Tuesday, September 29, 2015

Ada Baiknya Kita Ditadbir oleh British


Sesebuah syarikat kebiasaannya akan dihancurkan oleh cucu pendiri syarikat tersebut. Si datuk membina syarikat tersebut. Kemudian, apabila syarikat semakin stabil dan menempah nama di persada negara, maka si datuk tersebut kebiasaannya akan meninggal dunia dan mewariskan syarikat itu kepada si anak. Si bapa pula meneruskan urusan syarikat tersebut sepertimana si datuknya menguruskan syarikat. Apabila si bapa meninggal dunia, maka si cucu pula menjadi pewaris syarikat tersebut. Malangnya, si cucu tidak pandai menguruskan syarikat tersebut kerana biasa hidup senang. Apa yang si cucu tahu buat ialah menggulung duit syarikat itu untuk dibuat rokok.

Begitu juga dengan negara kita Malaysia pada hari ini. Pemimpin generasi awal-awal kemerdekaan bertungkus-lumus mendapat kemerdekaan daripada British. Apabila negara telah mencapai kemerdekaan, tanah air ini ditadbir sebaik mungkin. Lihat sahaja Tun Abdul Razak yang telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) langsung tidak mengambil wang negara walaupun satu sen. Malangnya, anaknya Mohd. Najib yang mentadbir negara seolah-olah menjadikan hasil mahsul negara ini sebagai mesin ATM peribadinya. Tidak kurang daripada itu, beliau telah kantoi dengan isu RM2.6 bilion masih menipu rakyat yang dianggapnya sebagai budak tadika dengan mendakwa wang tersebut sebagai wang derma.

Apa sudah jadi masyarakat kita pada hari ini? Fitnah-memfitnah juga sudah menjadi makanan pemimpin pada hari ini. Sesiapa yang pandai membuat cerita panas dialah juara. Ada baiknya kita ditadbir oleh British. Semasa Tanah Melayu di bawah pentadbiran British, kita mungkin atau langsung tidak pernah mendengar seseorang pemimpin politik memfitnah pemimpin lain sewaktu penjajahan British.

Benar kata-kata Sukarno yang mengatakan, “Perjuanganku adalah lebih senang kerana menentang bangsa asing manakala perjuanganmu adalah lebih sukar kerana menentang bangsamu sendiri.” Hakikatnya pada hari ini, persaingan sesama bangsa adalah lebih sukar untuk merebut takhta pemerintahan. Semua bercakap macam pejuang sebelum mendapat kuasa tetapi apabila sudah mendapat kuasa semua janji sukar untuk tunaikan. Umpamanya pembangkang ingin bergegar-gegar ingin memberi pendidikan universiti percuma tetapi janji memberi pendidikan tadika percuma pun masih belum disempurnakan.

Semasa pentadbiran British juga isu anak luar nikah mungkin atau hampir tiada kedengaran. Pada hari ini, isu anak luar nikah sudah menjadi perkara biasa. Anak yang ditangkap basah (Nauzubillah) boleh disiarkan secara langsung di dalam kotak televisyen. Adakah kita sekarang sedang menuju negara berpendapatan tinggi ciptaan Mohd. Najib atau menuju ke arah kehancuran? 

Wallahua’lam.

Friday, September 18, 2015

Solat Dhuha pun Terasa Panjang Waktunya Jika Ditunaikan Pada Awal Waktu


Antara tip murah rezeki yang ditunjukkan oleh Allah s.w.t. dalam al-Quran ialah dengan mengutamakan solat yakni menunaikan solat pada awal waktunya. Lebih-lebih menunaikan solat secara berjemaah di masjid. Jika kita menunaikan solat pada awal waktu, kita akan terasakan waktu kita akan terasa panjang.

Namun begitu, ia buka terbatas pada solat fardhu sahaja bahkan sunat seperti solat dhuha yang ditunaikan pada setiap hari jika ditunaikan pada awal waktunya sekalipun, kita tidak rasa kelam kabut bahkan merasakan waktu kerja kita masih panjang jika ditunaikan pada awal waktu. Walaupun waktu dhuha boleh ditunaikan selepas 28 minit waktu syuruk sehingga waktu Zohor, namun waktu fadhilatnya adalah sekitar jam 8 – 10 pagi.

Menunaikan solat fardhu atau sunat pada awal waktunya sebenarnya boleh menambah keberkatan masa. Harus kita fahami bahawa keberkatan masa itu bermakna pertambahan (ziyadah), kekal, dan tempoh masa yang terisi dengan kebaikan-kebaikan. Kita merasakan masa menjadi panjang dan rasa cukup untuk menyiapkan kerja-kerja dan tidak melakukan perkara yang sia-sia.

Oleh itu, tidak hairanlah kita apabila melihat seseorang itu sentiasa sibuk, mereka tetap akan berjaya menyiapkan kerja-kerja mereka walaupun berpangkat besar, anak ramai, dan sebagainya di samping menyiapkan kerja-kerja sampingan yang lain seperti menulis banyak buku, menjayakan program luar, dan sebagainya.

