Thursday, April 30, 2020

Examo Penawar Otak Melayu yang Lembap


Examo - Penawar Otak Melayu yang Lembap.



Agak kasar juga bunyi tajuk tulisan saya kali ini – ‘Examo Penawar Otak Melayu yang Lembap’. Akan tetapi itulah hakikat yang kita perlu terima untuk melangkah jauh ke hadapan. Ini bukan rasis. Jika anda masih belum tahu, Examo sebenarnya adalah ubat minda ataupun bahasa mudahnya ianya adalah ‘ubat otak’.

Jika kita sedar, sudah tentu kita akan tahu bahawa pelajar-pelajar bangsa Melayu agak ketinggalan dalam pelajaran tidak kita sama ada di peringkat rendah, menengah, mahupun pengajian tinggi. Inilah perlu kita sedari bahawa otak orang Melayu sebenarnya agak lembap berbanding dengan kaum lain kerana bangsa Melayu ini tinggal di dalam iklim khatulistiwa. 

Kalau anda perasan bahawa pelajar-pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan yang kurang memberangsangkan sebenarnya bukanlah rata-rata mereka tidak belajar atau malas baca buku. Tetapi, otak mereka sebenarnya lembap dalam menelaah pelajaran walaupun mereka ini study sehingga ke larut malam. Akhirnya, keputusan yang diharap cemerlang dalam peperiksaan berkecai begitu sahaja kerana tidak membuat persiapan untuk otak mereka. 

Anda jangan fikir bahawa otak kita tidak perlu diberi makanan apatah lagi anak-anak kita yang setiap hari ulang-alik belajar di sekolah pada setiap hari. Walaupun, kita memberi anak kita minum Milo ataupun sarapan pagi sebelum ke sekolah, kita sebenarnya membekalkan tenaga sahaja untuk mereka tetapi sayang sekali kita tidak memberi makanan minda kepada mereka sebelum belajar di sekolah. Sebab itu, kadang-kadang apabila anak-anak kita balik dari sekolah, mereka akan blur dan kadang-kadang tidak tahu apa yang mereka belajar di sekolah. Inilah juga boleh dikatakan kelemahan sikap orang Melayu. 

Baiklah, kita berbalik semula kepada Examo ini walaupun saya tidak mendapat komisen mempromosikan ubat minda ini. Examo sebenarnya telah diasaskan oleh Prof. Dr. Azizan yang menurut pengalaman beliau yang membuat soalan, pemeriksa skrip jawapan sehinggalah kepada pemarkahan, beliau menyedari bahawa pencapaian anak bangsa Melayu agak jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pelajar bukan Melayu. 

Bermula dari sinilah beliau bermula untuk mengkaji bidang ingatan dan lupa serta kecerdasan. Sekiranya pokok boleh tumbuh subur jika diberi baja yang sesusai, otak manusia begitu juga. Belliau ‘menjumpai’ kejayaan mencungkil rahsia kelemahan bangsa Melayu apabila mempelajari ilmu perubatan Biokimia Schuessler pada tahun 1978. Kebodohan, lupa, putus, asa, hilang semangat, malas, takut gagal, lemah daya saing, misalnya adalah simpton, kesihatan mental terganggu adalah disebabkan oleh ketidak seimbangan garam mineral (garam tisu). Sejak itu, beliau telah memperkenalkan Examo bagi mengubati masalah ini. 

Adakah makanan sunnah seperti kismis dan kacang badam itu tidak bagus untuk minda?

Persoalan ini perlu kita halusi keberkesanan antara Examo dan makanan sunnah. Saya tidak mengatakan makanan sunnah ini adalah tidak bagus. Kismis sebenarnya adalah baik untuk minda tetapi tidak baik untuk penghidap kencing manis. Masalah kacang badam pula ialah ia memberikan kesan jerawat dan sudah tentu pelajar-pelajar sekolah tidak mahu masalah ini berlaku pada mereka.

