Sunday, February 28, 2016

Bak Kata Imam al-Ghazali

"Mata adalah panglima hati. Hampir semua perasaan dan perilaku awalnya dipicu oleh pandangan mata. Apabila dibiarkan mata memandang yang dibenci dan dilarang, maka pemiliknya berada dijurang bahaya meskipun ia tidak sungguh-sungguh jatuh ke dalam jurang."

Imam al-Ghazali.

Friday, February 26, 2016

Apa Khabar Iman Kita Hari Ini?

Iman adalah bertambah dan berkurang. Di dalam diri kita terdapat dua unsur iaitu roh yang menyeru dan mengajak kita melakukan kebaikan dan nafsu yang menjuruskan kita membuat maksiat dan kejahatan.

Cara untuk meningkatkan iman kita ialah memberi makanan kepada roh kita iaitu dengan melakukan amalan-amalan ibadat supaya iman kita sentiasa bertambah dari semasa ke semasa.

Saidina Umar al-Khattab sentiasa memuhasabah dirinya pada setiap malam sebelum tidur. Apabila ada kesalahan yang beliau lakukan pada hari tersebut, maka beliau akan merotan kakinya sendiri bagi setiap kesalahan yang dilakukan.

Baiklah, cuba kita memuhasabah diri kita pada setiap hari, adakah masa kita berlalu tanpa kita melakukan amalan berikut :

a. Mendirikan solat berjemaah di masjid.

Sebenarnya, ini adalah tulang belakang amalan kita setiap hari untuk murah rezeki iaitu solat di awal waktu secara berjemaah di masjid. Di masjid itu tempat berkumpulnya rahmat Allah s.w.t. dan kita perlu membawa pulang rahmat ini ke rumah kita dengan selalu mengunjungi rumah Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. :

“Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertaqwa.” Surah Thaha : 132

Mungkin kita berasa sukar untuk mendirikan solat sehari semalam lima waktu di masjid pada setiap hari. Sebab itu dalam meningkatkan taqwa kita, kita perlu bermujahadah melawan perasaan malas kita sepertimana kata-kata Imam al-Ghazali iaitu amalan yang dipaksa yang dilakukan secara berterusan akan menimbulkan keikhlasan di hati.

b. Menunaikan Solat Dhuha.

Ramai berfikirkan jika membuat sesuatu amalan sunat, maka mereka mengharapkan fadilat atau balasan amalan sunat yang dilakukan itu ‘dibayar’ cepat sepantas kita oleh Allah s.w.t. Sebab itu, jika amalan-amalan sunat yang baru dilakukan kemudian ditinggalkan kerana tidak mendapat balasan setimpal dengan amalan sunat yang baru dilakukan. Mungkin Allah s.w.t. ingin memberi balasan tersebut pada masa akan datang. Percayalah, pembalasan Allah s.w.t. adalah amat cepat.

Begitu juga dengan solat dhuha, kita perlulah amalan pembuka pintu rezeki ini pada setiap hari dan sepanjang masa. Bukannya dengan melakukan sekali pada hari ini, kemudian mengharapkan mendapat tunai RM1,000 pada esok hari ataupun pada setiap hari. Sepertimana hadis nabi berbunyi :

“Wahai anak Adam, janganlah engkau sampai tertinggal untuk mengerjakan solat empat rakaat pada permulaa siang (waktu dhuha), nescaya Aku akan memberi kecukupan kepadamu sampai akhir siang.” Riwayat Abu Daud.

c. Beristighfar.

Rezeki seseorang hamba itu adalah tertahan kerana dosa-dosanya. Tidak dinafikan bahawa adalah amat mustahil apabila hari-hari yang berlalu yang kita lalui langsung kita tidak membuat dosa sama ada secara sedar ataupun tidak sedar. Dosa-dosa yang telah dilakukan ini perlulah dihapuskan dengan beristighfar pada setiap hari. Maksud hadis Nabi Muhammad s.a.w. :

“Sesiapa yang membiasakan dirinya beristighfar, nescaya Allah s.w.t. akan melapangkan dirinya daripada segala kesusahan, dan akan melepaskannya daripada segala kesukaran, dan akan memberinya rezeki tanpa biasa dikira.”

d. Bertasbih

Amalan yang mudah yang sering dilupakan oleh orang ramai ialah bertasbih ataupun berzikir. Bertasbihlah kepada Allah s.w.t. pada setiap hari dengan sebanyak-banyaknya. Sepertimana firman Allah s.w.t. :

“Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang.” Surah al-Ahzab : 41-42

Memadailah dengan saya menyebut empat perkara ini dalam penulisan pada kali ini untuk renungan bersama. Mungkin ada lagi amalan-amalan lain yang lebih utama yang saya tidak sebutkan di sini.

Wallhua’lam.


http://wankamarul701.blogspot.my

Thursday, February 18, 2016

Bak Kata Imam Abu Hanifah...

Bak kata Abu Hanifah :

"Gantunglahmu cita-cita di tempat yang tinggi sehingga tidak dapat dicapai oleh orang lain kerana cita-cita merupakan sumber kekuatan perjuangan yang tidak terhingga dari segi zahir dan batinnya."
 
 


Sunday, February 7, 2016

Bak Kata Pepatah Arab...


Bak kata pepatah arab,

“Seseorang pemuda tidak akan mengatakan sejarah itu sejarah ayahnya tetapi seseorang pemuda akan mengatakan sejarah aku adalah permata hatiku.”

Generalisasi daripada kata-kata ini ialah seseorang itu tidak perlulah berbangga atau mendabik dada dengan sejarah ayahnya ataupun dengan sejarah keturunannya. Tetapi, seseorang itu perlulah berbangga dengan sejarah dengan kejayaan yang dilakarnya sendiri.

Kata-kata ini saya ingin kaitkan dengan realiti semasa yang berlaku di negeri Kedah mengenai isu pertukaran Menteri Besar Kedah yang melibatkan Mukhriz Mohammad yang merupakan anak kepada mantan Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammad. Daripada isu ini dapat kita lihat bahawa seseorang bapa tidak mampu untuk mempertahankan jawatan anaknya walaupun seseorang bapa itu merupakan seorang negarawan.

Daripada satu sudut yang lain, kita dapat melihat sesebuah yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen boleh juga menjadi sesebuah negara monarki iaitu mewariskan jawatan yang disandangnya kepada keturunannya. 

Apabila seseorang itu sudah mencapai hierarki tertinggi dalam sistem demokrasi secara tidak langsung dia akan memberi peluang kepada keluarganya ataupun anaknya untuk meningkat naik dalam politik dengan menggunakan peluang, pengaruh, atau kuasa yang ada padanya. Oleh itu, tidak hairanlah kita melihat pada hari ini bahawa Perdana Menteri yang keenam pun merupakan anak kepada Perdana Menteri yang kedua.

Saya mungkin silap. Kesilapan Dr. Mahathir ialah tidak membenarkan anaknya untuk terlibat dalam politik ketika dirinya masih menjadi Perdana Menteri. Malangnya, beliau menjadi Perdana Menteri adalah terlalu lama iaitu melangkaui dua dekad. Ini menyebabkan anak-anaknya tidak dapat melibatkan diri dalam politik sepanjang tempoh ini.

Daripada sudut positifnya, Dr. Mahatir mungkin tidak mahu anak-anaknya untuk menggunakan pengaruhnya untuk meningkat naik dalam politik atau menggangu tugas-tugasnya sepanjang menjadi Perdana Menteri. Tetapi, tempoh ini menyebabkan anak-anaknya tidak tahu mengenai politik kerana tidak dilatih daripada awal.

Usia melebihi 40 tahun seperti Mukhriz Mahathir untuk melibatkan diri dalam politik adalah terlalu lewat. Mohd. Najib pun sudah menjadi ahli parlimen ketika berusia 22 tahun walaupun menggantikan tempat yang disandang oleh bapanya. Khairy Jamaluddin pun bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri ketika berusia 40 tahun walaupun kata-kata ini hanya menjadi omong-omong kosong sahaja.

Dalam dunia ini, benda yang mudah dapat juga mudah untuk hilang. Begitu juga dengan kuasa ataupun jawatan. Penglibatan politik Mukhriz adalah ketika PRU-12 pada tahun 2008 dan memenangi kerusi parlimen Jerlun dan seterusnya dilantik menjadi Timbalan Menteri walaupun PAS merampas negeri Kedah ketika itu. Seterusnya, faktor Mukhriz sebagai calon Menteri Besar pada PRU-13 menyebabkan BN berjaya merampas semula negeri Kedah pada tahun 2013.

Bagaimana Mukhriz boleh menjadi Menteri Besar dalam sekelip mata sahaja? Bagaimana pula dengan ahli-ahli politik UMNO yang lain yang merupakan ahli UMNO yang lebih senior di negeri Kedah?

Seseorang yang ingin melibatkan diri dalam politik perlulah sanggup menghadapi dan mengatasi cabaran. Dalam isu Menteri Besar Kedah, nampaknya Mukhriz gagal untuk menghadapi dan mengatasi cabaran untuk mempertahankan jawatannya walaupun beliau sebenarnya menjadi mangsa kepada pergeseran antara ayahnya dan Mohd. Najib mengenai isu 1MDB.

