Sekiranya masa boleh undur semula, saya
tidak akan menukar aliran sains dan akan berada di aliran sastera (akaun)
sewaktu berada di tingkatan 4 dahulu. Nak buat macam mana, zaman budak-budak
dahulu berada di kelas aliran sains dahulu bererti kita berada dalam kelas yang
paling glemer berbanding dengan aliran sastera. Al-maklumlah ketika itu kita
dimomok dengan subjek-subjek sains seperti biologi, kimia, dan fizik walaupun
diri ini tidaklah sepandai mana untuk menguasai subjek-subjek ini.
Saya terpanggil untuk menulis artikel ini
kerana saya mula berfikir dan kadang-kadang berasa menyesal juga kerana menukar
aliran sastera ke aliran sains ketika zaman belajar sekolah menengah dahulu.
Saya fikir ketika itu berada di aliran sains menyebabkan peluang kerjaya akan
terbuka luas di hadapan kita setelah kita akan bergraduasi di universiti pada
suatu hari nanti. Kerjaya yang akan penuh glemer – menjadi engineer, arkitek,
doktor, dan sebagainya.
Namun saya silap perhitungan. Saya
sebenarnya tidak mampu untuk membawa subjek-subjek sains – Khalash! Saya
sebenarnya kantoi semua subjek sains dalam peperiksaan SPM yang diduduki pada
tahun 2002. Walaubagaimanapun, saya cuba gagahi untuk menduduki aliran sains
ketika berada di matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun
2003 – 2004. Sehinggalah tamat matrikulasi, saya fikir saya sudah lagi tidak
mampu untuk belajar subjek fizik dan kimia. Ketika itu, saya berada di aliran
sains fizikal dan tidak mengambil subjek biologi.
Untuk subjek kimia khususnya, saya
sebenarnya tidak mampu untuk memahami subjek ini ketika berada di semester pada
peringkat semester kedua matrikulasi KPM ini (Sistem matrikulasi ada 2
semester). Sewaktu mengisi borang permohonan IPTA selepas matrikulasi, saya
bertanya kepada kenalan-kenalan senior saya ketika itu, ijazah apakah yang ada
kira-kira sahaja? Jawapan mereka yang lain dan tidak bukan ialah akaun! Nah,
terkena pula kepada batang hidung sendiri mengapalah saya dahulu pergi tukar
aliran sastera (akaun) ke aliran sains sewaktu di tingkatan 4 dahulu.
Menyesal pun tidak berguna lagi. Nasi sudah menjadi bubur. Hendak diundur masa
ketika itu tidak boleh lagi. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk mengambil
ijazah matematik sahaja. Sekurang-kurangnya ada juga bau-bau aliran sains lagi.
Alhamdulillah, saya dianugerahkan dengan Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik Komputasi)
Kelas Kedua Atas pada tahun 2007.
Untuk peringkat master pula, saya sudah
pusing 180 darjah kerana saya mengambil aliran sastera iaitu Ijazah Sarjana
Sejarah Malaysia! Langsung tiada unsur-unsur sains peringkat pengajian saya
pada kali ini. Sebenarnya, ini adalah percubaan kedua saya untuk mendapat
ijazah sarjana setelah percubaan pertama saya gagal suatu ketika dahulu. Benar
kata orang kejayaan kita sebenarnya bukanlah untuk mengelak daripada mengambil
risiko menghadapi kegagalan tetapi bagaimana kita ingin bangkit semula daripada
kegagalan kita.
Apabila sudah dewasa dan mengenal dunia
luar. Bolehlah saya bermuhasabah diri saya sekarang. Kemampuan kita sebenarnya
adalah berbeza-beza dalam peringkat pengajian dan pembelajaran sekali. Belajar
dan mentelaah subjek sains ketika di bangku sekolah dari pagi sehingga ke lewat
malam tidak menjadi sebab untuk kita pandai dalam subjek sains. Ada orang tidak
perlu untuk menelaah subjek sains sehingga ke lewat malam kerana kepandaian
mereka sudah tercipta di situ sejak azali kerana itulah kelebihan yang Tuhan
berikan kepada mereka.
Kita sebenarnya boleh menjadi hebat dan
berjaya dalam apa jua bidang kita ceburi dan jalan kejayaan bukan satu-satunya
berada di aliran sains sahaja. Kemampuan kita juga adalah berbeza-beza.
Yakinlah bahawa Tuhan jadikan kita adalah untuk kita menjadi hebat di dunia
ini!
Wallhua’lam.
Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad (5/8/2020)