Sunday, February 26, 2012

Elakkan Masalah Apabila Berhutang.


"Sesiapa mengambil harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan luluskan niatnya itu. Tetapi sesiapa mengambil dengan niat akan membinasakannya dengan tidak membayarnya maka Allah akan membinasakan dia."
Sahih Bukhari.


Keratan akhbar Berita Harian 24 Julai 2010
Pada hari ini, mustahil kita dapat hidup bebas daripada hutang melainkan kita masih menjadi tanggungan orang tua kita ataupun sudah menggunakan simpanan KWSP bagi melunaskan semua hutang-hutang kita. Mustahil kita dapat memiliki kereta ataupun rumah secara tunai melainkan kita merupakan ahli perniagaan yang berjaya. Ada bidalan mengatakan hutang ibarat kencing manis, sekiranya terluka sedikit habis terus merebak. Baiklah, masalah-masalah yang perlu dielakkan apabila berhutang adalah:

1. Terlibat dalam Hutang Riba'.
Berhutang itu harus. Namun pastikan kita tidak mengambil produk hutang yang mengandungi unsur riba'. Hutang riba' menyebabkan kita tidak tahu berapa jumlah hutang kita sebenarnya kerana hutang riba' menambah jumlah hutang sedia ada. Hutang riba' yang paling terkenal ialah kad kredit iaitu 18% setahun di mana faedah yang dikenakan adalah berdasarkan kepada baki kini semasa.

2. Berhutang bagi membeli liabiliti.
'Biar papa asal bergaya'. Inilah yang menjadi lumrah bagi sesetengah orang ramai bagi membeli sesuatu seperti kereta, perabot dan sebagainya semata-mata untuk bergaya. Hutang-hutang jenis ini perlu dielakkan kerana kita perlu bekerja keras dari bulan ke bulan bagi membayar hutang. Hutang yang tidak baik membuatkan kantung bank kita tidak berisi manakala hutang yang baik menambah kecairan wang kita dari tahun ke tahun melalui pelaburan.

3. Berhutang bagi Melabur di Tempat Berisiko Tinggi 
Sesetengah orang sanggup berhutang untuk melabur di tempat berisiko tinggi. Anda boleh berhutang bagi melabur pelaburan yang boleh dikatakan tidak mempunyai risiko seperti ASNB, Koperasi organisasi anda, dan sebagainya. Sebenarnya, di dalam dunia ini tiada jalan pintas untuk berjaya. Anda perlu bergerak langkah demi langkah. Tangga demi tangga untuk mencapai sesuatu. Sedangkan pesawah padi pun perlu menunggu 6 bulan bagi menunggu hasil tuaiannya. 

Pada hari ini, begitu ramai orang begitu ghairah membuat pelaburan emas kerana begitu percaya harganya akan naik dari semasa ke semasa.  tinggi pulangan sesuatu pelaburan, semakin tinggi risikonya. Adakah anda masih ingat tragedi 'Daim Bersin, BSKL Demam?' pada tahun 1993? Ketika itu harga saham mencapai paras tertinggi sejak ia dibuka. Ketika itu, ramai orang melayu berlumba-lumba membeli saham tersebut sehingga habis wang simpanan mereka. Malang sekali, harga saham selepas itu jatuh mendadak. Akibatnya, orang melayu kehilangan rumah, kereta dan sebagainya dalam sekelip mata. Apa yang perlu ikhtibar daripada peristiwa ini ialah 'tiada jalan pintas untuk kaya' di dalam dunia ini melainkan di syurga yang kekal abadi.

4. Tidak mencatat Hutang
Berapakah hutang pada masa sekarang? Sekiranya anda dapat menjawab kurang daripada 10 saat, tahniah anda sebenarnya pandai mengurus wang dan hutang anda. Sekiranya kita tidak tahu jumlah wang kita sekarang, kita sebenarnya berada keadaan di dalam terumbang-ambing di mana kita boleh dipengaruhi produk-produk pinjaman kewangan di luar sana yang ingin mengambil kesempatan ke atas kita.

