Sunday, July 26, 2015

Mengimbau Kembali Filem 30 Tahun Lepas


Filem Back To The Future merupakan salah satu filem yang saya selalu tonton sewaktu saya kecil dahulu. Namun, apa yang lebih menarik, saya dapat membuat penilaian sendiri apabila mula menontonnya ketika melalui dua zaman – iaitu zaman ketika saya budak-budak pada 1980-an dan zaman ketika saya dewasa kerana saya dapat membuat penilaian dan perspektif yang berbeza.

Mungkin sewaktu kita kecil apabila menonton filem ini kita hanya memerhatikan kereta yang hebat yang boleh kembali kepada masa lepas. Berlainan pula apabila kita telah dewasa di mana kita akan memahami jalan cerita, sebab musabab, mengapa ini dan itu terjadi, kepentingan watak, simbolik tempat lakonan, dan sebagainya. Pendek kata, kita dapat melihat ruang lingkup yang berbeza apabila menilai filem ini setelah dewasa. Apa yang lebih penting kita dapat melihat pemikiran pengarah filem apabila mementaskan filemnya iaitu bagaimana beliau membuat susun atur filemnya.

Filem Back To The Future 1 mengisahkan mengenai kajian Dr. Emmett Brown mengenai mesin masa yang boleh menghantarnya ke masa depan ataupun masa yang lepas. Dalam eksperimen beliau ini, Marty yang menjadi pembantunya untuk menjayakan cita-citanya ini. Mesin masa yang diciptakan oleh Dr. Emmett ini ialah sebuah kereta DeLorean yang mempunyai ‘Flux Capacitor’ yang menjadi nadi utama kereta ini yang perlu diberi kuasa elektrik sebanyak 1.21 Gigawatt dan perlu bergerak lebih daripada 88 batu per jam supaya boleh bergerak merentasi masa. Kuasa elektik ini dbekalkan dalam bentuk pluotinum. 

 Flux Capacitor Kereta DeLorean

Bermulanya babak saspen dalam filem Back To The Future 1 ini ialah apabila pembantu Dr. Emmett iaitu Marty ingin melarikan daripada serangan puak pengganas Libya dengan menggunakan kereta DeLorean. Tanpa disedari, apabila kereta mesin masa yang dipandunya melebihi 88 batu per jam, beliau (Marty) telah kembali pada tahun 1955 iaitu pada masa 30 tahun sebelumnya di mana waktu sebenar beliau berada ialah tahun 1985. Ini adalah kerana kereta mesin masa itu telah disetkan untuk kembali pada 5 November 1955.

Mahu tidak mahu beliau perlu menemui Dr. Emmett Brown pada tahun 1955 untuk memintanya menghantar semula beliau pada tahun 1985. Dr. Emmett ketika itu masih belum mencipta kereta mesin masa. Yang hanya terlintas di fikirannya pada tahun 1955 pada ketika itu ialah apabila beliau ingin mencipta ‘Flux Capacitor’ dan hanya membuat lakarannya sahaja. Beliau (Dr. Emmeett) tidak menyangka bahawa mesin masa yang dicipta oleh beliau menjadi kenyataan apabila Marty menunjukannya kereta DeLorean yang dipandunya dari tahun 1985.

Yang menjadi masalah atau punca jalan cerita ini ialah bagaimana ingin menghantar semula Marty ke tahun 1985 kerana bekalan pluotinum yang boleh menjana kuasa elektrik 1.21 Gigawatt tidak dibawa bersama. Pada tahun 1955, pluotinum masih belum wujud lagi. Mujurlah ada keratan akhbar tahun 1985 yang dibawa bersama oleh Marty menunjukkan bahawa menara jam di Hill Valley telah disambar petir pada tahun 1955.

Daripada kerata akhbar ini, Dr. Emmett mendapat idea untuk menjana Flux Capacitor kereta ini dengan kuasa petir untuk mendapatkan kuasa elektrik sebanyak 1.21 Gigawatt. Kereta yang dipandu oleh Marty dipasang pencangkuk akan melalui tali kabel yang disambung kepada menara jam tepat pada 10.04 malam apabila kilat menyambar. Ternyata perancangan Dr. Emmett ini berjaya dan Marty berjaya dihantar semula pada tahun 1985.

Filem siri-siri Back To The Future sebenarnya mengajar kita supaya menggunakan semua peluang yang ada untuk kita mencapai matlamat kita. Contohnya, dalam Back To The Future I, Dr. Emmett menggunakan peluang petir untuk menghantar semula Marty ke tahun 1985. Dalam Back To The Future III pula, Dr. Emmett menggunakan kepala kereta api yang telah bergerak untuk mendapatkan kuasa dan menolak kereta DeLorean di atas gerabak untuk menghantar semula Marty dari tahun 1885 kepada tahun 1985.

Kita juga perlu membuat lakaran minda secara kasar dalam menyusun strategi kita. Ternyata dalam filen Back To The Future I dan III, Dr. Emmettt membuat lakaran model untuk melihat gambaran kasar bagaimana kereta DeLorean boleh digerakkan untuk menghantar semula Marty pada tahun 1985.

Ternyata cerita Back To The Future ini sarat dengan strategi Dr. Emmett Brown untuk menghantar semula Marty dengan kereta mesin masa DeLorean. Strategi akan menjadi sia-sia jika tiada ketepatan masa untuk melakukan sesuatu. Ketepatan masa juga dititikberatkan juga dalam filem-filem ini. Sudah pastinya filem ini tidak mengecewakan.

http://wankamarul701.blogspot.com

Wednesday, July 8, 2015

Apapun Bakat Dahulu. Minat Nombor Dua...

Minat dan bakat sebenarnya adalah entiti yang berlainan. Jika anda minat akan sesuatu perkara, tetapi tiada bakat untuk membuat sesuatu perkara, usaha anda tidak akan menjadi dan anda tidak akan ke mana apatah lagi jika anda ingin membuat bisnes.

Bisnes tidak memerlukan modal yang besar ataupun network yang hebat walaupun mempunyai kabel yang kuat dengan mana-mana Menteri Besar atau mana-mana pengerusi syarikat. Bisnes memerlukan bakat semula jadi yang terpendam dalam diri anda.
Bagaimana anda ingin mengetahui apakah bakat terpendam dalam diri anda? Sebelum itu, anda jangan cuba mengatakan bahawa anda tiada bakat dan diri anda hanya sesuai untuk duduk di pejabat untuk membuat kerja-kerja dengan menggunakan excel dan word sahaja.
Percayalah bahawa Tuhan telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian yakni dengan menganugerahkan seseorang itu kemahiran supaya mereka boleh membuat kerja untuk mencari rezeki. Bukan hanya bergantung kepada kerja kerajaan semata-mata setelah tamat belajar mengikut gred tertentu seperti 17,41,48,56, JUSA, dan sebagainya untuk terus hidup.
Mentaliti orang kita ialah belajar tinggi-tinggi masuk universiti, kemudian lepas grad duduk dalam ofis kerja kerajaan walhal ada kemahiran-kemahiran atau bakat-bakat kita yang kita tidak perasan dalam diri kita. Kemudian, apabila bersara dapat pencen sebelum masuk kubur.
Malah, dengan menggarapkan kemahiran anda sekalipun, ianya boleh mendatangkan pulangan wang yang lumayan kepada anda. Garap kemahiran anda. Asah sehingga tajam, tambah kualiti dari semasa ke semasa, dan pastinya ianya membuahkan hasil yang menakjubkan apabila anda berbuat sesuatu.  
Caranya mungkin sukar. Pertama sekali, cuba anda lihat saudara-mara anda. Perniagaan apakah yang mereka lakukan? Adakah menternak ikan, kambing, ayam, membuat rumah, bersawah, dan sebagainya? Jika anda dapati ini, anda boleh garapkan kemahiran anda.
Seterusnya, anda boleh ikut minat anda untuk berbuat sesuatu. Mungkin anda mengatakan saya tadi silap mengatakan bahawa bakat dahulu. Kemudian, minat nombor dua. Tetapi, kali ini, anda boleh mengikut minat anda terlebih dahulu sebelum anda boleh tahu anda memang ada bakat dalam bidang anda minati. Ini lagi bagus. Bakat dan minat seiring bersama.
Ada juga orang mensia-siakan bakat yang miliki. Contohnya, lihat sahaja Akademi Fantasia. Memang tidak dinafikan bahawa memang ada orang yang mempunyai bakat menyanyi yang luar biasa. Malangnya, ratusan ribu orang yang mencuba bakat di Akademi Fantasia adalah orang yang minat menyanyi sahaja dan bukannya orang yang mempunyai bakat menyanyi. Hasilnya, bakar darah sahaja pergi uji bakat AF kerana tiada yang sudi ambil menyanyi.
Mungkin bakat yang kita miliki tidak selari dengan minat yang kita miliki. Contohnya, kita memang berminat untuk mengajar tetapi bakat kita memberitahu kepada kita lebih sesuai untuk menulis. Ini sesuatu yang sukar buat diri kita apabila bakat dan minat menjadi pertembungan dalam diri kita dan seterusnya menghasilkan keadaaan yang serba salah dalam diri kita untuk bergerak ke hadapan.
Garapkan bakat anda. Insya-Allah ia akan menghasilkan sesuatu yang luar biasa untuk anda.
Wallhua’lam.

