Monday, December 23, 2019

Apabila Parti Politik Mengharapkan Kelemahan Pihak Lawan Untuk Menguasai Pentadbiran Negara

Sebelum PRU-14, boleh dikatakan bahawa semua rakyat Malaysia berharap agar Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad dapat menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak. Dengan tertubuhnya kerajaan baharu di bawah pimpinan PH, ramai berharap agar kerajaan baharu ini adalah lebih baik daripada kerajaan BN yang telah dianggap sebagai kerajaan kleptokrasi. 

Namun, harapan tinggal harapan dan janji tinggal janji. Rakyat Malaysia yang mengharapkan agar kerajaan PH yang menggantikan kerajaan BN sebelum ini dapat memperbaiki taraf kehidupan mereka agar lebih baik rupa-rupanya menjadi sebaliknya. Ekonomi sekarang terus merudum dan kos sara hidup terus naik dari semasa ke semasa. Orang miskin pula dihina oleh Perdana Menteri dengan menyatakan bahawa orang miskin adalah malas berusaha dan mereka sebenarnya mempunyai banyak masa untuk berusaha. 

Lagak pemimpin-pemimpin PH terutamanya yang telah menjadi menteri dilihat kuat bermain wayang politik daripada membuat kerja-kerja mereka untuk menjaga kesejahteraan rakyat. Kenyataan-kenyataan para menteri PH terutamanya di media sosial pula menunjukkan tahap daya intelek mereka yang masih rendah yang seolah-olah mereka ini masih pembangkang. Ditambah pula mereka membuat perkara-perkara yang sepatutnya yang dilihat sebagai isu remeh-temeh seperti membuat perasmian lif dan yang terbaru ialah merasmikan lampu isyarat baharu yang belum pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin BN sebelum ini.

Bagi saya, ianya boleh dimaafkan sekiranya kerajaan Pakatan Harapan tidak mampu untuk menunaikan janji-janji mereka dalam manifesto pilihanraya. Akan tetapi, pemimpin-pemimpin bukan Islam terutamanya kerap memainkan isu-isu perkauman yang kadang-kala menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu. Sentimen agama dan kaum dimain-mainkan setelah orang-orang bukan Melayu ini memegang tampuk kuasa. Sentimen yang kononnya orang-orang DAP ini bukan anti-Melayu atau anti-Islam sebenarnya hanyalah sekadar topeng untuk memancing undi orang-orang Melayu sebelum PRU. Akan tetapi, setelah mereka berkuasa, habis kepala orang-orang Melayu dipijak oleh mereka. Nah, inilah keparat orang DAP!

Hari ini rakyat Malaysia pun masih dalam ketidakketahuan yakni siapakah sebenarnya yang membuat keputusan hala tuju ekonomi negara? Adakah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Menteri Kewangan, Pejabat Perdana Menteri, ataupun bekas ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP)? 

Sebelum PRU-14 atau sebelum tahun 2018, sekiranya ada mana-mana PRK diadakan di mana-mana kawasan parlimen sama ada disebabkan kematian seseorang penyandang atau sebab-sebab lain, maka sudah tentu kemenangan ini akan berpihak kepada pembangkang ketika BN masih berkuasa ketika ini. Fikiran masyarakat ketika ini ialah BN adalah parti rasuah dan pemimpin-pemimpin mereka pun makan rasuah dan oleh itu mereka mesti ditumbangkan walaupun dalam PRK. 

Ketika ini, para pemimpin pembangkang mendapat laba yang besar hasil daripada kelemahan para pemimpin BN sendiri yang kuat makan rasuah. Trend ini berterusan sehinggalah menjelang PRU-14 apabila kerajaan BN yang didominasi oleh orang-orang Melayu tersungkur jatuh setelah mandatnya ditarik oleh rakyat melalui peti undi pada 9 Mei 2018. 

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, harapan hanyalah tinggal harapan kepada kerajaan baharu ini yang kononnya dapat memperbaiki taraf hidup rakyat. Kelemahan kepimpinan kerajaan PH pula memberi laba yang besar pula kepada parti politik BN dalam empat PRK terakhir ini di mana BN telah memenangi bagi PRK Rantau, Cameron Highlands, Semenyih, dan terbaru sekali ialah Tanjung Piai di mana BN memenangi majoriti 15,086 undi. 

Jika kita melihat trend empat PRK terakhir ini, ianya bukan disebabkan oleh kekuatan BN sendiri yang mana rata-rata pemimpinnya sendiri masih terpalit dengan perbicaraan isu-isu rasuah yang masih berlangsung di mahkamah. Hakikat yang perlu kita terima ialah kemenangan BN ini sebenarnya ialah kemarahan rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan yang gagal menjaga kebajikan dan kesejateraan mereka ke arah yang lebih. Dan yang pasti ialah bukannya BN sebenarnya yang kuat!

Jika keadaan atau trend ini terus berlaku, apakah yang kita masih harapkan kepada pemimpin-pemimpin parti politik pada hari ini baik di pihak pembangkang ataupun pihak kerajaan? Andaikata BN boleh memenangi PRU-15 akan datang sekalipun, mungkinkah para pemimpin BN ini boleh menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat lebih baik daripada hari ini? Dan yang lebih penting lagi, adakah para pemimpin BN ini terjamin daripada amalan makan rasuah selepas PRU-15 andaikata mereka berkuasa semula setelah tersungkur dalam PRU-14 yang lalu? Jika BN memenangi semula pilihanraya akan datang dan gagal menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat, adakah kita sebagai rakyat Malaysia akan menyokong Pakatan Harapan semula untuk PRU-16 pula? Sekiranya keadaan ini terus berlaku, hala tuju masyarakat ataupun negara kita tidak ke mana kerana sering dimomok dengan politik yang tidak berkesudahan.

Bak kata Saidina Ali Abi Talib, “Sekiranya hari ini lebih baik dari hari semalam, maka berbahagialah orang itu. Sekiranya hari ini adalah sama dengan hari semalam, maka sia-sialah orang itu. Sekiranya hari ini lebih buruk dari semalam, maka celakah orang itu.”

Di manakah hala tuju dan kedudukan kita sebagai rakyat Malaysia sebenarnya?

Wallhua’lam. 

Saturday, December 14, 2019

Perbezaan Ijma’, Jumhur, dan Khilaf



Di dalam ilmu matematik, hukumnya tidak akan bertentangan antara satu sama lain dan tidak ada 2 kebenaran dalam satu-satu masa. Berbeza pula dalam sudut ilmu fekah, kerana hukumnya berbeza-beza dan boleh terdapat lebih daripada satu kebenara dalam satu-satu masa. 

Sepertimana yang kita ketahui, di dalam Islam terdapat empat mazhab utama iaitu mazhab Shafie, Hanafi, Hambali, dan Maliki. Mereka mempunyai pendapat yang berlainan dalam menetapkan sesuatu hukum fekah. Dengan sebab perbezaan pendapat ini, maka timbullah istilah ijma’, jumhur, dan khilaf.

Apakah perbezaan antara ijma’, jumhur, dan khilaf ini sebenarnya?

Baiklah jika sesuatu hukum yang dikeluarkan itu adalah ijma’ ulama’, maka keempat-empat mazhab ini bersetuju dengan sesuatu hukum tersebut. Contohnya ialah jika seseorang itu bercerai dengan talak tiga dengan isterinya, maka keempat-empat mazhab ini bersetuju bahawa perceraian ini tidak boleh dirujuk balik. 

Bagaimana pula dengan jumhur ulama’? Jumhur ulama’ bermaksud daripada keempat-empat mazhab ini, 1 mazhab sahaja tidak bersetuju dengan sesuatu hukum manakala 3 mazhab lagi bersetuju dengan hukum tersebut. 

Manakala khilaf pula, ialah 2 mazhab bersetuju dengan sesuatu hukum manakala 2 mazhab lagi tidak bersetuju dengan hukum tersebut.

Wallahua’lam.