Thursday, December 31, 2015

Nak Ada Cash RM1 Juta dalam ASB atau nak 10 Buah Rumah Sewa?


 
Ini adalah soalah cepu emas kepada anda. Nak ada cash RM1 juta dalam ASB atau nak 10 buah rumah sewa?

Terdetik saya mengenai perkara ini apabila terjumpa screenshot akaun ASB yang sudah mencecah RM1,000,000 a.k.a. RM1 juta ringgit di dalam sebuah laman internet seperti gambar di atas. Hebat bukan?

Bagaimana caranya nak dapat RM1 juta pertama dalam hidup? Azizi Ali pun mendapat sejuta ringgit pertama dalam hidupnya selama 13 tahun. Kemudian, beliau berjaya mendapat lima juta ringgit seterusnya dalam masa 5 tahun.

Jika kita ada sejuta dalam akaun ASB dengan dividen 7 peratus setahun, ini bermakna kita mendapat dividen sebanyak RM70,000 setahun atau RM5,833 sebulan. Sudah tentu, kalau sudah dapat duit sebanyak ini alamatnya sudah lama saya berhenti kerja.

Jika ada wang tunai sebanyak RM1 juta dalam akaun Tabung Haji pun, setahun sudah dapat dividen sebanyak RM50,000 atau RM4,166 sebulan. Ini pun dah kira ok.

Sama juga jika mempunyai 10 buah rumah dengan sewa rumah RM500 sebulan. Paling-paling pun dapat RM5,000 sebulan. Tetapi, kalau pelaburan hartanah kita perlu menolak hidden cost yang lain seperti maintenance, cukai, bil-bil, dan sebagainya. Ini pun belum mengambil kira jika rumah-rumah tersebut dibeli dengan pinjaman bank.

Berbanding dalam pelaburan ASB atau Tabung Haji di mana kita akan mendapat dividen tunai bersih tanpa menolak hidden cost yang lain. Sebab itu sesetengah orang suka pelaburan tetap tanpa melabur melalui hartanah.

Apa yang saya nampak sekarang untuk mencapai satu juta pertama dalam hidup ialah dengan menyimpan separuh kenaikan gaji tahunan untuk pelaburan. Perkara ini saya sudah terangkan dalam buku keluaran pertama saya iaitu Biar Sedikit, Asal Diberkati.

Langkah kedua ialah melalui bisnes. Sememangnya bisnes menjamin keuntungan yang berlipat kali ganda. Perkara ini tidak perlu saya ulas secara terperinci dalam artikel ini.

Cuma saya berfikir, bila agak-agaknya saya boleh mempunyai sebanyak RM1 juta dalam akaun ASB?


Sunday, December 20, 2015

Rumah Orang Kaya Wajib Memiliki Perpustakaan Peribadi


Rumah orang kaya wajib mempunyai perpustakaan peribadi. Rumah orang biasa-biasa hanya mempunyai pinggan mangkuk, televisyen LCD, sofa seperti rumah kawannya dan sebagainya. Adakah rumah anda mempunyai perpustakaan peribadi atau sudut meletakkan koleksi buku-buku anda?

Bak kata Saidina Ali, ”Ilmu itu lebih berharga daripada harta. Ilmu itu penghukum dan harta itu terhukum. Ilmu itu bertambah apabila dibelanjakan dan harta itu berkurang apabila dibelanjakan.”

Jelas ilmu itu merupakan pelaburan paling berharga dalam kehidupan kita. Dengan ilmu kita mampu menguruskan wang dan harta kita. Orang bergaji besar sekalipun jika tidak pandai menguruskan wangnya, wangnya hilang entah ke mana.

Kepustakaan atau bahan bacaan adalah asas dalam membina peradaban sesuatu bangsa. Sejarawan-sejarawan Barat menyatakan bahawa zaman kegemilangan Islam tidak akan bangkit lagi kerana kepustakaan mereka telah musnah dan mereka tidak membina asas tersebut. Tanpa wujud korpus keilmuan, maka sukarlah untuk membina peradaban bangsa.

Ini dapat dilihat ketika runtuhnya perpustakaan Baitul Hikmah yang merupakan pusat keilmuan Kerajaan Abbasiyah yang menjadi pusat terjemahan karya. Apabila tentera Monggol menceroboh ibu kota Baghdad dan memusnahkan perpustakaan ini, buku-buku di dalam perpustakaan ini ditenggelamkan ke dalam Sungai Tigris dan air sungai ini menjadi hitam selama enam bulan berturut-turut kerana dakwat buku-buku ini.

Ketika kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol jatuh ke tangan pihak Kristian pimpinan Ratu Isabella dan Raja Ferdinand, manuskrip-manuskrip orang Islam yang berjumlah 1,005,000  yang disimpan di 195 buah perpustakaan di sekitar kota dibakar. Manuskrip-manuskrip yang dibakar ini terdiri daripada al-Quran, naskah-naskah puisi, karya falsafah Islam, tafsir-tafsir al-Quran dan hasil pemikiran orang-orang Islam Moor di Andalusia.

Jika perpustakaan adalah asas bagi membina sesuatu bangsa, maka adalah baiknya kita mempunyai perpustakaan kita sendiri sebagai landasan untuk membina akhlak, harta, dan wang kita.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

Thursday, December 10, 2015

Cuit-cuit : Apakah Hukum Mendedahkan Aurat Ketika Bermain Bola Sepak?

Jangan kita lupa, di sebalik keghairahan kita menonton perlawanan bola sepak tidak kira apa-apa piala sekalipun adakah kita perasan bahawa pemain-pemain bola sepak sebenarnya mendedahkan aurat mereka yakni lutut?

Memang benar dalam mazhab lain, lutut adalah termasuk dalam aurat ringan di mana ia dibenarkan untuk didedahkan ketika menunaikan solat. Tetapi, di dalam mazhab Syafie lutut adalah aurat dan tidak dibenarkan untuk didedahkan kepada orang lain.

Bagaimana dengan isu pemain-pemain bola sepak ynag mendedahkan lututnya? Saya bimbang sebenarnya dalam kita ghairah menyokong pasukan masing-masing dalam perlawanan bola sepak, kita sebenarnya sedang membuat dosa.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

Cuit-cuit : Apakah Hukum Lagu ‘Assalamulaikum Dunia’?


Apakah hukum lagu ‘Assalamualaikum Dunia’ nyanyian Faizal Tahir?

Apabila memberi salam, ia hanya dibenarkan untuk orang-orang Islam sahaja.

Adakah lagu ‘Assalamualaikum Dunia’ ditujukan kepada semua umat manusia termasuk orang-orang bukan Islam?

Jika lagu ini untuk semua orang termasuk bukan Islam, sudah tentu ia tidak dibenarkan.

Wallhua’lam.

  http://wankamarul701.blogspot.my 

Monday, December 7, 2015

Baiklah Hati, Baiklah Penulisannya (Bahagian 2)

Menulis merupakan aktiviti utama di kalangan ulama’ terdahulu. Imam Nawawi apabila ditanya mengapa beliau tidak berkahwin menjawab, “Aku bukanlah menentang perkahwinan bahkan aku meriwayatkan hadis mengenai perkahwinan. Akan tetapi kesibukan aku dengan mengarang ilmu menyebabkan aku tidak dapat menyelesaikan masalah kehidupan aku.” Memang tidak dinafikan hadis 40 riwayat Imam Nawawi ada menyebut mengenai perkahwinan walhal beliau sendiri tidak pernah berkahwin sepanjang hidupnya.

Realiti dunia pendidikan hari ini cuba memisahkan aliran antara agama dan sains. Sistem pendidikan di Malaysia pada hari ini cuba memisahkan antara agama dan sains. Ini dapat dilihat apabila pelajar-pelajar memasuki alam sekolah menengah atas di mana terdapat 2 aliran iaitu aliran agama atau aliran sains. Memang tidak dinafikan dalam aliran sains peringkat menengah atas, memang terdapat pembelajaran subjek agama tetapi ia hanya terbatas atau mungkin hanya untuk menjawab kertas peperiksaan sahaja.

Apabila memasuki alam universiti, pembelajaran ilmu agama semakin jauh lagi untuk dipelajari apabila pelajar mengambil jurusan aliran sains. Ketika pada zaman saya, pelajar hanya diwajibkan mempelajari subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) sahaja. Roh keagamaan di peringkat universiti boleh dikatakan tiada bagi pelajar yang sudah mengambil jurusan sains. Subjek TITAS diperkenalkan sebenarnya adalah untuk memupuk perpaduan di Malaysia supaya pelajar bukan Islam dapat mengenai Islam dengan lebih dekat lagi.

Keilmuan ulama’-ulama’ terdahulu bukan hanya terbatas kepada ilmu-ilmu agama sahaja bahkan lebih jauh daripada itu. Mereka juga terlibat dalam bidang ilmu sains. Lihat sahaja ulama’ melayu Nusantara iaitu Sheikh Daud al-Fattani. Beliau bukan sahaja mahir dalam bidang agama tetapi juga dalam ilmu falak dan ilmu matematik. Siapa kata orang yang belajar ilmu agama sebenarnya tidak mahir dalam ilmu sains?