Apa yang lebih penting, kita perlu mengetahui siapa penghutang dan pemiutang kita. Ini dapat mengelakkan kita daripada masalah di kemudian hari iaitu hutang-hutang kita yang belum dilunaskan selepas kita meninggal dunia. Hal ini dapat memudahkan urusan waris kita jika terdapat hal berbangkit di kemudian hari. Apa yang lebih penting, janganlah sesekali kita mewasiatkan hutang-piutang kita kepada waris kita untuk membayar hutang kita apabila kita sudah tidak mampu untuk membayar hutang.


5. Tidak mahu membayar Hutang
Inilah sifat yang ditegah oleh Islam walhal hukum berhutang sebenarnya harus dan hukum membayarnya adalah wajib. Ini adalah selari dengan hadis nabi iaitu:

"Roh seseorang mukmin itu tergantung yakni dihalang daripada tempat yang mulia dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dijelaskan." 
Riwayat Imam at-Tirmizi, Ahmad dan Ibni Hibban

Terdapat juga penghutang yang mengambil kesempatan ke atas seseorang supaya menjadi penjaminnya walaupun teman rapatnya sendiri. Natijahnya, kawan yang dianggap sahabat dunia akhirat melarikan diri  sebaik sahaja sudah mendapat pinjaman bank. Bank akan mencari penjamin tersebut apabila peminjam tidak dapat dikesan. Akhirnya, penjamin terpaksa membayar hutang sahabatnya supaya namanya tidak disenaraihitamkan. Peristiwa ini memang sentiasa berlaku di kalangan kita.

6. Hutang Tidak Terkawal
Ramai orang suka membuat hutang. Janganlah anda berasa 'besar' apabila anda ditawarkan pinjaman sehingga RM200,000 oleh pihak bank walhal anda sebenarnya sekadar 'coolie' di pejabat. Hakikatnya, institusi kewangan memang amat gembira apabila anda membuat pinjaman dengan mereka kerana mereka mendapat keuntungan dan pekerjanya mendapat komisyen dengan jumlah tertentu. Contohnya, sebuah bank konvensional di Malaysia menawarkan komisyen kepada pekerjanya sebanyak 5% sebulan di mana setiap pekerja bahagian jualan perlu mengeluarkan sekurang-kurangnya RM1,000,000 (RM1 juta) sebulan. Berapakah komisyen yang diperolehi? Sudah tentu mereka akan mendapat RM50,000 (RM50 ribu) sebulan bagi pinjaman yang dikeluarkan.

Oleh itu, usahlah mengambil pinjaman maksimum yang ditawarkan oleh pihak bank kerana mereka tidak tahu komitmen diri anda sebenarnya setiap bulan dan mereka hanya tahu membuat keuntungan. Anda yang perlu tentukan sendiri. Anda harus ingat, pihak bank sebenarnya menabur janji-janji manis supaya anda mengambil pinjaman mereka. Tetapi apabila sampai masa bayar, BAYAR. Atau anda boleh jumpa dengan mereka di mahkamah sekiranya tidak mampu membayar hutang. Jangan biarkan diri anda 'sesak nafas' disebabkan oleh hutang anda.

Kesimpulannya, kita perlu pandai dalam menguruskan wang kita. Wang kita bukanlah matlamat tetapi adalah  alat untuk mencapai matlamat. Jangan biarkan diri kita dibelit hutang di sekeliling pinggang. Kelak jiwa merana. Berfikirlah sebelum membuat hutang. Sepertimana hadis Nabi Muhammad s.a.w.:

"Berhati-hatilah kamu dalam berhutang kerana hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan kehinaan di waktu siang."
Riwayat al-Baihaqi


Wednesday, February 15, 2012

Taktik Halus Kedai Buku Popular dan McDonald's

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Semoga Tuan dan Puan sentiasa keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dikurniakan kelimpahan dan keberkatan Rezekinya setiap waktu. Semoga Tuan dan Puan melalui kehidupan hari ini lebih baik daripada semalam dan menjadikan sebaik-hari hari dalam kehidupan adalah hari kematian kita.Pada kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman saya sewaktu membeli di kedai buku Popular dan makan di Restoran McDonald's. Saya bukanlah ingin mempromosikan barangan kedai buku Popular atau mengajak diri anda untuk makan di Resoran McDonald's tetapi saya dapat 'menghidu' taktik halus yang digunakan oleh mereka dalam amalan perniagaan untuk dikongsikan bersama anda. Taktik halus ini tidak boleh dikatakan sebagai pembohongan tetapi taktik halus ini adalah adat resam bagi orang yang berniaga untuk menarik perhatian orang ramai bagi meraih keuntungan yang boleh kita jadikan panduan. Baiklah, saya ingin berkongsi cerita dengan anda:

a. Kedai Buku Popular.

