Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya mengucapkan Salam Ramadhan dan Selamat Berbuka kepada pengunjung setia blog saya dari kaum muslimin dan muslimat. Semoga kita dapat mempertingkatkan amalan kita di sepanjang bulan puasa ini dari semasa ke semasa. Pada kali ini, saya ingin membincangkan berapakah jumlah simpanan yang patut kita simpan daripada hasil pendapatan kita yang diterima setiap bulan? Saya banyak mengkaji berapa peratuskah pendapatan yang perlu kita simpan setiap bulan. Maksud saya, jumlah pendapatan yang paling ideal yang perlu kita simpan setiap bulan hasil daripada kenaikan gaji kita dari tahun ke tahun.
Menurut hukum kesan Hukum Parkinson yang dikemukakan oleh Cyril Nothcote Parkinson, menyatakan perbelanjaan harian kita bertambah bagi memenuhi pertambahan pendapatan. Maksudnya, pertambahan pendapatan kita digunakan untuk membeli barang-barang idaman kita atau digunakan untuk mengubah gaya hidup kita yang lebih mewah dari sebelum ini. Daripada satu handset, kita memakai 2 handset walaupun ia tidak semahal i-Phone 4, membeli lebih banyak pakaian supaya ia sama banyak dengan penari hindustan, membeli set pinggan mangkuk Akopa dan sebagainya. Sebab itulah kenaikan pendapatan tahunan tidak dapat menyelesaikan masalah kewangan kita. Wajarkah kita menggunakan keseluruhan kenaikan pendapatan kita untuk memenuhi nafsu kita?
Baiklah, suka saya ingin menyatakan Prinsip Sendal Baji yang diperkenalkan oleh Brian Tracy. Beliau menyatakan bahawa 50% daripada kenaikan gaji adalah untuk disimpan manakala 50% lagi digunakan untuk perkara lain. Contohnya, sekiranya kenaikan pendapatan kita adalah RM400, RM200 digunakan untuk simpanan dan RM200 digunakan bagi perkara lain. Duit simpanan ini tidak perlu diusik dan ia sesuai letakkan di dalam akaun ASB atau tempat pelaburan lain yang sukar diambil supaya ia lebih selamat daripada dibelanjakan oleh kita sendiri. Dapat kita fahami prinsip ini ialah apa yang perlu dilakukan ialah kita meletakkan sendal baji yang kuat ditengah-tengah pendapatan tambahan kita. Ini dapat mencegah daripada kita membazir untuk kebaikan masa depan.
Prinsip ini perlu dilaksanakan sepanjang hidup kita selagi kita bekerja. Menyimpan 10 hingga 20% daripada pendapatan, ditambah pula dengan 50% tambahan pendapatan dapat menjadikan kita bebas daripada belengu masalah kewangan yang tidak berkesudahan. Tanpa kita sedari, kita dapat bersama mereka yang kaya-raya. Kata-kata Tun Daim Zainuddin sentiasa tersemat di hati saya iaitu," Tambahkan pendapatan dari tahun ke tahun tetapi amalkan gaya hidup lama." Baiklah, semoga kita dapat memanfaatkan perkongsian ilmu pada kali ini. Wallahua'lam.
Sekian, terima kasih.
Sumber.
1. Brian Tracy, 2011, No Excuses!, Jangan Berdalih lagi untuk Berjaya. PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd. (Terjemahan Md. Hazali Hassan).