Saturday, April 27, 2019

Ulasan Buku : Secangkir Teh Pengubah Letih

Buku ini memang best!

Membaca buku ini menyebabkan saya berasa tidak bosan untuk membelek helaian demi helaian sehingga di kulit belakang buku ini. Walaupun buku ini sekitar 267 halaman, namun ia sarat dengan nilai-nilai intelektual yang bertunjangkan kepada pengalaman penulis ketika berada di Turki sekitar tahun 1990-an.
Buku ini sebenarnya buku lama yang telah berada di pasaran sekitar tahun 2010 dan ketika ini saya masih bujang. Tetapi entah macam mana saya tidak berhasrat untuk membeli buku ini ketika mula-mula berada di pasaran dahulu. Alhamdulillah, saya ditakdirkan membeli buku ini pada tahun ini (2019). Itupun setelah saya berumah tangga. 
Kelemahan buku ini ialah penulis tidak menyesuaikan artikel-artikel yang ditulis dan diterbitkan sebelum ini untuk ditulis dalam bentuk buku. Contohnya ialah ayat beberapa hari yang lepas dan sebagainya yang dimuatkan dalam buku ini. Sudah terang lagi bersuluh apa beberapa bab dalam buku ini sebenarnya mungkin telah diterbitkan dalam bentuk artikel. Sepatutnya ia perlu disunting semula sesuai sebagai pembacaannya sebagai sebuah buku.
Hmmm... Apa yang boleh saya katakan ialah bertuahlah kalau sesiapa yang mendapat perluang belajar di luar negara ketika membuat first degree. Tidak macam saya di mana saya hanya belajar untuk first degree saya hanya di Malaysia sahaja. 
Berkenaan dengan diri penulis iaitu Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang menceritakan pengalamannya telah berulang-alik ke Turki lebih daripada 20 kali sewaktu belajar di Universiti Mu’tah. Bukan senang tu nak dapat peluang pergi ke Turki. Saya pun sehingga hari ini baru sekali sahaja ke Turki. Pengalaman saya ke Turki ini saya nukilkan dalam karya saya yang bertajuk Peperangan Terakhir Uthmaniyah. 
Terasa betapa beliau Ustaz Hasrizal Abdul Jamil ini menghargai ukhuwah yang lahir bersama dengan kenalan-kenalan beliau di Turki yang telah berjaya digarapkan dengan tulisan dalam buku ini. Walaupun berlainan bahasa dan warna kulit, tetapi orang-orang Malaysia dan Turki disatukan melalui akidah tauhid yang satu.
Buku ini banyak menceritakan mengenai penggembaraan penulis sewaktu berada di Turki. Kadang-kadang ilmu yang diperolehi melalui pengalaman ini amat bernilai yang boleh dikongsikan dengan pembaca semua. Buku ini banyak berkisar mengenai budaya orang-orang Turki dan sudah tentu penulis membuat perbandingannya dengan realiti masyarakat Malaysia. 
Buku ini ditulis berdasarkan pengalaman penulis ketika berada di Turki sekitar tahun 1990-an. Ketika ini, Recep Tayyib Erdorgan masih menjadi Datuk Bandar Istanbul dan memimpin parti AKP. Siapa sangka pada hari ini Erdorgan telah menjadi Presiden Turki walaupun beliau pernah ditahan oleh pihak tentera supaya tidak terlibat aktif dalam politik selama lima tahun ketika buku ini ditulis!
Betapa orang Turki amat menyanjung Mustafa Kamal Ataturk. Mereka amat menyanjungi Ataturk sebagai wakil agama Islam ataupun Godfather mereka. Oleh itu, tidak hairanlah apabila orang Malaysia berada di Turki, mereka dinasihatkan supaya tidak mencaci Ataturk kerana ini mungkin menimbulkan kemarahan orang-orang Turki. 