Setiap perniagaan mempunyai 'caranya' tersendiri bagi menarik pelanggan...

Sekiranya anda mempunyai kad keahlian kedai buku ini anda akan menikmati diskaun 10%-20% bagi setiap buku yang dijual. Pernah satu ketika saya ingin membeli sebuah kamus yang harga asalnya adalah RM60.00 di Kedai Buku Popular di Kepong. Oleh kerana promosi dibuat untuk ahli, maka harga kamus tersebut dijual dengan harga RM38.90 dan ini bermakna seseorang itu akan menikmati diskaun sehingga 65%. Malang sekali, apabila saya hendak membayar dikaunter, juruwang memberitahu,"Maaf, promosi kamus ini sudah habis..." walhal juruwang tersebut memberitahu saya bahawa kamus tersebut masih mempunyai diskaun.Oleh yang demikian, saya hanya mendapat diskaun kamus tersebut hanya 10% iaitu diskaun biasa sahaja jika ingin memiliki kamus tersebut sebagai pemegang kad ahli.

Kemudian, hari yang lain pula saya pergi mengunjungi Kedai Buku Popular di One Utama. Mana-mana buku yang mempunyai diskaun sehingga 20% yang diletak di ruang legar pintu masuk kedai buku tersebut. Saya bertanya kepada pekerja kedai tersebut sama ada buku di ruang tersebut mempunyai diskaun sehingga 20% dan pekerja tersebut mengatakan memang buku tersebut mempunyai diskaun 20%. Apabila saya memilih sebuah buku dan membayar dikaunter, juruwang dikaunter menjawab,"Maaf, promosi buku ini telah habis..." dan saya hanya boleh menikmati diskaun 10% sahaja sebagai pemegang kad ahli.

Saya fikir, inilah taktik Kedai Buku Popular yang digunakan dalam menarik perhatian pelanggan. Pada mulanya, pelanggan akan tertarik apabila diskaun tersebut akan ditawarkan sehingga 20% atau lebih dan membeli buku tersebut. Tetapi apabila sampai di kaunter ingin membayar buku dan diberitahu bahawa promosi tersebut telah habis, mungkin bagi sesetengah orang apabila diberitahu diskaun tersebut telah habis dia mengatakan,"tidak mengapa atau takpe lah..." akan membayar sahaja buku yang telah diambil dan menganggap 'tidak jadi beli' merupakan perkara yang menyusahkan. Melalui taktik ini, kedai buku tersebut telah meraih keuntungan berkali ganda hasil 'taktik halus' tersebut bagi memancing pelanggan mereka padahal tempoh promosinya sudah habis dengan membiarkan sahaja papan tanda diskaun tersebut.

b. McDonald's

Taktik halus: Cuba anda perhatikan betul-betul. Harga mana ditulis paling besar?

Kedai makanan segera McDonald's juga saya dapat sedari bahawa menggunakan taktik halus yang licik dalam perniagaan mereka. Taktik halus mereka ini dapat saya perhatikan melalui promosi 'McValue Lunch'. Sekilas pandang, orang akan menyangka bahawa harga semua set makanan restoran tersebut adalah berharga RM5.95 dari pukul 12.00 p.m. sehingga 3.00 p.m. Tetapi apabila anda sudah berada di kaunter untuk membeli makanan tersebut, anda dapat perhatikan sebenarnya adalah 'FROM RM5.95' di mana dari jauh, kita tidak akan nampak perkataan "FROM" tersebut. Di mana harga RM5.95 hanyalah harga bagi 1 produk sahaja iaitu 'McChicken' dan bukannya kesemua set makanan restoran tersebut. Inilah taktik halus yang mereka gunakan. Sungguh bijak bukan?