Justeru itu, haruslah kita menjaga perintah Allah s.w.t. dan tidak leka dengan dunia agar keberkatan sentiasa mengikuti kita. Benarlah kata-kata hadis bahawa apabila kita mengejar dunia, dunia dan akhirat akan meninggalkan kita. Jika kita mengejar akhirat, maka dunia dan akhirat akan mengejar kita.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.com

Thursday, September 10, 2015

Apabila Tentera Penakluk Kota Konstantinople Menerima ‘Derma’ Daripada Tentera Byzantine.


Orang melayu kebiasaannya menggunakan perkataan yang halus dan tampak lemah-lembut walaupun sesuatu itu pada hakikatnya sesuatu perkara yang buruk dan berdosa serta dikeji oleh agama. Contohnya ialah rasuah. Rasuah itu tidak dipanggil dengan rasuah tetapi dipanggil dengan nama yang lebih enak didengar iaitu politik wang. Ia kelihatan seolah-olah masyarakat khususnya pemimpin politik menghalalkan rasuah supaya ianya tidak nampak berdosa dengan memanggilnya sebagai politik wang.

Begitu juga dengan riba yang sudah menjadi darah daging manusia tanpa kita menyedarinya hari ini. Apabila kita membuat pinjaman tidak islamik sudah tentu pinjaman tersebut dipanggil dengan nama riba. Tetapi, masyarakat hari ini pandai spin perkataan tersebut supaya ianya tidak nampak berdosa. Nama sinonim dengan riba ialah bunga, interest, ataupun kadar faedah. Ya, kadar faedah yang dikenakan berdasarkan tempoh pinjaman diambil – makin lama makin tinggi kadar faedah dikenakan. Supaya transaksi pinjaman riba ini nampak halal walaupun hakikatnya ianya haram sebenarnya.

Sekarang nama perkataan selain rasuah ialah derma. Orang yang dituduh menerima rasuah mendakwa dirinya menerima derma sebab hidung tak mancung dan pipi pun tersorong-sorong. Mengapa kita mendapat pemimpin yang pandai buat dak atau buat muka sardin sahaja apabila mendakwa RM2.6 bilion yang diterimanya adalah merupakan suatu derma? Teruk sangatkah akhlak kita pada hari ini? Saya bertanya sebegini kerana pemimpin merupakan cerminan masyarakat – maknanya masyarakat kita pandai buat-buat muka sardin sahaja apabila menipu atau rembat duit orang.

Sysss...Ini adalah rahsia. Jika anda ingin menulis buku, tulislah buku mengenai ‘derma’ kerana sekarang ini isu ‘derma’ merupakan isu panas. Ini adalah tip yang saya perolehi ketika menghadiri kursus penulisan pada minggu lepas.

Berbalik semula kepada tajuk perbincangan kita pada kali ini. Sebenarnya, rasuah atau derma merupakan penyakit keturunan yang berada dalam sesebuah kerajaan sejak zaman-berzaman. Isu ‘derma’ di Malaysia yang berlaku pada hari ini bukanlah penyakit baru yang berlaku pada hari ini malah isu derma sudah pun berlaku sejak zaman Uthmaniyah lagi yakni ketika ingin membuka Kota Konstantinople.

Apabila sabda Nabi membenarkan pembukaan tersebut, maka berlumba-lumbalah umat Islam untuk membuka kota tersebut dengan harapan merekalah mendapat gelaran yang disebut-sebut oleh Nabi. Namun, takdir menetapkan bahawa orang yang membuka kota tersebut ialah Sultan Muhammad al-Fateh daripada Dinasti Uthmaniyah yang membuka kota tersebut pada tahun 1453 yakni selepas 800 tahun kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.

Sebenarnya, usaha untuk membuka kota tersebut sudah pun sejak zaman Sahabat lagi iaitu ketika pemerintahan Saidina Uthman bin Affan. Ketika itu, armada laut mula ditubuhkan dengan bilangannya adalah sebanyak 1,600 buah kapal untuk menjaga Afrika Utara dan menawan Kota Konstantinople. Namun misi ini pulang dengan tangan kosong kerana terkejut melihat kekebalan benteng kota ini.

Cabaran yang lebih hebat lagi ialah semasa percubaan untuk membuka kota ini pada tahun 1393 pada musim panas di bawah pimpinan Sultan Bayazid. Banyak tentera Islam yang mati kehausan ketika ini. Di samping itu, seramai 120,000 tentera Islam perlu berdepan seramai 800,000 orang tentera Byzantine dengan bantuan daripada Eropah. Namun, usaha kali ini gagal.

