SEJAK beberapa tahu tahun lalu, novel cinta yang
diterbitkan oleh berbagai penerbitan mendapat pasaran hebat terutama daripada
dalam kalangan remaja perempuan. Novel cinta yang laris kebanyakannya
dihasilkan oleh penulis wanita yang berumur antara 20 hingga 35 tahun.
Kebanyakan novel yang dihasilkan tebal antara 500 hingga 1000 halaman.
Penulis
wanita yang masih muda ini kebanyakannya mempunyai tenaga dan daya pemikiran
yang segar. Mereka sanggup berjaga malam untuk menyiapkan sesebuah novel dan
ini patut diberi pujian.
Mereka
menulis berdasarkan pengalaman yang dilalui yang bersamaan pula dengan yang
dilalui oleh pembaca. Pertautan pengalaman menyebabkan novel itu laris kerana
kisahnya dekat di hati pembaca.
Ini
bertepatan dengan kata pengarang Indonesia B.Simorangkir Simanjuntak dalam Kesusasteraan
Indonesia bahawa "Kesusasteraan adalah cermin jiwa, getaran sukma
pengarang, kesusasteraan harus tumbuh di tengah rakyat oleh rakyat untuk rakyat
yang menggambarkan suka duka, harap cipta dan kerja cipta rakyat."
Seorang
lagi pengarang Indonesia melalui bukunya Punca Sastera Indonesia,
menegaskan "Kesusasteraan adalah manifestasi daripada gerak kerja jiwa
manusia yang wujud dalam pernyataan bahasa. Pada hakikatnya kesusasteraan atau
seni sastera itu Ialah bingkisan kata yang dipersembahkan oleh sasterawan
sebagai hadiah kepada masyarakat."
Berdasarkan
kenyataan ini novel cinta boleh dianggap termasuk dalam kategori sastera
walaupun bagi setengah orang ini lebih kepada sastera popular mainan para
remaja. Namun begitu sastera popular ini mendapat sambutan hebat dalam kalangan
pembaca. Sastera serius yang penuh nilai estetika ternyata tidak mendapat
sambutan kerana nilainya hanya difahami oleh segelintir sahaja dan bukan
masyarakat biasa.
Pelbagai
novel yang hasilkan berligar kehidupan cinta para remaja, alam berumah tangga
dan lain-lain. Novel Ombak Rindu karya Fauziah Asyaari umpamanya berjaya
mencetus fenomena apabila ia mendapat sambutan hebat dalam kalangan pembaca tua
dan muda.
Apabila
diadaptasi menjadi filem maka kelarisan novel itu meningkat sehingga puluhan
ribu naskah. Novel-novel lain yang dijadikan drama termasuk Adam dan Hawa
karya Aisya Sofea dan siri Trilogi Cinta 1 dan 2 karya Sharifah Abu
Salem.
Antara
novel kisah cinta yang laris pada tahun 2012 ialah Isteri Sepenuh Masa,
Sebenarnya Saya Isteri Dia, Maaf jika Aku Tak Sempurna, Jodoh itu Milik Kita,
Dia Segalanya, Kasih Antara Kita, Kan ku Cinta Mu, Lafazkan Kalimah Cinta Mu,
Suamiku Ustaz, Kejora Di Langit Cinta, Seindah Sakura, Love You Mr Arrogant
dan banyak lagi.
Tahun
2011, lima novel yang dicatatkan mendapat sambutan hebat ialah Akhirnya Aku
Miliki karya Hanna Dania, Cinta Kontrak (Nurul Ain Syuhada), Uda
dan Dara (Aisya Sofea), Yes Bos (Rosmizah). Selain novel-novel ini
banyak lagi novel lain yang mencatat jualan yang tinggi.
Antara
novelis wanita yang novelnya berjaya dijual sehingga ratusan ribu ialah Ain
Maisarah, Sharifah Abu Salem, Aisya Sofea, Anis Ayani, Damya Hanna, Dhiya
Zafira, Shahriah Abdullah dan Siti Rosmizah.
Ain
Maisarah umpamanya telah menghasilkan 33 buah novel dan novelnya berjaya dijual
sehingga 200 hingga 500 ribu naskah, Fauziah Asyari pula menghasilkan tujuh
buah novel berjaya dijual sehingga lebih 500 ribu naskah, Aisya Sofea pula
menghasilkan sembilan novel dan berjaya dijual sehingga 600 ribu naskah, Anis
Ayani menghasilkan sembilan novel dan novelnya berjaya dijual sehingga 600 ribu
naskah.
Ada
novelnya yang dicetak sehingga lapan kali, Damya Hanna berjaya menghasilkan
lapan novel dan berjaya dijual sehingga 500 ribu. Ada novelnya diulang cetak
sehingga 18 kali.
Kelahiran
penulis-penulis wanita yang menghasilkan novel cinta ini merupakan satu
fenomena yang perlu diberi perhatian. Ia berjaya memecah tembok kelarisan buku
di Malaysia.
Selama
ini kita mendengar novel-novel serius yang dihasilkan oleh penulis terkenal
tidak laris di pasaran. Pembaca tidak membelinya kerana kurang faham atau
cerita yang dipaparkan jauh daripada hati mereka.
Dalam
kalangan penulis wanita itu terdapat juga beberapa orang penulis lelaki yang
mencebur diri dalam genre novel cinta antara yang berjaya ialah Ramlee Awang
Murshid yang telah berjaya menghasilkan 16 buah novel dan novel-novelnya
dikatakan berjaya dijual sehingga 500 ribu naskah lebih.
Di
Indonesia pun ada novel cinta dan mendapat pasaran meluas. Menurut sumber, ada
sepuluh novel cinta berunsur Islamik yang mendapat sambutan hangat antaranya
karya penulis Habiburrahman el Shirazy dengan novel-novel seperti Ayat-Ayat
Cinta, Dalam Mihrab Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, Cinta Berbunga Syurga,
dan Di Atas Sejadah Cinta.
Penulis
Indonesia lain yang buku mereka mendapat sambutan hangat termasuklah
Taufigrahman Al Azizi dan Abidah el Khaliegy. Taufig umpanya menghasilkan novel
Musafir Cinta, Shahadat Cinta, Munajat Cinta dan Makrifat Cinta
manakala Abidah pula menghasilkan Perempuan Berkalong Sorban.
Malang
sekali novel serius yang berestetika tinggi tidak digemari pembaca, hendak
dijual tiga ribu naskah pun terpaksa mengambil masa sehingga tiga hingga lima
tahun.
Berbanding
dengan novel cinta, dalam setahun sudah puluhan ribu dapat dijual. Dan penulis
berjaya memperoleh royalti yang lumayan. Ada penulis novel cinta yang berjaya
membeli kondominium dan kereta mewah hasil royalti novel cinta.
Kalangan
sasterawan mungkin menganggap novel cinta sebagai buku picisan yang kurang
wajar diberi perhatian. Mungkin mereka menganggap ini tidak termasuk dalam
kategori sastera yang patut dikembangkan dan diberi perhatian. Tetapi
masyarakat ternyata meminati karya seperti ini.
Mungkin
ada yang menganggap sasterawan menulis bukan kerana duit. Ia lebih bertujuan
kepada hendak memperkembangkan sastera di kalangan pembaca. Tetapi kalau novel
serius yang dihasilkan tidak mendapat sambutan bagaimanakah sastera hendak
dikembangkan dalam kalangan masyarakat. Bukankah kita menjadi penulis syok
sendiri dan mendapat habuan lebih apabila buku kita memenangi hadiah sastera
dan lain-lain.
Tanpa
hiruk pikuk dan hadiah-hadiah sastera, penulis wanita yang bilangannya beratus
orang kini sedang bergerak menghasilkan novel-novel yang terlaris dalam
kalangan pembaca. Kejayaan mereka patut diberi perhatian.
Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) patut memasukkan kategori hadiah novel terlaris pada
setiap kali Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) diadakan . DBP patut
memikirkan perkara ini supaya penulis-penulis wanita itu diberikan penghargaan
walaupun mereka telah menikmati hasil penulisan yang lumayan.
Sumber : Utusan Malaysia
Ulasan
:
Dalam
bisnes buku, apa yang perlu kita utamakan ialah pasaran buku yakni pembaca
buku. Dalam industri buku di Malaysia, golongan wanita merupakan kelompok
terbesar pembaca buku. Sudah tentu, golongan ini merupakan sasaran utama
penggiat industri buku. Golongan wanita di Malaysia meminati novel.
Beruntunglah sesiapa yang mempunyai bakat dan minat menulis novel. Menjadi
penulis novel juga mempunyai peluang yang cerah untuk menjadi jutawan dengan
segera di Malaysia.