Sebenarnya, makanan kismis dan kekacang badam ini perlu melalui proses penghadaman perut dan khasiatnya adalah sukar untuk sampai ke otak. Berbanding dengan Examo di mana ubat minda ini hanya perlu dikemam sahaja di lidah ataupun bawah lidah. Kesannya ialah khasiat Examo ini mampu diserap terus masuk ke saluran darah melalui lidah dan sampai ke otak. Hebat bukan? 

Pengalaman saya sendiri ialah saya telah mengambil ubat minda Examo ini sejak saya menduduki SPM lagi yakni pada tahun 2002 dan sehinggalah saat ini saya masih bekerja masih mengambil Examo kerana manfaatnya kepada saya dan bukannya isu untuk menolong bisnes orang Melayu. Ia sebenarnya memberi kecerdasan kepada otak kita. Anda boleh rasakan perbezaan otak anda sebelum dan selepas anda mengambil Examo. Cubalah!

Wallhua’lam. 

Monday, April 27, 2020

Riba’, Hutang, dan Emas

Realiti kehidupan hari ini, kita berlumba-lumba mengejar untuk membina harta yang mampu beli dunia dan seisinya. Dalam kita mengejar untuk membina harta, kita sebenarnya sibuk membuat hutang dengan bank. Apabila disebut pinjaman bank, maka ianya tidak boleh lari daripada riba’. Dosa riba’ adalah ibarat mengisytiharkan perang terhadap Allah s.w.t. dan Rasul-Nya. Sanggupkah kita ini ingin membeli dunia ini dengan mengisytiharkan perang terhadap Allah s.w.t. dan Rasul-Nya? 

Saya tertarik dengan orang-orang yang melabur dengan bidang hartanah. Ada yang berpuluh-puluh bahkan ratusan aset hartanah yang dimilikinya. Dalam tidak sedar, mereka sebenarnya membuat pinjaman bank sehingga ratusan juta untuk membina aset hartanah ini. Apakah kita perlu menjalankan urusan riba’ ini semata-mata untuk memiliki aset hartanah ini? 

Akan tetapi, al-Quran tidak melarang kita untuk berhutang untuk mendapatkan sesuatu. Akan tetapi, dalam hal berhutang al-Quran juga menetapkan tatacara kita untuk berhutang seperti perlu ada saksi dan sebagainya. 

Tetapi dalam al-Quran juga ada menyebut mengenai emas. Emosi manusia ini adalah terikat dengan emas. Firman Allah s.w.t. dalam Surah at-Taubah ayat 34, “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya di jalan Allah, maka huruf kabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” Di sini, Allah s.w.t. memberi amaran kepada sesiapa yang liat untuk membayar zakat emas mahupun perak. Akan tetapi, menyimpan emas itu tidak salah selagi mana kita membayar zakat sekiranya cukup haul dan nisab.

Dalam kehidupan ini, kita mempunyai dua cara untuk membina harta iaitu cara yang dimurkai Allah s.w.t. atau yang diredhai oleh-Nya. Pilihan terletak di tangan kita bagaimana kita untuk membina harta.

Wallahua’lam.

Friday, April 24, 2020

Tip Membeli Emas Harga Murah Melalui GAP

Harga emas akan naik dari semasa ke semasa memandangkan emas merupakan komoditi yang bernilai sepanjang zaman. Kita tidak akan merasakan emas itu sebagai barang yang murah kerana ianya mempunyai ekuiti yang tersendiri. Apa yang lebih penting lagi ialah emas ini tidak boleh dicipta melainkan seorang hamba Allah yang dikenali sebagai Qarun telah diajar oleh Nabi Musa a.s. dengan ilmu untuk membuat emas. Hebat bukan?

Baiklah, saya ingin berkongsi tip mengenai cara untuk mendapatkan emas di bawah harga pasaran. Program ini dikenali sebagai Gold Accumulation Programme (GAP) di bawah Public Gold. Melalui program GAP ini, anda boleh membeli emas di bawah harga pasaran. Contohnya adalah seperti berikut:

Harga emas GAP: RM259 emas segram

Harga emas semasa: RM290 segram.

Jika kita melihat harga emas di atas pada hari ini (24 April 2020), harga emas GAP ini adalah lebih murah berbanding harga pasaran sebanyak RM31 bagi setiap gram. Oleh itu, ada baiknya anda membeli emas melalui akaun GAP ini. Jika anda membeli 10 gram emas, anda telah Berjaya menjimatkan wang anda sebanyak RM310. Hebat bukan?

Anda jangan bimbang. Akaun GAP ini boleh ditop up sekurang-kurangnya RM100 setiap kali transaksi. Selepas akaun anda ini mempunyai jumlah gram tertentu, anda boleh tebus akaun emas GAP ini di mana-mana kedai emas Public Gold. Ianya akan dikenakan kos premium bergantung kepada jenis bentuk emas fizikal yang ingin anda ambil. Biasanya adalah antara RM10-RM250 (bagi emas 1 kg). Anda jangan bimbang kerana program GAP ini adalah patuh shariah.

Sekiranya anda belum mempunyai akaun GAP, anda boleh berdaftar dengan https://www.publicgold.com.my/index.php/login secara online. Anda boleh masukkan nama saya sebagai intoducer (Wan KAMARUL ARIFFIN bin Wan Ahmad - PG00216364). WhatsApp saya (012-952 0701) untuk pertanyaan.

Sekian, terima kasih. 



Wednesday, April 22, 2020

Erdorgan di Mata Rakyat Turki

Recep Tayyip Erdorgan bukan nama asing dalam dunia politik antarabangsa. Beliau dikenali dan dihormati oleh dunia Islam dan dibenci dan dimusuhi oleh dunia Barat. Beliau dianggap sebagai hero dunia Islam kerana dianggap berusaha untuk menghidupkan semula imej Daulah Uthmaniyah dengan memberi bantuan kepada negara-negara umat Islam atau membela nasib umat Islam yang menjadi kaum minoriti dalam sesebuah negara yang bukan Islam.

Beliau dilahirkan pada 26 Februari 1954 di Istanbul dan merupakan Presiden Turki ke-12 dan pernah menjawat jawatan Perdana Menteri Turki selama 12 tahun. Sebelum itu beliau pernah menjawat jawatan Datuk Bandar Istanbul dari tahun 1994 sehingga 1998. Pada tahun 2001, beliau telah menubuhkan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang menyaksikan kemenangan demi kemenangan dikecapi sejak dari tahun 2002 sehingga ke hari ini.

Walaupun beliau dianggap sebagai singa dunia Islam oleh masyarakat Islam di luar Turki termasuk Malaysia sendiri, namun ianya berbeza dengan pandangan rakyat Turki sendiri terhadap beliau. Beliau disebut pengkhianat kerana melanggar tiga prinsip perlembagaan Turki iaitu Kemalisme, Sekularisme, dan Modenisme yang berkiblatkan Ataturk dalam membentuk sebuah negara Republik Turki. 

Beliau sebenarnya bertindak zalim terhadap musuh-musuh politiknya dan seorang penentang kebebasan dalam bersuara. Di samping itu, beliau juga sering menindas kaum Kurdi yang tinggal di Turki. 

Sebenarnya, kemenangan Parti AKP pada setiap kali pilihan raya Turki adalah tertumpu kepada di kawasan-kawasan yang didominasi oleh kota-kota yang kurang membangun dan bersifat konservatif dan tewas di kota-kota yang lebih maju khususnya yang terletak di perairan laut seperti Izmir dan Antalya. Sehingga kini, Izmir hanya diperintah oleh Parti CHP yang diasaskan oleh Ataturk dan rakyat Izmir berbangga dengannya. 

Di Turki sendiri rakyatnya kurang mendapat berita mengenai kepincangan dan rasuah yang berlaku dalam kerajaan pimpinan Erdorgan. Orang-orang yang mendapat maklumat yang terhad kepada akhbar-akhbar tempatan, blog-blog atau laman internet tertentu pasti akan mengangkat Erdorgan setinggi langit. Para media yang mendedahkan kepincangan kerajaan akan disaman, diselar, dan tidak kurang daripada itu ‘spy’ akan dihantar bagi memerhatikan gerak-geri mereka sepertimana yang berlaku kepada wartawan-wartawan akhbat Todays Zaman, Ahmet Dönmez, Taraf Daily, dan Baransu. Kadang-kadang kerajaan Turki juga menutup laman Youtube, Twitter, dan Facebook bagi menghalang orang ramai mengetahui mengenai kepincangan kerajaan mereka. 

