Sunday, February 20, 2011

Wajarkah berhutang untuk menjana pendapatan?

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Semoga Allah melimpahkan kebaikan ke atas Tuan dan Puan setiap masa. Semoga Tuan dan Puan sentiasa diberi kekuatan untuk menjalankan kehidupan seperti biasa. Semoga hari ini adalah lebih baik daripada semalam dalam menjalani kehidupan seharian kita. InsyaAllah.

Tajuk pada kali ini iaitu 'Wajarkah berhutang?' adalah menjadi pilihan saya pada kali ini. Saya bukannya ingin menyebut adakah kita perlu berhutang untuk memenuhi kemahuan kita sama ada ingin membeli aksesori kereta walaupun kereta anda bukanlah kereta Mercedes atau BMW supaya ia kelihatan bergaya, membeli pakaian yang berjenama, membeli perabot-perabot berjenama ataupun berhutang bagi membeli mahligai rumah sebesar YB walaupun anda hanya penjawat awam biasa. Apa yang saya ingin sebut di sini ialah wajarkah kita berhutang untuk menambah pendapatan kita contohnya membuat pelaburan?

Memang tidak dinafikan bahawa artikel-artikel yang dimasukkan sebelum ini mengatakan bahawa hutang yang baik adalah hutang yang memberi pulangan yang lebih daripada kos pinjaman. Bahkan mengikut kamus jutawan, anda perlu meminjam dahulu untuk melabur dan bukannya menyimpan dahulu sebelum melabur.


Tun Daim Zainuddin

Saya ingin mengulas gaya bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin (1984-1991) dalam mengurus ekonomi negara. Gaya beliau adalah bertentangan dengan Menteri Kewangan sebelumnya iaitu Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li (1976-1984) di mana Ku Li lebih suka meminjam supaya pertumbuhan ekonomi negara lebih semarak. Berbeza dengan gaya Daim iaitu perbelanjaan mesti selaras dengan pendapatan untuk pertumbuhan ekonomi negara. Semasa kemelesetan ekonomi melanda pada tahun 1985 iaitu pertumbuhan ekonomi ialah -1.1%, baru disedari betapa beratnya beban hutang akibat pinjaman yang berjumlah RM20 billion. Dengan keazaman dan ketekunan dalam menghadapi rintangan dalam memulihkan ekonomi negara, Daim berjaya memulihkan ekonomi negara. Falsafah Daim dalam mengurus ekonomi pula ialah "Kita hidup dalam batas kemampuan kita". Kesannya, Daim telah berjaya mengeluarkan negara dari lembah kemelesetan daripada -1.1% tahun 1985 kepada +9.2% pada tahun 1989 iaitu suatu pencapaian rekod terbaik bagi negara membangun.


Tengku Razaleigh Hamzah

Sewaktu kempen pilihanraya UMNO 1987, Ku Li menyatakan bahawa dia boleh memulih ekonomi negara dalam masa 6 bulan untuk menarik perhatian orang ramai supaya ekonomi pulih dengan cepat. Daim mengatakan ," Memang, boleh cucuk jarum saja, cepat nampak segar. Pinjam duit untuk pertumbuhan palsu. Tapi penyelesaiannya mestilah ada jangka panjang dan jangka pendek. Masa diperlukan bagi menarik pelabur membina kilang." Hasilnya ialah ekonomi telah pulih dalam masa yang singkat pada tahun 1988. Para pengkritik Daim terpaksa menarik kata-katanya yang meramalkan Daim pasti gagal dalam usahanya dalam memulih ekonomi negara.


Pegangan saham Tun Daim Zainuddin dalam International Commerce Bank (ICB)

Intipati yang boleh dipetik daripada pengurusan ekonomi Daim ialah kita usahlah berhutang dalam menambah pendapatan kita contohnya dalam membuat pelaburan ataupun untuk berniaga. Sebenarnya, kita sedang menjana 'pendapatan palsu' jika mengikut falsafah Daim. Apa yang perlu kita lakukan ialah kita harus memperuntukkan 30% daripada pendapatan kita untuk membuat pelaburan. Sekiranya pendapatan kita ialah RM3,000 sebulan, peruntukkan RM900 sebulan untuk pelaburan kita. Dalam masa 3 tahun, hasilnya ialah RM32,400. Daripada mengigau di siang hari dengan membuat 'pinjaman peribadi' sehingga 20 tahun semata-mata untuk melabur.

Jika kita memperhalusi cara Daim ini, kita sebenarnya membina kendiri dalam pengurusan kewangan kita iaitu tidak menjana pendapatan palsu yang terbina di atas dana pinjaman yang besar sehingga tempoh berpuluh tahun. Kita sebenarnya boleh menghindarkan diri kita daripada berhutang dalam menjana pendapatan kita. Mulakan segalanya apa yang ada di tangan kita. Kenal pasti dengan apa yang ada di sekeliling kita. Sekiranya kita suka membuat hutang, apa yang terjadi sekiranya kita jatuh sakit ataupun dilanda malapetaka yang lain? Sudah tentu hutang ini akan membebankan kita. Mulakan dengan apa yang ada di tangan kita sekarang. Biar sedikit, asal diberkati...

Sekian, terima kasih.

Sumber:
1. Daim Insan Di Sebalik Enigma, Cheong Mei Sui dan Adibah Amin, 1996.
2. http://zon-panas.com/?p=11

2 comments:

Faisal said...

Assalam WBT En Wan:

Saya faisal dari kajang merancang ingin membeli 2 buku Tun Daim Zainuddin yang betajuk:

1. Managing Business, My Personal Experience - By Daim Zainuddin, 1995

2. Daim, Insan Di Sebalik Enigma - Dari Chong Mei Sui dan Adibah Amin, 1996

Persoalannya di manakah saya boleh mendapatkannya? Terima Kasih En. Wan.BarakAllah dan Wassalam

wankamarul701 said...

Wssalam.

Saya telah menghubungi Pelanduk Publications yang menerbitkan buku Daim Insan Di Sebalik Enigma pada tahun 2009. Pihak mereka mengatakan bahawa buku tersebut sudah tidak diterbitkan lagi. Saya pun hanya fotostat dari library tempat saya belajar dahulu. Buku Managing Business saya tidak tahu.

Terima kasih.