“Ya hukkam al-‘Arab, iftahoo al-Sujoon!”
Syeikh Hammam Said dengan suaranya yang padu menyampaikan khutbah Jumaat.
“Wahai pemerintah-pemerintah Arab, bukakan
pintu penjara!” Itulah seruannya dalam khutbah tengah hari itu. Syeikh Hammam
membantah tindakan Raja Hussein memenjarakan ramai aktivis Jabhah al-‘Amal
al-Islami di Jordan.
Saya yang mendengar khutbah itu terasa
seperti mahu terloncat bangun. Memang ramai ahli jemaah di masjid yang berdiri.
Kepanasan dan mendidih akibat menerima tiupan semangat khutbah Syeikh Hammam
Said, seorang pakar ‘illah dalam ilmu Hadis, pensyarah University of Jordan,
pemimpin Jabhah al-‘Amal al-Islami, ahli parlimen dan imam di Masjid Abdul
Rahman bin Auf di Sweileh, masjid yang diasaskan oleh al-Syahid Abdullah ‘Azzam
lebih sedekad yang lalu.
1994...
Begitulah suasana khutbah Jumaat di
Sweileh. Bukan sahaja di Sweileh malah di kebanyakan masjid di Jordan.
Oleh kerana Jumaat adalah cuti umum, maka
telah menjadi kebiasaan pada masa itu orang bermusafir ke sana sini dari Utara
ke Selatan, mencari lokasi khutbah yang sedap-sedap. Khutbah juga begitu
optimum kerana tiada had masa. Hanya maqlubah sahaja yang menggamit di rumah.
Selain dari itu, kebanyakan orang selesa meluangkan masa hingga satu jam
mendengar khutbah mingguan yang sangat membangunkan jiwa.
Oleh kerana hampir setiap minggu saya akan
keluar dari Mu’tah pergi ke Amman atau ke Irbid, maka khutbah Jumaat yang panas
dan menyuntik semangat, adalah amat dinanti-nantikan.
Di Masjid Abdul Rahman bin Auf di Sweileh,
dua orang khatib yang paling saya nantikan ialah Syeikh Solah Abdul Fattah
al-Khalidi dan Syeikh Hammam Said. Syeikh Solah sering mengingatkan saya kepada
Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana bahasanya yang tenang tetapi tajam. Manakala
Syeikh Hammam Said pula adalah seorang pemidato cili padi yang khutbahnya boleh
menyebabkan saya dan kebanyakan orang di masjid bulat biji mata, malah pernah
hingga berdiri kerana terangsang akibat letusan emosi di dalam dada dan minda.
MEMUNCAK
Namun dalam sederetan memori saya terhadap
khutbah Jumaat, kuliah Subuh, dan kelas-kelas pengajian bersama ilmuwan ini,
kemuncaknya adalah pada Oktober 1994.
Ketika itu Jordan sedang panas dengan
kedatangan Bill Clinton untuk mempengerusikan ‘Perjanjian Damai’ di antara
Jordan dan Regim Yahudi Israel pada 26 Oktober 1994. Perjanjian damai itu
diadakan di Wadi Arabah berhampiran sempada Eilat (Israel) dan Aqabah (Jordan)
dan saya menyaksikannya dengan penuh kehancuran jiwa melalui siaran langsung di
kaca televisyen.
Ia bukan perjanjian damai tetapi lebih
kepada penyerahan diri kerana kesan Perjanjian Damai itu, Jordan, telah
mengalami perubahan yang tidak dapat dipadamkan lagi.
Ia berlangsung pada hari Rabu.
Petang itu juga saya bertolak ke Amman, seperti
biasa. Tetapi kali ini dengan harapan untuk mendengar ulasan terkini ulama dan
pejuang Islam di Masjid Abdul Rahman bin Auf di Sweileh, tentang peristiwa
besar itu.
Pelbagai desas-desus yang telah kami
dengar. Dijangkakan pada hari Jumaat nanti akan berlaku kekecohan di sekitar
Sweileh iaitu antara kawasan yang dianggap kubu kuat golongan penyokong Ikhwan
dan perjuangan mujahidin di Palestin. Pelbagai peristiwa hitam pernah berlaku
di Sweileh, di sepanjang dekad pemerintahan Raja Hussein bin Talal.
JUMAAT, 28 OKTOBER 1994
Semenjak pagi Jumaat itu, saya dan rakan-rakan melihat kawasan
sekitar rumah kami sudah dipenuhi dengan trak tentera dan kereta perisai.
Terasa sedikit gerun, tetapi tiada tempat untuk kami pergi kerana memang di
situ kediaman ramai pelajar Malaysia zaman-berzaman. Rumah kami juga hanya
kira-kira 100 meter dari Masjid Abdul Rahman bin Auf, dan ia sentiasa dianggap
sebagai masjid terpenting tempat berkumpulnya semua pemimpin Ikhwan yang
kebetulan juga merupakan barisan ulama dan ahli akademik utama di negara
Jordan.
