Friday, September 20, 2019

Masjid Merupakan Asas Taqwa

Salah satu tanda orang-orang yang beriman ialah mendirikan solat di masjid. Pengiktirafan Allah s.w.t. ke atas orang-orang yang mendirikan solat di masjid merupakan orang beriman ialah terdapat dalam al-Quran yang berbunyi seperti berikut :

“Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta (tetap) melaksanakan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada apa pun) kecuali kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk.” Surat at-Taubah: 18.

Kelebihan solat jemaah pula bukan sahaja mendapat pahala 27 kali ganda daripada solat berseorangan di rumah malah para ulama menyatakan bahawa apabila kita menunaikan solat berjemaah di masjid, Allah s.w.t. akan mengira kesempurnaan solat kita secara ‘bundle’. Dengan kata lain, apabila seseorang itu menunaikan solat di masjid, Allah sw.t. akan mengira semua orang yang menunaikan solat jemaah itu adalah sempurna.

Perumpamaannya ialah apabila kita membeli sebiji durian dengan selonggok durian yang berada di dalam sebuah bakul. Jika kita ingin membeli sebiji durian, sudah tentu kita akan memeriksa betul-betul durian tersebut adakah ianya elok untuk dimakan ataupun tidak. Jika kita ingin membeli selonggok durian di dalam sebuah bakul, kita sudah tentu tidak sempat untuk membelek-belek durian tersebut setiap satu dan akan terus membeli kesemuanya. 

Bak kata imam al-Ghazali, “Amalan yang dipaksa yang dilakukan secara berterusan, akan menimbulkan keikhlasan di hati.” Bak kata bidalan melayu pula, “Alah tegal, biar biasa.” Jika amalan solat berjemaah di masjid kita berasa malas untuk lakukan, paksakanlah diri kita untuk menunaikan solat berjemaah bermula pada hari ini.

Wallhua’lam.

No comments: