Kisah ini saya petik daripada buku Dato’ Aliff Syukri yang
bertajuk Buku Duit Strategi Ajaib. Menarik juga kisah ini untuk kita hayati
bersama.
“Saya mengenali seorang pembekal yang berjaya dalam
perniagaannya. Kewangannya kukuh dan beliau adalah usahawan yang bergelar
jutawan. Saya mengenalinya dari awal perniagaan malah dia merupakan salah
seorang mentor dalam perniagaan saya.
Saya mempelajari dan memerhatikan bagaimana beliau membuat
pelaburan hasil daripada perniagaan. Pernah saya bertanya kepadanya, bila dan
berapakah pelaburan yang saya perlu buat setiap bulan?
Beliau memberitahu saya bahawa sesiapa sahaja layak membuat
pelaburan. Tak kiralah sama ada anda usahawan atau tidak. Pelaburan bukan
tertakluk kepada berapa banyak anda melabur tetapi disiplin dan perlu mengikut
kemampuan.
Menurutnya, tabiat melabur yang ada padanya telah dipupuk
sejak tahun pertama dia bergelar seorang guru. Waktu itu dia masih makan gaji
dan jumlah gaji yang dibawa pulang pada hujung bulan tidaklah banyak tetapi
tabiat menyimpan dan melabur telah disemai sejak awal lagi.
Berdikit-dikit beliau menyimpan sebahagian wang gajinya
bermula dengan RM100 sebulan sebagai simpanan dan pelaburan ASB. Berkat
kesabaran beliau meningkatkan pelaburan yang ada dari masa ke semasa selaras
dengan kenaikan tangga gajinya dan mula menyimpan dari hasil jualan
kecil-kecilan yang dilakukan selepas waktu bekerja.
Apabila sampai masa, beliau mengeluarkan simpanan tadi,
bukanlah keseluruhan tetapi sebahagian daripadanya dan beliau melaburkan dalam
stok barangan perniagaan. Ini kerana beliau yakin dapat melipat-gandakan
wangnya dengan meningkatkan stok barangan yang dibeli.
“Kalau dilihat dari pendapatan bekerja dan berniaga secara
sambilan saya memang boleh pakai kereta lebih selesa sepertimana guru-guru
lain, tetapi pada ketika itu saya hanya mempunyai sebuah motor buruk yang
membolehkan saya ulang-alik kerja.”
“Nak berduit dan berharta kenalah sabar, kena menyimpan dan
melabur dengan baik. Duit bukan senang nak dapat.”
Sambung beliau lagi.
Hari ini tidak hairanlah jika saya lihat beliau hidup cukup
senang dengan beratus rumah sewa, kilang dan perusahaan yang berjalan dengan
lancar dan baik.”
Wallhua’lam.
http://wankamarul701.blogspot.my