Maka jika Perjanjian Damai Wadi Arabah Rabu
lalu dianggap sebagai suatu pengkhianatan di kaca mata Islamis, maka di Masjid
Abdul Rahman bin Auf itulah tempat bantahan dijangka keluar.
Dengan lafaz Bismillah, saya dan rakan-rakan
menuju ke masjid untuk solat Jumaat. Mata kami menjeling kereta perisai dan
trak tentera di tepi-tepi jalan. Teringat pula kepada pelbagai peristiwa di
tanah air sendiri. Tidak lupa juga kepada Masjidil Aqsa yang kurang 100
kilometer dari kami.
Semasa masuk ke dalam masjid, saya dan
rakan-rakan sudah dapat melihat kelibat tokoh-tokoh penting seperti Dr. Hammam
Said dan Syeikh Solah sendiri, Dr. Abdul Qadir Abu Faris, malah Dr. Ishaq
Farhan juga ada sama.
Khutbah bermula...
Dr. Hammam Said mencela Perjanjian Damai
tersebut kerana ia adalah pengkhianatan Jordan kepada saudara seagama mereka
yang menderita di seberang sempadan. Syeikh Hammam juga mengutuk perbuatan Qari
yang membacakan ayat al-Quran dari surah al-Mumtahanah untuk menjustifikasikan.
Sepanjang khutbah berlangsung, saya
mendengar bunyi helikopter di atas masjid. Masjid juga jauh lebih sesak
daripada biasa.
HIBA
Syeikh Hammam Said menyampaikan khutbahnya
dengan penuh mantap. Khutbah panas, mengkritik satu demi satu isi kandungan perjanjian
dari sudut pertimbangan Islam, dan tanpa sedar hampir 40 minit masa berlalu.
Lalu Syeikh Hammam menundingkan jarinya ke
langit dari atas mimbar, meminta kepada Allah agar membersihkan bumi Israk dan
Mikraj ini daripada tercemar oleh pendirian-pendirian pemerintah Arab yang
berlutut di kaki Amerika. Masjid ‘pecah’ dengan tangisan!
Semasa mengimamkan solat Jumaat, Syeikh
Hammam mengisi rakaat yang pertama dengan bacaan surah al-Buruj. Setiap patah
yang dibaca, bagai ungkapan daripada Allah tentang nasib perjuangan Islam di
bumi Syam ini.
“Sesungguhnya orang-orang yang menyeksa dan
memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang
beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka
Jahanam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh azab api yang
kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).” al-Buruj, 10.
Ketika sampai di ayat ini, Syeikh Hammam
mengulangnya berkali-kali. Beliau menangis. Dan kami semua menangis. Seluruh
masjid berolat dalam keadaan yang sebak kerana masing-masing tahu bahawa
selepas Perjanjian Damai ini, sebarang suara yang mempertikai Regim Israel akan
dianggap jenayah dan bakal dikenakan tindakan.
Segala-galanya akan berubah di bumi Israk
ini... buat selama-lamanya.
Lemah lutut saya semasa mendengar ayat-ayat
cinta daripada Allah s.w.t. yang dibacakan oleh Syeikh Hammam:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan
beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa
sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar.” al-Buruj, 11.
ELAK PROVOKASI
Selesai solat Jumaat, Syeikh Hammam telah
segera bangun dan memberi peringatan kepada jemaah supaya keluar dari masjid
dengan tenang.
“Jangan layan sebarang provokasi yang
mengajak kepada perbalahan!” katanya.
Kami keluar perlahan demi perlahan.
Subhanallah... alangkah terkejutnya saya
melihat suasana di luar masjid. Hampir setiap penjuru Masjid Abdul Rahman bin
Auf dikelilingi oleh anggota tentera yang lengkap bersenjata. Saya melihat di atas
majid terdapat dua buah helikopter hitam mengawal suasana.
Seluruh barisan ulama yang hadir berada di
hadapan masjid, terus meminta orang ramai keluar dengan tenang dan kami
bergerak perlahan di celah banjiran orang ramai yang lebih jauh dari biasa.
Terdengar juga sedikit pertengkaran di
tepi-tepi pagar masjid, tetapi tiada sebarang insiden buruk berlaku.
Alhamdulillah, khutbah dan solat Jumaat
berakhir dengan tenang. Kami tiba di rumah sambil mengurut dada tanda lega.
MASJID ABU HURAIRAH BERMANDI DARAH
Tetapi, tidak lama selepas itu sampai
berita bahawa pertempuran tidak berlaku di Sweileh, sebaliknya di tempat lain.
Masjid Abu Hurairah di kawasan Nazal bermandi darah!
Syeikh Abdul Mun’im Abu Dzanat, iaitu
seorang lagi ahli parlimen Jabhah al-‘Amal al-Islami telah cedera teruk
dipukul. Ketika beliau mahu menaiki mimbar menyampaikan khutbah, pihak polis
telah menyekatnya dan mengarahkan seorang khatib dari Pejabat Ugama (Wizarah
al-Auqaf) menggantikan tempat Syeikh Abu Dzanat.
