Tuesday, May 8, 2018

Di Sebalik Penubuhan Malaysia

Apabila kita melihat sejarah penubuhan Malaysia, umum mengetahui bahawa Tunku Abdul Rahman dianggap sebagai hero atau perwira yang menubuhkan Malaysia.

Tetapi, adakah kita tahu kisah-kisah di sebalik penubuhan Malaysia ini?

Sebenarnya, apabila kita merujuk buku Ramlah Adam yang bertajuk 'Biografi Tunku Abdul Rahman', sebenarnya idea untuk menubuhkan Malaysia adalah dicadangkan oleh pihak British. Walaupun Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, pihak British sebenarnya mempunya kepentingan di Asia Tenggara malah pertahanan Persekutuan Tanah Melayu masih diletakkan di bawah kawalan British sehingga pemerintahan Tun Abdul Razak.

Pihak British mencadangkan penubuhan Malaysia kerana pihak British tidak mahu sebagai pihak yang bertanggungjawab yang memberi paksaan politik ke atas wilayah jajahannya yang masih belum merdeka seperti Singapura, Borneo Utara (Sabah), dan Sarawak untuk digabungkan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Sebenarnya, pihak British ingin menggabungkan semua wilayah jajahan ini di bawah pengaruh Persekutuan Tanah Melayu di mana Perdana Menteri ketika ini ialah Tunku Abdul Rahman yang mana beliau sendiri adalah pro-British. Di samping itu, pihak British juga ingin menjaga kepentingan ekonominya di Asia Tenggara di samping menghadapi ancaman komunis di rantau ini. 

Adalah menjadi satu kesalahan sekiranya kita menganggap Malaysia pada hari ini mempunyai 13 negeri walhal sebenarnya Malaysia sebenarnya mempunyai 4 buah negeri sahaja iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura.

Sebenarnya, Sabah, Sarawak, dan Singapura mempunyai kedaulatan yang sama taraf dengan Persekutuan Tanah Melayu malah ketiga-tiga negeri ini tidak mempunyai taraf yang sama negeri-negeri lain semenanjung setelah mendapat kemerdekaan daripada British pada tahun 1957.

Dari segi perlembagaan, Sabah, Sarawak, dan Singapura mempunyai kuasa autonominya yang tersendiri yang tidak terdapat mana-mana negeri-negeri Melayu yang lain. Ini dapat dilihat dalam soal migrasi, sistem pendidikan, kewangan, kerakyatan, bahasa kebangsaan, agama rasmi, sistem pentadbiran awam, tarif, dan perkara-perkara lain. Dengan 20 perkara istimewa yang diberikan, Sabah, Sarawak, dan Singapura muncul sebagai sebuah negeri yang lebih istimewa daripada negeri-negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu. Hanya soal pertahanan dalam dan luar yang diletakkan dalam senarai kerajaan pusat.

Dengan itu, Tunku Abdul Rahman tidak dapat mempertahankan maruah Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan boleh meletakkan pendiriannya dan kehendaknya dalam perundingan penubuhan Malaysia. Beliau sedar dengan keengganan pihak British untuk menyerahkan kedaulatan penuh kesemua negeri ini kepada Persekutuan Tanah Melayu sejak awal lagi. 

Selepas bulan Julai 1962, Tunku tidak lagi hadir dalam perundingan-perundingan di London dan hanya menyerahkan kepada timbalannya iaitu Tun Abdul Razak. Namun, Tun Abdul Razak tidak lagi mampu membuat apa-apa kerana janji Tunku kepada pihak British telah dimeterai sebelum perundingan itu. Tun Abdul Razak dan anggota rombongan lain tidak dilihat oleh pihak British sebagai Ketua Negara Persekutuan Tanah Melayu. Sebenarnya, inilah cara Tunku melepaskan diri daripada kebuntuan yang sengaja ditimbulkan untuk meyakinkan rakyat Persekutuan Tanah Melayu.

Walaupun penubuhan Malaysia berjaya diisytiharkan pada 16 September 1963, namun konflik tempatan dan antarabangsa tetap menghantui setiap pergerakan Tunku selepas itu.

Wallhua'lam.

No comments: