Wednesday, April 22, 2015

Ayat-ayat al-Quran untuk Renungan Bersama


1. Mengapakah ujian seberat ini ke atas diriku?

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya…”al-Baqarah : 286

2. Apakah kita sudah betul-betul beriman kepada Allah  s.w.t.?     

“Apakah manusia mengira bahwa mereka dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?” al-Ankabut : 2           

3. Adakah kita menggunakan anggota-anggota badan kita untukNya?

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” al-A’raf : 179 

4. Alangkah singkatnya masa berada di dunia ini…

“Pada hari mereka melihat hari berbangkit itu, mereka merasa seakan-akan tidak tinggal (di dunia) melainkan (sebentar saja) di waktu petang atau pagi hari.” Al-Naaziat : 46

5. Apabila tibanya ajal, ia tidak akan diawalkan atau dilewatkan walaupun sesaat…

“Dan Allah tidak akan menangguhkan seseorang apabila datang ajalnya. Dan Allah adalah al-Khabir (Maha Mengerti/Mengenal) akan apa yang kamu kerjakan.” al-Munafiqun : 11

 

 

Friday, April 17, 2015

Engkau Tidak Keseorangan

Puisi buat orang tua kita, Tun Dr Mahathir



ENGKAU tidak keseorangan
Suaramu tidak hilang dalam kebisingan
Amanatmu tidak boleh disekat dihalang
Atau dilenyapkan oleh genderang perang.

Biarkan mereka meniupkan nafiri
Mendabik dada menunjuk berani
Biarkan mereka julang sang dewata
Biarkan mereka bersumpah setia
Menyanyikan lagu-lagu cinta
Sambil berkata:
“Kami cintakanmu sang dewata.”

Biarkan dia dijulang sejuta manusia
Biarkan dia disanjung demi kuasa
Biarkan dia dipuja kerana wang berjuta
Kerana engkau lebih besar daripada itu
Engkau tidak perlu puji dan puja palsu.

Engkau tidak keseorangan
Suaramu tidak hilang dalam keriuhan
Amanatmu tidak pudar kerana cemuhan
Atau dilenyapkan oleh sejuta tuduhan.

Biarkan mereka mengutuk mencacimu
Biarkan mereka menyumpah seranah namamu
Memanggilmu orang tua gila
Kerana azammu membela bangsa dan negara
Kerana pedulimu kepada rakyat jelata.


Biarkan mereka mendabik dada
Biarkan mereka tunjuk perkasa
Kerana kekuatanmu bukan pada senjata
Bukan pada penyokong palsu berjuta
Bukan pada kedudukan dan kuasa
Tetapi pada azam sekeras waja
Pada minda yang tiada taranya.

Engkau keseorangan ..bersendirian?

Jauh sekali, umpama air dengan api


Engkau punya ramai kawan dan teman
Engkau punya anak-anak yang cintanya sejati
Generasi yang engkau didik dan besarkan
Dengan idealisme dan perjuangan
Merekalah bala tenteramu
Merekalah pengarak panji-panjimu
Merekalah peniup nafirimu
Merekalah pemalu genderang perangmu.

Perjuangan-mu belum selesai
Bahtera kita dilanda ombak badai
Bahtera merdeka pusaka ibunda
Yang kita bina dengan keringat dan air mata
Berdosalah kita seandainya ia terkandas
Dirampas dirampok tangan-tangan ganas.

Anak-anakmu masih ingat luahan hatimu
“....Tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina
Air mata tiada ertinya
Sejarah silam tiada maknanya
Sekiranya bangsa tercinta terpinggir
Dipersenda dan dilupakan.”

Perjuanganmu belum selesai
Jangan biarkan hati anak-anakmu terlerai
Jangan biarkan negara kita hancur berkecai
Insya-Allah hasrat murni kita akan tercapai.
 

Sumber : Datuk A Kadir Jasin

Mungkinkah Doa Allahyarham Fadzil Noor Telah Dimakbulkan?


Di dalam kita sibuk mengikuti berita-berita semasa berhubung dengan serangan Dr. Mahathir Mohammad ke atas kepimpinan Mohd. Najib, adakah kita pernah berfikir di sebalik sebab-musabab yang berlaku ini? Sesungguhnya Tuhan tidak pernah menjadikan sesuatu peristiwa yang berlaku dengan sia-sia tanpa mempunyai sebab dan hikmahnya tersendiri.

Saya tidak ingin mengulas mengenai serangan Dr. Mahathir ke atas kerajaan pimpinan Mohd. Najib seperti kes pembunuhan Altantuya, 1MDB, dan sebagainya. Jika saya menyebut kembali perkara-perkara ini seolah-olah saya menjadi pengulas berita sahaja.

Apa yang ingin saya sebutkan di sini ialah mengenai doa Allayarham Ustaz Fadzil Noor (bekas Presiden PAS) iaitu beliau mendoakan supaya Dr. Mahathir dipanjangkan umur supaya beliau dapat melihat kemusnahan yang telah dibuat oleh tangannya.

Apakah yang dimaksudkan oleh Fadzil Noor dengan kemusnahan yang telah dibuat oleh Dr. Mahathir yang mungkin tidak dapat dilihat dan disedari oleh orang ramai lantaran banyak kejayaan yang dibina dan dipacu oleh Dr. Mahathir ketika menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia?

Jika kita melihat kembali sejak persaraan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri pada tahun 2003, beliau tidak pernah duduk diam mengkritik Perdana Menteri yang datang selepasnya. Selepas Abdullah dijatuhkan, kemudian tiba giliran Mohd. Najib yang ingin beliau jatuhkan.

Sampai bila Dr. Mahathir akan mengkritik dan terus mengkritik kepimpinan kerajaan memerintah?

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.com