Adat merisik orang-orang Turki amat menarik dan amat berlainan dengan budaya merisik di Malaysia. Jika rombongan lelaki datang merisik seseorang wanita, apakah yang akan dibuat oleh seseorang wanita itu jika dia menerima atau menolak orang yang datang merisiknya? Jawapannya mudah sahaja. Jika seseorang wanita berkenan dengan lelaki tersebut, dia akan menghidangkan kopi manis bergula. Manakala jika seseorang wanita itu menolak pinangan lelaki tersebut, dia akan menghidangkan kopi yang pahit kepada tetamunya. Menarik bukan? 
Isu tudung memang tidak dapat lari daripada isu utama Turki. Oleh kerana Turki masih menjunjung dan mengamalkan ideologi sekularisme, maka pemakaian tudung amat dilarang sama sekali khususnya di parlimen ataupun universiti. Ada pelajar perubatan yang telah enam tahun berada di pengajian, namun ketika ingin mengambil peperiksaan, mereka dilarang untuk memakai tudung sekiranya untuk masuk ke kampus. Antara perintah Allah s.w.t. dan segulung ijazah yang mereka perlu pilih.
Tidak kurang dari itu juga ada pelajar-pelajar yang memakai snow cap ataupun wig supaya dapat melepasi security di pintu masuk supaya dapat memasuki kampus. Betapa sukarnya mereka untuk melaksanakan perintah Allah s.w.t. sedangkan sebahagian wanita di Malaysia yang tidak memakai tudung atas alasan yang remeh-temeh. 
Di Turki juga tidak ada kuliah subuh ataupu maghrib seperti di Malaysia dan kuliah-kuliah seperti ini amat sukar ditemui. Mereka memperolehi ilmu melalui wacana ilmu di akhbar dan siaran-siaran televisyen mengenai talk show agama. Kemudian, mereka berbincang perkara ini ketika berada di kedai-kedai kopi bersama mereka. 
Apa yang menarik ialah orang-orang Turki ialah amat pantang untuk mendengar berita. Tidak kisah sama ada usrah sedang diadakan hatta tengah makan sekalipun, mereka akan berhenti sejenak untuk melihat dan mendengar siaran berita apabila berkemandang di udara! Menarik bukan? 
Bagi keluarga yang beragama, orang-orang Turki amat sensitif dengan Safar al-Mar’ah iaitu perempuan yang bermusafir. Mereka tidak suka mana-mana wanita yang belum berkahwin termasuk Malaysia sendiri yang datang melancong ataupun menyambung pelajaran ke universiti di Istanbul tanpa ditemani oleh mana-mana mahram mereka. Mereka perlu ditemani dengan mahram mereka sama ada adik atau abang lelaki mereka jika datang ke Turki. Ada yang berhenti kerja dan berpindah mencari rezeki di Istanbul untuk memastikan adik atau kakak perempuannya berpindah ke Istanbul bersama mahram. Sebenarnya, ini adalah kesan daripada pentadbiran Ataturk dahulu yang menggalakkan wanita untuk keluar rumah tanpa ditemani sesiapa untuk mengikut nilai-nilai Barat.
Kenapa orang-orang Turki menamakan anak mereka dengan Mehmet berbanding dengan Muhammad? Ini juga perkara menarik untuk kita ketahui. Sebenarnya, orang-orang Turki tidak menamakan nama anak-anak mereka dengan Muhammad kerana untuk menjaga kesucian nama Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Jika seseorang budak yang bernama Muhammad lalu mencuri buah epal, sudah tentu orang akan mengatakan “Muhammad itu yang mencuri epal” dan secara tidak langsung ini menodai nama Nabi Muhammad s.a.w. itu sendiri.
Selain budaya orang Turki, buku ini turut menceritakan mengenai sejarah Uthmaniyah itu sendiri dan pergolakan ekonomi dan politik yang berlaku di Turki pada penghujung tahun 1990-an. Saya bercadang tidak untuk mengulas di sini kerana mungkin kita sudah biasa dengar dan tahu. Apapun buku ini memang menarik untuk dibaca dan dihayati.
Wallahua’lam.