Syeikh Abu Dzanat tidak mengizinkannya
kerana masjid itu adalah masjidnya. Malah orang ramai di dalam masjid juga
membantah.
“Kami mahu mendengar khutbah Syeikh Abu
Dzanat, bukannya khutbah kami.” antara ayat yang dilaporkan kemudiannya di
dalam akhbar al-Sabeel.
Syeikh Abdul Mun’im Abu Dzanat naik ke
mimbar dan memulakan khutbahnya.
“Wahai anggota polis, jadilah kamu semua
hamba kepada Allah . . . dan janganlah kamu menjadi hamba kepada Clinton dan
pemerintah Arab itu!” Begitu lantang Syeikh Abu Dzanat bersuara.
Selepas solat Jumaat dan ketika Syeikh Abu
Dzanat keluar dari pintu masjid, sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu baton
yang lazimnya digunakan oleh pihak polis telah memukul kepala Syeikh Abu Dzanat
hingga berdarah. Syeikh Abu Dzanat rebah dan kemudiannya diangkut oleh polis ke
dalam lori mereka. Beberapa orang jemaah masjid juga cedera sama.
Beliau tidak dibawa ke hospital, sebaliknya
diheret ke balai polis untuk soal siasat! Apabila Syeikh Abu Dzanat pitam
akibat pendarahan yang teruk, barulah beliau dibawa ke hospital untuk rawatan.
Nasib seoran ahi palimen yang mempertahankan Islam dan Muslim.
Namun saya kagum dengan Syeikh Abu Dzanat
kerana hanya seminggu selepas kejadian itu, beliau sudah pun berdiri di
parlimen dengan kepala yang masih berbalut, untuk meneruskan tugasannya yang
diamanahkan rakyat. Lantang dan bernas seperti biasa.
BERUBAH SELAMA-LAMANYA
Semenjak kejadian itu, suasana Jordan
berubah. Ramai ulama ditangkap dan mereka diharamkan daripada memberikan
khutbah atau ceramah di masjid-masjid. Khutbah Jumaat yang dahulunya begitu segar,
sedikit demi sedikit mula terhakis. Seakan-akan tiada apa yang berlaku di
seberang sempadan, khutbah Jumaat diisi dengan tajuk-tajuk semangat kejiranan,
sabar, ikhlas, yang diulas jauh daripada realiti yang sedang menuju kehancuran.
Perjanjian Damai itu juga membuka pintu
Jordan kepada kemasukan unsur-unsur yang merosakkan rakyat. Televisyen Israel
yang penuh seks dilepaskan penyiarannya ke Jordan. Kelakuan rakyat Jordan jelas
berubah sebelum dan selepas Perjanjian Damai itu. Moral rakyatnya berubah sama
sekali.
Silibus pengajian kami di Fakulti Syariah
juga dirombak hingga mata pelajaran Dakwah dimansuhkan jam kredit praktikanya,
beberapa subjek dibatalkan, pelajar Sastera Arab diwajibkan mempelajari Bahasa
Hebrew dan paling utama . . . institusi khutbah Jumaat terus beku dan layu . .
.
Perjalanan itu berlanjutan ke hari ini
sehingga ke hari ini sehingga kepada kepulangan saya ke Malaysia pada akhir
2004, khutbah Jumaat adalah hukuman mingguan ke atas saya lantaran mandulnya ia
dari fungsi yang telah diwariskan oleh Rasulullah s.a.w.
Sesungguhnya mimbar itu adalah mimbar
Rasulullah s.a.w. Setiap khatib mewarisinya dari baginda . . . maka sampai bilakah
kita harus mengkhianatinya?
Sumber: Hasrizal
Abdul Jamil, Rindu Bau Pohon Tin, 2012.
Ulasan :
Daripada kisah ini dapat kita fahami bahawa
betapa negara Jordan ini telah dibaculkan oleh rejim Israel apabila pemimpin
mereka sendiri iaitu Raja Hussein telah membuat perjanjian damai yang
menyerahkan maruah umat Islam kepada Israel. Tidak kurang itu juga negara
Jordan juga terpaksa menggubal semula sukatan silibus pembelajaran di
universiti kerana tunduk kepada Israel. Di samping itu juga umat Islam di
Jordan dihidangkan dengan siaran-siaran seks yang sudah tentu melemahkan akal
fikiran umat Islam.
Sebelum perjanjian damai ini ditemeterai,
kita dapati bahawa khutbah-khutbah di masjid negara Jordan ini penuh dengan
suntikan-suntikan semangat jihad oleh khatib mereka. Realiti di Malaysia pula
ialah para khatib membaca khutbah-khutbah yang mana hadirin yang sudah maklum
dengan sesuatu perkara iaitu seperti makan sayur-sayuran, kepentingan menjaga
masa, kepentingan menuntut ilmu, dan sebagainya. Sepatutnya, medah khutbah
digunakan untuk menegur kesilapan para pemimpin, ahli masyarakat yang sering
membuat maksiat, dan sebagainya.
Wallahua’lam.