Sultan Muhammad al-Fateh yang menakluk Kota Konstantinople pun diberikan peluang ayahandanya iaitu Sultan Murah untuk menduduki takhta Kerajaan Uthmaniyah ketika berusia belasan tahun. Tujuannya adalah untuk melatih Sultan Muhammad al-Fateh memimpin Kerajaan.

Ada kata-kata masyhur Sultan Muhammad al-Fateh kepada ayahandanya yang menyuruhnya memimpin pasukan tentera untuk menghadapi tentera musuh walaupun ayahandanya menolak arahan daripadanya sendiri pada awalnya.

Kata-kata tersebut berbunyi :

“Sekiranya ayahanda adalah Sultan, sudah pasti ayahanda memimpin tenteramu. Tetapi kini saya adalah Sultan. Maka saya titahkan ayah memimpin bala tenteraku.”

Sultan Murad kemudiannya tiada pilihan lain melainkan kembali menduduki takhta.

Pendek kata, politik itu mempunyai seni yang tersendiri ataupun seseorang itu perlu mempunyai bakat tersendiri jika dia ingin menjadi seorang pemimpin politik. Bukannya seperti Mukhriz yang menumpang imej bapanya ataupun menjadi ahli DUN yang kurang daripada satu penggal untuk menjadi Menteri Besar.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

Wednesday, February 3, 2016

Caruman 3 Peratus pun Besar Nilainya

Baru-baru ini YAB Perdana Menteri mengumumkan bahawa caruman KWSP golongan pekerja dikurang daripada 11 peratus kepada 3 peratus. Tujuannya adalah untuk merangsang ekonomi di mana daripada nilai ini, dijangka sebanyak 8 bilion ringgit akan mengalir dalam ekonomi negara apabila ianya dibelanjakan.

Jika kita perhalusi nilai 3 peratus kwsp ini, nilainya adalah kecil. Namun, bagi jangka panjang, nilainya boleh dikatakan besar.

Katakan gaji kasar seorang eksekutif ialah RM3,000 sebulan. 3 peratus daripada nilai ini ialah RM90 sebulan. Namun, bagi tempoh 2 tahun nilai ini sudah menjadi RM2,160.

Jika anda membaca buku BSAD saya, saya menerangkan prinsip sesendal baji iaitu menyimpan separuh daripada kenaikan gaji tahunan. Oleh itu, jika anda ada lebihan 3 peratus ini ada baiknya anda melencongkan wang anda kepada tabung simpanan anda. Tabung simpanan tidak perlulah saya nyatakan di sini. Terpulang kepada anda.

Memang. Tidak dinafikan dalam suasana ekonomi suram di mana perbelanjaan harian menekan kehidupan kita kadangkala menyebabkan jiwa dan emosi turut tertekan.

Dikala waktu ekonomi menekan perbelanjaan kita. Saya masih dapat memerhatikan orang-orang di luar sana yang masih hidup mewah dan mampu membeli kereta-kereta mahupun rumah-rumah besar. Adakah sistem ekonomi kita yang silap atau kita tidak mampu bertindakbalas dengan ekonomi semasa?

Falsafah saya ketika ekonomi suram ini mudah sahaja iaitu, “Harga barang terus naik tetapi rahmah Allah s.w.t. tidak pernah berkurang.”

Wallhua’lam.


http://wankamarul701.blogspot.my

 

 

 

 

Tuesday, January 19, 2016

Sembang Politik Tidak akan Menambah Wang Simpanan Anda


Kadang-kadang saya terfikir pepatah ini. “Usia mendewasakan kita...” Adakalanya usia memang mendewasakan kita kerana ia akan mematangkan kita yang mana perkara perlu kita terus akan sebaliknya.

Saya dahulu ghairah tulis post-post politik di laman-laman sosial seolah-olah untuk mengumpan orang lain memberi komen atau pandangan mereka dengan harapan dapat berlawan atau menjadi keyboard warrior dalam laman sosial. Siapa pandai menulis, dialah juara. Apabila kita bergaduh kerana perbezaan fahaman politik dengan rakan-rakan alamatnya kita akan kehilangan rakan baik kita sendiri.

Ada baiknya kita bersembang politik tetapi ia biarlah bersifat terkawal dan tidak berlebihan. Sembang politik ibarat bermain dengan api. Kecil-kecil boleh jadi kawan dan bila besar boleh mencetuskan perbalahan yang parah serta tidak berkesudahan.

Tetapi, setelah sekian lama saya fikir dengan menulis post-post atau artikel-artikel politik tidak membawa saya ke mana. Mohd Najib atau Haji Hadi Awang belum tentu melantik saya mewakili mereka untuk bertanding dalam PRU jika saya menulis 100 post politik di laman media sosial setiap hari untuk menunjukkan sokongan saya kepada salah seorang antara mereka.