Di manakah kedudukan Erdorgan sebenarnya? Pelbagai berita yang disensasikan oleh pihak yang berbeza mengenai Erdorgan. Jika Erdorgan sudah berada di landasan yang betul, kita berharap beliau boleh mengemudi negara Turki pada masa sekarang dan juga pada masa hadapan.

Wallhua’alam. 

Monday, April 20, 2020

Penerbitan Jurnal oleh Golongan Wanita Sewaktu Perang Dunia Pertama (WWI)

Ketika Perang Dunia Pertama (WWI) meletus, ianya memberi kesan kepada golongan wanita yanng aktif menerbitkan jurnal yang tinggal di dalam Daulah Uthmaniyah. Di Mesir umpamanya penerbitan jurnal jatuh merundum kerana kenaikan harga bahan mentah. Penerbit jurnal yang terkenal iaitu Kadınlar Dünyası (Dunia Wanita) yang mempunyai 3,000 orang pelanggan terpaksa menggantung penerbitannya selama 4 tahun berturut-turut sewaktu peperangan meletus bukan sahaja disebabkan oleh kenaikan barang malah kolumnis-kolumnis jurnal ini juga terpaksa menyumbangkan usaha mereka dalam peperangan. 

Para kolumnis ini juga ada yang merupakan pengasas dan ahli persatuan Osmanlı Müdafaa-i Hukuk-u Nisvan Cemiyeti (Persatuan Ottoman untuk Melindungi Hak Kaum Wanita) berpendapat adalah lebih penting kepada mereka untuk menyumbang tenaga mereka kepada negara ketika peperangan meletus seperti menjadi jurawat dan sebagai daripada menulis artikel-artikel berkala ketika ini. Bagi golongan intelek wanita ketika ini, usaha menyelamatkan negara adalah lebih penting ketika ini. 

Ada golongan wanita yang melibatkan diri dalam pelbagai persatuan kebangsaan bagi menyumbang tenaga mereka kepada negara ketika perang antaranya iala Donanma Cemiyeti (Persatuan Angkatan Laut), Müdafaa-i Milliye Cemiyeti (Persatuan Pertahanan Kebangsaan), dan Hilal-i Ahmed Cemiyeti (Persatuan Bulan Sabit Merah) dan menyebabkan pertubuhan-pertubuhan kaum wanita tidak buat sementara waktu ketika perang. 

Sumber: Serpil Atamaz, “Call to the Rescue: World War I through the Eyes of Women” dlm. M. Hakan Yavuz dan Feroz Ahmad, War and Collapse: World War I and The Ottoman State, (Salt Lake City: The University of Utah Press).

Tuesday, April 7, 2020

Ulasan Buku: Forensik Kewangan


Minat saya terhadap ilmu kewangan sebenarnya ketika saya berumur 20-an. Apabila saya telah berusia 30-an minat terhadap ilmu kewangan semakin berkurangan. Ditambah pula dengan status kewangan saya yang semakin stabil (Ehem...Ehem..). Bukan apa. Apabila disebut mengenai ilmu kewangan, mana-mana buku pun akan membincangkan dan tidak lari daripada menyebut mengenai empat perkara Utama iaitu pendapatan, simpanan, perbelanjaan, dan hutang. Perkara-perkara ini membuatkan saya semakin jemu mengenai ilmu kewangan. 

