Wednesday, September 29, 2010

ASB

Salam dan Selamat Sejahtera,

Semoga saudara dan saudari sentiasa berada dalam rahmat Allah dan sentiasa dikurniakan keberkatan Rezeki oleh-Nya selalu.

Pada kali ini saya akan membincangkan mengenai pelaburan ASB iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB). Saya percaya ramai di luar sana yang membuat pelaburan ASB. Ia merupakan salah satu cara untuk menjana pendapatan pasif kita yang memberi pulangan dalam bentuk dividen setiap tahun iaitu antara sekitar 7% setahun. Ramai kenalan saya yang membuat pelaburan ini sama ada dengan melaburnya dengan menggunakan duit simpanan sendiri ataupun dengan membuat pinjaman peribadi bank bagi melabur dalam Amanah Saham ini dan mereka menikmati dividen setiap tahun.
 
Wang ASB ini merupakan wang pelaburan yang bertambah secara eksponen apabila dividen diperolehi setiap tahun dibiarkan berkembang dalam akaun kita. Pada kali ini, saya ingin membincangkan lebih lanjut bagaimanakah kita boleh melaburkan wang pelaburan kita ke dalam ASB ini. Adakah wajar kita membuat pinjaman bank ataupun mengumpul wang simpanan kita untuk melabur dalam pelaburan ini.
 
Baiklah, pertama sekali saya ingin bertanya wajarkah kita membuat pinjaman peribadi untuk melabur ke dalam akaun kita? Sekarang banyak bank-bank komersial yang menawarkan pinjaman peribadi ini dari serendah RM1000 sehinggalah RM200,000 kepada kakitangan kerajaan swasta ataupun kerajaan. Kebiasaanya, bank akan mengenakan kadar caj tertentu apabila kita mengambil pinjaman ini. Saya mengambil contoh pengiraan bank komersial. Jumlah pinjaman adalah RM30,000 dan pembayaran dibuat selama 10 tahun (120 bulan). Jumlah ansuran bulanan yang dikenakan ialah RM372 sebulan di mana sepatutnya dia membayar RM250 sebulan. Di sini, bank mengambil untung RM122 sebulan dan RM1464 setahun (RM122 x 12 bulan). Manakala untung pelaburan ASB kita adalah RM2100 setahun sekiranya dividen ASB adalah 7% setahun (RM30,000 x 7%). Maka, margin keuntungan bersih kita yang perolehi daripada pelaburan ini ialah RM2100-RM1464=RM636 sahaja. Margin keuntungan kita ialah 14.64% (RM636/RM4464 (RM372 x 12 bulan) *100).
 
Kaedah kedua ialah kita menggunakan duit simpanan kita sendiri. Andaikata kita menyimpan sebanyak 20% daripada gaji kita setiap bulan iaitu RM600 sebulan sekiranya gaji kita ialah RM3000 sebulan. Dalam tahun pertama, simpanan ASB kita ialah RM7200 dan dividen yang diperolehi ialah sebanyak RM504. Margin keuntungan yang diperolehi ialah 7% (RM504/RM7200*100)
 
Analisa yang saya buat di atas adalah langkah pengiraan apabila kita membuat pelaburan ASB. Bagi sesiapa yang mempunyai komitmen yang lain untuk membayar pinjaman lain tidak perlulah membuat pinjaman baru untuk melabur di dalam ASB. Kelak ia akan mencekik diri kita sendiri. Oleh itu, wajarlah kita membuat Kaedah Kedua jika kita ingin menjana pendapatan pasif. Kaedah Pertama adalah sesuai bagi mereka yang tidak mempunyai komitmen untuk membayar pinjaman.

Sekian, terima kasih.







Monday, September 27, 2010

Ibu Duit

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,
.

1. Mudah-mudahan saudara-saudari sekalian sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan rezeki daripada Allah s.w.t. Semoga segala urusan saya dan saudara-saudari sekalian sentiasa dipermudahkan oleh Allah s.w.t. di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.

2. Pada kali ini saya akan membincangkan mengenai tajuk Ibu Duit. Ibu Duit yang saya maksudkan ini bukannya pelaburan atau perniagaan yang sentiasa menjana pendapatan kita pada setiap masa sama ada secara aktif ataupun pasif. Akan tetapi Ibu Duit yang dimaksudkan di sini cara kita menjana pendapatan kita dari perspektif agama. Tidak dinafikan dalam merancang kewangan kita, kita perlu seimbang dalam tuntutan duniawi dan ukhrawi. Istilah 'Ibu Duit' ini saya petik hasil daripada perbualan saya dengan hamba Allah apabila kami berbincang mengenai pengurusan kewangan. Ibu Duit yang dimaksudkan oleh beliau ialah memberi duit kepada ibu bapa dan membayar zakat.

3. Dalam mengejar tuntutan dunia, janganlah kita sesekali melupakan tanggungjawab kita terhadap ibu bapa kita. Ibu bapa kitalah yang telah membesarkan sejak kita dari kecil hingga dewasa. Oleh itu, eloklah kita membuat amal jariah dengan memberi sebahagian pendapatan kita kepada mereka. Mudah-mudahan dengan cara ini kita sentiasa dimurahkan rezeki oleh Allah s.w.t. dengan cara ini.

4. Selain itu, kita juga jangan lupa dengan Rukun Islam yang ke-4 iaitu menunaikan zakat bagi mereka yang berkemampuan. Zakat mempunyai jenis-jenis yang tersendiri iaitu zakat harta, emas dan perak, tanaman, perniagaan, ternakan dan fitrah. Zakat ini perlu ditunaikan apabila syarat-syaratnya telah dipenuhi. Istilah 'zakat' itu sendiri bermaksud bersih, suci, subur, berkat dan berkembang. Semoga Allah menyuburkan dan murahkan rezki kita dengan menunaikan tuntutan zakat ini.
.
5. Mudah-mudahan dengan menunaikan perkara-perkara ini ianya dapat menjadi Ibu Duit kepada kita sekiranya kita dapat amalkan setiap masa. Semoga kita sentiasa dimurahkan rezeki oleh Allah s.w.t.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Friday, September 24, 2010

PTPTN: Bagaimana dengan anda?

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Di sini, saya akan membahaskan secara terperinci mengenai PTPTN iaitu pinjaman pendidikan kepada pelajar-pelajar IPTA. PTPTN merupakan satu hutang atau beban yang besar kepada manusia yang bernama graduan selepas tamat belajar di universiti. Secara puratanya, seseorang mungkin berhutang RM20,000-RM25,000 dengan PTPTN untuk mengejar segulung ijazah bergantung kepada jurusan masing-masing.
.
Utusan Malaysia pada 22 September 2010 telah melaporkan bahawa 46,000 atau daripada 1.6 juta peminjam PTPTN tidak pernah membayar balik pinjaman mereka (Saya ulangi 'tidak pernah' membayar pinjaman mereka). PTPTN juga telah mengeluarkan RM23 billion sejak Julai 1997 daripada peruntukan dana iaitu RM35 billion. Namun begitu, PTPTN hanya berjaya membuat kutipan RM1.8 billion daripada RM3.8 billion yang sepatutnya dikutip.
.
Sukalah saya nyatakan di sini bahawa PTPTN mengenakan caj yang berdasarkan kepada baki kini dan bukannya caj yang tetap. Ini bermakna selagi hutang masih ada, maka selagi itu caj masih dikenakan walaupun bayar tetap dibuat pada setiap bulan. Caj yang dikenakan adalah 3% setahun bukannya 1% sepertimana yang diuar-uarkan kerana itu hanya yang mampu mengikut jadual. Caj ini bukannya caj tetap yang dikenakan.
.
Berlainan pula dengan sesetengah Yayasan bagi setiap negeri yang memberi pinjaman kepada pelajar di mana caj dikenakan dan pelajar hanya perlu membayar pinjaman yang diberi tanpa dikenakan sebarang caj. Berlainan pula dengan MARA, kerana ianya memberi kemudahan rebat kepada pelajar yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan keseluruhan dengan peratus rebat tertentu.
.
Di sini, saya ingin memfokuskan kepada peminjam yang tidak pernah bayar dan peminjam yang bayar mengikut jadual atau tidak mengikut jadual.
.
Saya bagi contoh pinjaman yang berjumlah RM25,000. Bayangkan sekiranya anda tergolong dalam golongan yang tidak pernah membayar pinjaman seperti yang saya sebutkan di atas. Caj PTPTN adalah 3 % sebulan. Maka, caj yang dikenakan adalah RM750 setahun. Sekiranya 3 tahun pinjaman tidak dibayar maka caj akan naik kepada RM2250 (RM750 x 3% = RM2250). Maka, baki pinjaman akan menjadi RM27,250. Maka, caj akan naik menjadi RM817.50 setahun (RM27,250 x 3% = RM817.50). Ini sudah tentu menjadi beban kepada peminjam yang tidak pernah membayar hutang tersebut.
.
Berbeza pula dengan peminjam yang bayar ikut jadual atau tidak mengikut jadual. (Saya anggap peminjam ini sama kedua-duanya kerana caj tetap dikenakan berdasarkan baki kini). Ambil pinjaman RM25,000. Caj yang dikenakan adalah RM750 setahun atau RM62.50 sebulan. Sekiranya kita hanya membayar RM200 sebulan, maka kita membayar RM62.50 untuk caj dan RM137.50 untuk pinjaman kita. Ini sedikit sebanyak akan mengurangkan hutang kita walaupun caj tetap wujud. Untuk tahun pertama, kita telah membayar (RM137.50 x 12bulan = RM1650) maka baki yang tinggal (RM25,000 - RM1650 = RM24,250). Maka, caj bagi tahun kedua adalah (RM 24,250 x 3 % = RM727.50 setahun). Kita dapat lihat caj tetap wujud dan kita perlu membayar konsisten pinjaman ini. Ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan caj dari semasa ke semasa.
.
Oleh itu, kita perlu membayar secara konsisten bagi mencegah caj terus naik yang akan memenatkan kita untuk membayarnya. Semoga saya serta saudara-saudara sentiasa beringat mengenai perkara ini.
.
Sekian, terima kasih.
 
