“PENDERITAAN ORANG-ORANG YANG SAKIT OTAK Dr
Haji Megat Khas (Kuala Kangsar): Dato' Yang di-Pertua, dan Ahli-Ahili Yang
Berhormat, saya mengambil peluang di sini di dalam ruangan Ucapan Penangguhan
iaitu menyentuh satu perkara yang barangkali juga penting pada satu bahagian,
penduduk-penduduk kita di dalam negara ini, iaitu orang-orang yang terkena
serang penyakit otak. Semalam saya telah berdiri di sini, Dato' Yang di-Pertua,
mendapat teguran, daripada Tuan Yang di-Pertua dan petang ini saya tidaklah
hendak memanjangkan perkataan saya-saya terus pergi kepada butir-butir yang
hendak saya sebutkan, kerana kalau sekiranya panjang sangat, Dato' Yang
diPertua, akan menegur lagi sekali.
Jadi, dengan sebab itu, saya sukalah
menyatakan di sini, iaitu sungguhpun Kerajaan Perikatan setelah memegang teraju
pemerintahan dalam negeri ini semenjak beberapa lamanya dan telah menjalankan
beberapa rancangan yang menjadi keuntungan dan manfaat kapada rakyat jelata dalam
semua lapisan penduduk di sini, tetapi saya tidaklah tahu, apakah juga
langkah-langkah yang telah diambil, atau pun yang akan diambil pada memperbaiki
untung nasib orang-orang yang kena sakit otak orang-orang gila.
Jadi, di sini sampailah masanya saya
menerangkan kapada Rumah yang bertuah ini, iaitu di dalam Malaya, ataupun
Persekutuan Tanah Melayu-ketepikan-lah Singapura, kita ada mempunyai hanya dua
buah rumah sakit otak. Orang-orang yang kena sakit gila yang mana mereka itu boleh
dirawat, maka isi-isi yang saya hendak sebutkan di sini ialah, saya pun tidak
tahu, bila masanya hospital, ataupun rumah sakit otak yang ada di Tanjung
Rambutan telah didirikan.
Lebih kurang rasa saya 60 tahun dahulu, dan
juga bila masanya rumah sakit otak yang ada di Tampoi di Johor Bahru itu
didirikan, saya pun tidak tahu, tetapi yang saya tahu adalah Rumah Sakit Otak
di Tanjung Rambutan itu hanya boleh dirawati di situ seramai 3,000 orang sakit,
tetapi keadaannya pada masa sekarang ia-lah 4,300 orang yang kena penyakit otak
ada ditempatkan di situ dengan mempunyai hanya enam orang doktor yang menjaga
kepada orang-orang yang sakit di situ.
Di Tampoi sungguhpun tempatnya ada
diperuntukkan 1,200 orang, tetapi 2,000 orang di-masukkan di situ dan doktor-doktornya
lebih sedikit lagi dari di Tanjung Rambutan. Jadi, dengan sebab itu, saya rasa
dan saya perhatikan di dalam beberapa waktu yang lalu ini ialah untung nasib
orang-orang yang kena penyakit otak itu sangat teraniaya apabila masuk ke dalam
rumah sakit otak; tinggallah dia di situ sementara dia hendak berjalan ke
tempat perkuburan. Jadi, dengan sebab itulah saya berharap kapada Menteri yang
berkenaan dan juga daripada pegawai-pegawai yang berkenaan, perkara ini dapat
dielokkan, diperbaiki, kerana kita adalah sedang menghadapi perbelanjawan dan
saya harap, saya akan bercakap lebih lagi di dalam perkara ini apabila perbelanjaan
di dalam Kementerian Kesihatan akan dibincangkan kelak. Demikianlah sahaja,
Tuan Yang diPertua, terima kasih banyak.”
Sumber: Sidang Parlimen Dewan Rakyat pada 9
Disember 1964.