Saturday, April 13, 2019

Kesan Pentadbiran Ataturk Terhadap Generasi Muda pada Hari Ini


“Merhaba!” tiba-tiba anak muda yang duduk di sebelah saya menyapa.
“Merhaba!” balas saya sambil melemparkan senyuman.
Anak muda itu nampak agak lega apabila saya tersenyum. Mungkin selepas tiga jam perjalanan, dia pun sudah naik boasa dan mula mencari kawan berbual.
“Sizin memlaketiniz ne (kamu dari negara mana)?” soalnya lagi.
“Oh, saya dari Malezya (sebutan Malaysia dalam bahasa Turki).”
Anak muda itu memperkenalkan dirinya sebagai Ercan.
Dia menuntut di Canakkale Onsekiz Mart Universitesi di bidang Sains Komputer. Apa yang menarik perhatian beliau untuk berbual ialah kerana dokumen yang berada di tangan saya. Saya sememangnya sudah sedar sejak awal lagi yang perbuatan saya membaca manuskrip ini diperhatikan.
“Apa yang kamu baca tu?” Ercan nampak berminat untuk tahu.
“Ini adalah salinan manuskrip yang ditulis oleh vanuvis semasa Perang Sultan Selim di Kaherah.” Saya menunjukkan salinan itu kepada Ercan. Ia adalah salinan dokumen yang diberi oleh Hasan di Ankara kepada saya. Hasan berharap supaya satu hari nanti saya dapat menguasai kemahiran membaca manuskrip Othmaniyyah.
“Vakanuvis? Apa tu, saya tak pernah mendengarnya.” Beliau nampak seakan keliru dengan penjelasan saya.
“Vakanuvis ialah istilah Othmaniyyah. Ia merujuk kepada seorang pekerja yang dibayar gaji oleh kerajaan Othmaniyyah untuk mencatatkan peristiwa-peristiwa di sepanjang tempoh yang ditugaskan kepadanya. Ia adalah gabungan dua perkataan daripada dua bahasa iaitu Vaka dan Nuvis. Vaka itu bahasa Arab, kalimah asalnya waqaai’ (peristiwa). Manakala Nuvis pula adalah perkataan Parsi yang memberi maksud penulis atau ‘pencatat’. Saya cuba menjelaskan kepada Ercan tentang sesuatu yang saya pelajari daripadanya. Ia sejarah datuk nenek Ercan, tetapi hari ini kami beralih kerusi.
Ercan terpana mendengar penjelasan saya. Dia semakin hairan. Saya dapat mengagak latar belakang beliau. Dengan rantai emas di leher dan gaya anak muda yang agak ‘happy go lucky’, saya rasa Ercan bukanlah daripada keluarga yang berlatarbelakangkan Islam. Ia memang fenomena yang biasa di bandar-bandar Wilayah Ege. Wilayah itu dipengaruhi Greece dan sehingga kini jurang penduduknya dengan Islam amat ketara. Sebab itulah saya kurang berminat untuk merayau di bandar-bandar seperti Izmir.
Pemisahan Ketara
Suasana di Turki tidak sama seperti di Malaysia. Jika di negara kita, adalah menjadi suatu kebiasaan sebuah keluarga mempunyai corak yang pelbagai. Anak Islamik, ayah sekular, ibu tidak tahu apa.
            Di Turki tidak begitu. Mungkin kerana implementasi sekularisme dilakukan secara agresif, masyarakat Turki terpecah dua. Bagi golongan yang kuat berpegang dengan Islam, mereka, ahli keluarga, dan kawasan jiran mereka semuanya Islamik. Namun bagi golongan sekular, mereka langsung tiada hubungan dengan golongan yang berpegang teguh dengan Islam.
            Inilah yang jarang disedari oleh rakyat Malaysia apabila mereka ke Turki melalui pakej. Agensi pelancongan yang menguruskan lawatan ke Istanbul, akan menempatkan orang kita di kawasan pelancongan seperti Taksim dan lain-lain. Tentulah salah pandangan yang kita perolehi sebab kawasan Taksim memang teruk. Majalah lucah di kaki lima jalan, Kelab Tarian Gelek, Kelab Gay, semuanya ada belaka.
