Sunday, December 25, 2022

Pasca PRU-15: Muhasabah Politik untuk Semua


Walaupun PRU-15 sudah agak lama melabuhkan tirainya, namun dari segi beberapa sudut ada baiknya kita renungi bersama.

Pertamanya, ucapan Azmin Ali suatu ketika dahulu sewaktu melancarkan jentera pilihanraya Besatu peringkat negeri Selangor yang menyatakan bahawa Perikatan Nasional adalah semakin kuat dan diterima rakyat mempunyai kebenarannya yang tersendiri. Keputusan PRU-15 menunjukkan Perikatan Nasional memenangi kerusi parlimen sebanyak 74 kerusi menunjukkan perikatan yang baru berumur setahun jagung ini mempunyai aura dan kekuatannya yang tersendiri di peringkat akar umbi dan dapat menyaingi PH dan BN yang semakin hancur di bawah kepimpinan Zahid Hamidi.

Ketika Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2020 yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin Bersatu, Pas, dan PKR dengan bergabung dengan Parti Umno, saya fikir gabungan parti Pas-Bersatu  tidak akan bertahan lama kerana pakatan ini adalah pakatan baru dan mungkin tidak akan bertahan lama. Namun begitu, Pakatan Nasional ini meraih majoriti besar dalam PRU-15 yang hampir-hampir menidakkan peluang Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri. 

Aura Perikatan Nasional ini bukan sahaja terhenti sebaik sahaja tamat PRU-15, namun ia juga berjaya merampas kerusi parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 menewaskan calon PH. Di samping itu juga PN juga berjaya menurunkan kemenangan majoriti BN di DUN Tioman. Secara tidak langsung ini ia menunjukkan Muhyiddin Yassin mempunyai kredibilitinya yang tersendiri dalam memimpin dan mengemudi Perikatan Nasional dalam suasana iklim politik yang tidak stabil ini. 

Pemimpin-pemimpin PKR yang berpaling tadah suatu ketika dahulu dalam Langkah Sheraton khususnya Azmin Ali, Kamarudin Jaffar, dan Zuraida khususnya seolah-olah tidak lagi mempunyai tempat dalam politik tanah air kerana mereka sudah tidak lagi memenangi kerusi parlimen. Menjelang PRU-15, pemimpin-pemimpin Parti PKR begitu bersungguh-sungguh untuk merampas kerusi parlimen mereka yang dianggap dirampas oleh pengkhianat khususnya Gombak dan Ampang dan hasrat mereka ini tercapai. Ada baiknya Azmin Ali dan Kamarudin Jaffar mengintai kerusi parlimen lain yang ‘selamat’ buat PN jika mereka ingin karier politik mereka tidak terkubur selepas ini. 

Parti yang paling sedih dalam PRU-15 pada kali ini tidak lain dan tidak bukan ialah Parti Pejuang yang dilihat sebagai parti tiada hala tuju kalah dalam semua kerusi yang dipertandingkan. Ada baiknya Parti Pejuang ini ditutup terus daripada terus beroperasi. Dari satu sudut yang lain, kita dapat melihat nasib Dr. Mahathir Mohammad sebagai bekas Presiden Umno senasib dengan Dato’ Onn Jaafar yang menubuh Parti Negara selepas meninggalkan Umno. Kita dapat melihat pengaruh Dr. Mahathir semakin lama semakin layu dan tidak sehebat ketika mengkritik kerajaan pimpinan Pak Lah dan Najib Razak. 

Barisan Nasional atau BN semakin hancur dan musnah di bawah kepimpinan Zahid Hamidi dalam PRU-15 kali ini kerana hanya dapat memenangi 30 kerusi parlimen sahaja berbanding di bawah kepimpinan Najib Razak yang berjaya memenangi 79 kerusi parlimen dalam PRU-14 walaupun gagal membentuk kerajaan persekutuan. Keyakinan Umno bahawa mereka akan menang sekiranya PRU-15 diadakan lebih awal sebelum musim tengkujuh hanya omong-omong kosong sahaja bahkan semakin ditolak rakyat kerana tidak memikirkan nasib rakyat yang dihimpit dengan masalah tekanan ekonomi dan pemimpin-pemimpin Umno dilihat untuk menyelamatkan diri daripada kes-kes mahkamah sahaja untuk mengadakan PRU lebih awal. Akhirnya, tindakan mereka memakan diri sendiri kerana semakin ditolak oleh rakyat khususnya orang-orang Melayu yang kini beralih sokongan kepada Perikatan Nasional.

Bukan Melayu khususnya di bandar-bandar akan terus menyokong PH. Trend ini sukar diubah lagi. Jika keadaan ini terus berlaku, maka kerusi-kerusi parlimen di bandar-bandar besar menjadi kerusi selamat buat PH sekurang-kurangnya untuk PRU-PRU akan datang. Ada baiknya kerusi-kerusi parlimen yang dihuni majoriti bukan Melayu ini dibuat persempadanan semula supaya kerusi-kerusi ini juga dihuni oleh pengundi-pengundi Melayu supaya tidak dilihat sebagai polarisasi yang dihuni oleh sesuatu kaum atau komunal sahaja. 

Sekarang adalah masa untuk bekerja dan bukan lagi masa untuk mengadu-domba membuat fitnah bagi meraih undi. Sebagai rakyat biasa kita tahu bahawa kita sudah muak dengan pemimpin-pemimpin politik yang sering berbalas-balas kenyataan yang tidak berkesudahan di media massa. Rakyat akan memilih pemimpin politik yang membuat kerja dan bukannya pemimpin politik yang hanya bermain politik 24 jam siang dan malam. 

Wallhua’lam.


https://wankamarul701.blogspot.com

Sunday, December 18, 2022

Kontrak Sosial - Orang Bukan Melayu Memungkiri Janji

Dalam kalangan generasi ahli politik dan pemimpin Melayu Cina dan India ketika itu juga difahami umum bahawa menjadi sebahagian kontrak sosial bahawa bukan Melayu akan membantu dan mengajar orang Melayu bagaimana memasuki perniagaan dan perdagangan. Ringkasnya, bukan Melayu hendaklah memberi bantuan kepada orang Melayu yang lembap dan membimbing mereka bersama untuk mencapai kejayaan negara. Inilah sebahagian daripada perjanjian ikhlas yang dipercayai umum wujud antara mereka. 

Walau bagaimanapun, berdasarkan rekod-rekod sejarah dan perangkaan – dan walau apa pun usaha dan kemurahan hati individu yang harus dipuji – bukan Melayu secara kumpulan tidak tampil ke muka  dengan bantuan yang sebenarnya kepada orang Melayu di sektor swasta. Parti Tindakan Demokratik (DAP), Persatuan Cina Malaysia (MCA), Gerakan dan Persatuan serta Pertubuhan Cina yang lain, mahupun Kongres India Malaysia (MIC), tidak tampil dengan inisiatif atau rancangan usaha sama kenegarawan, program dan projek untuk membantu orang Melayu, supaya terbentuk satu identiti di kalangan kumpulan ras, meskipun inisiatif sedemikian adalah untuk kepentingan mereka sendiri, yang memberi keselamatan dan jaminan untuk masa depan. 

Sebenarnya, perkara sebaliknya berlaku. Bukan Melayu mendiskriminasi orang Melayu dalam perniagaan dari segi kontrak, dalam pekerjaan dan lain-lain, memihak kepada kaum mereka sendiri. Melayu dianggap rendah dan malas serta hanya mampu melakukan kerja-kerja yang kurang memerlukan daya fikiran dan daya fizikal. Mereka juga dianggap tidak responsif kepada motif keuntungan dan kurang berinisiatif, serta apabila diberi sesuatu kerja, orang Melayu dianggap tidak berkeupayaan melaksanakannya dengan serius dalam jangka panjang, berbanding dengan ras-ras lain. Orang Melayu hanya diberi jawatan hiasan untuk tujuan kosmetik dan perhubungan awam, khususnya jika syarikat berkenaan mempunyai urusan dengan jabatan-jabatan kerajaan yang majoritinya ditadbir oleh pegawai Melayu. Secara praktik, orang Melayu telah memberi bukan Melayu hak-hak tak terpisah di bawah Perlembagaan sebagai ganti untuk apa yang akhirnya hanya berupa tidak lebih daripada janji-janji samar dan kosong oleh bukan Melayu. Janji-janji ini pun kini dinafikan oleh sesetengah bahagian komuniti bukan Melayu. 

Sumber:

Just Faaland, Jack Parkinson, dan Rais Saniman, Dasar Ekonomi Baru: Pertumbuhan Negara dan Pencapaian Ekonomi Orang Melayu, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., 2005, hlm. 22-23.

 


Sunday, December 11, 2022

Orang Melayu yang Ditindas oleh Orang Bukan Melayu dalam Lapangan Ekonomi

Diskriminasi sosial dan ekonomi terhadap orang Melayu oleh pihak komersial dan industri yang dikuasai oleh bukan Melayu meliputi pelbagai bentuk. Dalam perniagaan, bank-bank British dan Cina enggan melakukan apa-apa untuk orang Melayu kerana mereka dianggap tidak mempunyai pengalaman yang sesuai. Dalam perniagaan borong, runcit, eksport, dan import, mereka disisihkan oleh persatuan dan pertubuhan perniagaan. Meskipun orang Melayu mencari kerja dalam sektor swasta, namun mereka disisihkan oleh suku, bahasa, keutamaan budaya dan sekatan. Banyak kedai Cina dan India enggan memberi pekerjaan kepada orang Melayu. Hingga akhir-akhir ini, kedai-kedai India mengimport buruh dari India apabila mereka kekurangan kakitangan. Bagi pekerjaan bandar di luar kerajaan, hanya buruh kasar jenis terendah dibuka kepada orang Melayu: pekerjaan seperti penarik beca, pemandu, dan jaga. 

Sumber: 

Just Faaland, Jack Parkinson, dan Rais Saniman, Dasar Ekonomi Baru: Pertumbuhan Negara dan Pencapaian Ekonomi Orang Melayu, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., 2005, hlm. 7.