Baiklah, berbalik kepada buku mengenai Forensik Kewangan. Buku ini sebenarnya dicadangkan oleh sahabat saya untuk membacanya. Dan telahan saya betul apabila membaca buku ini dan ianya tidak lari daripada empat perkara Utama yang saya sebutkan di atas. Penulis buku ini sebenarnya telah berkecimpung lama dalam ilmu kewangan dan sedikit sebanyak buku ini menyediakan kes-kes individu yang meminta nasihatnya untuk menyelesaikan masalah hutang dan seterusnya menstruktur semula kewangan. Kadang-kadang banyak nombor ringgit yang ditunjukkan untuk menyelesaikan masalah hutang membuatkan saya pening untuk memahami contoh penyelesaian hutang yang diberikan. Dan saya hanya membelek sahaja helaian berikutnya jika terasa pening.

Saya tertarik dengan buku ini yang menyatakan bahawa siapa kawan kita pada hari ini sebenarnya menentukan berapakah jumlah harta kita pada masa hadapan. Bak kata hadis, berkawan dengan penjual minyak wangi dan pembuat bijih besi sebenarnya membentuk masa hadapan kita dari sudut kewangan. Begitu juga dengan apa buku yang kita baca hari ini sebenarnya membentuk kita pada masa hadapan.

Dalam kewangan, kita sebenarnya perlu memfokuskan kepada pembinaan harta dan bukannya simpanan. Apabila disebut harta, maka kita perlu faham bahawa sesuatu itu mempunyai nilai dan ekuiti. Dengan kata lain, nilainya meningkat dari semasa ke semasa. Harta ini terpulang kepada kita apakah matlamat kita hendak kumpul sebenarnya. Tidak kiralah hartanah, emas, dan sebagainya. 

Cara menyelesaikan masalah hutang dalam buku ini adalah menggunakan kaedah snowball. Saya pun tidak pernah mendengar perkataan snowball itu sendiri. Maksudnya ialah menggunakan duit lebihan kita untuk menambah bayaran hutang bulanan kita. Bukannya menyelesaikan masalah hutang dengan gali lubang tutup lubang. 

Pendek kata, anda boleh memiliki buku ini jika anda ingin menyelesaikan masalah kewangan anda. Sedikit sebanyak saya fikir ianya boleh membantu mana-mana individu yang mempunyai masalah hutang yang bertimbun.

Wallhua'lam.

Monday, April 6, 2020

Ulasan Buku: Hari Itu Sudah Berlalu



Alhamdulillah, saya berjaya menghabiskan bacaan buku ini dari kulit hadapan hingga ke kulit belakang buku ini. Bukan senang orang sibuk seperti saya (perasan la tu) untuk menghabiskan bacaan sesebuah buku. Al-maklum sahajalah, bila sudah berkeluarga ditambah pula dengan kesibukan di tempat kerja menyebabkan keutamaan untuk membaca buku dalam kamus kehidupan sehari perlu kadang-kala diketepikan.

Memetik kata-kata ulama tersohor Syria iaitu Sheikh Abdul Fatah Abu Zunjah, “Barangsiapa yang tidak menghabiskan bacaan dari awal hingga akhir sesuatu kitab, maka dia tidak akan menjumpai rahsia kita tersebut.” Saya sengaja menghabiskan bacaan buku tulisan Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin kerana saya sentiasa mengikuti tulisan beliau di blog beliau sebelum meninggal dunia. Buku Allahyarham Zainuddin Maidin yang bertajuk Hari Itu Sudah Berlalu merupakan koleksi himpunan tulisan beliau dalam Mingguan Malaysia sebelum ini dan buku ini sebenarnya sudah lama diterbitkan iaitu sejak tahun 2011 lagi.

Memetik kata-kata Zam sendiri, “Wartawan adalah saksi sejarah.” merupakan resipi terpenting apabila saya mengikuti apa-apa tulisan Zam ini. Pengalaman beliau yang amat berharga apabila sentiasa berdamping dengan orang-orang kenamaan sebagai seorang wartawan memberikan beliau peluang tidak ternilai apabila menulis sesuatu perkara khususnya ketika Tanah Melayu mula-mula mencapai kemerdekaan pada tahun 1950-an. 

Di awal buku ini banyak mengisahkan mengenai Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman. Penceritaan buku ini pada awalnya adalah berkisar mengenai cabaran dan gelora politik Tanah Melayu di awal kemerdekaan. Antaranya ialah cabaran konfrontasi yang dilancarkan oleh Indonesia ketika di awal penubuhan negara Malaysia. Di samping itu, Zam juga menceritakan sikap bersahaja Tunku Abdul Rahman apabila menemubual beliau untuk memastikan beliau sebagai orang yang penting apabila menemu-ramah beliau.

Gambaran yang dinyatakan oleh Zam bahawa Tunku pandai berjoget ialah, “Sesungguhnya Tunku sangat pandai menari. Tariannya berseni dan indah, lenggang tangan dan langkah kakinya dalam rentak perlahan dan rentak pantas beronggeng atau inang adalah luar biasa, yang sukar untuk dilihat seumpamanya sekarang ini.” Apa yang lebih menarik ialah ada seorang anggota parlimen PAS dari Parit Perak, Hashim Gera mahu mengikuti jejak Tunku berjoget dalam suatu majlis keraian anggota parlimen di parlimen pada awal tahun 70-an, beliau telah disingkirkan oleh PAS dari parti setelah gambarnya tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia

Antara yang menarik buku ini ialah Zam turut membuat kupasan mengenai sebuah buku yang bertajuk Man In White: The Untold Story of Singapore’s Ruling Political Party (Lelaki Berpakaian Putih: Kisah Pemerintah Singapura yang Tidak Pernah Diceritakan). Buku ini sebenarnya menceritakan pementasan semula drama politik Singapura pada awal kebangkitan antikolonialis British. Buku ini ditulis oleh tiga orang wartawan The Straits Times iaitu Sonny Yap, Richard Lim, dan Leong Weng Kam. Ketiga-tiga mereka dibantu oleh empat orang penyelidik yang mewawancara lebih 300 orang termasuk pejuang-pejuang kiri seperti A. Samad Ismail, Said Zahari, Dominic Putucheary, dan S. Woodhull. 


Zam Ketika Berada di London pada Tahun 1970-an.


Dalam buku ini terdapat sebuah bab yang bertajuk “Malay Heroes Who Changed History” yang menyebut beberapa orang Melayu yang sekiranya mereka meninggalkan PAP seperti dilakukan oleh 13 anggota Dewan Undangan Singapura dari PAP (12 Cina dan seorang India) pada tahun 1961 dengan menyertai Barisan Sosialis, maka tidak wujud Singapura seperti hari ini. Sekiranya mereka menang atau dibeli oleh UMNO, besar kemungkinan Singapura akan menjadi negeri yang ketinggalan dalam Malaysia. Antara wira Melayu yang disebut dalam buku ini ialah Rahmat Kenap, Yaacob Mohamed, Buang Omar Junid, Mahmud Awang, dan Mohamed Ariff Suradi. 

Setelah peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 meletus di Tanah Melayu, berbagai-bagai cadangan yang diutarakan kepada Tunku bagi menyelesaikan kemelut yang timbul. Terdapat seorang pemimpin PAS yang mencadangkan kepada Tunku supaya kerajaan mengambil semua kedai orang Cina kerana inilah masanya. Namun, cadangan ini ditolak mentah-mentah oleh Tunku atas alasan apakah kita ingin mengambil hasil usaha orang lain  yang berusaha keras di samping sikap orang Melayu sendiri yang tidak pandai berniaga. Sebahagian besar orang Melayu ketika itu mahukan tentera mengambil kesempatan daripada peristiwa 13 Mei untuk mengambil alih kuasa dan merampas semua harta orang asing untuk menjamin kuasa Melayu tetapi pemikiran ini bukan sahaja tidak ada dalam kalangan pucuk pimpinan UMNO malah kalangan angkatan tentera sendiri. 