Sepatutnya sistem pendidikan IPTA pada hari ini perlu dikaji semula. Ada baiknya pelajar-pelajar jurusan sains diwajibkan mengambil subjek agama pada setiap semester sebagai mata pelajaran teras. Ini memastikan pelajar-pelajar sentiasa kembali kepada nilai-nilai Islam dan menjadikannya sebagai penghayatan dalam kehidupan. Dengan ini, ia dapat membina sahsiah, akhlak, dan keperibadian tinggi mulia pekerti dalam melahirkan insan yang kamil.

Jika tidak, tidak hairanlah penuntut-penuntut universiti hari ini terjebak dalam masalah sosial dan kita sudah tentu biasa mendengar perkara bukan-bukan yang biasa dilakukan oleh pelajar universiti ketika masih menuntut. Apabila ilmu agama dalam hati penuntut, maka roh-roh ini menjaga dirinya daripada kelalaian melakukan perkara-perkara maksiat.

Apabila menyebut maksiat, ia bukannya hanya terbatas atau terhad kepada minum arak dan berzina sahaja. Pemikiran kita hanya meletakkan maksiat itu hanya terbatas kepada dosa-dosa besar. Tetapi, maksiat sebenarnya adalah melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t.

Pendek kata, ilmu agama dan sains sememangnya tidak dapat dipisahkan dalam penulisan kita. Lebih daripada itu. Dalam aspek kehidupan dalam membina keperibadian seseorang muslim, ilmu agama juga perlu seiring dengan ilmu sains dalam konteks sistem pendidikan kita. Lebih jauh lagi, ia sebenarnya adalah penting dalam membina masyarakat yang boleh menghayati nilai-nilai Islam.

Wallhua’lam.

Friday, December 4, 2015

Baiklah Hati, Baiklah Penulisannya

Sesungguhnya kata-kata Nabi adalah kata-kata daripada Allah s.w.t. yang sememangnya dibahaskan oleh ulama-ulama sepanjang zaman.

"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati.”

Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir
Baiklah hati, baiklah penulisannya. Itulah generalisasi dan konklusi yang saya dapat buat jika saya hayati semula sabda nabi di atas. Penulisan adalah datang daripada tangan dan pemikiran penulisnya. Jika penulis itu baik, maka baiklah penulisannya. Jika buruk, buruklah penulisannya.
Sememangnya ulama’-ulama’ dahulu menjadikan menulis menjadi sebahagian daripada aktiviti utama kehidupan mereka. Lihat sahaja karya-karya ulama’ dahulu seperti Imam al-Ghazali, Imam Shafie, dan sebagainya. Karya-karya mereka menjadi tatapan, bacaan, kajian, perbahasan di kalangan umat Islam sejak zaman-berzaman  khususnya dalam mengeluarkan ijtihad baru berhubung sesuatu isu yang baru. Mujurlah karya-karya para ulama’ ini tiada hak cipta. Jika tidak, letihlah syarikat-syarikat penerbitan membayar royalti kepada keturunan mereka.
Diri kita ini tidak dapat lekang daripada membuat dosa-dosa kecil atau besar. Sekiranya kita membuat satu dosa, maka satu titik hitam akan hinggap ke hati kita. Cara untuk menyucikan semula hati kita ialah dengan memperbanyakkan istighfar kerana istighfar merupakan penawar yang paling mujarab dalam menghapuskan dosa-dosa kita. Dengan ini, dapatlah kita membaiki semula diri kita.
Fitnah, momokan buruk, dan maki-hamun dalam penulisan pada hari ini sudah menjadi mainan dan makanan bagi sesiapa inginkan kuasa politik. Adalah mustahil tulisan-tulisan atau blogger-blogger upahan pihak tertentu ini datang daripada orang-orang yang menjaga hatinya.
Di manakah class tulisan kita? Adakah sama taraf dengan barang-barang yang dijual di pasar malam ataupun setaraf dengan barang-barang yang dijual di pasar raya? Jika di pasar malam, minyak wangi yang dijual pada harga RM100 pun sudah dikatakan mahal manakala minyak wangi yang dijual pada harga yang sama di Pasar raya  Sogo masih dikatakan terlalu murah.
Apa yang penting ialah kita perlu menjaga kualiti tulisan kita. Tulisan yang hebat dan berkesan ialah tulisan yang mampu mempengaruhi dogma atau pemikiran masyarakat. Bak kata Syed Qutb, “Satu peluru boleh menembusi satu kepala manakala satu tulisan boleh menembusi pemikiran jutaan manusia.”
Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my