Friday, January 10, 2020

Mampukah Keegoan Amerika Syarikat Dapat Ditundukkan oleh Iran?

Kalau namanya Amerika Syarikat, sudah tentu hidupnya adalah untuk mengganggu negara-negara lain khususnya negara umat Islam di Timur Tengah. Sejak dari tahun 2001, satu persatu negara umat Islam jatuh ke tangan Amerika Syarikat. Bermula dengan Afghanistan, Iraq, dan sasaran terbaru Amerika Syarikat sekarang ialah Iran. Sebuah negara umat Islam yang berfahaman syiah dan bukannya sunnah wa jamaah seperti negara kita Malaysia.

Pada 3 Januari 2020 yang lepas, dron milik Amerika Syarikat telah membunuh Ketua Jeneral Iran, Qasem Soleimani berhampiran dengan Lapangan Terbang Baghdad. Dalam pada itu, pemimpin tertinggi Iran iaitu Ayatollah Ali Khamenei dan Presidennya Hassan Rouhani telah bersumpah untuk membalas dendam terhadap Amerika Syarikat di atas kematian Qasem Soleimani. Hadiah berupa wang tunai sebanyak AS$80 juta atau RM327 juta ditawarkan kepada pihak yang berjaya mendapatkan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump susulan kematian Ketua Jeneral mereka. Dalam perkembangan lain Donald Trump memberi amaran untuk menyerang 52 lokasi kepentingan Iran jika negara ini bertindak balas bagi menuntut bela di atas kematian Qasem Soleimani. 

Pada 8 Januari 2020, Iran telah bertindak balas dengan melancarkan 22 roket ke atas penempatan tentera Amerika Syarikat di Iraq iaitu di pangkalan udara al-Asad di barat Iraq dan Irbil di sebelah utara. Menurut Pentagon, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku akibat serangan Iran ini. Jake Tapper dalam ulasan Twitternya antara lain menulis, “Pentagon official tells me that many US military leaders think Iran deliberately chose targets that would not result in loss of life especially US life: “Deliberate targets, minimum damage, maximum warning/effect.”

Manakala Tehran pula mendakwa pihak mereka telah membunuh sekurang-kurangnya 80 tentera Amerika Syarikat melalui serangan balas ini. Mehr News melaporkan perkara ini yang antara lain pula menulis, “An informed source at the Islamic Revolution Guards Corps said over 80 American troops were killed and some wounded in the IRGC’s missile strikes on the US airbase of Ain al-Assad in Anbar province in western Iraq.”

Siapakah yang betul dan siapakah yang tidak betul dalam melaporkan berita tindakbalas serangan Iran ini. Adakah pihak Pentagon ingin menjaga keegoan negara mereka dengan mendakwa tiada kematian yang berlaku. Adakah pihak Tehran yang benar kerana berjaya membalas dendam mereka ke atas Amerika Syarikat? 

Jika kita melihat kekuatan tentera Iran, kekuatan ketenteraan Iran dilihat amat bergantung kepada kekuatan peluru berpandu balistiknya kerana ketenteraannya adalah kurang. Antara peluru berpandu balistik yang dimiliki oleh Iran ialah Shahab 1 (boleh dilancarkan sejauh 300km), Shahab 2 (500km), Qiam-1 (750km), Fateh-110 (300-500km), Zolfaghar (700km), dan Shahab 3 (2,000km). Menurut Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Iran mempunyai kekuatan peluru berpandu (missile) yang paling besar di Timur Tengah. Manakala Iran mempunyai askar seramai 350,000 orang dan sekurang-kurangnya 150,000 orang berkhidmat dalam Islamic Revolutionary Guards Corp (IRGC).

Dalam serangan terbaru ke atas pangkalan tentera udara Amerika Syarikat, media Iran melaporkan peluru berpandu yang digunakan ialah Fateh dan Qiam. Qiam-1 yang boleh dilancarkan sejauh 750km boleh membawa muatan letupan sebanyak 750kg dan muatan letupan yang boleh dibawa oleh peluru berpandu Fateh pula lebih rendah daripada Qiam. Peluru berpandu Shahab 3 pula boleh membawa muatan letupan lebih daripada 750kg. 

Di Timur Tengah, Amerika Syarikat telah menempatkan tenteranya sebelum ini bagi menjaga kepentingannya di rantau ini. Di Afghanistan terdapat 12,000 orang tentera, Turki, (1,700 orang), Syria (500 – 1,000 orang), Jordan (3,000 orang), Iraq (5,000 orang), Kuwait (13,000 orang), Arab Saudi (3,000 orang), Qatar (10,000 orang), Bahrain (7,000 orang), dan UAE (5,000 orang) yang menjadikannya keseluruhan tentera Amerika Syarikha di Timur Tengah lebih daripada 60,000 orang.

Kita sudah tentu seboleh-bolehnya ingin mengelakkan peperangan berlaku di mana-mana negara di dunia ini apatah lagi sekiranya ianya ingin berlaku di negara kita. Akan tetapi, kita jangan lupa kepada firman Allah s.w.t. dalam al-Quran yang berbunyi, “Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahui.” al-Baqarah, 216.

Sejak dari tahun 2001, Afghanistan dan Iraq telah jatuh ke tangan Amerika Syarikat dengan menggunakan alasan yang direka-rekanya sendiri. Adakah Iran akan jatuh ke tangan Amerika Syarikat pula selepas ini?

Wallhua’lam.

No comments: