Wednesday, November 15, 2017

Graduan Jadi Pemandu Teksi Sudah Wujud pada Tahun 1980-an lagi

Keruncingan ekonomi negara sekarang adalah amat membimbangkan sehinggakan kenaikan harga barang kadang-kadang akan menghakis wang simpanan kita tatkala duit gaji bulanan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan harian.
 
Pada zaman sekarang graduan-graduan lulusan universiti menjadi pemandu teksi Grab dan Uber menjadi isu besar pada hari ini di mana menunjukkan kegagalan sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat mewujudkan peluang ekonomi yang makmur dan kondusif kepada rakyatnya akibat kepincangan pemimpin-pemimpin negara yang haloba merompak duit negara.

Bagaimana graduan-graduan lulusan universiti ini ingin membayar hutang RM30,000 kepada kerajaan apabila pihak PTPTN menagih hutang walaupun kerja masih belum diperolehi? Suka tidak suka graduan ini terpaksa menjadi pemandu teksi.

Graduan bukan bumiputera sebenarnya mendapat peluang yang lebih baik berbanding dengan graduan bumiputera. Perkara ini disebabkan graduan bukan bumiputera mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik di mana gaji yang ditawarkan adalah lebih tinggi daripada peluang pekerjaan untuk graduan bumiputera. Adakah anda perasan bahawa sesetengah peluang pekerjaan kosong ada meletakkan pemohon-pemohon perlu fasih berbahasa cina sebagai syarat untuk memohon pekerjaan?

Jika trend ini terus berlaku, graduan bukan bumiputera terus mempunyai peluang untuk mengumpul harta yang lebih dari graduan bumiputera. Sampai bila kek ekonomi untuk bumiputera akan terus berkembang jika keadaan ini terus berlaku?

Sebenarnya, graduan-graduan menjadi pemandu teksi sejak 1980-an lagi akibat kebejatan ekonomi yang berlaku ketika itu. Jika sekarang rakyat Malaysia dimomok dengan isu-isu 1MDB maka pada pertengahan tahun 1980-an negara dimomok oleh skandal Bank Bumiputera Malaysia Berhad (BBMB), Mamico, dan sebagainya.

Apakah yang membeza zaman dahulu dan sekarang? Skrip atau jalan ceritanya sama sahaja dan yang berbeza adalah watak-wataknya sahaja.

Percayalah bahawa dengan mengubah pemimpin atau kerajaan sekalipun ia sebenarnya tidak akan berjaya menyelesaikan masalah. Yang perlu diubah adalah struktur masyarakat itu sendiri. Bukankah pemimpin itu adalah cerminan akhlak masyarakat itu sendiri?

Wallhua’lam.

No comments: