Sunday, November 29, 2020

Kelebihan Keturunan Bani Umaiyyah Berbanding Bani Hashim

 


Kerajaan Bani Umaiyyah mengambil alih pemerintahan kerajaan Islam daripada tahun 41H sehingga 132H (661 – 750M). Permulaan pemerintahan kerajaan ini bermula apabila Mu’awiyah bin Abu Sufyan dilantik menjadi khalifah menggantikan al-Hasan pada tahun 41H. Peristiwa ini disebut sebagai Tahun Perdamaian  atau Am al-Jama’ah.

Sejak dari itu bermulalah zaman kerajaan Umaiyyah dan mereka memilih Damsyik sebagai pusat pemerintahan kerajaan mereka. Mu’awiyah bin Abu Sufyan dibaiah atau mendapat pengakuan sumpah setia daripada umat Islam di Kufah. Mu’awiyah bin Abu Sufyan mendapat pengiktirafan daripada sahabat yang masih hidup. Sebahagian besar umat Islam memberikan pengakuan sumpah setia kepada beliau serta mengiktirafnya sebagai khalifah yang sah.

Mu’awiyah bin Abu Sufyan menamakan kerajaan yang diasaskannya itu sempena  nama moyangnya iaitu Umaiyyah bin Abdu Shams. Ini merupakan strategi bagi menyatukan semua anak cucu Umaiyyah supaya menyokongnya. Tempoh pemerintahan kerajaan Umaiyyah muncul pada zaman yang dikenali sebagai sebaik-baik kurun kerana meliputi merangkumi generasi sahabat, at-Tabi’in iaitu generasi selepas sahabat dan ‘Atba’ at-Tabi’in iaitu selepas at-Tabi’in.

Keturunan Umaiyyah merupakan antara kumpulan yang paling kuat menentang Rasullullah sebelum memeluk Islam berbanding keluarga Bani Hashim. Keturunan Hashim ini menjadi penyokong kuat Nabi Muhammad. Keturunan Umaiyyah adalah kelompok yang terakhir yang memeluk agama Islam. Namun, setelah memeluk agama Islam mereka menunjukkan semangat kepahlawanan yang cukup gemilang seolah-olah bagi menebus kembali penentangan mereka dahulu.

Keturunan Hashim dan keturunan Umaiyyah berasal daripada keturunan Abdu Manaf yang cukup terkenal dengan ketokohan dan kepimpinan mereka. Namun begitu, keturunan Umaiyyah sebenarnya memiliki lebih banyak kekayaan, lebih banyak jalur keturunan dan mempunyai lebih ramai tokoh pemimpin berbanding keturunan Hashim. Kemuliaan ketika ini dinilai dengan berapa banyaknya keturunan. Tambahan pula keturunan Umaiyyah adalah antara golongan korporat dan ahli perniagaan yang terkenal serta bangsa Arab Quraisy yang paling kaya.

Bangsa Quraisy adalah bangsa paling mulia di Hijaz. Di kalangan bangsa Quraisy ini keturunan Abdu Manaf adalah yang paling kaya dan paling ramai jalur keturunan. Keturunan Abdu Manaf ini terbahagi kepada dua buah keluarga terkenal iaitu keluarga Hashim dan keluarga Umaiyyah.

Sebelum kedatangan Islam, kemuliaan suku bangsa ini dipegang oleh Harb bin Umaiyyah. Beliau merupakan bapa kepada Abu Sufyan dan datuk kepada Mu’awiyah. Selepas peristiwa hijrah, ramai kelompok keturunan Bani Hashim turut berhijrah mengikut Rasulullah dan yang tinggal di Mekah adalah keturunan Bani Umaiyyah. Namun, selepas Perang Badar ramai pemimpin Quraisy terkorban dan yang tinggal hanyalah Abu Sufyan. Beliau kemudian menjadi pemimpin bangsa Quraisy bagi menentang Rasulullah sehinggalah beliau masuk Islam ketika peristiwa pembukaan Mekah.

Keturunan Umaiyyah terkenal dengan kepimpinan dan ketokohan mereka dalam berpolitik sejak zaman jahiliah lagi. Sebagai contoh dalam Perang al-Fijar, bangsa Quraisy dipimpin oleh Harb bin Umayyah. Selepas zaman Islam, ketua kafir Quraisy semasa Perang Uhud dan al-Ahzab adalah Abu Sufyan bin Harb. Selepas keturunan Bani Umaiyyah memeluk Islam, mereka tidak menunggu lama bagi menggilap bintang ketokohan dan kepimpinan mereka.

Pemerintahan kerajaan Bani Umaiyyah ini berakhir pada 122H / 750M di bawah pimpinan Marwan bin Muhammad apabila beliau gagal menghadapi kemaraan tentera Abbasiyah yang menuju ke Syam di bawah pimpinan Abdullah bin Muhammad al-Abbasi yang terkenal dengan nama Abu al-Abbas as-Saffah. Marwan bin Muhammad melarikan diri dari medan pertempuran. Namun begitu, beliau diburu oleh tentera Abbasiyah hingga ke Mesir dan berjaya dibunuh pada bulan Jamadil Awwal tahun 132H. Dengan kematian Marwan bin Muhhamd maka berakhirlah zaman kegemilangan Kerajaan Umaiyyah yang berpusat di Kota Damsyik.

Sumber: Sahrulazmi Sidek, Armada Laut Umawiyyah, 2011.

Wednesday, November 11, 2020

Taktik Halus Jualan Keluaran Bumiputera di Pasar Raya Bukan Melayu

 Ini bukan rasis. Suka saya untuk bercerita di sini.

Isteri saya menceritakan ketika dia ingin mencari minyak Saji berat 2 kg di sebuah pasar raya bukan Melayu di Sungai Buloh didapati hanya minyak Saji berat 5 kg sahaja dijual. Akan tetapi, minyak Seri Murni keluaran bukan Bumiputera berat 2 kg banyak pula dijual. 

Saya menyatakan bahawa ini mungkin merupakan taktik halus pasar raya bukan Melayu. Kadang-kadang pasar raya bukan Melayu ini terpaksa menjual barangan keluaran Bumiputera di premis perniagaan mereka kerana terpaksa mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan untuk berniaga.

Satu lagi suka saya ingin ceritakan. Kalau kita perasan barang-barang keluaran Bumiputera kebiasaannya akan diletakkan di atas sekali atau di bawah sekali bagi satu-satu rak. Kebiasaannya, para pembeli akan memerhatikan barang-barang yang diletakkan di tengah-tengah rak dengan jarak penglihatan dalam lingkungan 3 - 7 kaki. Para pembeli tidak akan atau jarang mendongak untuk melihat barangan yang di atas sekali rak ataupun ingin membongkok badan mereka untuk melihat barangan yang diletakkan di bawah sekali rak. Kesannya, barangan Bumiputera yang dijual di pasar raya -pasar raya besar bukan Bumiputera tidak laku.

Inilah realiti yang berlaku dalam kehidupan pada hari ini. Peniaga bukan Bumiputera ingin melihat barangan keluaran Bumiputera tidak laku dan seterusnya akan gulung tikar.

Wallahua'lam.

Monday, November 2, 2020

Tok Janggut dan Seruan Jihad Sultan Uthmaniyah.

Perjuangan Tok Janggut untuk menentang penjajah di Kelantan adalah pada tahun 1915 iaitu ketika Perang Dunia Pertama (PD I) masih berlangsung. Namun begitu, para sejarawan mengatakan bahawa perjuangan Tok Janggut ini adalah disebabkan faktor dalaman seperti cukai-cukai yang tidak sepatutnya dikenakan oleh penjajah British. Namun, begitu tiada bukti yang menyatakan bahawa kebangkitan perjuangan Tok Janggut untuk menentang British ini adalah kerana faktor luaran iaitu menyahut seruan jihad Sultan Uthmaniyah bagi menentang penjajah.

Perkara ini masih menjadi persoalan sehingga hari ini dan diharapkan ada para sejarawan yang dapat mengemukakan bukti kukuh bahawa perjuangan Tok Janggut juga adalah juga lahir daripada faktor luaran iaitu untuk menyahut seruan jihad Sultan Uthmaniyah.