Wednesday, October 10, 2018

Realitinya, Ahli Politik Memang Tidak Mempunyai Pendirian yang Tetap

Dalam politik di tanah air kita, kita dapat perhatikan bahawa tiada ahli politik yang mempunyai pendirian yang tetap terhadap sesuatu perkara.

Sama ada pemimpin-pemimpin politik daripada Umno, Pas, Dap, dan parti-parti mana sekalipun sentiasa mempunyai pendirian yang berubah-ubah. Kita sebagai rakyat biasa kadang-kadang rasa diperbodohkan apabila menyokong pemimpin parti politik tertentu.
Lihat sahaja dengan Dr. Mahathir, sebelum PRU-13 beliau bermati-matian untuk mempertahankan Barisan Nasional daripada diruntuhkan oleh pihak pembangkang. Apabila hati sudah kecewa dengan Najib (Jibby) atau Rosmah (Kak Ros), Dr. Mahathir membuat kerjasama dengan musuh-musuh politiknya bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional dan mendakwa Mohd. Najib di mahkamah. Dan ini membuahkan hasil apabila beliau memenangi PRU-14. Maka, tersenyum-senyumlah Mohd. Najib dan Rosmah berulang-alik dari rumah ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan. Dengan kata lain, Mohd. Najib dan isteri sedang dibuli oleh Dr. Mahathir.
Sewaktu Dr. Mahathir menjadi penyokong Barisan Nasional dan ketika Barisan Nasional menjadi kerajaan untuk menghadapi PRU-13, beliau menyatakan bahawa BN tidak boleh menabur janji seperti pembangkang kerana pembangkang masih belum menjadi kerajaan. Apabila beliau memenangi PRU-14 di atas platform pembangkang, itulah yang terjadi kepada beliau kerana banyak manifesto atau janji yang banyak tidak dapat ditunaikan. Dengan kata lain, Dr. Mahathir telah menjilat ludahnya sendiri. 
Dalam sejarah tanah air sekalipun sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, pendirian ahli politik yang terkenal ketika itu iaitu Dr. Burhanuddin al-Helmy mempunyai pendirian yang sentiasa berubah-ubah dalam perjuangan politiknya iaitu antara tahun 1945 hingga 1947 dan tahun 1947 hingga 1957.
Pada tahun 1945 sehingga 1947, beliau mempunyai satu pendekatan politik Melayu yang bersifat luas iaitu mewujudkan satu kebangsaan Melayu yang membentuk satu negara besar Melayu dengan menggabungkan Tanah Melayu dengan Indonesia, berdasarkan empayar Melayu zaman silam yang agung iaitu Srivijaya, Majapahit, dan Melaka. Ini bermakna, kebangsaan Melayu meliputi Alam Kepulauan Melayu atau Nusantara. 
Akan tetapi, pada tahun 1957 pula apabila PKMM bergabung dengan AMCJA, ideologi politiknya berbeza. Kini, beliau menerima pembentukan rakyat yang terdiri daripada berbagai-bagai bangsa sebagai rakyat Tanah Melayu, tetapi kebangsaannya dikenali dengan nama MELAYU. Tidak ada soal gabungan bersama Indonesia; sebaliknya Tanah Melayu akan menuntut kerajaan sendiri dengan mengadakan pilihanraya umum. Namun, semasa memimpin PAS, beliau menjadi lebih sempit dalam ideologi Melayunya. Kini beliau melihat hanya bangsa Melayu yang berhak menjadi pemegang kuasa politik negeri ini. Tidak terdapat tolak ansur dengan orang bukan Melayu dan tidak juga bergabung dengan Indonesia.
Ini bermakna Dr. Burhanuddin seorang yang pragmatik dalam ideologi politiknya. Ideologi beliau sentiasa berubah mengikut keadaan. Beliau akan membuat sesuatu pegangan politik itu mengikut kepentingan politik yang ingin dicapainya. Sewaktu UMNO melihat penghidupan bangsa Melayu sangat genting kerana pengenalan Malayan Union, beliau melihat itu tidak penting; tetapi bergabung dengan Indonesia dan menolak feudalisme masyarakat Melayu.
Namun, apabila ini kurang berjaya, beliau dan partinya bekerjasama dengan bukan Melayu dan menolak jus soli bagi orang Melayu sahaja. Namun, apabila UMNO membuka pintu jus soli kepada orang bukan Melayu, Dr. Burhanuddin kembali semula kepada jus soli yang tertutup bagi orang Melayu sahaja. Beliau ternyata tidak tetap pendirian dan sangat pragmatik dalam dasar politiknya. 
Nah, jika kita melihat sejarah politik orang-orang Melayu pun sehingga kini pun, kadang-kadang prinsip perjuangan pun boleh berubah-ubah. Hari ini seseorang itu boleh menjadi kawan politik dan esok pula boleh menjadi seteru politik. Memang benar. Politik itu adalah seni sebarang kemungkinan.
Wallhua’lam.

No comments: