Monday, June 30, 2014

Wajarkah 3 Lubang Hutang Dijadikan 1 Lubang Hutang?



Pengurusan kewangan merupakan sesuatu perkara yang fleksibel. Ianya bergantung kepada kreativiti kita sendiri sama ada ingin menambah simpanan, menyelesaikan hutang, membuat pelaburan dan sebagainya. Syarat yang penting sekali dalam pengurusan kewangan kita ialah disiplin kewangan kita. Tanpa disiplin kewangan – Pengurusan kewangan kita akan menjadi carca-marba walaupun gaji kita mencecah RM5,000 sebulan kerana kesilapan diri sendiri yang tidak pandai untuk menguruskan wang.

Dalam pengurusan kewangan kita tidak dapat lari daripada elemen hutang – Suatu perkara yang menyeronokkan kita pada mulanya dan membuatkan kita tertekan di kemudian hari. Mungkin terdesak untuk mendapatkan sesuatu pada mulanya kemudian habis duit pendapatan bulanan terobek dek kerana membayar hutang pada setiap bulan. Sedar tak sedar had potongan gaji yang dibenarkan hanyalah RM45.60 kerana hutang sudah banyak dibuat tanpa disedari. Ah, diri makin tertekan!!!

Soalan cepu emas kepada saya. Adakah wajar 3 lubang hutang dijadikan 1 lubang hutang? Hutang peribadi ada 1, hutang PTPTN ada 1, dan hutang kad kredit yang mencapai had maksimum ada 1. Buat sahaja pinjaman peribadi satu lagi kemudian kambus semua 3 lubang hutang sebelum ini mejadi 1. Nampak macam beres sahaja. Akan tetapi, adakah kita wajar  bertindak sedemikian?

Jawapan saya mudah sahaja – Tidak wajar untuk membuat 3 lubang hutang menjadi 1 lubang hutang. Mengapa? Ini adalah kerana ia tidak mendidik, mengasuh, dan mengajar diri kita supaya tidak berhutang lagi. Mungkin anda nampak mudah sahaja 3 lubang hutang jadi 1 lubang hutang. Jika anda fikirkan, adakah anda tidak akan membuat hutang lagi setelah menjaya ‘mengambus’ 3 lubang tersebut dengan hutang? Saya fikir ia tidak akan kekal lama. Setelah anda berasa ada 1 lubang hutang sahaja, anda akan berasa ‘gian’ hendak membuat hutang lain lagi.

Oleh itu, jalan penyelesaian yang baik bagi menyelesaikan hutang ialah bayar sahaja mengikut jadual. Jika ada kenaikan gaji, buat semula penjadualan bayar balik hutang anda supaya ia dipercepatkan.

Langkah seterusnya ialah menggunakan durian runtuh untuk membayar hutang-hutang anda. Durian runtuh ini boleh diperolehi dalam pelbagai bentuk – Salah satunya durian runtuh buat pekerja makan gaji ialah bonus tahunan. Ada yang dapat 3 bulan, 5 bulan, hatta 12 bulan bonus tahunan pun ada. Bergantung kepada organisasi masing-masing. Peruntukkan sebahagian durian runtuh ini untuk membayar hutang-hutang anda.

Kunci utama yang ingin saya tekan di sini ialah hutang tidak dapat menyelesaikan masalah hutang. Hutang dapat diselesaikan melalui keazaman kita dengan menggunakan duit sumber dalaman yakni pendapatan kita sendiri untuk menyelesaikan hutang. Jika anda fikir hutang boleh menyelesaikan hutang ibarat anda berfikir jadam yang menyembuhkan penyakit dan bukannya madu boleh menyembuhkan penyakit. Wallhua’lam.

Wednesday, June 25, 2014

Solat Hormat Waktu : Antara Mazhab Shafie, Hanafi, dan Hambali




1. Sebenarnya istilah ‘solat hormat waktu’ tiada dalam kamus al-Quran dan hadis. Namun apa yang ada adalah dari sudut pengamalannya sahaja. Cuma masyarakat melayu Islam yang memanggilnya dengan istilah ‘solat hormat waktu’.