http://wankamarul701.blogspot.com

Menabung

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,
.
Adakah anda menabung atau membuat simpanan dengan wang pendapatan anda?
.
Kita sering mendengar bahawa sebahagian besar antara kita tidak boleh membuat simpanan wang pada setiap bulan kerana tiada wang lebihan atau 'surplus' daripada pendapatan kita kerana pendapatan kita yang diterima setiap bulan itu digunakan untuk perbelanjaan untuk makan minum, membayar ansuran rumah & kereta serta lain-lain lagi. Ini menjadi satu sebab yang kuat mengapa kita tidak dapat membuat simpanan pada setiap bulan. Sekiranya kita terus berfikiran dan bersikap begini, sehingga bilakah kita boleh membuat simpanan dengan wang pendapatan kita?

Oleh itu, kita perlulah membuat simpanan walaupun sedikit ataupun seciput dari pendapatan kita. Saya beri anda pilihan, untuk memulakan simpanan bermula bulan ini. Saya berikan anda 4 pilihan angka berikut untuk membuat simpanan: RM200, RM100, RM50 dan RM10. Apa pilihan anda? Sekiranya anda betul-betul mengalami masalah kewangan yang ketara, anda mungkin tidak mampu untuk membuat simpanan RM200 atau RM100 sebulan. Mungkin RM50 anda tentu boleh. Sekiranya RM50 pun tidak mampu, anda mungkin berbohong sekiranya tidak mampu menyimpan RM10 sebulan. Sekiranya kita membuat simpanan RM10 sebulan, simpanan kita akan menjadi RM600 dalam masa 5 tahun. Bagaimana dengan simpanan RM200? Sudah tentu, simpanan kita adalah sebanyak RM12,000. Kita boleh melabur di tempat lain untuk membiakkan wang kita. Saya akan membincangkan mengenai pelaburan pada masa akan datang. Saya percaya ramai lagi boleh membuat simpanan yang lebih banyak daripada yang saya sebutkan di atas.

Bagaimana kita boleh mendidik diri kita dengan membuat simpanan? Kita mungkin sering mendengar bidalan 'sikit-sikit lama-lama jadi bukit'. Kita kebiasaannya hendak bukit terus iaitu menyimpan wang yang besar terus tanpa kita mempertimbangkan kemampuan kewangan kita. Sampai bilakah kita boleh membuat simpanan yang besar sedangkan wang yang kecil kita tidak boleh simpan? Saya mencadangkan petua "RM1 satu hari". Mula-mula, anda sediakan tabung atau bekas biskut kosong atau lain-lain bagi memulakan simpanan anda. Bermula hari ini, anda perlu menyimpan RM1 sehari di dalam tabung ini setiap hari. Wang simpanan akan menjadi RM30 sebulan dan RM1800 dalam masa 5 tahun. Ini sudah tentu lebih banyak berbanding simpanan RM10 sebulan yang saya sebutkan di atas. Saya telah membuat kaedah ini dan ia memberi kesan positif kepada saya.
.
Oleh itu, saya menyeru kepada diri saya dan saudara-saudara saya supaya membuat simpanan untuk diri kita. Ini adalah penting untuk masa hadapan kita yang lebih terjamin terutamanya apabila kita berada dalam kesusahan atau kecemasan.
.
Sekian, terima kasih.