Apa yang lebih penting lagi, sembang politik tidak akan menambah wang simpanan saya walaupun saya bercakap mengenai politik dengan kawan-kawan pada setiap hari. Tidak kira sama ada simpanan bank biasa, tabung amanah, dan sebagainya. Ia hanya membakar masa dan tenaga kita.

Ada baiknya kita bercakap atau bersembang mengenai wang ataupun bisnes dengan orang yang kita kenali ataupun kita tidak kenali. Dua perkara ini sebenarnya boleh menambah ilmu, kemahiran, dan akhirnya wang simpanan kita pada jangka masa panjang.

Mengutuk, mengeji, menghina, mencaci dan seangkatan perkataan dengannya terhadap individu yang bernama Mohd. Najib tidak akan menyelesaikan masalah kos sara hidup kita. Realitinya, harga barang tetap akan terus naik. Tetapi, dalam kita sedar atau tidak sedar mengapa dengan keadaan harga barang terus naik masih ramai orang di luar sana yang boleh membeli rumah-rumah banglo ataupun kereta besar?

Sedarlah diri kita semua di sebalik kos sara hidup terus naik tetapi rahmat Allah s.w.t. tidak pernah berkurang. Formulanya mudah sahaja. Apabila inflasi terus naik, kita perlu berlari untuk menambah sumber pendapatan kita untuk melawan kadar inflasi ini.

Sembang-sembang politik sebenarnya ada kalanya membawa keburukan daripada kebaikan.

Wallahua’lam.

http://wankamarul701.blogpspot.my

Monday, January 11, 2016

Idea Pun Perlu Dijemput

Idea atau ilham ini kadang-kadang datang menerjah mengetuk fikiran dan minda kita. Seolah-olah kita mendapat renjatan kuasa elektrik apabila mendapat sesuatu idea yang baru lebih-lebih lagi untuk menyelesaikan masalah tertentu.

Idea ini kadang-kadang tanpa kita undang – ketika makan, berjalan, memandu, dan apa lebih teruk lagi jika waktu kita ingin tidur. Mahu tak mahu terpaksa tahan mengantuk dulu untuk melaksanakan idea tersebut sebelum dia hilang entah ke mana.

Tetapi, idea juga perlu dijemput. Kerana idea itu sendiri adalah ilmu. Tetapi, al-Quran dan ilmu itu sendiri adalah cahaya dan ia tidak berada dalam hati yang dicemari maksiat. Bagaimana idea nak datang apabila hati atau mata kita sentiasa melihat benda-benda yang boleh mengotorkan hati kita pada setiap hari?

Membaca blog-blog murahan dengan tulisannya seperti bau hanyir ikan dibuang dalam tong sampah adalah menjengkelkan. Kadang-kadang hati merasa gelap apabila membaca tulisan-tulisan yang setiap hari tahu hanya mengutuk orang. Seolah-olah dirinya bersih lagi suci.

Begitu juga dengan Facebook. Jika boleh saya ingin mengelak daripada membaca facebook. Apabila kita membaca facebook kita boleh melihat hati-hati manusia. Ada yang meluah perasaan berjauhan dengan anak. Ada yang kecewa dengan kekasih. Ada yang meluahkan perasaan rumah tangga. Dan tidak kurang juga mempromosi barang-barang secara online. Lebih buruk lagi apabila meletakkan gambar atau video yang bukan-bukan.

Kadang-kadang internet juga memburukkan dan memberi kesan negatif kepada kita walhal masih ada orang mengatakan ianya masih baik. Jika kita bertanyakan orang-orang yang belajar di maahad tahfiz, mereka dilarang melakukan tiga perkara – mendengar radio, membaca surat khabar, dan melayari internet.

Sudah tentu perkara-perkara ini menggelapkan hati kita. Jika hati kita gelap, bagaimana ayat-ayat al-Quran boleh tertanam dengan sempurna di dalam hati kita?

Dalam pengurusan ada suatu yang dikenali sebagai ‘idea trap’ iaitu anda perlu menulis sesuatu idea yang terlintas di fikiran anda secara tiba-tiba. Anda boleh menulis atau melakar idea anda secara ringkas apabila mendapat idea secara tiba-tiba. Jika biarkan untuk membuat perkara lain, kelak ianya akan hilang.

Pendek kata, idea juga perlu dijemput. Untuk menjemput idea, kita perlu menjaga hati kita kerana ia juga merupakan ilmu yang bukannya boleh datang kepada sembarangan orang.

Wallhua’lam.