2. Adapun solat hormat waktu sebenarnya adalah bagi sesiapa yang berada dalam keadaan darurat ketika hendak menunaikan solat seperti tiada air untuk berwuduk, berada dalam keadaan kesesakan jalan di jalan raya, dan sebagainya. Dengan kata lain, solat hormat waktu ialah keadaan ketika mana kita tidak mempunyai cukup syarat untuk menunaikan sembahyang atau berada dalam keadaan darurat.

3. Bagi mazhab Shafie, sesiapa yang berada dalam keadaan darurat hendaklah menunaikan solat secara mana sekalipun terlebih dahulu sebelum waktu solat habis. Selepas itu, hendaklah menqada’kan semula sembahyangnya itu yakni sesudah mempunyai cukup syarat-syarat menunaikan sembahyang.

4. Manakala bagi mazhab Hanafi, barang siapa yang berada dalam keadaan darurat hendaklah menunaikan solat secara mana sekalipun (seperti mazhab Syafie) tetapi tidak perlu menqada’kan semula sembahyangnya itu.

5. Apa yang menarik bagi mazhab Hambali ialah sesiapa yang tidak mempunyai cukup syarat untuk menunaikan solat sehingga habis waktu solat, seseorang itu tidak perlu menunaikan solat tersebut bahkan tidak perlu menqada’kan sembahyangnya itu kerana tidak cukup syarat untuk menunaikan sembahyang pada waktu tersebut.

6. Dalam memberikan nama kepada seseorang anak, nama yang disukai oleh Allah s.w.t. ada 2 iaitu Abdullah dan Abdul Rahman. Adalah makruh sekiranya kita memberi nama anak-anak kita dengan nama malaikat.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.com

Monday, June 23, 2014

Hikmah Membaca al-Quran Sambil Berdiri

 
 
1. Seolah-olah apa yang berlaku pada kali ini ialah ada sesuatu yang menarik yang berlaku kepada diri saya.

2. Saya pernah bersembang dengan rakan saya. Beliau mengatakan bahawa sebenarnya keadaan yang paling afdal membaca al-Quran adalah ketika berdiri. Saya mengatakan bahawa kalau begitu membaca al-Quran ketika sembahyang paling afdal kerana ketika sembahyang sahaja al-Quran dibaca sambil berdiri.
 
3. Tidak lama selepas itu, saya perasan di masjid yang saya selalu sembahyang ketika selepas Maghrib, pelajar-pelajar Maahad Tahfiz di masjid tersebut membaca al-Quran sambil berdiri dan sambil berjalan-jalan. Telahan saya selama ini bahawa membaca al-Quran sambil berdiri adalah sewaktu sembahyang sahaja telah meleset.
 
4. Hendak dijadikan cerita. Saya kemudian mengikuti kursus di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dikendalikan oleh seorang pensyarah. Apa yang menarik ialah pensyarah tersebut menceritakan bahawa kajian di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang paling berkesan adalah ketika seseorang pelajar itu berdiri dan sambil bergerak-gerak. Bahkan terdapat alat pengayun di bawah meja untuk meletakkan kaki supaya kaki pelajar boleh bergerak-gerak supaya proses P&P berjalan dengan lebih berkesan.
 
5. Baru saya tahu hikmah di sebalik membaca al-Quran sambil berdiri serta berjalan. Ia sebenarnya adalah proses pembelajaran yang paling berkesan untuk kita semua. Wallhua'lam.
 
 

Sunday, June 22, 2014

Piala Dunia 2014 di Bulan Ramadhan : Kebetulan atau Satu Perancangan?




Semua orang sedia maklum bahawa Piala Dunia ada diadakan 4 tahun sekali. Apa yang menarik pada kali ini ialah Piala Dunia 2014 diadakan di ambang bulan Ramadhan yakni umat Islam bersiap-siaga untuk berpuasa selama sebulan. Lebih secara kebetulan acara Piala Dunia 2014 ini bermula pada 13 Jun 2014 iaitu sama dengan hari nisfu Syaaban – 2 minggu sebelum umat Islam menyambut bulan puasa Ramadhan.

Adakah ini perancangan musuh-musuh Islam untuk melemahkan umat Islam itu sendiri?

Sejarah telah menunjukkan bahawa umat Islam tidak dapat ditumpaskan melalui mata pedang. Bahkan sejarah telah menunjukkan bahawa peperangan pertama umat Islam iaitu Perang Badar berlaku pada bulan Ramadhan dan kemenangan perang tersebut adalah memihak kepada umat Islam. Oleh itu, cara untuk melemahkan umat Islam ialah melalui cara halus.

Kita jangan lupa bahawa cara musuh-musuh Islam untuk melemahkan umat Islam ialah melalui 3S iaitu – SONG, SEX, dan SPORT. Ternyata ‘S’ kali ini jatuh kepada perkataan ‘SPORT’ iaitu SUKAN. Ternyata senjata sukan pada kali ini paling berkesan untuk terus melemahkan umat Islam yang telah lemah sejak sekian lama.

Perancangan musuh Islam mudah sahaja – letak sahaja satu bola di stadium maka umat Islam akan leka daripada melakukan sembahyang. Pada kali ini, berapakah orang-orang Islam yang menonton bola sepak di Brazil betul-betul akan berpuasa? Ini belum mengambil kira umat Islam yang lain yang sanggup menunggu siaran langsung bola sepak secara ‘live’ di tengah-tengah pagi daripada perkara-perkara yang sepatutnya pada bulan Ramadhan kelak.

Ada jangan terkejut bahawa ada penceramah di sebuah masjid baru-baru ini sanggup menangguhkan kuliah Maghribnya semata-mata untuk menonton siarang langsung Piala Thomas. Jika beginilah akhlak orang-orang yang beragama, bagaimana pula dengan akhlak masyarakat kebanyakan?

Gambar Menunjukkan Tapak Sukan Olimpik Tahun 1984 yang Dijadikan Kubur Umat Islam Bosnia-Herzegovina Selepas Dibunuh Tentera Serbia


Kita imbau kembali kes pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Bosnia-Herzegovina pada tahun 1992 oleh tentera Serbia. Sebenarnya, pada tahun 1984 sukan Olimpik pada musim sejuk telah diadakan di Bosnia-Herzegovina sebelum itu. Malangnya, banyak maksiat yang dibuat ketika itu sehingga mengundang bala pada tahun 1992. Inilah kejayaan musuh Islam dengan menggunakan ‘Sport’ bagi melemahkan umat Islam itu sendiri.

Adakah kita terleka atau memang sengaja dilekakan oleh musuh-musuh Islam? Ini belum tentu mengambil 2S yang lain iaitu ‘Song’ dan ‘Sex’ yang telah lama menjahanamkan umat Islam sejak sekian lama melalui rancangan-rancangan hiburan realiti dan kelahiran anak luar nikah yang semakin berleluasa sekarang.

Wallhua’lam.


http://wankamarul701.blogspot.com

Wednesday, June 18, 2014

Penulisan Boleh Menggegarkan Kerajaan yang Berkuasa


 
Sewaktu Khilafah Uthmaniyah dihapuskan secara rasminya pada 3 Mac 1924, gerakan parti-parti yang memperjuangkan agama Islam adalah dilarang sama sekali oleh Mustafa Kamal Attaturk. Ketika umat Islam berada dalam kegelapan ini, muncullah seorang mujadid Islam iaitu Badiuzzaman Said Nursi yang ingin membawa semua orang Islam kembali kepada agamanya. Kekuatan Nursi ini adalah berpaksikan kepada penulisan dan penyebaran karangannya yang terkenal iaitu Rasa’il al-Nur.

Rasa’il al-Nur sebenarnya merupakan tafsiran al-Quran yang berfokuskan kepada keimanan. Ia disusun melebihi 130 tajuk dalam buku-buku seperti al-Kalimat, al-Maktubat, al-Mathnawi, dan sebagainya. Matlamat Rasa’il al-Nur sebenarnya ialah untuk menjelaskan hakikat dan intipati iman dan menolak tuduhan liar musuh-musuh Islam dengan mengemukan hujah-hujah mantap. Ia ditulis ketika Nursi berada di dalam buangan dan penjara dari tahun 1926-1949 iaitu ketika Turki di bawah pemerintahan Parti Republikan Rakyat. Apa yang menarik ialah karangan beliau ini menembusi kota-kota dan desa-desa untuk menyeru masyarakat kembali kepada Islam secara syumul.

Apa yang menarik risalah ini ialah ratusan banduan di penjara Dinizli telah berubah akhlaknya setelah membaca Risalah al-Thamarah. Sehinggakan orang yang dihukum kerana kesalahan membunuh tidak lagi membunuh walaupun seekor kupu-kupu. Hal ini turut diakui oleh Pengarah Penjara bahawa penjara Dinizli tersebut telah bertukar menjadi pusat pengajian disebabkan oleh Rasa’il al-Nur. Risalah ini juga dibaca oleh 20,000 orang dalam masa 20 tahun. 

Selain itu, Nursi juga bergerak dengan Gerakan al-Nur yang berjaya memberi kemenangan kepada Parti Demokratik Turki dalam pilihan raya pada tahun 1949. Sehingga Ismet Inonu yang kalah dalam pilihan raya berkata, “Kita telah dijatuhkan oleh Gerakan al-Nur.”

Begitu juga dengan negara kita di mana politiknya sentiasa bergelora dari semasa ke semasa. Ini dapat dilihat melalui Tun. Dr. Mahathir sewaktu pilihan raya umum pada tahun 1969 yang menyaksikan beliau dan Kerajaan Perikatan kalah dalam pilihan raya tersebut (Hilang 2/3 majoriti parlimen) disebabkan oleh pengundi Cina belot kepada parti Perikatan.

Ini membawa kepada Dr. Mahathir menulis surat kepada Tunku serta penerbitan buku The Malay Dilemma di Singapura yang menjadi pemangkin penentangan terhadap Tunku oleh UMNO dan orang melayu itu sendiri. Sokongan kepada Dr. Mahathir menyemarakkan lagi bantahan terhadap Tunku dan menggesa beliau meletak jawatan. Dr. Mahathir akhirnya dipecat daripada UMNO kerana tindakanya itu dan apa yang menarik ialah Tunku meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 22 September 1970 iaitu kurang 4 hari genap setahun selepas beliau dipecat.

Tunku bukan seorang sahaja yang menjadi sasaran Dr. Mahathir supaya bertanggungjawab dengan apa yang berlaku natijah daripada kekalahan dalam mengemudi pilihan raya umum supaya meletak jawatan. Apa yang terjadi kepada Perdana Menteri Pertama juga berlaku berlaku kepada Perdana Menteri Kelima iaitu Abdullah Ahmad Badawi supaya meletak jawatan ekoran prestasi buruk beliau dalam pilihan raya umum pada tahun 2008. Akhirnya, Abdullah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri tidak lama selepas PRU tahun 2008.

Jika pada tahun 1969, Dr. Mahathir menerbitkan buku The Malay Dilemma bagi mengkritik kepimpinan Tunku manakala pada tahun 2008 Dr. Mahathir menulis blog peribadinya iaitu chedet.cc dalam usahanya mengkritik kepimpinan Abdullah yang lemah ekoran Barisan Nasional (Perikatan) sekali lagi hilang majoriti 2/3 parlimen. Apa yang pasti kedua-dua pemimpin tersebut meletak jawatan ekoran daripada penulisan Dr. Mahathir.

Dapat dilihat di sini bahawa walaupun Dr. Mahathir tiada apa-apa kuasa, beliau boleh mempengaruhi pendapat umum melalui penulisannya yang membawa kepada perletakan jawatan kedua-dua Perdana Menteri negara ini. Inilah kuasa penulisan – boleh mempengaruhi pendapat umum dalam menyatakan sesuatu yang tidak betul ataupun perlu diperbaiki.