Wednesday, July 1, 2015

Apabila Ayat-ayat al-Quran Sudah Menjadi Teori.

“Waqaf itu sungguh indah tetapi realitinya ia sukar dilaksanakan di Malaysia...”

Begitulah ungkapan kata-kata seorang Pensyarah UiTM yang masih ingat ketika saya menjadi ahli jawatankuasa ketika ingin menubuhkan institusi waqaf di organisasi saya.
Memang benar waqaf itu sungguh indah dilaksanakan pada zaman dahulu. Sehingga seseorang itu akan berada dalam buaian hasil waqaf, belajar menggunakan hasil waqaf, dan mati pun menggunakan kafan hasil waqaf. Tetapi, realiti hari ini waqaf sukar dilaksanakan di Malaysia disebabkan oleh prosedur perundangan yang menyukarkan ianya dilaksanakan sepenuhnya.
Itu adalah mengenai waqaf di Malaysia. Bagaimana dengan sistem muamalat kita yang kini sudah tepu dibelenggui dengan riba? Saya pernah bertanyakan mengenai kadar faedah pinjaman perumahan yang diambil oleh rakan saya. Katanya faedah pinjaman perumahannya adalah memang tinggi. Tetapi, ini bukan masalah riba’ tetapi ini adalah realiti pada hari ini katanya yang terpaksa mengambil pinjaman yang mempunyai kadar faedah tersendiri.
Padahal, amaran Allah s.w.t. supaya meninggalkan riba’ sudah terang disebutkan dalam al-Quran :

“Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kalian orang-orang yang beriman. Jika kalian tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kalian. Dan jika kalian bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagi kalian pokok harta kalian; kalian tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.” al-Baqarah : 278-279
Walhal, ayat al-Quran ini merupakan amaran Allah s.w.t. secara terus dan bukannya secara perumpamaan. Jika seseorang itu mengambil riba’, dia laksana mengisytiharkan perang Allah s.w.t. dan RasulNya. Realitinya pada hari ini, semua orang mengambil riba’ dalam memenuhi kehidupan mereka pada hari ini kerana keterpaksaan dalam memenuhi keperluan asas masing-masing.
Ini belum lagi menyentuh suruhan-suruhan Allah s.w.t. yang lebih konkrit dan lebih kompleks yang memerlukan perbahasan yang lebih lanjut di kalangan ulama’. Suruhan tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah mengenai hudud. Di Pakistan umpamanya yang pernah melaksanakan hudud. Tetapi, terdapat satu kes di mana terdapat seorang wanita yang dirogol. Malangnya, ketika wanita ini ingin membuat laporan polis, beliau perlu membawa 4 orang saksi untuk membuktikan bahawa beliau dirogol. Tidak lama selepas itu, undang-undang hudud tidak dilaksanakan lagi di Pakistan.
Tetapi, umat Islam masih lagi sanggup berpegang lagi dengan ayat-ayat Allah s.w.t. apabila menyentuh dengan isu-isu kekeluargaan yakni nikah dan perceraian. Di manakah silapnya kita pada hari ini? Seolah-olah ayat-ayat al-Quran sebahagiannya diambil dan sebahagiannya tidak di amalkan. Firman Allah s.w.t. :

“Apakah kamu beriman kepada sebahagian Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain?” al-Baqarah : 85

Adakah keadaan hari ini menidakkan amaran-amaran dan perintah-perintah Allah s.w.t. dalam al-Quran dan menjadikan ayat-ayat ini hanya menjadi teori sahaja dan secara realitinya ia tidak dapat dilaksanakan?
Wallhua’lam.