Tabahkanlah
hatimu...
Berjuang
di rantau orang...
Sedih pilu hanya engkau yang tahu...
Begitulah bait-bait nasyid Perantau yang didendangkan oleh Nazrey Johani yang sesuai ditujukan kepada pengarang buku ‘ Saya Ada 25 Jam Sehari’ ini iaitu Dr. Mohd Daud Bakar. Itulah yang diceritakan oleh pengarang buku ini pada awal bab buku ini yang menceritakan pengalamannya yang merantau di seluruh dunia yang menjalankan khidmatnya sebagai penasihat shariah global dan juga sebagai usahawan shariah. Pengarang menceritakan pengalaman sepanjang 10 hari pada bulan Disember 2015 seperti berikut;
“Pertama sekali, saya terpaksa melalui imigresen di Lapangan Antarabangsa Dubai pada 5 Disember (ketibaan) dan 6 Disember (berlepas), diikuti kaunter-kaunter imigresen di lapangan-lapangan terbang berikut: Bahrain pada 7 Disember (pagi) dan Muscat (lewat petang); Dubai pada 9 Disember; Istanbul pada 11 Disember; Dubai pada 12 Disember; Muscat pada 13 Disember; Dubai pada 14 Disember; dan akhir sekali, Kuala Lumpur pada 15 Disember.”
Tambah pengarang lagi, sesetengah negara beliau berada di negara tersebut tidak lebih dari 10 jam dan sepanjang 10 hari pada bulan Disember 2015 ini beliau telah merentasi 40,000 km perjalanan!
Itulah hakikat kehidupan beliau sebagai usahawan shariah. Tetapi, apa yang lebih penting lagi ialah bagaimana beliau menguruskan masa beliau di dalam buku ini. Apabila anda membaca buku ini, sudah tentu anda akan dapat mengaitkan situasi sebenar pengarang buku ini dengan realiti kehidupan anda ini. Tidak semestinya anda memang seorang penggembara tetap untuk urusan kerja saban hari di luar negara baru membaca buku ini. Hakikatnya, kita sebagai manusia adalah sama sahaja yang berbeza adalah bentuk halangan atau cabaran sahaja untuk menggapai kejayaan.
Pengarang bertegas dan cuba mengatakan bahawa kita sebenarnya memang boleh menjana 25 jam sehari dan menyatakan bahawa ini bukanlah kiasan yang bermaksud kita perlu bekerja setiap hari. Apabila saya membaca dari awal sehingga akhir buku ini kita sebenarnya perlu cepat melakukan kerja kita dan lebihan masa yang ada itu perlulah diisi dengan kerja-kerja yang produktif dan jangan membazir masa. Bukannya menjana masa tambahan 1 jam sehari. Namun saya tidak nafikan tip-tip yang dikongsikan dalam buku ini untuk kita manfaatkan dalam pengurusan masa kita.
Pengarang mengatakan bahawa kita perlu menjadi multi-tasking ataupun boleh buat pelbagai kerja dalam satu-satu masa berbanding dengan orang lain yang boleh membuat kerja untuk satu tugasan sahaja berbanding tempoh yang sama. Contohnya, adalah lebih baik seseorang itu boleh membuat dan menyelesaikan kerjanya dengan 3 tugasan dalam tempoh 1 jam berbanding dengan orang lain yang mampu menyiapkan 1 tugasan. Apa yang hendak ditekankan di sini kita perlulah cepat untuk membuat sesuatu dengan mengekalkan hasil kerja yang berkualiti tinggi.
Apa yang diceritakan oleh pengarang ialah otak atau minda kita sendiri adalah sebuah super computer hebat ciptaan tuhan. Ia perlu dilatih dari semasa ke semasa agar kita akan menjadi lebih cepat dan cekap apabila melakukan sesuatu. Bayangkan seseorang itu yang dinaikkan pangkat dalam kerjayanya, realitinya ialah ia tetap mempunyai masa 24 jam sehari dan tidak diberi masa tambahan untuk menyiapkan tugasan yang makin menimbun. Inilah kehebatan otak dan minda kita yang boleh disesuaikan dengan persekitaran semasa.
Dalam kehidupan ini juga pengarang menceritakan memgenai tempoh masa tergendala. Tempoh masa tergendala ialah kita tidak dapat membuat kerja-kerja yang produktif sepanjang tempoh ini. Contohnya, pengarang menceritakan sendiri pengalamannya ketika berada di Libya dan mencari jalan untuk ke Tunisia untuk menyelamatkan diri kerana meletusnya perang saudara ketika ini. Pada masa ini, beliau hanya perlu menyelamatkan diri dan nyawa dan bukannya berfikir untuk menyiapkan kerja-kerja tertunggak. Inilah yang dinamakan sebagai tempoh tergendala.
Apabila saya cuba mengaitkan dengan kehidupan saya sendiri ialah tempoh tergendala ini apabila saya balik kampung. Ketika ini, semua tugasan pejabat mahupun kerja-kerja personal tidak dapat dilakukan. Apa yang boleh dilakukan ketika ini ialah bersama dengan ahli keluarga dan setidak-tidaknya main handphone sahaja untuk melayan gosip politik terkini ataupun di pejabat.
Dalam hidup ini kita perlu membahagikan jenis-jenis kerja kita sama ada kerja yang perlu masa kita untuk berseorang bagi berfikir dengan serius dan kerja yang tidak memerlukan kita untuk berfikir dengan serius. Ketika ini, kita boleh membuat 2 kerja dalam satu masa seperti berjumpa dengan klien atau konsultan ketika makan tengah hari. Dalam masa yang sama, kita sebenarnya boleh menjimatkan masa kita.
Kita juga berhadapan dengan 1,001 kerenah individu-individu di sekeliling kita khususnya di tempat kerja kita. Memang tidak dinafikan bahawa perkara ini memang wujud dalam kamus kehidupan kita. Kita sememangnya tidak boleh untuk lari dari masalah dan terpulang kepada kita bagaimana untuk kita mengendalikan individu-individu seperti ini contohnya bos yang cerewet, rakan sekerja yang kuat tidur, kawan yang kuat membawang, dan sebagainya.
Pengarang juga menonjolkan mengenai konsep pra-tentuan. Maksudnya ialah apabila kita sedang membuat kerja sekarang, apakah idea-idea baru yang terlintas di fikiran kita untuk membuat kerja seterusnya? Walaupun kerja akan datang belum dimulakan lagi tetapi lakaran minda untuk membuat kerja seterusnya telah terbayang di fikiran kita untuk dilakukan dan disiapkan kelak. Ini sudah tentu menjimatkan masa kita kerana bukannya baru hendak memulakan tugasan baru, baru hendak berfikir.
Pengarang juga menasihatkan agar kita melakukan senaman pada awal pagi kerana pada waktu ini badan kita mengeluarkan hormon stres dan apabila senaman dilakukan ianya dapat meneutralkan hormon ini. Jika kita bersenam di waktu lain, hormon ini akan kekal lebih lama dan ianya memberi kesan kepada pemikiran kita. Selain itu, pengarang juga menasihatkan pembaca agar tidak membaca bacaan berat sebelum tidur kerana ianya akan merangsang otak kita untuk berfikir pada waktu malam dan seterusnya akan mengganggu kualiti tidur kita.
Setakat ini sahaja dulu perkongsian saya mengenai poin-poin utama buku ini bagi kita manfaatkan. Mungkin ada poin-poin yang penting yang saya tidak kongsikan di sini dan anda boleh mendapatkannya di mana-mana kedai buku yang menjualnya di atas talian untuk mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini.
Wallhua’lam.
Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad (20/3/2021)
https://wankamarul701.blogspot.com