Usaha ini berlanjutan sehingga kali ke-10 di mana barulah tentera Byzantine dapat dikalahkan di bawah pimpinan al-Fateh. Sebenarnya, tentera al-Fateh pun ada yang menjadi musuh dalam selimut. Tentera tersebut merupakan panglima perang yang bernama Khalil Pasha yang bekerjasama dengan tentera Byzantine dengan membocorkan rahsia pengepungan tentera Islam terhadap Kota Konstantinople. Akhirnya, panglima ini dijatuhkan hukuman bunuh atas fatwa yang dikeluarkan oleh majlis agama. Namun begitu, ada pendapat lain yang mengatakan bahawa sebenarnya panglima ini dirasuah atau menerima ‘derma’ daripada pihak Byzantine.

Begitulah isu ‘derma’ yang berlaku sejak zaman-berzaman dan kurun demi kurun dari satu kerajaan kepada satu kerajaan yang lain. Alangkah malunya kita di seantero dunia apabila pemimpin kita mengaku menerima derma sebanyak RM2.6 bilion daripada seorang arab.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogpsot.com

Saturday, September 5, 2015

Usah Menunggu 30 Tahun Lagi Untuk Maju Kehadapan


Rakan saya mencadangkan supaya penulisan buku saya pada masa hadapan adalah perlu lebih tertumpu kepada pengalaman saya. Jika nak hendak diikutkan kepada pengalaman, bermakna saya perlu menunggu 30 tahun lagi untuk menulis buku. Fikir saya. Jawab saya ialah saya perlu membaca lebih banyak bahan bacaan dengan menumpukan kepada bahan-bahan bacaan yang berkualiti. Antaranya ialah dengan membaca buku-buku kewangan yang terbaik sepanjang zaman yang banyak berada di pasaran dengan menggabungkan pengalaman saya yang sedia ada.

Jika kita melihat buku Azizi Ali yang bertajuk Jutawan Hartanah, beliau menceritakan pengalamannya dalam menguruskan hartanah sejak tahun 1980-an lagi yakni sejak 30 tahun yang lepas. Wajarkah saya menunggu 30 tahun lagi untuk mengemaskini buku kewangan saya yang bertajuk ‘Biar Sedikit, Asal Diberkati’ yang sedang berada di pasaran sekarang. Sudah tentu tidak. Ini sudah tentu jalan yang paling konservatif jika betul-betul untuk mendapatkan pengalaman jika ingin mengemaskini buku tersebut. Paling lewat sekalipun, saya perlu mengemaskini buku tersebut pada 2 tahun akan datang supaya ia sentiasa segar berada di pasaran.

Apa pun memerlukan strategi. Jika dilihat sekarang. Syarikat saya bekerja sekarang perlu membayar dana Kerajaan berjumlah RM1 bilion kepada Kerajaan dalam tempoh masa 10 tahun. Namun ada yang berpendapat ianya memerlukan strategi untuk menyelesaikan hutang bagi tempoh kurang 10 tahun jika ingin memastikan syarikat ini betul-betul merdeka daripada Kerajaan walaupun terdapat kekangan dalam kewangan semasa.

Umpama hutang kereta yang mempunyai tempoh 9 tahun yang perlu dibayar kepada pihak bank. Jika kita ingin betul-betul ingin mengikut jadual bayar balik, ianya memang tiada masalah. Bagaimana pula jika kita ingin membayar hutang tersebut kurang daripada 9 tahun tanpa membuat hutang lain? Salah satunya ialah kita menambah ansuran bulanan RM50 setiap tahun. Tidak pun membayar secara lump sum jika mendapat pampasan daripada Kerajaan apabila tanah di hadapan rumah kita dilanggar untuk melebarkan jalan raya sedia ada.

Tun Dr. Mahathir telah menubuhkan banyak institut latihan untuk sektor kerajaan dan swasta contohnya INTAN, latihan kehakiman, latihan guaman, bank-bank, dan sebagainya. Ini adalah untuk melahirkan orang-orang yang mahir dalam profesion masing-masing dalam masa 1-2 tahun dengan mendapat latihan secara teratur. Tujuannya adalah untuk cat-up ataupun untuk mengejar orang-orang yang telah maju ke hadapan tanpa menunggu 10, 20, atau 30 tahun akan datang. Ini sudah tentu akan melahirkan profesional-profesional yang berkualiti dalam tempoh yang singkat.

Kita juga tidak dapat lari daripada perkara ini dalam bisnes buku. Secara normalnya, kita boleh menulis sebuah buku dalam masa satu tahun. Jika kita ingin mempercepatkan penulisan kita, kita boleh membentuk sebuah pasukan penulis bersama yang terdiri daripada 2-3 orang dengan membahagikan bilangan bab-bab tertentu bagi setiap orang untuk menyiapkan dan menghasilkan buku dengan cepat.

Apapun kita perlu mempunyai strategi untuk maju ke hadapan dengan lebih cepat tanpa mengikut jalan yang konservatif. Strategi pula perlu mempunyai perancangan yang rapi, tersusun, dan konstruktif agar matlamat kita tercapai. Insya-Allah, dengan jalan yang betul kita akan mencapai semua matlamat dalam kehidupan kita. Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.com