Sunday, December 30, 2018

Perginya Seorang Penulis Terulung Tanah Air Buat Selama-Lamanya

Apabila kita mengikuti penulisan seseorang itu dari semasa ke semasa, kita merasakan bahawa dia sebahagian daripada hidup kita atau dengan kata lain dianya adalah seperti teman kita. Apabila dia buat pergi selama-lamanya, kita merasakan bahawa teman kita telah pergi buat selama-lamanya.

Itulah yang saya rasakan apabila diberitakan bahawa Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin ataupun dikenali sebagai Zam yang telah buat pergi buat selama-lamanya. 
Apabila beliau selalu menulis atau mengupas isu-isu semasa diblognya di Zamkata, saya selaku juga memberi komentar-komentar ataupun pandangan-pandangan saya sendiri. Dan boleh dikatakan komen-komen saya pun di blog beliau kadang-kadang mendapat respon daripada beliau. 
Apabila komen saya tidak disiarkan pada posting terakhir beliau pada 9 November 2018 mengenai teguran Tun Daim Zainuddin terhadap Tun Dr. Mahathir, saya berasa pelik. Saya terus menunggu dan menunggu sehinggalah kenalan memaklumkan kepada saya bahawa Zam telah dimasukkan hospital. Ini memungkinkan jangkaan saya bahawa Zam tidak menyiarkan komen saya dan tidak menulis lagi artikel diblognya disebabkan beliau telah dimasukkan ke hospital.
Akhirnya, tidak lama selepas itu akhbar-akhbar menyiarkan bahawa Tan Sri Zainuddin Maidin telah meninggal dunia di Hospital Serdang pada 14 Disember 2018 kerana mempunyai masalah paru-paru dan usia beliau ketika meninggal dunia ialah 79 tahun. Terasa juga kehilangan beliau seolah-olah beliau ini teman saya apabila saya sentiasa mengikuti tulisan-tulisan beliau diblognya. 
Memetik kata-kata Hamka yang berbunyi seperti berikut :
"Kata sesetengah orang, ilmu mengarang itu diperdapat lantaran dipelajari, diketahui nahu dan saraf bahasa dan dibaca karangan pujangga-pujangga lain dan menirunya, bisa orang menjadi pengarang. Banyak diperbuat orang aturan mengarang, mesti begini, mesti begitu, tak boleh salah. Tetapi bilamana kita lihat karangan pujangga yang sejati sentiasa berlainan susunannya dengan lain pujangga. Seorang pengarang, bilamana dibaca orang karangannya, orang tertarik dengan kesulitan bahasa yang dipakainya. Yang lain pula bahasanya tidak begitu dipedulikannya, kadang-kadang menyalahi orang lain, bahkan menyalahi nahu dan saraf yang terpakai pada lazim, tetapi lebih enak orang membaca karangan itu.”
Tulisan Zam memang memenuhi kata-kata Pak Hamka ini. Apabila kita membaca tulisan Zam, kita akan dapati bahawa lenggok bahasanya adalah berlainan dengan tulisan-tulisan biasa sama ada di akhbar-akhbar, buku-buku, dan sebagainya. Apa yang lebih penting lagi ialah tulisan Zam juga banyak menyalahi tatabahasa ataupun nahu bahasa. Inilah kehebatan seseorang pujangga menurut Pak Hamka ini. 
Apa yang saya tidak bersetuju dengan beliau ialah beliau amat berpegang bahawa hudud tidak dapat dilaksanakan di Malaysia kerana Malaysia adalah sebuah negara multi-racial. Beliau amat berpegang teguh dengan perlembagaan negara ini yang diasaskan sewaktu era Tunku Abdul Rahman dahulu dan seolah-olah kita tidak boleh melanggar apa yang dirangka oleh Suruhanjaya Reid dahulu. Semoga kata-kata beliau ini diampunkan olehNya. 
Kini, beliau sudah tiada. Blognya Zamkata mungkin sudah menjadi kenangan abadi buat selama-lamanya. Membaca tulisan-tulisan lama di blog Zamkata mungkin menggamit memori sebelum ini. Saya fikir tiada ahli keluarga terdekatnya yang meneruskan penulisan di blog beliau – Zamkata. 
Memetik kata-kata Saidina Ali yang berbunyi :
“Semua penulis akan mati, hanya karyanya yang terus abadi. Maka tulislah sesuatu yang dapat membahagiakan dirimu di akhirat nanti.”
Wallhua’lam. 

Thursday, December 27, 2018

Tukar Kerajaan Tidak Dapat Menyelesaikan Masalah Rakyat

Tanggal malam 9 Mei 2018, rakyat Malaysia bersorak gembira kerana telah dapat menggulingkan Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak. Saya percaya bahawa rata-rata rakyat Malaysia berasa gembira kerana diharap kerajaan baru di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) dapat membawa sinar baru dalam kehidupan mereka.

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Saya percaya bahawa ramai orang-orang Melayu di luar sana yang telah menangis dalam diam apabila melihat sikap pemimpin bukan Islam khususnya Cina dan India menunjukkan sikap belang dan durjana masing-masing. 
Sikap-sikap liar pemimpin kerajaan bukan Islam ini cuba menodai kesucian agama Islam dan juga hak keistimewaan orang Melayu. Sikap biadap Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan terserlah apabila memberikan peruntukan yang sama bagi sekolah agama berbanding dengan sekolah-sekolah vernakular yang lain yang sekali gus menunjukkan agama Islam sebagai agama rasmi negara sudah tidak dihormati lagi. Manakala sekolah-sekolah persendirian juga diberi peruntukan dalam belanjawan tahun 2019. 
Begitu juga perjuangan pemimpin bukan Islam yang ingin melaksanakan ICERD di negara yang secara tidak langsung menghapuskan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini. Apa lebih malang lagi, pelaksanaan ICERD ini akan menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu atau Bumiputera sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan supaya orang Melayu yang dahulu dihormati sebagai tuan rumah negara ini dianggap sama taraf sahaja dengan kaum-kaum pendatang lain. 
Saya pasti ramai yang menyesal menyokong dan mengundi PH pada PRU yang lepas. Harapan untuk melihat Dr. Mahathir untuk mengemudi kerajaan PH dengan baik juga tidak kesampaian kerana parti cap bunga beliau sendiri merupakan parti paling kecil bilangan kerusi parlimennya dalam PH. Saya percaya orang-orang Cina DAP hanya menggunakan Dr. Mahathir untuk menggulingkan Kerajaan Barisan Nasional yang kononnya kuat mengamalkan rasuah. Walaupun diberi jawatan Perdana Menteri, berapa sangatkan usia untuk memegang jawatan ini sekiranya sudah berumur 93 tahun? 
Dr. Maszlee yang dianggap sebagai cendikiawan pula hanyut dengan cita-cita mat jeninnya apabila menjawat Menteri Pendidikan. Beliau sibuk dengan kasut dan stokin sekolah sahaja tanpa memikirkan untuk menambah kualiti sistem pendidikan kita pada hari ini. Idea-ideanya kelihatan amat bodoh sekali apabila ingin membina stesen minyak dalam kampus universiti. 
Begitu juga dengan PTPTN. Kerajaan PH juga rupa-rupanya menabur janji palsu kononnya untuk menghapuskan pinjaman PTPTN. Janji tinggal janji. Rupa-rupanya rakyat masih diwajibkan untuk membayar hutang ini sama ada ianya manifesto ataupun manitomato. 
Senario harga barang pada hari ini juga menunjukkan GST bukanlah faktor harga keperluan asas terus naik. Akan tetapi, ia adalah kesan daripada tindak balas ekonomi dunia. SST yang dilaksanakan oleh Kerajaan PH dilihat sebagai terus menekan rakyat kerana kos sara hidup pada hari ini terus naik. 
Kita ibarat rakyat Iraq yang kononnya dahulu bekerjasama dengan Amerika Syarikat yang  ingin menjatuhkan kerajaan Saddam Hussein. Akibatnya, rakyat Iraq terus merana selepas Saddam digulingkan. Begitu juga dengan PRU-14 yang lepas. Kita begitu ghairah ingin menumbangkan Barisan Nasional. Malangnya, kita sendiri ditipu oleh Kerajaan Pakatan Harapan atau lebih tepat lagi ditipu oleh mainan politik Tun Dr. Mahathir.
Wallhua’lam.