Jika dilihat susur galur sejarah, dalam kepimpinan negara di Turki iaitu pasca kejatuhan Turki Uthmaniyyah mahupun kepimpinan negara ini, penulisan boleh menggegarkan Kerajaan yang berkuasa. Di Turki, kita boleh melihat usaha Badiuzzaman Said Nursi yang membawa kepada kekalahan kerajaan Parti Republikan Rakyat melalui Rasa’il al-Nur dalam pilihan raya umum pada tahun 1949. Manakala di Malaysia pula kita menyaksikan perletakan 2 orang Perdana Menteri hasil disebabkan oleh pengaruh penulisan Dr. Mahathir dalam mempengaruhi pendapat umum. Apa yang membezakan bentuk penulisan tersebut sama ada ia berbentuk tradisional (kertas atau buku) atau atas talian (online) mengikut peredaran zaman.

Jika kita renungi sabda Nabi Muhammad s.a.w. iaitu :

“Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran, maka cegahlah ia dengan tangan. Jika tidak tidak mampu, maka cegahlah ia dengan lisan. Jika itu juga di luar kemampuannya, maka cegahlah dengan hati Sesungguhnya (mencegah dengan hati) selemah-lemah iman.” Riwayat Muslim

Jika kita melihat frasa pertama iaitu jika kita melihat kemungkaran, hendaklah kita mencegah dengan tangan. Ayat ini sebenarnya ditujukan kepada pemimpin-pemimpin yang mempunyai kuasa untuk mencegah kemungkaran dengan tangannya.

Ada juga sebahagian ulama’ yang berpendapat bahawa menulis juga adalah termasuk mencegah kemungkaran dengan tangan. Pendapat ini juga sebenarnya relevan dengan melihat 2 peristiwa yang berlaku ini dalam menegur Kerajaan melalui penulisan yakni dengan mempengaruhi masyarakat atau orang awam supaya menentang Kerajaan yang melakukan kemungkaran ataupun kesilapan.

Apa yang penting penulisan perlu mempunyai hujah ataupun idea bernas untuk disampaikan kepada masyarakat bukannya secara membuta-tuli. Jika penulisan hanya secara membuta-tuli kelak tiada sesiapa yang ingin membaca penulisan kita apatah lagi untuk mengikut idea yang diutarakan oleh kita sendiri.

Wallhua’lam.                          

Saturday, June 14, 2014

Fakta Menarik Mengenai Babi dari Sudut Fekah




1. Secara umumnya, babi telah diharamkan untuk makan dalam al-Quran sepertimana firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Maidah ayat 3 :

“Diharamkan bagimu (makan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala...”

Imam keempat-empat mazhab telah bersepakat bahawa babi adalah haram untuk dimakan berdasarkan nas ini.

2. Akan tetapi, al-Quran hanya melarang bahawa babi adalah haram untuk dimakan dan bukannya haram untuk disentuh. Berdasarkan kepada asas ini, mazhab Imam Maliki, Hambali, dan Hanafi tidak menyuruh seseorang itu menyamak anggota badan apabila menyentuh kulit babi. Berlainan dengan mazhab Imam Syafie di mana seseorang yang menyentuh babi hendaklah menyamak anggota badannya yang menyentuh babi.

3. Atas dasar ini sebenarnya kulit babi boleh dibuat pakaian seperti kasut, jaket, dan sebagainya bahkan jaket yang dibuat daripada kulit babi sekalipun boleh digunakan untuk sembahyang bagi mazhab Imam Maliki, Hambali, dan Hanafi.

4. Bagi imam mazhab Hanafi, daging babi yang telah melalui proses istihalah (transformasi) iaitu perubahan daripada bentuk asal kepada bentuk yang lain boleh dimakan. Pendapat ini disokong oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang merupakan ulama’ muktabar pada hari ini. Seperti air kumbahan yang kotor yang telah melalui proses rawatan boleh diminum kerana ianya telah suci.

5. Sebenarnya, peristiwa yang berlaku kepada kita mempunyai hikmahnya tersendiri seperti isu coklat Cadbury yang dikatakan mempunyai unsur babi. Apa yang boleh dilihat dari satu satu segi ialah daging babi sebenarnya boleh dimakan apabila telah melalui proses istihalah yakni perubahan daripada bentuk asal oleh sejak zaman dahulu lagi oleh mazhab Imam Hanafi yang hidup pada 699M – 767M walhal isu babi yang berlaku pada masa sekarang ialah pada tahun 2014 iaitu selepas 1247 tahun Imam Hanafi meninggal dunia.