            Jika tiada sebab, orang-orang Turki yang komited dengan Islam tidak akan melintas kawasan Taksim.
            “Hasrizal, kamu Muslim?”  Ercan menyoal saya.
            “Ya saya Muslim. Elhamdulillah. Mengapa kamu tanya begitu?”
            “Engkau sembahyang tak? Berapa kali sehari?” Ercan terus menyoal dan wajahnya semakin tidak ceria.
            “Ya, saya sembahyang. Tentunya lima kali sehari. Engkau pula macam mana?” saya cuba menduganya.
            “Saya pernah sembahyang. Tetapi sejak masuk universiti saya sudah tidak sembahyang lagi.” Keluh Ercan.
            “Tapi saya berasa hairan, apa yang menyebabkan engkau belajar manuskrip Othmaniyyah. Engkau datang dari, semata-mata untuk belajar sejarah datuk nenekku, sedangkan aku sendiri tidak tahu apa-apa mengenainya.” Ercan cuba meluahkan apa yang terbuku di hatinya selama dia memerhatikan saya membaca manuskrip tersebut.
            “Ercan, soalan yang sama sama pernah ditanya oleh seorang profesor semasa saya membuat kajian di Perpustakaan IRCICA di Istanbul. Dia mahu mengetahui apa sebenarnya motif saya belajar sejarah Othmaniyyah. Semasa itu saya sedang mengumpulkan tulisan seorang Pegawai Belanda di Indonesia iaitu Snouck Hurgronje. Engkau pernah dengar nama itu?” saya menyoal.
            “Entah, tak pernah pula saya mendengarnya. Tetapi, apa yang engkau jawab kepada profesor tersebut?” Ercan nampak ghairah untuk tahu.
            “Sebenarnya, saya rasa kita orang Islam menghadapi masalah keyakinan diri. Macam di negara saya, apabila disebut yang kita kena kembali kepada Islam, ramai yang menandang sinis. Mereka rasa kembali kepada Islam itu semacam cubaan menukar dunia moden hari ini kepada tamadun hitam putih sebagaimana yang ditonton di televisyen. Apatah lagi untuk menyebut tentang pemerintahan Islam,” saya bertatih menerangkannya.
            Inilah motivasi saya mengkaji sejarah Othmaniyyah. Terutamanya soal polisi-polisi luar kerajaan di era kejatuhan selepas zaman kemuncak Kanuni Sultan Suleyman. Zaman tersebut menyaksikan banyak sekali komunikasi orang Islam di Kepulauan Melayu dengan Khilafah Othmaniyyah. Saya mahu buktikan kepada orang Malaysia bahawa mereka pernah menjadi sebahagian daripada kehebatan kerajaan Othmaniyyah. Sultan-sultan di Tanah Melayu akrab dengan Khalidah. Sebuah meriam pemberian Khalifah bernama Lada Secupak, masih gagah berdiri di bumi Acheh sebagai sebahagian daripada bukti keakraban itu. 
            Penat juga saya memerah kepala untuk mencari kalimah-kalimah Turki bercampur Inggeris supaya Ercan memahami penjelasan saya.
Tertekan
Pada masa itu Ercan kelihatan sugul. Wajahnya yang ceria sudah pudar seperti menelan sesuatu yang pahit. Dia seakan-akan tertekan dengan penjelasan saya.
            “Maafkan saya Ercan, saya tidak bermaksud menyusahkan hatimu. Apa yang sedang engkau fikirkan?” Saya cuba mengorek hati dan fikirannya.
            “Engkau tahu mengapa selama ini saya tidak pernah tahu apatah lagi untuk berbangga dengan sejarah datuk nenek saya?” soalnya kepada saya.
