Sunday, August 5, 2018

Menjemput Rezeki dengan Membaca al-Quran

Bilakah kali terakhir kita membaca al-Quran? Saya tidak maksudkan bacaan al-Quran dalam solat. Maksud saya, anda benar-benar peruntukkan waktu khusus untuk membaca al-Quran setiap hari. Jika sudah ada, syukur alhamdulillah. Jika belum, adalah penting untuk mula merencanakan waktu khusus untuk membaca al-Quran setiap hari.

Aktiviti ini benar-benar memberi manfaat kepada kehidupan kita. Bukan sahaja di dunia, manfaatnya berpanjangan hingga ke negeri akhirat.
Ayuh mari kita kupas satu persatu apa kaitannya dengan rezeki. Pertama jangan beri alasan tidak membaca al-Quran kerana alasan tidak lancar, kerana ganjaran berganda menanti. Ia khusus untuk orang yang suka memberi alasan tersebut.
Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Seseorang yang ahli dalam al-Quran akan berada bersama para malaikat pencatat yang mulia dan jujur. Seseorang yang membaca al-Quran dengan tersekat-sekat dan bersusah-payah untuk membacanya akan mendapat dua ganjaran.” Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, dan Ibnu Majah.
Kita semua sayangkan ibu bapa bukan? Nah, di sini ada hadiah istimewa untuk mereka.
Mu’az al-Johari meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa-apa yang terkandung di dalamnya maka kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota itu melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini. Bayangkan bagaimana pula keadaan orang yang dirinya sendiri beramal dengan al-Quran” Riwayat Ahmad dan Abu Daud.
Anda mahu tahu rahsia bagaimana boleh bersedekah setiap hari? Ini caranya.
Uqbah bin Amir meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Seseorang yang membaca al-Quran dengan bersuara adalah seumpama seorang yang memberi sedekah secara terang-terang dan seorang yang membaca al-Quran secara senyap adalah seumpama bersedekah secara sembunyi.” Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Nasa’i dan Hakim
Pernahkah saudara mengerjakan 1,000 rakaat solat sunat? Mustahil? Al-Quran menunjukkan caranya.
Abu Dzar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Wahai Abu Dzar, sesungguhnya pemergianmu pada waktu pagi dan mempelajari satu ayat daripada kitab Allah lebih baik bagimu daripada mengerjakan solat sunat seratus rakaat. Pemergianmu pada waktu pagi dan mempelajari satu daripada ilmu yang (berpeluang) diamalkan atau tidak (berpeluang) diamalkan atau tidak (berpeluang) diamalkan adalah lebih baik daripada kamu mengerjakan seribu rakaat solat sunat.” Riwayat Ibnu Majah dengan sanad hasan.
Hebat. Sungguh hebat ganjaran yang menanti para pembaca al-Quran. Saya turut memiliki beberapa pengalaman peribadi yang agak ajaib berkenaan amalan membaca al-Quran. Walaupun amalannya mudah sahaja, hasilnya sudah dibuktikan berkali-kali. Modalnya Cuma membaca satu surah tertentu. Surah itu pula sangat mudah dan saya yakin kita semua sudah menghafalnya.
Wallhua’lam.
Sumber : Mudahnya Menjemput Rezeki.

Thursday, August 2, 2018

SALASILAH KESULTANAN MELAKA & UTHMANIYYAH YANG DIBAWA LARI INGGERIS




Satu lembaran salasilah yang begitu menarik yang menghubungkan sultan-sultan Melaka & sultan-sultan Uthmaniyyah kini berada di UK. Tidak diketahui siapa yang membuat salasilah ini, yang pastinya beliau seorang pakar ilmu salasilah. Barangkali seorang ulama Tanah Melayu. Tahun salasilah ini dibuat diyakini sezaman dengan pemerintahan Sultan Abdul Hamid II (1876-1909) kerana salasilah Sultan Uthmaniyyah dalam lembaran ini berakhir pada Sultan Abdul Hamid II. Mengikut lembaran ini, salasilah sultan Melaka & sultan Uthmaniyyah bertemu pada Yafith bin Nuh, anak Nabi Nuh .عليه سلام

Di Eropah, semasa Portugis & Sepanyol baru keluar dari zaman kegelapan, mereka sedang berhadapan dengan zaman kegemilangan Uthmaniyyah. Jadi menyerang Uthmaniyyah bukanlah satu tindakan yang bijak. "Jika tidak mampu membunuh seekor naga, putuskan dulu ekornya".....Dengan sebab itu, Alfonso de Albuquerque telah mengeluarkan ucapan2 seperti berikut :-

Sebagai perbandingan kehilangan kota ini merupakan kerugian yang lebih besar berbanding kehilangan nyawaku dari segi khidmat kepada Tuhan, Penguasa kita dan Raja Portugal, yang berkuasa ke atas kita. Kota ini adalah sumber yang paling besar bagi rempah-rempah, ubat-ubatan dan kekayaan di seluruh dunia.

Kota ini dihuni oleh peniaga-peniaga yang paling kaya, dan ianya wujud di atas manfaat-manfaat perdagangan. Kebanyakan pedagang adalah orang Islam, yang tinggal di setiap negeri yang dikenali di India dan juga di tempat-tempat yang lain. Melalui Melaka mereka mampu untuk berdagang di pelbagai tempat, dan tanpa Melaka mereka tidak boleh membekalkan rempah-rempah, ubat-ubatan dan hasil kekayaan dalam kuantiti yang begitu besar ke bumi Kaherah, Iskandariah dan Venice.