Dalam kita berniaga, usahlah kita berbohong kepada orang ramai. Bukan saya ingin mengatakan contoh di atas adalah satu pembohongan tetapi jujurlah dengan pelanggan kita. Saya masih ingat lagi sebuah drama dari Seberang yang menceritakan seorang lelaki yang pada mulanya ingin berbohong bagi menjual radio yang telah rosak kepada orang lain bagi memperolehi wang. Rakannya memberitahu usahlah berbohong menjual radio tersebut dengan mengatakan bahawa radio tersebut masih elok untuk digunakan. Lelaki itu menjawab, jika tidak berbohong sudah tentu orang tidak akan membelinya lalu rakannya menjawab,"Itulah tanda keimanan kita dalam perniagaan..." Wallhua'lam.

Sekian, terima kasih.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad

Saturday, February 11, 2012

Amanah Saham Bumiputera (ASB) - Antara 2 Khilaf

Isu halal haram pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sering menjadi perbualan antara kita semua. Walhal hukum membuat pelaburan ini telah dikeluarkan sejak tahun 2008 lagi oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengatakan hukumnya adalah harus. Kita sebagai umat Islam sering berdebat isu hukum halal haram walhal bangsa lain sudah maju ke hadapan. Contohnya, orang Jepun sudah boleh mencipta robot yang boleh melambai balik tangannya sekiranya kita melambai tangan ke arah robot tersebut sedangkan kita masih berdebat mengenai perkara-perkara furu'. Sewaktu orang Jepun menyerang Pearl Harbor pada tahun 1941, orang melayu masih dijajah British di mana keadaan orang melayu ketika itu amat lemah dan hidup dalam keadaan kemiskinan.

Serangan tentera Jepun di Pearl Harbor
Kita masih berdebat isu halal haram mengenai sesuatu perkara. Ada juga yang menjadikan modal hukum pelaburan ASB adalah haram untuk membuat jualan emas mereka. Almaklumlah, orang sekarang sedang sibuk berlumba-lumba membeli emas sekarang kerana harga komoditi itu sedang naik sekarang. Anda harus ingat selagi mana ia pelaburan, selagi itu ia harganya mengalami naik turun. Saya telah menyebut mengenai pelaburan ASB sebelum ini. Pada kali ini, saya ingin berkongsi mengenai tulisan Pakdi dalam bukunya Rancang Wang dari Sekarang:

Amanah Saham Bumiputera (ASB) ditubuhkan pada 2 Januari 1990. ASB adalah sejenis amanah saham yang memberikan pendapatan yang konsisten sejak penubuhannya, selari dengan sifatnya sebagai income fund. ASB hanya dikhususkan kepada bumiputera. Operasi ASB tertakluk di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan garis panduan di bawah seliaan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Malaysia.

ASB popular kerana ia adalah instrumen yang memberikan pulangan yang konsisten sehingga ke hari ini, dianggap selamat oleh kebanyakan orang dan tidak mempunyai caj jualan dan jualan balik seperti amanah saham lain yang ditawarkan di pasaran.

Amanah Saham Bumiputera
Orang Islam yang peka kepada isu halal haram bertanyakan status halal haram ini kepada Majlis-majlis Fatwa Negeri, dan ilmuan Islam lainnya. Namun, statusnya terbahagi kepada dua pendapat. Ada Majlis Fatwa Negeri dan ilmuan Islam yang memberikan fatwa harus, dan ada Majlis Fatwa Negeri dan ilmuan Islam yang memberikan fatwa haram.

Pada 3 Februari 2008, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa harus melabur di ASB. Kira-kira setahun selepas itu, SC dalam satu suratnya kepada perbankan Islam menyatakan ASB masih belum mengikut patuh syarat patuh syariah seperti yang termaktub dalam garis panduan mereka.

Memandangkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan ini datang dari institusi dan invidu yang boleh mengeluarkan fatwa, selaku orang awam, kita boleh mengikut salah satu daripada dua pendapat itu yang kita lebih yakin. Hukum Pelaburan ASB jatuh dalam kategori ijtihadi yang mana para ulama' mengeluarkan pendapat mereka berdasarkan kaedah dan disiplin yang dibenarkan Islam.

