Tuesday, January 19, 2016

Sembang Politik Tidak akan Menambah Wang Simpanan Anda


Kadang-kadang saya terfikir pepatah ini. “Usia mendewasakan kita...” Adakalanya usia memang mendewasakan kita kerana ia akan mematangkan kita yang mana perkara perlu kita terus akan sebaliknya.

Saya dahulu ghairah tulis post-post politik di laman-laman sosial seolah-olah untuk mengumpan orang lain memberi komen atau pandangan mereka dengan harapan dapat berlawan atau menjadi keyboard warrior dalam laman sosial. Siapa pandai menulis, dialah juara. Apabila kita bergaduh kerana perbezaan fahaman politik dengan rakan-rakan alamatnya kita akan kehilangan rakan baik kita sendiri.

Ada baiknya kita bersembang politik tetapi ia biarlah bersifat terkawal dan tidak berlebihan. Sembang politik ibarat bermain dengan api. Kecil-kecil boleh jadi kawan dan bila besar boleh mencetuskan perbalahan yang parah serta tidak berkesudahan.

Tetapi, setelah sekian lama saya fikir dengan menulis post-post atau artikel-artikel politik tidak membawa saya ke mana. Mohd Najib atau Haji Hadi Awang belum tentu melantik saya mewakili mereka untuk bertanding dalam PRU jika saya menulis 100 post politik di laman media sosial setiap hari untuk menunjukkan sokongan saya kepada salah seorang antara mereka.

Apa yang lebih penting lagi, sembang politik tidak akan menambah wang simpanan saya walaupun saya bercakap mengenai politik dengan kawan-kawan pada setiap hari. Tidak kira sama ada simpanan bank biasa, tabung amanah, dan sebagainya. Ia hanya membakar masa dan tenaga kita.

Ada baiknya kita bercakap atau bersembang mengenai wang ataupun bisnes dengan orang yang kita kenali ataupun kita tidak kenali. Dua perkara ini sebenarnya boleh menambah ilmu, kemahiran, dan akhirnya wang simpanan kita pada jangka masa panjang.

Mengutuk, mengeji, menghina, mencaci dan seangkatan perkataan dengannya terhadap individu yang bernama Mohd. Najib tidak akan menyelesaikan masalah kos sara hidup kita. Realitinya, harga barang tetap akan terus naik. Tetapi, dalam kita sedar atau tidak sedar mengapa dengan keadaan harga barang terus naik masih ramai orang di luar sana yang boleh membeli rumah-rumah banglo ataupun kereta besar?

Sedarlah diri kita semua di sebalik kos sara hidup terus naik tetapi rahmat Allah s.w.t. tidak pernah berkurang. Formulanya mudah sahaja. Apabila inflasi terus naik, kita perlu berlari untuk menambah sumber pendapatan kita untuk melawan kadar inflasi ini.

Sembang-sembang politik sebenarnya ada kalanya membawa keburukan daripada kebaikan.

Wallahua’lam.

http://wankamarul701.blogpspot.my

Monday, January 11, 2016

Idea Pun Perlu Dijemput

Idea atau ilham ini kadang-kadang datang menerjah mengetuk fikiran dan minda kita. Seolah-olah kita mendapat renjatan kuasa elektrik apabila mendapat sesuatu idea yang baru lebih-lebih lagi untuk menyelesaikan masalah tertentu.

Idea ini kadang-kadang tanpa kita undang – ketika makan, berjalan, memandu, dan apa lebih teruk lagi jika waktu kita ingin tidur. Mahu tak mahu terpaksa tahan mengantuk dulu untuk melaksanakan idea tersebut sebelum dia hilang entah ke mana.

Tetapi, idea juga perlu dijemput. Kerana idea itu sendiri adalah ilmu. Tetapi, al-Quran dan ilmu itu sendiri adalah cahaya dan ia tidak berada dalam hati yang dicemari maksiat. Bagaimana idea nak datang apabila hati atau mata kita sentiasa melihat benda-benda yang boleh mengotorkan hati kita pada setiap hari?

Membaca blog-blog murahan dengan tulisannya seperti bau hanyir ikan dibuang dalam tong sampah adalah menjengkelkan. Kadang-kadang hati merasa gelap apabila membaca tulisan-tulisan yang setiap hari tahu hanya mengutuk orang. Seolah-olah dirinya bersih lagi suci.

Begitu juga dengan Facebook. Jika boleh saya ingin mengelak daripada membaca facebook. Apabila kita membaca facebook kita boleh melihat hati-hati manusia. Ada yang meluah perasaan berjauhan dengan anak. Ada yang kecewa dengan kekasih. Ada yang meluahkan perasaan rumah tangga. Dan tidak kurang juga mempromosi barang-barang secara online. Lebih buruk lagi apabila meletakkan gambar atau video yang bukan-bukan.

Kadang-kadang internet juga memburukkan dan memberi kesan negatif kepada kita walhal masih ada orang mengatakan ianya masih baik. Jika kita bertanyakan orang-orang yang belajar di maahad tahfiz, mereka dilarang melakukan tiga perkara – mendengar radio, membaca surat khabar, dan melayari internet.

Sudah tentu perkara-perkara ini menggelapkan hati kita. Jika hati kita gelap, bagaimana ayat-ayat al-Quran boleh tertanam dengan sempurna di dalam hati kita?

Dalam pengurusan ada suatu yang dikenali sebagai ‘idea trap’ iaitu anda perlu menulis sesuatu idea yang terlintas di fikiran anda secara tiba-tiba. Anda boleh menulis atau melakar idea anda secara ringkas apabila mendapat idea secara tiba-tiba. Jika biarkan untuk membuat perkara lain, kelak ianya akan hilang.

Pendek kata, idea juga perlu dijemput. Untuk menjemput idea, kita perlu menjaga hati kita kerana ia juga merupakan ilmu yang bukannya boleh datang kepada sembarangan orang.

Wallhua’lam.