Zam juga menceritakan mengenai hubungan peribadi beliau dengan seniman agung Allahyarham P. Ramlee. Sebenarnya, selepas 10 tahun selepas kematian P. Ramlee, perbincangan mengenai cara atau kaedah masih diperbincangkan dan diperdebatkan di media massa sama ada oleh pemimpin politik, budayawan, dan sasterawan. Malah pelbagai jawatankuasa telah ditubuhkan bagi membina kenangan abadi kepada seniman agung P. Ramlee. Akhirnya, usaha untuk memperingati seniman agung ini akhirnya dicadangkan oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu (Tun) Dr. Mahathir. Kaedahnya ialah menukar nama sebuah jalan utama di kawasan perdagangan mahal di ibu kota iaitu Jalan Parry kepada Jalan P. Ramlee. Perkara diumumkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Dr. Elyas Omar pada 6 Julai 1983. 

Zam juga menceritakan mengenai pengalamannya ketika berada di Kota London pada tahun 1970-an. Ketika itu, Zam dapat melihat kebanjiran orang India ke London pada awal tahun 70-an yang dihalau oleh Presiden Idi Amin dari Uganda kerana mereka dianggap sebagai golongan peniaga yang memeras dan menindas rakyat tempatan di negara Afrika itu. Kerajaan British terpaksa menerima mereka kerana British bertanggungjawab membawa mereka masuk ke Uganda semasa zaman penjajahannya. 

Komuniti India yang berhijrah ke London menjalankan pelbagai perniagaan tetapi mereka kurang menghormati atau mengikuti tradisi orang Inggeris. Mereka tidak menutup kedai pada hari minggu atau pada setiap pukul 5 petang seperti kedai-kedai orang Inggeris tetapi membukanya hingga larut malam, malah sekalipun telah menutup pintu kedai mereka, mereka akan membukanya jika diketuk oleh pelanggan. Berlainan orang Afrika yang berhijrah ke kota London. Mereka tidak menunjukkan sifat keusahawanan malah mereka lebih suka membuang masa, berpeleseran, bersuka ria, minum arak hingga mabuk, berjudi dan terlibat dengan aktiviti jenayah.

Sebenarnya, orang-orang asing yang berhijrah ke London ini bukanlah pelajar tulen yang mengikuti pengajian di institusi-institusi pengajian swasta di London. Mereka sebenarnya ingin mendapatkan peluang pekerjaan di London kerana peluang pekerjaan banyak di sini. Mereka hanya menghadiri kelas kurang dari seminggu dan kemudian hilang pergi bekerja di tempat lain. Sekolah-sekolah swasta tidak begitu mengambil berat tentang ketidakhadiran pelajar mereka asalkan yuran dibayar. 

Keterujaan Zam untuk ke Kota London selepas menamatkan kursus di Berlin Institute of Journalism selama tiga bulan dari Januari hingga Mac 1969 adalah tidak seperti ketika beliau melawat Rom, Amsterdam, Brussel, Denmark, dan Paris sebelum ke London. Menurut Zam, “Mungkin ini perasaan anak tanah jajahan British yang sejak kecil sudah mendengar cerita negara tuannya. Perasaan ini mungkin tidak ada lagi pada generasi baharu kerana pendedahan mereka yang lebih luas kepada dunia luar sebagai anak merdeka.” 

Sambung beliau lagi, “Anak merdeka juga sudah mengetahui dan merasakan bahawa Kuala Lumpur lebih hebat dari Kota London dari segi pemodenan, jalan raya, pusat membeli-belah dan sebagainya tetapi saya datang dari Malaysia yang ketika itu masih jauh ketinggalan daripada kota-kota maju di dunia malah masih merasakan negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan negara Asia lainnya seperti India, Sri Lanka dan Hong Kong adalah lebih baik dari Malaysia.”

Di samping itu, Zam juga menceritakan pengalamannya ketika melawat negara-negara Komunis apabila mengikut Perdana Menteri ketika melakukan lawatan. Antara tahun 1977 hingga tahun 1989, sebagai wartawan beliau telah melawat Burna, Republik Rakyat China, Yugoslavia, Romania, Iraq, dan Libya. Apabila beliau mengikuti Perdana Menteri Tun Hussein ke Republik Rakyat China pada Mei 1979, rombongan belia telah dibawa melawat ke rumah ibadat orang Cina di mana kelihatan orang bersembahyang dengan membakar gaharu tetapi beliau kemudian mendapat tahu bahawa itu hanyalah suatu lakonan untuk menangkis propaganda tidak ada kebebasan agama di negara komunis. Anak-anak muda ditugaskan untuk mengutuk orang tua-tua atau ibu bapa mereka bersembahyang. Kebanyakannya bersembahyang secara sulit.


