di sebalik perubahan itu terselit
satu hakikat bahawa perubahan yang paling sukar dilakukan oleh manusia ialah
mengubah fikiran manusia sendiri.
Dalam hal ini beliau meletakkan harapan
yang sangat besar kepada pegawai-pegawai kerajaan kerana sebagai bekas pegawai
kerajaan beliau lebih tahu tentang sikap sesetengah pegawai kerajaan.
“Masalah saya dengan pegawai-pegawai
kerajaan ialah saya mahu mereka bekerja kuat. Mana yang rajin, mereka suka
bekerja, tetapi yang agak curi tulang, mereka inilah yang tidak sukakan saya,”
katanya.
Saya telah menyimpan hampir 30 tahun
wawancara Rosnah dengan Rahim yang tidak dapat disiarkan semasa saya menjadi
Pengarang Utusan Malaysia dan Tan Sri Mazlan Nordin sebagai Ketua Pengarang Kumpulan
Utusan.
Kembalinya Abdul Rahim ke rahmatullah telah
memberikan nilai yang sangat tinggi kepada wawancara ini untuk disiarkan
sekarang bagi dibaca, dihayati, dan dikongsi bersama sebagai panduan kepada
penerusan perjuangan berani oleh generasi baharu untuk menghapuskan gejala
penyalahgunaan kuasa demi kepentingan rakyat terbanyak.
Rahim telah melakukan sedapat mungkin untuk
berbakti kepada rakyat sehingga tidak membenarkan rakan-rakan bekerja di
bawahnya kerana katanya, “Sudah menjadi tabiat saya, dalam bekerja saya tidak
mengenal kawan. Ini berbeza semasa saya bersukan.”
Di akhir wawancara dengan Rosnah itu Rahim
berkata, “Kadang-kadang saya terfikir yang saya menuntut terlalu banyak
daripada pegawai-pegawai supaya mereka bekerja kuat, tetapi sebenarnya bukan
saya yang meminta terlalu banyak, tetapi rakyat yang meminta para pegawai
bekerja kuat.
“Kerana tuntutan begini, kadang-kadang saya
hilang kawan. Saya berasa sedih, tetapi saya sedar saya tidak boleh melayan
selamanya melayan perasaan kecewa begitu. Sebagai menteri besar, saya perlu
memenuhi tanggungjawab yang diletakkan di bahu saya,” tegasnya.
Sumber: Zainuddin Maidin, Hari Itu Sudah
Berlalu, 2011.
Ulasan:
Saya tidak mengenal nama Datuk
Abu Bakar Rahim – Seorang Menteri Besar Pahang yang sehinggalah saya membaca
buku (Allahyarham) Zainuddin Maidin ini. Menteri besar ini penuh kontroversi
apabila menjalankan tugasnya dengan penuh amanah yakni melanggar nilai-nilai
norma politik masyarakat Melayu. Apabila disebut dengan politik Melayu, sudah
tentu ianya tidak dapat lari daripada kronisme atau nepotisme yang mementingkan
suku-sakat atau kepentingan pemimpin-pemimpin parti politik. Sememangnya orang
yang jujur melaksanakan amanah tugas mereka, kebiasaannya akan memegang jawatan
mereka sekejap sahaja di dunia ini. Begitu juga dengan Datuk Abu Bakar Rahim
yang hanya berkesempatan memegang jawatan Menteri Besar Pahang selama 3 tahun
sahaja. Idea beliau untuk melaksanakan proses pembandaran masyarakat Melayu
ketika itu dengan menggunakan kuasa politik yang ada sudah tentu tiada tolok
bandingnya untuk dilaksanakan ketika itu apatah lagi pada akhir tahun 1970-an tempoh
ini boleh dianggap negara baru sahaja mencapai kemerdekaan di samping untuk
mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru. Sudah tentu pemimpin yang tegas sebegini
sukar dicari ganti di kalangan pemimpin politik Melayu pada hari ini kerana masing-masing
ingin menjaga kepentingan kroni ataupun parti yang mendokong mereka menjadi
pemimpin.