Wednesday, March 14, 2018

Konsep Malaysian Malaysia

Konsep Malaysia Malaysia bermaksud Malaysia untuk bangsa Malaysia telah diutarakan oleh PAP pada Mei 1965 bersama-sama parti lain, yang akhirnya menubuhkan Malaysia Solidarity Concention (MSC). Konsep ini bertitik tolak daripada prinsip demokratik sosialis yang menekankan kebebasan hak semua kaum yang menduduki Malaysia. Tidak perlu ada sesuatu kaum tertentu yang akan menguasai politik mahupun ekonomi. Dalam erti kata lain, tiada sekatan untuk setiap individu mengecapi hak dan kebebasan rakyat Malaysia. Konsep ini dengan terang dan nyata mahu menafikan hak dan kedudukan istimewa yang selama ini dipelihara untuk orang melayu kerana dalam konsep ini peruntukan seperti itu tidak seharusnya ada.

Bagi orang melayu, khususnya di Semenanjung, mereka sudah tentu tidak dapat menerima konsep ini kerana dengan menerima konsep ini bermakna akan hilanglah hak keistimewaan yang diperuntukkan kepada mereka. Ini juga bermakna mereka akan menghadapi persaingan tanpa sekatan daripada semua kaum terutama berkaitan dengan kuasa politik. Oleh yang demikian, perasaan perkauman muncul kerana PAP adalah parti yang dianggotai oleh kaum Cina dan hak yang hendak digugat ialah hak orang melayu, walaupun MSC tidak menyatakannya secara khusus. Cabaran PAP ini telah disambut dengan serangan balas oleh Ultra Nasionalis Melayu seperti Dr. Mahathir Mohamad, Syed Jaafar Albar, Syed Nasir Ismail, Datuk Senu Abdul Rahman, Ghafar Baba, dan lain-lain.

Sumber :
1. Abdul Rahman Ibrahim, 13 Mei 1969 Di Kuala Lumpur, 2015, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Monday, March 12, 2018

Al-Quran dan Ilmu itu Cahaya

“Al-quran dan ilmu itu cahaya dan ia tidak berada di dalam hati yang dicemari maksiat.”

Apabila difikirkan semula bait-bait ayat ini ianya memberi kesan yang mendalam kepada diri kita untuk berfikir dan menjaga tingkah-laku dalam kehidupan seharian kita. Apabila satu maksiat dilakukan, maka satu titik hitam akan hinggap di hati kita. Bagaimana al-Quran dan ilmu itu akan berada di dalam hati kita jika melakukan maksiat pada setiap hari?
Dalam kehidupan yang serba-moden ini, kita terdedah kepada media-media sosial yang pelbagai di internet yang membuatkan kita akan turut serta melayani alam maya ini. Kadang-kadang perkara ini yang boleh menyebabkan hati kita menjadi gelap.  Tetapi, tahukah kita semua bahawa di sekolah-sekolah maahad tahfiz untuk menghafal al-Quran mereka dilarang untuk membuat tiga perkara iaitu menonton televisyen, mendengar radio atau muzik, dan membaca surat khabar?
Sewaktu isu Maahad Tahfiz yang terbakar hangat diperkatakan suatu ketika dahulu, ramai yang memperlekehkan pelajar-pelajar maahad tahfiz. Ada komen yang saya terbaca di sebuah blog yang bertanyakan mengapa perlu kita menghafal al-Quran sedangkan sudah ada laktop dan handphone pada hari ini supaya al-Quran itu boleh disave dan disimpan berbanding zaman dahulu di mana ayat-ayat al-Quran sukar untuk ditulis dan disimpan. Di manakah sensitiviti masyarakat kita pada hari ini kepada al-Quran? Sudah nipiskah sangat iman kita pada hari ini?
Sewaktu serangan tentera Monggol ke atas penduduk Baghdad di bawah pimpinan Hulagu Khan, perpustakaan Baghdad telah habis dibakar dan semua buku tulisan ulama silam semua dibuang ke dalam Sungai Tigris-Euphrates. Justeru, sungai ini menjadi hitam pekat kerana dakwat-dakwat yang mengalir daripada buku ini. Akan tetapi, ilmu-ilmu di dalam buku itu tidak hilang dengan begitu sahaja. Mengapa? Ini adalah disebabkan ulama-ulama yang masih hidup selepas serangan ini masih mampu menulis semula ilmu-ilmu yang telah ditenggelamkan ini kerana ilmu-ilmu ini sudah dihafal dan berada di dalam hati mereka.
Pernahkan kita terfikir kita kadang-kadang malas membaca al-Quran pada masa tertentu. Mungkinkah kita banyak membuat perkara-perkara yang lagha ini seperti melayan media sosial, mendengar muzik, dan sebagainya sehinggakan hati kita berasa malas untuk membaca al-Quran? Begitu juga dengan bacaan buku-buku, adakah hati kita sudah gelap sehingga buku-buku pun malas untuk dibaca?
Saya teringat pesanan guru saya, “Siapakah yang lebih berdosa apabila mendengar muzik? Adakah orang yang solat berjemaah ataupun orang yang tidak menunaikan solat lebih berdosa apabila mendengar muzik?”
Wallhua’lam.