Dalam politik di tanah air kita, kita dapat
perhatikan bahawa tiada ahli politik yang mempunyai pendirian yang tetap
terhadap sesuatu perkara.
Sama ada pemimpin-pemimpin politik daripada
Umno, Pas, Dap, dan parti-parti mana sekalipun sentiasa mempunyai pendirian
yang berubah-ubah. Kita sebagai rakyat biasa kadang-kadang rasa diperbodohkan
apabila menyokong pemimpin parti politik tertentu.
Lihat sahaja dengan Dr. Mahathir, sebelum
PRU-13 beliau bermati-matian untuk mempertahankan Barisan Nasional daripada
diruntuhkan oleh pihak pembangkang. Apabila hati sudah kecewa dengan Najib
(Jibby) atau Rosmah (Kak Ros), Dr. Mahathir membuat kerjasama dengan
musuh-musuh politiknya bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional dan mendakwa
Mohd. Najib di mahkamah. Dan ini membuahkan hasil apabila beliau memenangi
PRU-14. Maka, tersenyum-senyumlah Mohd. Najib dan Rosmah berulang-alik dari rumah
ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan. Dengan kata lain, Mohd. Najib dan
isteri sedang dibuli oleh Dr. Mahathir.
Sewaktu Dr. Mahathir menjadi penyokong
Barisan Nasional dan ketika Barisan Nasional menjadi kerajaan untuk menghadapi PRU-13,
beliau menyatakan bahawa BN tidak boleh menabur janji seperti pembangkang
kerana pembangkang masih belum menjadi kerajaan. Apabila beliau memenangi
PRU-14 di atas platform pembangkang, itulah yang terjadi kepada beliau kerana
banyak manifesto atau janji yang banyak tidak dapat ditunaikan. Dengan kata
lain, Dr. Mahathir telah menjilat ludahnya sendiri.
Dalam sejarah tanah air sekalipun sebelum
Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, pendirian ahli politik yang terkenal ketika
itu iaitu Dr. Burhanuddin al-Helmy mempunyai pendirian yang sentiasa
berubah-ubah dalam perjuangan politiknya iaitu antara tahun 1945 hingga 1947
dan tahun 1947 hingga 1957.
Pada tahun 1945 sehingga 1947, beliau
mempunyai satu pendekatan politik Melayu yang bersifat luas iaitu mewujudkan
satu kebangsaan Melayu yang membentuk satu negara besar Melayu dengan
menggabungkan Tanah Melayu dengan Indonesia, berdasarkan empayar Melayu zaman
silam yang agung iaitu Srivijaya, Majapahit, dan Melaka. Ini bermakna,
kebangsaan Melayu meliputi Alam Kepulauan Melayu atau Nusantara.
Akan tetapi, pada tahun 1957 pula apabila
PKMM bergabung dengan AMCJA, ideologi politiknya berbeza. Kini, beliau menerima
pembentukan rakyat yang terdiri daripada berbagai-bagai bangsa sebagai rakyat
Tanah Melayu, tetapi kebangsaannya dikenali dengan nama MELAYU. Tidak ada soal
gabungan bersama Indonesia; sebaliknya Tanah Melayu akan menuntut kerajaan
sendiri dengan mengadakan pilihanraya umum. Namun, semasa memimpin PAS, beliau
menjadi lebih sempit dalam ideologi Melayunya. Kini beliau melihat hanya bangsa
Melayu yang berhak menjadi pemegang kuasa politik negeri ini. Tidak terdapat
tolak ansur dengan orang bukan Melayu dan tidak juga bergabung dengan
Indonesia.
Ini bermakna Dr. Burhanuddin seorang yang
pragmatik dalam ideologi politiknya. Ideologi beliau sentiasa berubah mengikut
keadaan. Beliau akan membuat sesuatu pegangan politik itu mengikut kepentingan
politik yang ingin dicapainya. Sewaktu UMNO melihat penghidupan bangsa Melayu
sangat genting kerana pengenalan Malayan Union, beliau melihat itu tidak
penting; tetapi bergabung dengan Indonesia dan menolak feudalisme masyarakat
Melayu.
Namun, apabila ini kurang berjaya, beliau
dan partinya bekerjasama dengan bukan Melayu dan menolak jus soli bagi orang
Melayu sahaja. Namun, apabila UMNO membuka pintu jus soli kepada orang bukan
Melayu, Dr. Burhanuddin kembali semula kepada jus soli yang tertutup bagi orang
Melayu sahaja. Beliau ternyata tidak tetap pendirian dan sangat pragmatik dalam
dasar politiknya.
Nah, jika kita melihat sejarah politik
orang-orang Melayu pun sehingga kini pun, kadang-kadang prinsip perjuangan pun
boleh berubah-ubah. Hari ini seseorang itu boleh menjadi kawan politik dan esok
pula boleh menjadi seteru politik. Memang benar. Politik itu adalah seni
sebarang kemungkinan.
Wallhua’lam.