"Apabila seorang hakim itu menghukum lalu dia berijtihad kemudian menepati kebenaran, baginya dua pahala. Dan apabila dia menghukum lalu berijtihad kemudian menyalahi kebenaran, baginya satu pahala." Riwayat Bukhari dan Muslim.

Thursday, February 2, 2012

Kritikan ke atas Daim Zainuddin



Walau sehebat mana seseorang manusia, tiada yang tidak dapat terlepas daripada sebarang kelemahan atau kesilapan. Insan yang saya ingin sebut di sini ialah bekas Menteri Kewangan Malaysia iaitu Tun Daim Zainuddin. Sebelum ini, saya banyak membaca mengenai ke atas bekas mantan Menteri Kewangan ini, tetapi ia tidak berasas sama sekali kerana kritikan yang dibuat tidak mempunyai asas dan sumber yang tertentu melainkan hanya fitnah semata-mata.

Apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah kritikan yang dibuat oleh Ng Boey Kui dalam kajian beliau yang bertajuk "Mudah Terdedahnya dan Kapitalisme Parti: Pertembungan Malaysia dengan Krisis Kewangan 1997". Secara ringkasnya, kesimpulan yang dapat dibuat adalah seperti berikut:

a. Sejak pelantikan Daim Zainuddin ke kabinet menjadi Menteri Kewangan pada Julai 1984, berlaku anjakan kuasa di kalangan elit melayu daripada "ahli politik dan pentadbir kepada gabungan ahli politik dan para peniaga".

b. Bank Negara Malaysia (BNM) tidak dapat menikmati kebebasan sejak pelantikan Daim Zainuddin menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1984. Sebelum itu, BNM di bawah Gabenor Tun Dr. Ismail sehingga 1980 mempunyai kebebasan dari segi perumusan dasar ekonomi dan hal-hal perbankan yang lain. 

c. Pengganti Gabenor Bank Negara (BNM) Tun Dr. Ismail iaitu Tan Sri Aziz Taha dipaksa meletak jawatan pada tahun 1985. Ini adalah usaha untuk meletakkan agensi penyeliaan keselamatan yang berkuasa di bawah Daim. Tindakan ini bertujuan untuk mempermudahkan pengambil alihan dan percantuman korporat serta penstrukturan semula korporat bagi memupuk kapitalisme parti bagi memenuhi matlamat DEB dan mewujudkan kapitalis melayu. 

d. Ini menyebabkan kawalan bank dan korporat menjadi longgar dan berlakulah peluasan pinjaman bank yang pesat sebelum krisis kewangan tahun 1997. Ini dapat dilihat pinjaman bank adalah meningkat daripada 14.4% tahun 1994 kepada 29% pada tahun 1995. Seterusnya, kadar pinjaman bank adalah 26.3% pada tahun 1996. Akan tetapi, pinjaman bank kepada sektor swasta adalah meningkat dengan kadar 33.5% sewaktu krisis kewangan bermula pada pertengahan tahun 1997.

e. Kesannya, syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan politik menjadi mangsa yang paling parah semasa krisis kewangan 1997 melanda. Ini adalah kerana mereka disokong bebanan hutang yang besar berpunca daripada susut nilai matawang semasa krisis berlaku. Nilai bersih syarikat-syarikat ini juga terjejas apabila harga saham menjunam secara tiba-tiba apabila krisis bertambah teruk. 

f. Syarikat Renong yang dimiliki oleh Halim Saad yang merupakan anak didik Daim di Paremba, merupakan syarikat yang menguasai 15% pembinaan negara masih tenat dengan hutang RM20 bilion. Syarikat Renong dipilih sebagai syarikat paling teruk di Malaysia bagi tahun 1998 dan 1999 dalam undian yang dijalankan oleh Asiamoney (The Strait Times, 2000).

Kini, 15 tahun telah berlalu. Tun Daim Zainuddin sudah mempunyai banknya sendiri iaitu International Commercial Bank (ICB) setelah meletak jawatan di dalam kabinet. Apapun yang dikatakan oleh orang terhadap Daim, Daim akan tetap diam dan tahu akan diamnya. Sehingga tertulis buku oleh Fatini Yaacob yang bertajuk "Daim Yang Diam".