Dengan mengusir orang-orang Islam keluar dari Melaka, api umat Islam akan dipadamkan dan kepercayaan mereka tidak akan tersebar lebih jauh lagi dengan sendirinya.

Dan jika kita mengambil yang satu ini (Kota Melaka) juga, mereka (umat Islam) tidak akan mempunyai negara lagi untuk menyara mereka.

Dari sini (Kota Melaka) lada-lada lebih banyak di ambil ke Timur Tengah berbanding dari Calicut. Dengan hanya setengah pusingan kunci, laluan ini akan ditutup, maka Raja, penguasa kita, akan menjadi penguasa bagi seluruh perdagangan ini.

Catatan Fernao Lopes De Castanheda

Ini adalah kota utama dalam wilayah-wilayah ini, yang kaya dalam perdagangan, yang telah menjadikan umat Islam kaya raya dan berkuasa di rantau ini. Kita tidak dapat melakukan khidmat yang lebih besar kepada Tuhan dan kepada Raja, penguasa kita, selain mengambil alih daripada orang Islam perdagangan ini dan dengan itu menghalang mereka daripada memiliki kekayaan mereka, dan menjadikannya milik kita.

Catatan Gaspar Correia

Sumber : Facebook G153

Kekayaan Kota Melaka

Duarte Barbosa mencatatkan dalam The Book of Duarte Barbosa tentang status pelabuhan Melaka sebagai pelabuhan yang terkaya di dunia seperti berikut :

Kota Melaka ini adalah pelabuhan yang terkaya dengan jumlah perdagangan borong yang terbesar dan perkapalan serta perdagangan yang sungguh banyak yang boleh didapati di seluruh dunia. Emas mengalir ke sana dengan banyaknya sehinggakan para pedagang yang terkemuka berurusan dengannya. Mereka tidak menilai harta mereka mahu pun simpanan mereka melainkan dengan emas yang berjumlah berbahara-bahara yang mana satu bahara menyamai empat quintal 
Damiam De Goes menukilkan dalam The Chronicle of The Most Happy King Dom Manuel of Glorious Memory seperti berikut :-
Pada masa ini, Melaka dikenali sebagai kota yang terkaya di dunia kerana para peniaga yang tinggal di situ sangat kaya. Kekayaan mereka diukur dalam bahar-bahar emas – satu bahar adalah bersamaan dengan empat “quintal”. Sebahagian peniaga memiliki kekayaan mencecah sepuluh atau dua belas bahar.
(Quintal adalah ukuran berat bagi Portugis. Satu quintal bersamaan 100 kilogram. Maka 10 bahar emas bersamaan 4000 kilogram emas).
Hasil mengalir masuk dari perdagangan. Sultan mengumpulkan wang dari perkapalan dan cukai. Baginda menjadi begitu kuat sehingga enggan mengakui kekuasaan Raja Siam, yang mana baginda adalah di bawah naungannya. Raja Siam tidak mendatangkan apa-apa masalah kepada Melaka lagi kerana ia telah menjadi sebuah pelabuhan antarabangsa yang hebat. Ia adalah pusat perdagangan import dan eksport. Ia adalah pelabuhan yang kaya.
Catatan aspar Correia dalam Lendas da India pula menyatakan seperti berikut :-
Melaka adalah kota yang paling ramai penduduk di Kepulauan Hindia dan ianya juga terletak benar-benar di tengah-tengah semua perdagangan yang kaya di kawasan ini.
Penaklukan istana berakhir hingga larut malam, dan harta rampasan yang diambil adalah yang terbesar yang pernah diambil di mana-mana bahagian di dunia dan yang pernah dirampas. Para tentera menjual barang-barang kepada peniaga-peniaga di tempat itu. Walaupun menjualnya dengan harga yang murah, para tentera menjadi begitu kaya sehingga mereka hanya menggunakan wang dalam jumlah tiga atau empat ribu cruzado. Selain daripada barangan mereka jual, mereka juga memiliki sebahagian barang-barang di atas kapal.
Gabenor gembira ketika melihat pegawai-pegawainya dan tentera-tenteranya bergembira dengan apa yang mereka miliki. Dia sedar sepenuhnya bahawa mereka telah mengambil hanya satu pertiga daripada harta kekayaan kota ini, banyak yang telah ditanam di dalam bilik kebal bawah tanah dengan dinding-dinding yang kukuh. 
Tome Pires menukilkan dalam Suma Oriental seperti berikut :-
Sultan mengenakan cukai untuk barang-barang dagangan, sebagaimana yang akan dijelaskan lebih lanjut nanti. Hal-hal inilah yang membuatnya sangat dihormati oleh penduduk tempatan mahupun orang asing. Berkat penghormatan ini, baginda berhasil mendapat kekayaan dan timbunan harta yang besar. Khabarnya, sultan memiliki 120 kuintal emas dan batu manikam dalam jumlah besar. Dengan harta ini, baginda memutuskan untuk berziarah (haji) ke Mekah dengan membawa banyak emas yang diangkut oleh jong yang berdasarkan perintahnya, dibina di Jawa. Baginda juga membina jong lain berukuran besar di Pegu; jika penyakit tidak menghalanginya melakukan semua ini, baginda akan tetap berangkat ke Mekah. Baginda telah menghabiskan banyak perbelanjaan dan (melibatkan) amai orang demi perjalanan ini.
Wallhua’lam.
Sumber : Menjejak Hubungan Daulah Uthmaniyah & Kesultanan Melaka.