Pertempuran sengit telah meletus apabila
pihak British telah mencuba untuk menakluk dan menguasai Gaza daripada
penguasaan Uthmaniyah ketika Perang Dunia Pertama. Percubaan pertama British
untuk menguasai Gaza ialah pada 17 April 1917 di mana pihak British menggunakan
kereta kebal yang baru diperkenalkan ketika itu.
Kemaraan British untuk menakluki Gaza pada
kali pertama berjaya dipatahkan oleh Divisyen ke-4 artileri tentera Uthmaniyah.
Di samping itu, pihak Jerman yang merupakan sekutu Uthmaniyah membantu mengebom
kedudukan tentera British. Pertempuran pada kali ini menyaksikan tentera
British mengalami kematian 6,444 orang tenteranya manakala Uthmaniyah pula
kehilangan 402 tentera. Kemenangan pada 21 April 1917 amat bermakna kepada
Uthmaniyah kerana mereka dapat menghalang British untuk menakluki Jerusalem.
Pada bulan Ogos 1917, pihak British yang
telah berjaya menghasut orang-orang Arab melancarkan Revolusi Arab untuk
menentang Uthmaniyah telah mengebom landasan kereta api Hijaz yang menjadi
sistem perhubungan utama untuk membawa bekalan senjata bagi mempertahankan
Gaza. Sebelum itu, pada bulan Julai 1917, pihak British telah berjaya menawan
Pelabuhan Aqaba untuk menghalang bantuan senjata dihantar melalui laut ke Gaza.
Sesungguhnya keadaan ini telah melemahkan usaha untuk mempertahankan Gaza.
Pada 3 November 1917, pihak British
melancarkan serangan ke atas tentera Uthmaniyah untuk menawan Gaza. Pada 7
November 1917, tentera Uthmaniyah berjaya ditewaskan oleh British pada kali ini
dan akhirnya Gaza jatuh ke tangan British. Pada bulan Disember 1917, pihak
British berjaya menguasai sepenuhnya Palestin dan ini menandakan berakhirnya
penguasaan orang Islam umumnya ke atas Palestin sejak abad pertengahan.