Thursday, June 27, 2024

Kalau Semua Benda Senang, Semua Orang Mahu Buat

Bismillah.

Teringat saya suatu ketika dahulu, ketika saya naik kereta Grab untuk pulang ke rumah, saya bersembang-sembang dengan pemandu Grab mengenai pendapatan yang diperolehinya pada setiap hari. Pendapatan sebagai pemandu Grab bergantung kepada waktu juga sama ada peak hour ataupun tidak dan tidaklah meraih pendapatan harian secara lumayan pada setiap hari. Di akhir cerita dia mengatakan, “Kalau Grab ini senang, semua orang akan buat Grab.”

Saya mula berfikir dengan kata-kata pemandu Grab ini. Dalam apa-apa bidang yang saya ceburi semuanya ada halangan masing-masing. Kalau semua benda senang, ramailah orang yang buat perkara yang kita juga minat. Yang lebih penting lagi adalah kita perlu beristiqamah apabila berada dalam sesuatu bidang. Jangan lompat-lompat bidang yang sama dalam tempoh waktu yang sangat dekat. Jika tidak, bagaimana kita ingin membina nama kita dalam sesuatu bidang khususnya perniagaan?

Begitu juga dalam mengumpul duit pendapatan kita, kita tidak boleh membandingkan segmen yang berlainan dengan bagi mencapai matlamat yang sama. Contohnya, kita membandingkan adakah dengan memasuki bidang hartanah menjadikan kita menjadi jutawan segera berbanding dengan mengumpul emas? Walhal segmen ini sebenarnya berlainan antara satu sama lain. Apa yang lebih penting, kita perlu beristiqamah berada dalam sesuatu bidang.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Tuesday, June 11, 2024

Menggemparkan – Persempadanan Semula Akan Dibuat Sebelum Menjelang PRU-16!

 


Pendedahan Isham Jalil baru-baru ini menggemparkan dalam ceramah isu semasa baru-baru ini. Oleh kerana, sokongan Melayu Islam kepada Pakatan Harapan (PH) saban hari apabila dilihat dalam trend-trend PRK yang diadakan, kemungkinan besar Kerajaan PH akan membuat persempadanan semula untuk memastikan mereka menang dalam PRU-16 akan datang. Ditambah pula dengan sokongan orang Melayu hanya sekitar 20 peratus dalam PRU akan datang memungkinkan mereka tidak dapat membentuk kerajaan. Di samping itu, persempadanan semula dibuat untuk memastikan negeri-negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak tidak menjadi King Maker selepas keputusan PRU diumumkan untuk membentuk kerajaan.

Dalam membuat persempadanan semula ini, ia hanya tertumpu kepada kawasan-kawasan bandar di mana kawasan ini mempunyai kepadatan penduduk yang ramai dan apabila disebut kawasan bandar sudah tentu kawasan ini didominasi oleh orang-orang bukan Melayu. Jika kawasan-kawasan parlimen di bandar dipecah-pecahkan maka bilangan kerusi Parlimen yang didominasi oleh orang bukan Melayu akan bertambah dan sudah tentu ia memberi kelebihan kepada PH di mana sokongan kepada PH adalah datang daripada kerusi-kerusi parlimen yang didominasi oleh orang bukan Melayu untuk terus kekal berkuasa. Untuk memecahkan kawasan mengikut keluasan kawasan, sudah tentu keadaan ini tidak berlaku kerana ini akan memberi kelebihan kepada negeri-negeri yang ditadbir oleh pihak pembangkang sekarang.

Dalam rancangan persempadanan semula ini, dijangka bilangan kerusi parlimen ditambah kepada 58 kerusi dan ini bermakna bilangan keseluruhan kerusi parlimen adalah sebanyak 280 kerusi (Termasuk 222 kerusi parlimen sedia ada). Kawasan-kawasan yang mungkin mengalami persempadanan semula ialah Gombak yang dipecahkan kepada 3 kerusi parlimen yang mempunyai penduduk 200,000, Subang dipecahkan kepada 4 kerusi parlimen (400,000 penduduk), Kepong dipecahkan kepada 5 kerusi parlimen. Kerusi parlimen di Selangor dijangka akan bertambah dari 22 kerusi parlimen kepada 40 kerusi parlimen.

Keadaan ini menyebabkan Perikatan Nasional (PN) di mana majoritinya terdiri daripada Melayu Islam tidak akan dapat membentuk kerajaan walaupun mendapat 99 peratus undi Melayu dalam PRU akan datang. Jika Kerajaan dapat dibentuk yang datangnya majoriti daripada kawasan-kawasan bandar, sudah tentu wang peruntukan akan pergi kepada kawasan bandar dan bukannya luar bandar.

