Thursday, December 26, 2024

Terminate Kad Kredit Pertama


Sudah semestinya apabila memasuki tahun baru, kita akan membuat penilaian semula mengenai pengurusan kewangan kita. Pada sebentar tadi, saya pergi ke bank untuk terminate satu kad kredit. Bukan apa, kerana telah mempunyai kad kredit lain dan saya pun merasa pening jika hendak maintain banyak kad kredit dalam satu-satu masa. Kad kredit yang saya terminate ini memerlukan 24 swipe kali setahun jika tidak mahu dikenakan caj tahunan sebanyak RM195 setahun. Tambahan pula, kad kredit ini merupakan jenis mendapat manfaat cashback dan bukannya poin. Mungkin ada 2 kad kredit lagi saya ingin terminate selepas ini kerana saya tidak mahu maintain kad kredit yang banyak dalam satu-satu masa. 

Wallhua'lam.

Friday, December 6, 2024

Bala Menggunakan Buku Tanpa Nama Penulis, Penerbit, Tahun, dan Nombor ISBN.

 

Semalam negara dikejutkan dengan MP Kepala Batas iaitu Dr. Siti Mastura kalah saman dengan pemimpin-pemimpin DAP apabila Dr. Siti Mastura mengaitkan 3 orang pemimpin DAP iaitu Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, dan Teresa Kok dengan mendiang pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Dr. Siti Mastura perlu membayar sebanyak RM300,000 kepada Tan Sri Lim Kit Siang, RM250,000 kepada Lim Guan Eng, dan RM200,000 kepada Teresa Kok. Ini tidak termasuk dengan kos-kos lain yang perlu dibayar oleh defendan.

Ini adalah suatu mengejutkan kerana defendan iaitu Dr. Siti Mastura hanya menggunakan sumber buku propaganda Barisan Nasional yang tidak pasti sumber kesahihannya dan hakim berpendapat bahawa sesiapa sahaja boleh menggunakan nama Barisan Nasional (BN) untuk menerbitkan buku ini.

Keadaan ini sudah tentu memalukan Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang merupakan parti yang memperjuangkan Islam kalah dalam saman fitnah ini. Dr. Siti Mastura sepatutnya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan apatah lagi memetik daripada buku yang tidak pasti sumber kesahihannya.

Kekalahan saman oleh pihak defendan yang mewakili Parti PAS ini memberi laba besar kepada Parti DAP khasnya dan PH umum jika Parti DAP ini menyerang semula dalam kempen PRU akan datang.

Sesungguhnya fitnah adalah lebih bahaya daripada membunuh. Sudah tentu isu ini boleh memberi peringatan kepada pemimpin-pemimpin politik khasnya supaya jangan sembrono dalam membuat dakwaan tidak sahih kepada lawan masing-masing.

Wahhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Tuesday, December 3, 2024

Onedrive pun Kadang-Kadang Tidak Boleh Pakai Juga

Pada zaman sekarang, software-software seperti Onedrive, Cloud, ataupun Google Drive telah menjadi pengganti kepada pendrive. Seolah-olah pada zaman sekarang orang ramai tidak lagi menggunakan peranti pen drive kerana ianya mempunyai risiko untuk rosak ataupun lebih teruk lagi pen drive ini mungkin hilang. 

Begitu juga dengan jika fail-fail kita disimpan dalam desktop ataupun laptop kita di mana ianya masih ada risiko sekiranya ianya rosak dan tidak dapat diperbaiki lagi. Saya masih ingat ketika pada tahun 2007, setelah habis program ijazah sarjana muda ketika saya menemui rakan saya yang berlainan kursus yang mengambil Sains Biologi yang bekerja di kedai makan. Dia menceritakan bahawa data-data untuk projek tahun akhirnya telah 'hilang' kerana hard disk laptopnya rosak dan tidak dapat diperbaiki atau diselamatkan lagi. Atas nasihat pensyarahnya, dia perlu mencari data baru dan terpaksa extend semester pengajiannya untuk membuat semula projek tahun akhir. Begitulah ujian apabila ianya datang kepada kita.

Berbalik kepada Onedrive tadi walaupun ianya disimpan secara online dan dapat mengelak daripada risiko rosak sepertimana yang boleh terjadi kepada pen drive atau hard disk, ianya masih mempunyai risiko tersendiri dan ianya juga tidak boleh dipercayai kerana pernah terkena pada diri saya sendiri. Saya memang baru sahaja menggunakan Onedrive dalam sebulan dua ini kerana percaya ianya lebih selamat untuk membuat kerja-kerja tesis saya. Malangnya, terdapat satu kerja dalam file Microsoft Word yang saya gunakan telah 'hilang' dan seolah-olah tidak disave walaupun Microsoft Word ini disave secara automatik. Rupa-rupanya file yang disimpan secara online ini juga masih mempunyai risiko dan masalah. Saya perlu berjaga-jaga selepas ini supaya kerja-kerja Microsoft Word perlu dibuat terlebih dahulu dalam desktop sebelum ianya diletakkan semula dalam Onedrive.

Begitulah dunia IT, walaupun semakin maju tahap IT dari masa ke semasa, ianya masih mempunyai risiko yang tersendiri. Kita harus berjaga-jaga dan beringat mengenai perkara ini.

Wallhua'lam.