Zam Ketika Berada di Belgrade Sewaktu Mengikuti Persidangan NAM, 1989.

Ketika beliau bersama rombongan kerajaan Malaysia ke Libya, rombongan Malaysia yang lapar setelah kembali daripada mengikuti program lawatan Dr. Mahathir telah menyerbu ke ruang kopi untuk minum dan makan tetapi mereka kemudian diberitahu bahawa makanan akan dihantar ke blik masing-masing, tetapi setelah menunggu sekian lama tidak juga datang. Rombongan ini kemudian diberitahu bahawa makanan akan dihantar pada waktu makan. Berlainan dengan sosialisme Arab di Iraq adalah lebih baik daripada negara-negara lain sekalipun Presiden Saddam Hussein menjalankan pemerintahan kuku besi. Rakyatnya kelihatan cukup makan dan pakai, dan mereka bebas untuk membeli-belah di kedai-kedai yang barang-barang keperluannya melimpah. Mereka juga memenuhi kedai-kedai makan yang suasananya kelihatan meriah. 

Menurut Zam, pegawai-pegawai rendah di negara komunis adalah ibarat robot yang mengikut sahaja arahan yang telah diprogramkan. Mereka akan mengambil kesempatan sepenuhnya untuk makan dan minum bersama-sama dengan para tetamu negara kerana itulah kesempatan bagi mereka untuk menikmati minuman keras dan makanan yang baik.

Tambah Zam lagi, keadaan rakyat yang tertindas di negara-negara Eropah Timur adalah lebih teruk dari negara China. Yang paling dahsyat dan menyedihkan ialah di Romania yang boleh menimbulkan rasa benci kepada Presidennya, Nicolae Ceusescu dan dasar keras negaranya. Berada di rumah kediamannya yang mewah dan penuh dengan ukiran yang mahal adalah berlainan sama sekali dengan kehidupan rakyat jelatanya yang tinggal di bandar Bucharest. Mereka berbaris panjang untuk mendapatkan sebiji roti walhal roti pun belum pasti ada. Jika seorang berbaris maka semuanya akan turut berbaris.


Zam menyatakan apabila beliau bertegur sapa dengan orang di jalanan, mereka akan lari atau mengelakkan diri daripada rombongan beliau. Beliau kemudian mendapat tahu kemudiannya sesiapa yang dilihat berkomunikasi dengan orang asing akan ditahan dan disoal siasat oleh polis. Pada malam ketibaan beliau di Bucharest yang suram, rombongan beliau telah dihidangkan dengan stik lembu dan air lemonade yang tutup botolnya berkarat. Daging melengkung di atas pinggan dan amat keras kerana telah berbulan-bulan berada dalam peti sejuk untuk hidangan kepada tetamu.

Apabila rombongan Zam memberikan tip dengan USD kepada operator teleprinter yang menghantar berita mereka ke Malaysia, dia tidak mahu menerimanya sebaliknya meminta rokok daripada mereka tetapi setiap batang rokok yang diberi disimpan dan tidak dihisap. Apabila ditanya mereka menyatakan bahawa 10 batang rokok dia boleh jadikan bayaran untuk menemui doktor. Memiliki wang asing adalah salah dan akan ditangkap. 

Ini adalah sebahagian daripada penceritaan saya apabila membaca buku Zainuddin Maidin yang bertajuk “Hari itu Sudah Berlalu” dan beliau sendiri pun telah berlalu pergi buat selama-lamanya. Ini adalah sebahagian perkongsian yang saya menarik untuk ditulis di sini. Lenggok bahasa yang lain daripada yang lain serta kaya dengan pengalamannya sebagai wartawan tidak membuatkan saya bosan untuk menyelak helaian demi helaian apabila membaca buku beliau ini. 

Wallhua’lam.