Keadaan ini tiada beza dengan zaman Dr. Mahathir di mana beliau membuat persempadanan semula di kawasan-kawasan majoriti Melayu kerana orang Melayu kebanyakkannya menyokong PAS suatu ketika dahulu. Untuk memastikan BN terus menang, undi-undi Melayu dipecahkan. Akibatnya, apabila keadaan berubah di mana orang-orang Cina yang dulunya menyokong MCA dan BN kini menyokong pula DAP. Akibatnya, orang Melayu pula dari segi politik daripada segi persempadanan semula dibuat untuk jangka masa panjang.

Jika persempadanan semula betul-betul dibuat untuk memastikan PH terus berkuasa selepas PRU-16 akan datang sudah tentu keadaan ini akan menghakis kuasa politik Melayu untuk tempoh jangka masa panjang dan mereka sukar untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Monday, June 3, 2024

Rumah Pusaka Banyak Nama Ahli Keluarga: Antara Nilai Sentimental dan Ahli Waris yang Memerlukan Wang


Setiap yang hidup akan mati. Begitu juga dengan ibu bapa kita di mana kedua-duanya akan meninggalkan kita pada suatu masa nanti buat selama-lamanya. Dan sudah tentu apabila mereka meninggal dunia, mereka meninggal dunia mereka akan meninggalkan harta kepada ahli-ahlinya yang layak menerima harta pusaka tersebut. 

Harta pusaka pula terbahagi kepada 2 jenis iaitu harta alih dan harta tidak alih. Jika harta tidak alih contohnya yang berupa wang tiada masalah untuk diselesaikan antara ahli keluarga si mati. Masalah yang timbul adalah untuk menyelesaikan masalah harta tidak alih seperti rumah ataupun tanah. 

Dalam video temu bual Mingguan Wanita bersama Datuk Haji Adnan bin Seman (Peguam) yang menyebut masalah harta pusaka iaitu masalah rumah di kalangan 8 orang adik-beradik dan emak tiri mereka apabila ayah mereka meninggal dunia. Ada adik-beradik yang mahukan rumah pusaka ayah mereka dijual kerana ada yang mahu menggunakan wang manakala si abang pula menyuruh si adik tinggal di rumah tersebut kerana nilai sentimental (sentimental value).  

Memang dalam kes ini, terdapat 2 perkara yang perlu dilihat iaitu adik-beradik yang ingin memerlukan wang dan satu lagi adik-beradik yang melihat rumah pusaka ini dari sudut nilai sentimental di mana mereka membesar dan kenangan bersama ibu bapa mereka berada di sini. Di sini, Datuk Haji Adnan bin Seman mencadangkan agar rumah pusaka ini dijual di kalangan adik-beradik sahaja dan dalam masa yang sama hak atau bahagian adik-beradik yang ingin menjual rumah tersebut tidak dapat dinafikan kerana itu harta ataupun bahagian mereka. 

Jika ada adik – beradik yang tidak mahu rumah pusaka ini dijual, maka jika salah seorang adik-beradik ini meninggal dunia, maka ini akan menjadi masalah kerana ini menjadi tuntutan kepada anak-anak ataupun cucu-cucu kepada salah seorang adik-beraidk ini. Sudah tentu perkara ini menjadi rumit untuk jangka masa yang panjang. Mahu tidak mahu dengan menjual harta pusaka di kalangan adik-beradik sahaja jalan terbaik bagi menyelesaikan tuntutan harta pusaka ini. Sekurang-kurangnya nilai sentimental tetap terjaga apabila salah seorang ahli waris membeli rumah pusaka ini. 

Jika ada ahli waris yang tidak mahu menjual bahagian mereka untuk harta tidak alih, ahli waris yang ingin menjual harta pusaka boleh membawa kes ini ke mahkamah untuk menjual harta pusaka ini. Ahli waris yang tidak mahu menjual perlu menandatangani dokumen pindah milik penjualan. Individu yang tidak bersetuju untuk menjual perlu mengikut perintah mahkamah. Jika individu tidak mengikut perintah mahkamah, individu ini boleh dikenakan komital atau tindakan oleh mahkamah kerana tidak mengikut perintah yang dikenakan. Individu ini boleh dipenjarakan atau didenda oleh mahkamah. 

Tindakan ini mungkin keras tetapi inilah kaedah yang lebih baik bagi menyelesaikan masalah harta pusaka. Apa yang berlaku sebenarnya ialah ahli keluarga terpaksa menggunakan saluran mahkamah kerana tiada lagi jalan lain bagi menyelesaikan masalah harta pusaka.

Jika masalah harta pusaka khususnya tanah ataupun rumah tidak diselesaikan dengan segera, sudah tentu lama-kelamaan harta pusaka ini menjadi terbiar begitu sahaja apatah lagi pada zaman sekarang anak-anak muda sampai satu masa akan meninggalkan kampung halaman mereka dan akhirnya rumah pusaka terbiar begitu sahaja tanpa penghuni.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com