Wallhua’lam.


http://wankamarul701.blogspot.com

Friday, June 13, 2014

Kita Perlu Membaca Bahan-bahan Ilmiah seperti Saidina Umar al-Khattab Menghafal Surah al-Baqarah




Berapakah tempoh masa Saidina Umar al-Khattab menghafal Surah al-Baqarah? Bukan 9 hari, 9 minggu, ataupun 9 bulan tetapi Saidina Umar menghafal surah al-Baqarah selama 9 tahun! Mengapa Sahabat Nabi menghafal surah tersebut dengan mengambil masa terlalu lama? Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana baginda beramal beramal dengan satu-satu ayat yang dihafal dahulu sebelum beralih kepada ayat yang lain. Dengan ini, ia mengambil tempoh masa yang panjang apatah lagi surah al-Baqarah merupakan surah yang terpanjang yang mengandungi 287 tujuh ayat dan ayat terpanjang sekali di dalam al-Quran juga terkandung di dalam surah ini iaitu ayat 282 yang menyebut mengenai hutang.

Apakah pengajaran yang boleh diambil daripada sikap Saidina Umar al-Khattab ini? Sudah tentu contoh teladan daripada kisah ini ialah kita perlu memahami sesuatu ilmu apabila membaca sesebuah buku khususnya apabila membaca bahan-bahan ilmiah seperti jurnal, bahan rujukan dan sebagainya. Bahan-bahan  ilmiah semestinya memerlukan fokus yang tinggi apabila kita membaca dan cuba memahaminya apatah lagi bahan-bahan ini ditulis dengan bahasa yang tinggi. Oleh itu, jangan kita cuba melompat dari satu tajuk ke tajuk yang lain apabila kita belum memahami satu-satu tajuk sebelumnya. Jika kita membaca sekerat-kerat sahaja ini bermakna ilmu yang kita perolehi juga tidak menyeluruh apabila membaca sesebuah buku ataupun jurnal. 

Bak kata ulama’ hadis tersohor di Syria iaitu Sheikh Abd Fatah Abu Ghuddah:

“ Sesiapa yang tidak membaca dari awal hingga akhir sebuah kitab, dia tidak akan menemui rahsia kitab tersebut.”


Wallhua’lam.


http://wankamarul701.blogspot.com

Saturday, June 7, 2014

4 Jun 2014 - Cetusan Idea Publications Didaftarkan dengan SSM


Alhamdullilah, setelah 4 tahun berblog, timbul idea saya menubuhkan syarikat penerbitan sendiri yang dikenali sebagai CETUSAN IDEA PUBLICATIONS (002334179-D) yang didaftarkan secara rasminya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 4 Jun 2014. Bagi sesiapa yang berminat untuk menerbitkan buku bersama CETUSAN IDEA PUBLICATIONS, sila e-mailkan manuskrip anda ke wan_kamarul@usa.com

Terima kasih. 

Bagaimana Kita Ingin Membina Negara Islam jika Unsur Babi Masih Terlepas ke dalam Perut Umat Islam?




Kita sebagai umat Islam di tanah air sendiri sentiasa dibuli oleh orang-orang bukan Islam. Perkara apa yang hendak dibuli sebenarnya? Tidak lain dan tidak bukan ialah isu mengenai makanan haram. Sejak dahulu lagi isu makanan haram sentiasa menjadi isu utama dalam negara ini. Seolah-olah ianya bermusim dan mempunyai pasang-surutnya sendiri. Dahulu isu sosej babi kemudian isu kek lapis Sarawak yang mengandungi babi kerana bahan-bahan untuk membuat kek lapis tersebut mengandungi unsur babi. Natijahnya ialah satu kilang yang membuat kek lapis terpaksa disamak. Astaghfirullahala’zim.

Kini, timbul pula isu coklat Cadbury yang mempunyai DNA babi. 2 produk yang dipercayai mengandungi unsur babi iaitu Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond. Pada mulanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kenyataan mengatakan dua produk tersebut mengandungi DNA babi. Kemudian, ia dinafikan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) apabila membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap produk syarikat Cadbury.

Kedua-dua kenyataan ini sudah tentu menimbulkan kecelaruan umat Islam mengenai status coklat ini. Sekejap mengata haram dan sekejap kemudian dikatakan halal semula. Yang manakah kita perlu ikut sebenarnya? Saya percaya isu ini hanya sekejap sahaja dan kemudian akan senyap begitu sahaja dan orang ramai akan makan coklat Cadbury ini seperti biasa pada masa akan datang.

Namun begitu, dari satu segi kita dapat melihat bahawa penguasaan orang Islam dalam rantaian ekonomi makanan masih lemah. Adakah kita ingin menyalahkan pihak JAKIM semata-mata apabila timbul isu makanan haram di lambakan pasar raya-pasar raya di seluruh negara? Sudah tentu pihak JAKIM adalah tidak mampu untuk mengawal semua produk makanan di seluruh negara apatah lagi ingin memeriksa semua kilang yang mengeluarkan makanan. Sudah ini tanggungjawab semua umat Islam dalam memastikan bahawa lambakan makanan yang berada di pasaran hari ini adalah betul-betul 100 peratus halal.

Isu makanan haram sering timbul dalam masyarakat kita. Adakah kita boleh menjamin sekarang bahawa 100 peratus makanan yang masuk ke dalam badan kita ini adalah bebas daripada unsur-unsur haram yang zahir yakni babi? Wallhua’lam. Semoga tiada unsur-unsur babi ini masuk ke dalam jasad kita ini sama ada pada masa lepas atau masa akan datang. Insya-Allah. 

Mari kita renungi hadis ini :

“Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.”

Dapat difahami daripada hadis ini bahawa pembentukan akhlak manusia itu adalah berpunca daripada hati yang bersih. Hati yang bersih adalah berpunca daripada makanan yang halal lagi bersih. Sekiranya hati ini tidak bersih kerana sudah makan makanan haram, maka rosaklah akhlak seseorang individu Muslim tersebut.

Bagaimana kita ingin membina Negara Islam sekiranya perkara-perkara kecil yakni soal makanan haram belum dapat ditangani dengan baik lagi? Akhlak individu Muslim yang baik adalah nukleus yang paling penting sekali dalam usaha untuk melahirkan keluarga Muslim, masyarakat Muslim, Negara Islam, dan seterusnya pemerintahan Khilafah Islamiah. Jika perkara asas masih belum terbina lagi, alamatnya itu petandanya kita masih jauh dalam usaha untuk membina Negara Islam yang kita uar-uarkan selama ini.

Teringat saya akan suatu kisah di mana seekor kambing makan rumput jiran tuannya. Lalu pengembala kambing tersebut mengambil susu kambing tersebut untuk diberikan minum kepada anaknya. Kemudian, apabila si anak tersebut telah besar didapati bahawa si anak tersebut sukar untuk menghafal al-Quran hanya kerana susu kambing tersebut bukan berpunca daripada sumber yang halal kerana kambing tersebut makan rumput yang bukan milik tuannya.

Ini hanya kes susu seekor kambing yang hanya berpunca daripada makan rumput bukan milik tuannya yang menyebabkan anak si pengembala tersebut sukar untuk menghafal al-Quran apatah lagi jika umat Islam pada hari ini makan babi tanpa disedari. Sudah tentu ia akan melahirkan Muslim yang rosak akhlaknya dan seterusnya sukar untuk melahirkan masyarakat yang baik akhlaknya. Na’uzubillahminzalik. 

Apa yang diharapkan oleh umat Islam pada hari ini makan makanan 100 peratus halal. Isu babi adalah amat sensitif jika dibandingkan dengan isu-isu makan makanan haram yang lain seperti rasuah, rompakan, dan sebagainya. Dengan kata lain, kita jangan memandang makanan yang haram sahaja dari sudut zahiriyah sahaja tanpa melihat haramnya dari sudut maknawiyah kerana kedua-duanya juga memainkan peranan penting dalam membentuk dan seterusnya melahirkan akhlak individu Muslim yang baik akhlaknya.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.com