United Kingdom menerima dan mengiktiraf
dwikerakyatan sepenuhnya tanpa pengehadan. Rakyat United Kindom bebas untuk
memohon kerakyatan kedua atau ketiga tanpa perlu mendapatkan kebenaran
Kementerian Dalam Negeri. Orang asing yang memohon untuk kerakyatan United
Kingdom juga tidak perlu melepaskan kerakyatan asal mereka. Kerajaan United
Kingdom tidak memaklumkan kepada negara lain jika rakyat asing memohon
kerakyatan United Kingdom dan tidak membantu negara lain dalam menghalang
fenomena dwikerakyatan. Statistik rakyat yang memiliki dwikerakyatan tidak
direkodkan oleh kerajaan.
Menurut Hansen, polisi dwikerakyatan United
Kingdom adalah sangat liberal kerana dwikerakyatan tidak mendatangkan sebarang
masalah kepadanya. Dalam hal perlindungan politik, United Kingdom bersedia
memberikan perlindungan diplomatik kepada semua rakyatnya kecuali apabila
rakyat tersebut berada di dalam negara yang mana dia juga memiliki
kerakyatannya. Konflik perkhidmatan tentera tidak lagi menjadi isu bagi United
Kingdom kerana perkhidmatan tenteranya telah pun ditamatkan pada akhir tahun
1950-an. Selain itu, kerajaan United Kingdom melihat dwikerakyatan sebagai
salah satu langkah integrasi bagi masyarakatnya yang berbilang kaum.
Pemerolehan kerakyatan United Kingdom menggalakkan imigran-imigran
mengidentifikasikan diri mereka dengan United Kingdom. Ini memudahkan integrasi
imigran dalam masyarakat United Kingdom, yang seterusnya memperbaiki hubungan
perkauman.
Walaupun United Kingdom mempraktikkan
dwikerakyatan yang luas, kelebihan yang sebenarnya dinikmati oleh pemegang
kerakyatan itu tidak ketara. Status kerakyatan sebenar perlulah memberikan hak
memasuki, menetap, dan meninggalkan negara tersebut kepada pemegang kerakyatan
tersebut. Kerakyatan United Kingdom tidak lagi merupakan satu kerakyatan yang
tulen mulai tahun 1962.
Hak semua rakyat British (termasuk rakyat
negara Komanwel dan Citizens of United Kingdom and Colonies (CUKC)) untuk
memasuki United Kingdom secara bebas telah ditamatkan secara rasmi dengan Akta
Imigresen Komanwel (Commonwealth Immigration Act, CIA) 1962. Menurut
undang-undang yang baru, hanya rakyat British yang dilahirkan di United Kingdom,
rakyat British yang memegang pasport United Kingdom, dan CUKC yang memegang
pasport United Kingdom mempunyai hak untuk memasuki dan menetap di United
Kingdom. Kategori rakyat British yang lain seperti rakyat negara-negara
Komanwel adalah tertakluk kepada kawalan imigresen. Pada tahun 1968, hak
memasuki dan menetap di United Kingdom diperketatkan lagi bagi kategori “rakyat
CUKC yang memegang pasport British” apabila Akta Imigresen Komanwel (pindaan)
1968 diluluskan. Pindaan Akta ini bertujuan mengehadkan lagi bilangan CUKC yang
layak kepada mereka yang dilahirkan, dianakangkatkan, dinaturalisasikan, atau
didaftarkan di United Kingdom ataupun mereka yang mempunyai ibu, bapa, nenek,
atau datuk yang sedemikian.
Akta Imigresen Komanwel 1962 dan 1968 telah
digantikan dengan Akta Imigresen 1971. Akta ini memperkenalkan status
patriality untuk kategori rakyat British yang mempunyai hak menetap di United
Kingdom. Status ini hanya diberikan kepada CUKC dan rakyat negara-negara
Komanwel yang mempunyai hubungan pertalian yang rapat dengan United Kingdom.
Rakyat Komanwel boleh memperoleh status tersebut (1) jika salah seorang ibu
bapanya adalah CUKC yang dilahirkan di United Kingdom ataupun (2) melalui
perkahwinan dengan seseorang partial.
Rakyat Komanwel yang lain tidak mempunyai
hak sedemikian. Status rakyat Komanwel yang lain kekal tidak berubah apabila
United Kingdom meluluskan British Nationality Act (BNA) 1981. BNA 1981 telah mewujudkan
tiga kategori warganegara British: (1) rakyat United Kingdom, (2) British
Dependent Territories Citizenship (untuk CUKC di tempat yang masih merupakan koloni
British), dan (3) British Oversea Citizenship (untuk CUKC di negara Komanwel
yang mengekalkan kerakyatan tersebut selepas koloni itu mencapai kemerdekaan)
dan Rakyat Seberang Laut British (BOC) tidak mempunyai hak menetap di United
Kingdom.
Hanya kategori ketiga berkaitan dengan
rakyat Malaysia. Apabila BNA 1981 berkuatkuasa pada 1 Januari 1983, terdapat
1.5 juta CUKC menjadi BOC dan 1.3 juta daripadanya memiliki dwikerakyatan.
Majoriti BOC dengan dwikerakyatan memegang kerakyatan Malaysia. Pada tahun
1981, terdapat 1,300,000 CUKC di Malaysia dengan kerakyatan Malaysia dan
130,000 CUKC di Malaysia tanpa kerakyatan lain. CUKC di Persekutuan Tanah
Melayu yang mengekalkan status mereka pada Hari Merdeka akan menjadi BOC pada 1
Januari 1983. Tetapi seseorang BOC yang mengiktiraf kerakyatan itu pada masa
kini dengan mendapatkan pasport British tidak lagi menjadi rakyat Malaysia.
CUKC di Sabah dan Sarawak yang memilih menjadi rakyat Malaysia hilang status
kerakyatan British mereka pada Hari Malaysia. Mereka yang tidak menjadi rakyat
Malaysia pada tahun 1963 akan kekal sebagai CUKC dan akan menjadi BOC sehingga
hari ini.
Sumber : Low Choo Chin, 2013, Isu Dwikerakyatan Dalam Pembentukan
Kewarganegaraan Malaysia, 1900-1965.
No comments:
Post a Comment