            “Sebabnya mudah sahaja. Walaupun saya masih keturunan mereka, tetapi sebenarnya kami sudah terputus hubungan. Saya sudah tidak mampu membaca hasil tinggalan Othmaniyyah, bukan sekadar warisan Fatih Sultan Mehmet, malah datuk saya sendiri. Saya sudah tidak boleh membaca catatannya sebab dia mencatat dengan huruf Arab. Saya tidak boleh membaca bahasa Othmaniyyah malah saya tidak tahu membaca Kuran (al-Quran). Bagaimana saya boleh menjadi seorang cucu seandainya saya tidak boleh memahami bahasa datuk saya sendiri!” Keras sekali Ercan menyatakan rasa pahitnya.
            Jalan raya sudah mula menyusuri pantai Marmara. Canakkale hanya tinggal beberapa kilometer sahaja lagi. Perbualan kami hening seketika. Ercan merenung keluar dan saya hilang bicara.
            Saya bersimpati dengan Ercan. Dia adalah mangsa kepada kejahatan Ataturk dan regimnya. Pada tahun 1928, Ataturk telah mengambil keputusan untuk menukar bahasa Turki daripada ditulis dengan menggunakan hutuf Arab, digantikan dengan huruf Latin. Kabinetnya sendiri ragu-ragu dengan keupayaan mereka untuk melaksanakan revolusi ini. Ataturk pernah bertanya kepada mereka tentang hal ini dan kabinetnya menjangkakan masa yang diperlukan adalah selama lima tahun.
            “Baik, jika begitu, kita teruskan dan saya mahu ia berjaya dalam tempoh lima bulan!” titah Ataturk.
            Keputusan itu adalah keputusan yang maha besar. Mencabut tulisan Arab daripada bahasa umat Islam akan secara langsung menjauhkan mereka daripada sumber Islam itu sendiri. Mereka akan buta al-Quran dan buta agama. Malah yang paling menakutkan ialah, berlakunya keputusan rantai antara dua generasi.
            Ercan adalah salah seorang daripadanya. Kerana berubah huruf, Ercan sudah tidak mampu membaca surat datuknya sendiri. Mereka berkongsi darah dan keturunan, tetapi hakikatnya mereka adalah dua generasi yang terputus.
            Renung sahaja keadaan di Malaysia.
            Generasi yang menjadi mangsa politi yang menghapuskan tulisan Jawi dalam sistem pendidikan Malaysia tentu faham dengan apa yang saya maksudkan. Bahasa Turki, bahasa Parsi, bahasa Urdu, malah bahasa Melayu, semuanya cuba diceraikan dari huruf Arab. Malah bahasa Arab sendiri cuba dirosakkan apabila penyair-penyair digalakkan menulis sastera dalam bahasa pasar.
            Ia bukan semata-mata soal bahasa, tetapi jati diri dan keyakinan terhadap agama turut terheret sama. Insya-Allah suatu hari nanti, saya akan ceritakan tentang perjuangan Recep Kupcu, di Bulgaria yang syahid kerana mempertahankan bahasa Turki dalam silibus sekolah Bulgaria.
            Saya berjabat tangan dengan Ercan apabila bas kami berhenti di Canakkale Otogar (Stesen Bas Canakkale).
            “Terima kasih kardesim, teruskan membaca tentang datuk nenekku, moga suatu hari nanti kita bertemu. Ingat pada janjimu. Jadilah ahli sejarah yang turun kepada orang ramai. Jangan jadi ahli akademik. Aku tidak mahu melihat engkau di Fakulti Sejarah universitiku!” Ercan menggenggam erat tanganku sambil tersenyum.
            “Insya allah. Hingga kita bertemu lagi. Jangan lupa solat. Saya pasti itu sebahagian pesan datuk nenekmu!” gurauku kepadanya.
            Manuskrip yang berada di tangan, saya pegang erat.
            Semoga Allah memberi kekuatan untuk saya selami lautan yang luas ini. Mudah-mudahan kegemilangan Othmaniyyah daoat saya hidang kepada ummah. Bersemadilah engkau wahai Ataturk, dalam kemurkaan Tuhan yang esa. Islam akan dikembalikan ke takhtanya.

Sumber : Hasrizal Abdul Jamil, Secangkir Teh Pengubat Letih. Galeri Ilmu, 2010.